Siri ziarah berterusan dengan mengunjungi para alim ulamak, guru dan tokoh yang saya hormati. Ia untuk menanam sikap kasih kepada mereka, seterusnya mengambil barakah atas ilmu mereka walaupun kunjungan sekadar ziarah hari raya sahaja.

1) Cikgu Sapiuddin Kadundung

1. Cikgu Sapiuddin Kadundung

Beliau pernah berkhidmat lama di SMUI Toh Puan Hajah Rahmah Kota Kinabalu walaupun saya tidak sempat menadah ilmu khususnya matematik dengannya. Saya mengenal dari jauh dengan nama beliau yang harum. Cikgu yang baik, sekolah dan masjid adalah hidupnya baik zaman berkhidmat sebagai penjawat awam atau selepasnya.

Kini berulang-alik ke Masjid Kg Tanjung Aru yang hampir dengan rumahnya selain mengawasi madrasah tahfiz yang dikendalikan sekeluarga di rumahnya sendiri. Katanya pelajar tahfiz mereka sudah mencapai angka 100 orang, khususnya perempuan sahaja. Anak-anaknya yang cemerlang bukti mereka adalah keluarga yang dapat dicontohi.

2) Datuk Matusin Ag Damit

2. Ybhg Datuk Haji Matusin Awang Damit

Naib YDP USIA dan mantan Pengerusi MUIS dan Pengerusi Masjid Jamek Kg Likas. Seorang tokoh yang mempunyai sejarah hidup yang panjang dan menarik. Beliau dalam senarai tokoh yang akan saya temuramah, khusus berkenaan penglibatan beliau dalam dunia dakwah melalui pendidikan, USIA dan MUIS.

Melewati umur 70an kini, banyak meluangkan masa bersama keluarga yang besar merentasi Brunei Darussalam, Sipitang hingga ke Kota Kinabalu. Pun begitu beliau masih salah seorang Naib YDP USIA, sebuah organisasi dakwah terkemuka di Sabah.

3) Dr Yasir Ismail

3. Ustaz Dr Haji Yasir Ismail

Beliau adalah alumni dan senior di SMUI Toh Puan Hajah Rahmah. Saya tidak sempat bersama-sama di sekolah tetapi beliau pernah mengajar kami seketika ketika tingkatan satu. Kami mengenalnya dengan nama yang harum, seorang pelajar Malaysia yang mengaji di Universiti Islam Madinah. Kini beliau bertugas di UIA, pengkhususan bahasa Arab.

4) Datuk Ismail Abbas

4. Ybhg Datuk Haji Ismail Abbas

Mantan Mufti Negeri Sabah, seorang alim yang sangat dikasihi. Ketika sudah bersara beliau masih meneruskan khidmat menyampaikan kuliah khususnya di Masjid Jamek Kg Likas. Saya teringat apabila beberapa ulamak muda dari Mesir datang beberapa tahun lepas, bertalaqqi dan meminta sanad beberapa hadith daripada beliau.

5) Pusara Ustaz Nahar Mantamin

5. Pusara Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin

Beliau adalah guru, abang dan ketua saya semasa hayatnya. Saya banyak mendengar nasihat-nasihatnya, terutama dalam kuliah dan usrah. Saya berketuakan Allahyarham semasa beliau berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negeri Sabah, dan satu ketika sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Sabah.

6) Pusara Datuk Ahmad Othman

6. Pusara Allahyarham Datuk Haji Ahmad Othman

Berbetulan pusara kedua ulamak ini bersebelahan dan beriringan sahaja di Kg Likas. Saya ada sedikit kenangan manis dan pahit bersama beliau, tetapi penghormatan saya tidak hilang kepadanya. Seorang ulamak yang berani berterus terang, menegur pemerintah walaupun sesudah bersara sebagai timbalan mufti kerajaan negeri.

7) Haji Awang Tengah Awang Amin

7. Tuan Haji Awang Tengah Awang Amin

Seorang aktivis PKR peringkat negeri yang juga ahli jamaah Masjid Kg Sipanggil Putatan, dan beliau salah seorang yang sering bersama dalam kuliah maghrib mingguan saya setiap isnin di sana. Dalam politik, beliau pernah diamanahkan sebagai pengerusi PKR Negeri dan kini sebagai JKnya. Ziarah saya ke rumahnya di Kg Pimping Membakut kerana beliau berasal dari sana.

8) SS Ustaz Bungsu Aziz Jaafar

8. SS Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar

Kunjungan yang tidak dirancang lebih awal, kebetulan terserempak dengan Ustaz Bungsu di Masjid Kg Pimping selesai solat jumaat di mana beliau menjadi khatibnya. Kami berbincang beberapa perkara, terutama isu-isu aqidah seperti murtad dan ajaran-ajaran sesat yang perlu perhatian serius sekian lama. ALhamdulillah seronok menerima layanan SS mufti sekeluarga.

9) Imam Haji Maarif Ansat

9. Tuan Imam Haji Maarif Ansat

Otai dan lagenda qari negeri Sabah. Kami berziarah menjelang maghrib, dan solat jamak di surau sebelah rumahnya. Tuan Haji Maarif masih gagah suaranya melaungkan azan, hanya saja beliau solat dalam keadaan duduk sementara saya diminta menjadi imam maghrib bersama jamaah kebanyakannya keluarga beliau sendiri.

10) IM Ali Khairuddin

10. Imam Muda Ali Khairuddin 

Persahabatan kami semakin erat sejak pertemuan beberapa kali. Pertamanya apabila saya berceramah beberapa tahun lepas tentang rasm al-Quran di mana IM Ali salah seorang pesertanya. Beliau juga sering menyertai MTQ dan saya beberapa kali menjadi hakim tajwidnya. Bertembung beberapa kali dalam program, di mana saya sebagai penceramah dan IM Ali sebagai imam dan sebagainya.