Tag Archive: Insaniah


Saya baru teringat satu kenyataan yang disampaikan sendiri kepada saya oleh Ustaz Kadri Abdul Hamid, salah seorang pensyarah di Kuliyyah al-Quran dan As-Sunnah di Kolej Universiti Insaniah, Kedah. Beliau juga adalah salah seorang ahli Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri.

Beliau ada menyatakan kepada saya bahawa Insaniah melalui Kuliyyah al-Quran dan as-Sunnah sudah menawarkan program Sarjana untuk dua bidang. Pertama Sarjana Pengkajian al-Quran, dan kedua, Sarjana Pengajaran al-Quran. Tawaran sudah bermula dan pendaftaran berakhir pada 15 Disember 2011 akan datang.

Sebelum ini, di Kuliyyah al-Quran dan as-Sunnah ini mempunyai program Diploma Tahfiz al-Quran wal-Qiraat dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz al-Quran. Melalui bacaan saya di web rasmi insaniah, asalnya program ini merupakan kesinambungan daripada Maahad Tahfiz al-Quran Wa al-Qiraat yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Kedah pada tahun 1985 dan diletakkan di bawah KUIN pada tahun 2001.  KUIN telah menubuhkan kulliyyah al-Quran pada sesi 2004/2005.

Terdapat 16 pensyarah di Kuliyyah al-Quran dan as-Sunnah diketuai oleh Dr. Azharuddin bin Sahil selaku dekan yang pernah kami temui beberapa kali. Mereka yang berminat untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana (master) berkenaan boleh merujuk ke http://quran.insaniah.edu.my/main/ dan pendaftaran online boleh dibuat dengan melayari http://ecampus.insaniah.edu.my/frm.

KULLIYYAH AL-QURAN DAN SUNNAH KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH KEDAH DARUL AMAN MALAYSIA MENAWARKAN PROGRAM MASTER DALAM 1. PENGKAJIAN AL-QUR’AN DAN 2. PENGAJARAN AL-QUR’AN. PENDAFTARAN BERAKHIR PADA 15 DESEMBER 2011.

Untuk maklumat lanjut juga boleh berhubung ke Kolej Universiti Insaniah, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, 05350 Alor Setar Kedah Darul Aman, Malaysia. Emel : enquiry@insaniah.edu.my, nombor telefon 04-7374331, fax 04-7374355

LAWATAN KE INSANIAH

Kesempatan berada di Kedah, kami semua ahli Lajnah Tashih al-Quran KDN melakukan kunjungan rasmi ke Kolej Universiti Insaniah Negeri Kedah pada petang tadi diketuai oleh Timbalan Pengerusi Lajnah Ustaz Haji Azhari Othman. Ketibaan kami pada jam 3.25 petang disambut oleh Dekan Pengajian al-Quran Prof Madya Dr Azharuddin Sahil dan Pendaftar Mohd Najib Haji Abdullah dan beberapa staf INSANIAH yang lain.

Dalam pertemuan sejam itu, majlis didahului dengan taklimat dan pengenalan Lajnah Tashih al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Haji Azhari Othman sebelum pihak INSANIAH memberikan taklimat berkenaan sejarah dan perkembangan KUIN sehingga kini. Apa yang saya fahami, pengajian akademik INSANIAH yang bermula pada awal 1996 dengan tiga jurusan asas iaitu Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab, kini sudah dinaiktaraf sebagai kolej universiti bermula 2006.

Apabila YAB Ustaz Azizan menerajui kerajaan negeri Kedah pada 2008 beliau menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah INSANIAH, beliau telah melantik Prof Dato’ Dr Jamil Osman sebagai Rektor INSANIAH yang keempat pada 1 Mei 2008. INSANIAH terus mengorak langkah kehadapan apabila pada sepanjang tahun 2009 INSANIAH menawarkan sebanyak 40 program pengajian merangkumi daripada peringkat asasi sehingga PhD berbanding 7 program sahaja sebelum itu. Sebanyak 4 Kulliyyah dan Pusat akademik  baru ditubuhkan iaitu Kulliyyah Kejuruteraan dan Teknologi, Kulliyyah Kejururawatan, Pusat Siswazah dan Penylidikan dan Pusat Asasi.

Kami turut dimaklumkan berkenaan pembinaan kampus tetap INSANIAH di Kuala Ketil disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak dengan tanah seluas 832 ekar dijangka akan siap fasa pertama pada 2012. Sehingga kini terdapat 150 orang pensyarah, 6,000 siswa siswi termasuk hampir 1000 pelajar antarabangsa dari 25 buah negara dengan pelbagai program pengajian daripada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran (PhD).

Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut, layari web rasmi INSANIAH di http://www.insaniah.edu.my/v3m/index.php/


IMG_5949

Kira-kira 100 orang hadir dalam Majlis Tahlil Perdana dan ceramah yang dipimpin oleh Dr Md Bakhir Abdullah, Dekan Fakulti Bahasa Arab Universiti Insaniah Kedah di Surau Austral semalam.

Objektif program itu sebenarnya adalah bagi mengutip dana untuk pembangunan Pusat Pendidikan Islam an-Nur yang terletak di hadapan surau berkenaan.

Abu Nuha Corner dimaklumkan pihak sekolah memerlukan RM40 ribu bagi membiayai kos pembangunan yang hampir selesai. Sumber memberitahu setakat ini pihak sekolah sudah menerima sumbangan lebih RM10 ribu.

Selain program di Surau Austral, Dr Bakhir juga mempunyai jadual yang sangat padat dengan ceramah sekitar Kota Kinabalu dan Sandakan.

Walaupun Majlis Tahlil Perdana sudah berakhir, pihak sekolah masih mengalu-alukan sumbangan umat Islam seluruh negara bagi membantu kos pembinaan bangunan sekolah.

Maklumat lanjut, boleh layari blog Pusat Pendidikan Islam an-Nur di http://sarannur.blogspot.com/

IMG_5953

IMG_5954

%d bloggers like this: