Tag Archive: Imam an-Nawawi


DARAH HALAL

“Tidak halal darah seorang Islam (untuk ditumpahkan) melainkan dengan salah satu daripada tiga sebab berikut : Orang yang sudah berkahwin yang berzina, orang yang membunuh orang lain dan orang yang murtad meninggalkan Islam, memisahkan diri daripada jamaah Islam”.

**

Kamu dari mana?

Malaysia.

Kenapa Malaysia tidak laksana undang-undang Islam?

Mana saya tahu, saya kerani saja. Tanyalah ahli parlimen kami.

**

Kamu ahli parlimen, kenapa Malaysia tidak laksanakan undang-undang Islam?

Saya tidak tahu, saya cuma ahli parlimen saja. Tanyalah menteri kabinet.

**

Kamu menteri kabinet, kenapa Malaysia tidak laksanakan undang-undang Islam?

Manalah saya tahu, saya menteri saja. Tanyalah perdana menteri kami.

**

Kamu perdana menteri, kenapa Malaysia tidak laksanakan undang-undang Islam?

Memanglah saya perdana menteri, memang kami tidak laksana undang-undang Islam, tapi rakyat yang memangkah kami. Tanyalah mereka.

**

Kewajiban melaksanakan perundangan Islam adalah terletak di bahu pemerintah. Kewajiban ini tiada bezanya dengan perintah solat, puasa, haji dan sebagainya. Alasan Malaysia sebagai negara majmuk, hanyalah suatu helah kerana Allah SWT-lah yang menjadikan masyarakat sesebuah negara dalam suasana sedemikian rupa. Kewajiban umat Islam beramal dengan undang-undang Islam sementara orang bukan Islam boleh memilih antara undang-undang Islam dengan undang-undang sedia ada.

Saya pernah berbual dengan seorang kaunselor aqidah yang selalu berhadapan dengan kes-kes murtad yang tidak pernah berkesudahan di Malaysia. Kes-kes permohonan keluar daripada Islam secara sukarela bukannya dipaksa, seperti mudahnya memakai dan menanggalkan baju sesuka hati mereka. Katanya, inilah padahnya apabila perundangan Islam tidak berjalan di Malaysia.

Justeru itu, oleh kerana Malaysia mengamalkan pemerintahan demokrasi, rakyat diberi kuasa sebagai hakim untuk memutuskan pemerintah yang benar-benar mahu kepada Islam. Sebelum rakyat menjadi hakim, mereka mestilah diberi maklumat yang benar supaya menjadi hakim yang bijak, bukannya hakim yang jahil dan tidak tahu maklumat.

Oleh itu mereka yang mengetahui kebenaran Islam, kewajiban menegakkan Islam dalam perundangan negara mestilah didedahkan kepada rakyat jelata menurut kemampuan masing-masing. Jangan biarkan rakyat berada dalam kejahilan sehingga mereka tidak mengetahui kebenaran Islam dan kejahatan pemimpin yang tanpa segan silu mencemar dan merosakkan nilai kehidupan melalui korupsi, salah guna kuasa dan seumpamanya.

Sebelum soalan seumpama di atas dihadapkan kepada kita di mahkamah Allah SWT nanti, marilah kita berjuang untuk menggerakkan masyarakat supaya memilih pemimpin yang mahu kepada Islam sebagai cara hidup masyarakat keseluruhannya bukannya sekadar Islam yang terhad kepada hari dan masa tertentu sahaja.

Firman Allah SWT : “Janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim, nanti kamu disambar oleh api neraka…”

Nota kuliah hadith 40 di surau …

6 Ramadhan :

Ustaz Haji Muhammad Iyen Atim menjelaskan bahawa solat adalah ibadah syumuliyyah yang paling afdhal. Solat seorang hamba yang sebenar-benarnya menjadikan dia semakin tunduk dan patuh kepada Allah SWT serta tidak menjadikannya angkuh dan sombong. Demikian dalam solat dengan berlakunya rukuk dan sujud menunjukkan kepatuhan dan penghinaan diri kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

7 Ramadhan :

Dr Ali Akbar Gulasan menyebutkan bahawa penghinaan terhadap Rasulullah SAW sudah berlaku sejak zaman hayat baginda lagi dan akan berlaku sepanjang zaman kerana musuh yang tidak berkesudahan. Bagi umat Islam, sekurang-kurangnya hendaklah selalu bercerita kepada anak dan ahli keluarga akan sirah perjuangan baginda SAW serta mengaplikasi semampunya sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

8 Ramadhan :

Ustaz Syahir Ismail menyebutkan antara ciri pemuda yang dikasihi Allah SWT itu ialah apabila ia suka beribadah kepada Allah SWT tanpa jemu. Pada zaman Rasulullah SAW, para pemuda adalah tonggak kepada perjuangan Islam yang sering menjadi saf hadapan perjuangan. Dalam zaman serba mencabar ini, syabab yang berkualiti bukan sekadar mempunyai pendidikan tinggi tetapi mampu menongkah cabaran massa menurut ajaran Islam.

9 Ramadhan :

Dalam tazkirah Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar, seorang manusia yang benar-benar merindui Allah SWT akan sentiasa tekun melaksanakan segala perintah-Nya dan  menjauhi larangan-Nya. Ia rindu untuk bertemu dengan-Nya, dengan membawa amal kebaikan serta mengharap ridha tuhannya. Ia bimbang dengan amalan yang sedikit dan serba kekurangan. Maka dengan itu selalu bermohon agar Allah SWT mengampuni kesalahannya serta menampung segala kekurangan ibadah yang telah dilakukannya.

11 Ramadhan :

Alam barzakh adalah sesuatu yang pasti. Ia boleh saja menjadi satu taman daripada taman-taman syurga bagi hamba yang patuh kepada Allah SWT, dan boleh saja menjadi satu lubang daripada lubang-lubang api neraka bagi manusia yang kufur dan ingkar kepada-Nya. Jika pertanyaan alam barzakh dapat dijawab dengan baik, maka rintangan selepasnya semakin mudah. Sementara jika sebaliknya, maka cabaran selepas itu akan semakin susah lagi. Demikian tazkirah Ustaz Zainuddin Lateh.

12 Ramadhan :

Ustaz Mohd Jumat Abd Razak mengambil ruang untuk menerangkan kepada audien tentang cara penentuan arah kiblat. Penentuan arah kiblat, bukan saja untuk solat, bahkan ketika meletak janazah di dalam kubur. Menghadap kiblat juga disunnatkan ketika membaca al-Quran dan sebagainya. Maka umat Islam perlu mengetahui sedikit sebanyak tatacara penentuan kiblat apatah lagi ketika bermusafir dan sebagainya. Pihaknya juga bersedia diundang untuk menerangkan kaedah ini di mana-mana jabatan atau majlis yang bersesuaian.

13 Ramadhan :

Datuk Hj Md Safari Abdul Manan memberikan taklimat pembinaan masjid daerah penampang yang kini baru dalam proses mendapatkan tanahnya. Kebersamaan umat Islam khususnya di negeri Sabah amat diperlukan apatah lagi Penampang adalah satu-satunya daerah yang belum mempunyai masjidnya sendiri. Maka umat Islam diseru untuk menyertai program wakaf yang dilancarkan oleh JK Wakaf Masjid Penampang. Dianggarkan, keseluruhan projek ini memakan kos sebanyak RM6.5 juta.

14 Ramadhan :

Ustaz Hj Mohd Hilham Md Noor menceritakan tentang sejarah pembinaan Masjid Nabawi sejak hijrah Rasulullah SAW ke al-Madinah al-Munawwarah. Masjid adalah pusat bagi perkembangan Islam, pusat pertemuan, pusat pentadbiran dan pusat segala gerakan Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah mengambil pengajaran pada zaman ini untuk menjadikan masjid sebagai lokasi wajib bukan sekadar untuk mendirikan solat semata-mata.

15 Ramadhan :

Imam an-Nawawi RH adalah ulama’ terbilang dalam Mazhab asy-Syafie. Beliau mengarang ratusan kitab. Antara yang terkenal ialah Arbain an-Nawawi (hadith 40), Riyadhus Solihin, al-Azkar dan banyak lagi. Ketekunan beliau di dalam menyebarkan ilmu terutama fekah dan hadith sehingga beliau tidak berkahwin dan mendambakan dirinya untuk ilmu Allah SWT. Kehebatan beliau sudah terserlah sejak kecil apabila beliau tidak gemar bermain tetapi suka belajar dan membaca. Kitab-kitab beliau  yang terkenal ke seluruh dunia Islam hari ini merupakan saham untuk beliau bawa ke hadapan Allah SWT. Demikian tazkirah oleh Ustaz Hj Muchlish Ali Kasim.

16 Ramadhan :

Perang Badar al-Kubra adalah siri peperangan terpenting dalam Islam yang berlaku dalam bulan Ramadhan dengan tentera Islam seramai 313 orang dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW bertembung dengan musuh seramai seribu orang. Kesatuan umat Islam khususnya antara muhajirin dan ansar serta kebersamaan dan kepatuhan mereka bersama Rasulullah ketika susah dan senang membawa kepada kemenangan umat Islam menewaskan musuh yang lebih ramai. Oleh itu umat Islam zaman ini mesti mengambil iktibar daripadanya, demikian antara pengisian oleh Ustaz Murtadha Mansor.

Sebagaimana yang dirancang sejak sebulan lalu, kami memulakan kuliah bulanan Hadith Matan Arbaien, Hadith 40 susunan Imam an-Nawawi RH di surau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah di Jalan Bundusan mulai malam tadi.

Ini adalah pengalaman kali ketiga mengajar hadith 40. Kali pertama di UMS Labuan secara daurah sehari; sementara kali kedua di Masjid Kg Muhibbah Petagas secara mingguan.

Buat muqaddimah, saya jelaskan kedudukan hadith dalam Islam, kepentingan mempelajarinya bagi umat Islam. Tidak ketinggalan sedikit pengenalan terhadap buku ini dan penyusunnya iaitu Imam an-Nawawi RH.

Alhamdulillah, sempat juga membaca dan menghuraikan hadith pertama berkenaan dengan niat dan hijrah.

Terima  kasih atas undangan dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak JK Surau yang diketuai oleh Hj Jafree Rashid dan Sdr Affendi. Dengan bermulanya kuliah di sini, saya mendapat rakan dan kenalan baru.

Bertemu lagi bulan akan datang.

HADITH 40

Alhamdulillah, kuliah hadith yang diadakan pada setiap selasa di Masjid Mahabbah Kg Muhibbah, menggunakan kitab hadith 40 susunan Imam an-Nawawi telahpun selesai minggu ini.

Ketika sekolah agama, hadith 40 ini begitu masyhur dan dipelajari di sekolah. Dihafaz secara matan dan maknanya, mengikut kadar kemampuan umur 10-12 tahun ketika itu.

Saya teringat, ketika mula-mula sampai di Shoubra Kaherah tahun hujung Ogos 2000, antara program awal Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) Shoubra untuk kami ialah Daurah Kitab Hadith 40 yang diadakan secara marathon, bermula pada waktu pagi dan berakhir pada waktu asar.

Pengalaman berharga itu saya kembangkan pula beberapa tahun lalu apabila mengadakan program yang sama di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL). Bermula 8.30 pagi dan berakhir 4.30 petang.

Ruang yang diberikan oleh Ust Hj Khamis Jamil yang tinggal di Taman Jumbo berdekatan Kg Muhibbah yang juga pegawai di Bahagian Dakwah JHEAINS sangat bermakna sekali.

Kuliah Hadith 40 itu bermula pada awal April lalu setiap selasa selepas solat maghrib dan biasanya berlanjutan sekitar sejam. Biasanya satu hadith seminggu, tetapi kadang-kadang dua atau 3 hadith.

Kuliah di sini jarang saya ponteng berbanding di tempat lain, kerana waktu kebiasaan saya keluar daerah atau memenuhi undangan lain berlaku pada hujung minggu saja.

Di masjid berkenaan, saya mendapat ramai rakan baru yang begitu mengambil berat soal ilmu dan persahabatan. Dalam masa yang sama, saya menerima banyak pengalaman berharga dan karenah jamaah yang pelbagai ragamnya.

Dari segi kuantiti jamaah, di sini antara yang teramai kerana kehadiran boleh menjangkau 60-70 orang khususnya apabila kuliah mingguan itu memasuki separuh masa kedua.

Mudah-mudahan pengajian hadith itu memberi kesan dalam diri kita, bermula dengan membetul dan mengikhlaskan niat kepadaNya, sehingga hadith yang terakhir, kita berdoa dan berharap kepadaNya semata-mata.

‘Kontrak’ asal sudah berakhir, jika ada tawaran semula di sana saya akan menyambung dengan buku lain pula. Jika tiada, saya bersedia menerima undangan di tempat lain.

SEBELUM TIDUR

Saya petik beberapa hadith Nabi SAW daripada kitab al-Azkar susunan Imam an-Nawawi RH sebagaimana yang telah dihuraikan dalam kuliah maghrib setiap sabtu di Masjid Nurul Ihsan, Kg Lok Kawi Baru Putatan.

Daripada Huzaifah dan Abu Zar RA, sesungguhnya Rasulullah SAW apabila baginda berada di tempat tidurnya baginda membaca :

“‏ باسْمِكَ اللَّهُمَّ أحْيا وأمُوت‏”

“Dengan namaMu ya Allah, aku hidup dan aku mati” (HR Bukhari)

Daripada Ali RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepadanya dan kepada Fatimah RA :

‏”‏إذَا أوَيْتُما إلى فِرَاشِكُما، أوْ إذَا أخَذْتُما مَضَاجِعَكُما فَكَبِّرَا ثَلاثاً وَثَلاثِينَ، وَسَبِّحا ثَلاثاً وثَلاثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلاَثاً وَثَلاثِينَ‏”‏‏.‏

وفي رواية‏:‏ ‏”‏التَّسْبِيحُ أرْبَعاً وَثِلاثِينَ‏”‏‏.‏ وَفي رواية‏:‏ ‏”‏التَّكْبيرُ أرْبعاً وَثَلاثِينَ‏”‏‏.‏ قالَ عليّ‏:‏ فما تركته منذ سمعتُه من رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم، قيل له‏:‏ ولا ليلة صفين‏؟‏ قال‏:‏ ولا ليلة صفّين‏.‏

“Apabila kamu berdua berada di tempat tidur atau mengambil tempat pembaringan, maka bertakbirlah 33 kali, bertasbih 33 kali dan bertahmid 33 kali.

Dalam riwayat lain : “Bertasbih 34 kali”. Dalam riwayat lain : “Bertakbir 34 kali”. Ali berkata : “Sejak kami mendengar pesanan Rasulullah SAW itu, kami tidak pernah meninggalkannya”.

Orang bertanya : “Walaupun ketika malam perang Siffin?” Ali menjawab : “Ya, walau malam perang Siffin, kami tidak meninggalkan bacaan zikir itu”. (HR Bukhari & Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda :

‏”‏إذَا أوَى أحَدُكُمْ إلى فِرَاشِهِ فَلْيَنْفُضْ فِرَاشَهُ بِدَاخلَةِ إِزَارِهِ، فإنَّهُ لا يَدْرِي ما خَلَفَهُ عَلَيْهِ، ثُمَّ يَقُولُ‏:‏ باسْمِكَ رَبي وَضَعْتُ جَنْبِي وَبِكَ أرْفَعُهُ، إنْ أمْسَكْتَ نَفْسِي فارْحَمْها، وَإِنْ أرْسَلْتَها فاحْفَظْها بما تَحْفَظُ بِهِ عِبادَكَ الصَّالِحينَ‏”‏ وفي رواية ‏”‏يَنْفُضُهُ ثَلاثَ مَرَّاتٍ‏”‏‏.‏

“Apabila salah seorang kamu hendak tidur, hendaklah dia mengibaskan sarungnya di atas tempat tidurnya. Sesungguhnya dia tidak tahu apa yang berlaku kemudiannya, kemudian hendaklah dia membaca :

Dengan namaMu Tuhanku, aku letakkan lambungku dan dengan izinMu pula aku dapat mengangkatnya. Jika Engkau ambil diriku dan kasihanilah ia, dan jika Engkau kirim semula ruhku, maka peliharalah ia dengan apa yang Engkau jaga terhadap hamba-hambaMu yang soleh”.

Dalam riwayat lain : “..ia kibaskan sebanyak 3 kali”. (HR Bukhari & Muslim)

Daripada Aisyah RA :

أن رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم‏:‏ كان إذا أخذ مضجعه نفث في يديه وقرأ بالمعوّذات ومسح بهما جسده‏.‏

“Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila baginda berada di tempat tidurnya, ditiupnya di tangannya dan baginda membaca surah al-Mu’awwizat dan kemudian disapu ke seluruh badannya”. (HR Bukhari & Muslim).

Daripada Aisyah RA :

أن النبيّ صلى اللّه عليه وسلم كان إذا أوى إلى فراشه كل ليلة جمع كفّيه ثم نفث فيهما وقرأ فيهما‏:‏ ‏{‏قُلْ هُوَ اللَّهُ أحَدٌ‏}‏ و‏{‏قُلْ أعُوذُ بِرَبّ الفَلَقِ‏}‏ و‏{‏قُلْ أعُوذُ بِرَبّ الناس‏}‏ ثُم مسح بهما ما استطاع من جسده، يبدأ بهما على رأسه ووجهه وما أقبل من جسده، يفعل ذلك ثلاث مرّات

“Sesungguhnya Nabi SAW apabila berada di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda himpunkan kedua tapak tangannya kemudian meniupnya dan membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas, kemudian baginda sapukan ke seluruh badannya ke mana yang ia mampu, bermula daripada kepala dan wajahnya serta bahagian hadapan badannya.

Perbuatan itu dilakukan sebanyak 3 kali”. (HR Bukhari & Muslim)

Daripada Abu Mas’ud al-Ansori al-Badriy, Uqbah bin Amr RA katanya, Rasulullah SAW bersabda :

‏”‏الآيَتانِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ مَنْ قَرأ بِهِما في لَيْلَةٍ كَفَتاهُ‏”‏‏.‏

“Dua ayat terakhir surah al-Baqarah, sesiapa yang membacanya pada malam itu, cukuplah baginya”. (HR Bukhari & Muslim)

Para ulama’ berselisih pada memaknakan ‘cukuplah’. Ada yang berkata maksudnya ialah cukuplah baginya pemeliharaan Allah pada malam itu. Ada pula yang berpendapat baginya sebagai ganti tuntutan solat sunat pada malam harinya.

Aku (Imam Nawawi) pula berpendapat harus memaknakannya dengan kedua-dua pendapat itu.

Daripada al-Barra bin ‘Azib RA katanya, Rasulullah SAW bersabda :

“‏إذَا أتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأَ وُضُوءَكَ لِلصَّلاةِ، ثُمَّ اضْطَجِعْ على شِقِكَ الأيْمَنِ وَقُلِ‏:‏ اللَّهُمَّ أسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أمْرِي إِلَيْكَ، وَألجأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةَ وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لا ملجأ وَلا مَنْجَى مِنْكَ إِلاَّ إِليْكَ، آمَنْتُ بِكِتابِكَ الَّذي أنْزَلْتَ، وَنَبِيِّكَ الَّذي أَرْسَلْتَ‏.‏ فإنْ مِتَّ مِتَّ على الفِطْرَةِ، واجْعَلْهُنَّ آخِرَ ما تَقُولُ‏”

“Apabila engkau mendatangi tempat tidurmu, hendaklah berwudhu seperti wudhu hendak solat, kemudian berbaringlah di atas lambung kananmu dan bacalah :

“Ya Allah, aku serahkan diriku kepadaMu, aku serahkan urusanku kepadaMu, aku sandarkan kepadaMu dengan penuh harap dan cemas, tiada tempat bersandar dan berlindung daripada murkaMu melainkan kepadaMu. Aku beriman kepada kitabMu yang Engkau turunkan dan NabiMu yang Engkau utuskan”.

“Jika engkau mati, engkau mati dalam keadaan fitrah (Islam). Jadikanlah doa ini zikir terakhirmu sebelum tidur”. (HR Bukhari & Muslim)

Ini salah satu lafaz dalam riwayat Bukhari dan terdapat lafaz lain dan dalam riwayat Muslim yang berlebih kurang sahaja bentuknya.

Daripada Abu Hurairah RA katanya :

وكَّلني رسولُ اللّه صلى اللّه عليه وسلم بحفظ زكاة رمضان، فأتاني آتٍ فجعل يحثو من الطعام‏.‏‏.‏ وذكر الحديث، وقال في آخره‏:‏ إذا أويتَ إلى فراشِكَ فاقرأ آيةَ الكرسي، فإنه لن يزالَ معكَ من اللّه تعالى حافظ، ولا يقربَك شيطانٌ حتى تُصْبِحَ‏.‏ فقال النبيّ صلى اللّه عليه وسلم‏:‏‏”‏صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، ذَاكَ شَيطانٌ‏”

“Rasulullah SAW mewakilkan kepadaku menjaga zakat Ramadhan. Datang kepadaku seseorang mengambil makanan. Ia sebutkan hadith ini dan kemudian dia berkata :

“Apabila engkau berada di tempat tidurmu, bacalah ayatul kursi, kamu sentiasa dilindungi Allah dan syaitan tidak dapat mendekatimu sehingga subuh.

Rasulullah SAW bersabda : Orang itu berkata benar kepadamu, padahal ia sebenarnya pembohong. Itulah syaitan! (HR Bukhari).

Daripada Hafsah Ummul Mu’minin RA :

أن رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم كان إذا أرادَ أن يرقدَ وضعَ يدَه اليمنى تحتَ خدّه ثم يقول‏:‏ اللَّهُمَّ قِني عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ عِبادَكَ‏.‏ ثَلاثَ مَرَّاتٍ‏”

“Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila hendak tidur, baginda letakkan tangan kanannya di bawah pipinya. Kemudian baginda berdoa :

“Ya Allah, peliharalah aku daripada azabMu pada hari hamba-hambaMu dibangkitkan”. Sebanyak 3 kali”. (HR Abu Daud).

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW, sesungguhnya apabila hendak ke tempat tidurnya, baginda membaca :

“‏اللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَوَاتِ وَرَبَّ الأرْضِ وَرَبََّ العَرْشِ العَظِيمِ، رَبَّنا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فالِقَ الحَبّ وَالنَّوَى، مُنَزِّل التَّوْرَاةِ وَالإِنجِيلِ وَالقُرآنِ، أعُوذُ بِكَ مِنْ شَرّ كُلّ ذِي شَرٍّ أنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ؛ أنْتَ الأوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وأنْتَ الآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وأنْتَ الباطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ، اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ، وأغْنِنا مِنَ الفَقْرِ‏”‏ وفي رواية أبي داود ‏”‏اقْضِ عَنِّي الدَّيْنَ، وأغْنِني مِنَ الفَقرِ‏”‏‏.

“Ya Allah, Tuhan pencipta langit, bumi dan arasyh yang agung, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, Tuhan yang menumbuhkan segala tumbuhan dan biji-bijian, yang menurunkan taurat, injil dan al-Quran.

Aku berlindung daripada segala kejahatan orang yang jahat. Engkaulah juga yang memegang ubun-ubunnya. Engkaulah yang Maha Awal, tiada sesuatu mendahuluiMu. Engkaulah yang Maha Akhir, tiada sesuatu kekal selepasMu.

Engkaulah yang Maha Zahir, tiada sesuatu yang nampak di atasMu. Engkaulah yang Maha Batin, maka tiada sesuatu yang nampak lebih lembut dan halus daripadaMu.

Tunaikanlah hutang kami, kayakanlah kami daripada (mengharap bantuan orang kerana) kefakiran”. (HR Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’ie dan Ibn Majah).

Daripada Ali RA, daripada Rasulullah SAW. Baginda membaca ketika di tempat tidurnya :

‏اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِوَجْهِكَ الكَرِيمِ، وَكَلِماتِكَ التَّامَّة، مِنْ شَرّ ما أنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ، اللَّهُمَّ أنْتَ تَكْشِفُ المَغْرَمَ والمأثمَ، اللَّهُمَّ لا يُهْزَمُ جُنْدُكَ، وَلا يُخْلَفُ وَعْدُكَ، وَلا يَنْفَعُ ذَا الجَدّ مِنْكَ الجَدُّ، سُبْحانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ‏”‏‏.

“Ya Allah, aku berlindung dengan wajahMu yang Maha Mulia dan dengan kalimahMu yang sempurna, daripada segala kejahatan yang Engkau tarik ubun-ubunnya. Ya Allah, Engkaulah yang melepaskan hutang dan dosa.

Ya Allah, tenteraMu tidak akan dikalahkan, janjiMu tidak akan dimungkiri, dan tiada memberi manfaat kemuliaan orang yang mulia kepadanya selain daripadaMu. Maha Suci Engkau ya Allah, dan segala puji untukMu”. (HR Abu Daud dan an-Nasai’e)

Daripada Anas RA, sesungguhnya Rasulullah SAW apabila hendak tidur berdoa :

‏”‏الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي أطْعَمَنا وَسَقَانا، وكَفانا وآوَانا، فَكَمْ مِمَّنْ لا كافِيَ لَهُ وَلا مُؤْوِيَ‏”‏

“Segala puji milik Allah yang memberi kami makan dan minum, mencukupkan keperluan dan memberi tempat kepada kami. Berapa ramai orang yang tidak pernah kecukupan dan tiada perlindungan”. (HR at-Tirmizi)

Daripada Abu al-Azhariy, dan dikatakan juga Abu Zuhair al-Anmari RA, sesungguhnya apabila berada di tempat tidurnya pada malam hari berdoa :

‏”‏باسْمِ اللَّهِ وَضَعْتُ جَنْبِي، اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبِي، وأخْسِىءْ شَيْطانِي، وَفُكَّ رِهانِي، وَاجْعَلْنِي فِي النَّدِيّ الأعْلَى‏”

“Dengan nama Allah, aku letakkan lambungku. Ya Allah ampuni dosaku, hinakanlah syaitan yang menggangguku, lepaskan gadaianku, dan jadikanlah aku di antara penghuni tempat tertinggi”. (HR Sunan Abu Daud)

(An-Nadiyyul a’la ialah kelompok malaikat).

Daripada Naufal al-Asyja’ie RA katanya, Rasulullah SAW berpesan kepadaku :

‏”‏اقْرأ‏:‏ قُلْ يا أيُّها الكافِرُونَ، ثُمَّ نَمْ على خاتِمَتِها فإنَّها بَرَاءَةٌ مِنَ الشِّرْكِ‏”‏‏.‏

“Bacalah surah al-kafirun, kemudian tidurlah setelah membacanya, sesungguhnya dengan membaca surah itu menjadi pelepasan daripada syirik”. (HR Sunan Abu Daud).

Daripada Ibnu Abbas RA, daripada Nabi SAW baginda bersabda :

‏”‏ألا أدُلُّكُمْ على كَلِمَةٍ تُنَجِّيكُمْ مِنَ الإِشْرَاكِ باللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، تَقْرَؤونَ‏:‏ قُلْ يا أيُّها الكافِرُونَ عِنْدَ مَنَامِكُمْ‏”‏

“Mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu ungkapan yang menyelamatkan kamu daripada syirik kepada Allah AWJ. Bacalah surah al-Kafirun ketika kamu hendak tidur”. (HR Musnad Abu Ya’la)

Daripada ‘Irbadh bin Sariah RA :

أن النبيّ صلى اللّه عليه وسلم كان يقرأ المسبِّحات قبل أن يرقد

“Sesungguhnya Nabi SAW bertasbih sebelum tidur”. (HR Abu Daud & at-Tirmizi)

Daripada Aisyah RA katanya :

كان النبيّ صلى اللّه عليه وسلم لا ينامُ حتى يقرأ بني إسرائيل والزمر‏.

“Nabi SAW tidak tidur sehinggalah baginda membaca surah Bani Israil dan az-Zumar”. (HR at-Tirmizi)

Daripada Ibnu Umar RA, sesungguhnya Rasulullah apabila berada di tempat tidurnya berdoa :

‏”‏ الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي كفاني وآوَانِي، وأطْعَمَنِي وَسَقَانِي، وَالَّذِي مَنَّ عَليَّ فأفْضَلَ، وَالَّذي أعطانِي فأجْزَل، الحَمْدُ لِلَّهِ على كُلّ حالٍ؛ اللَّهُمَّ رَبَّ كُلِّ شَيْءٍ وَمَلِيكَهُ، وَإِلهَ كُلِّ شَيْءٍ، أعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ‏”‏‏.

“Segala puji milik Allah yang telah mencukupkan keperluanku, memberiku makan dan minum. Dia yang memberi nikmat itu, alangkah baiknya, Dia yang memberi kurnia itu, alangkah besarnya. Segala puji milik Allah atas segala keadaan. Ya Allah Tuhan segala sesuatu, aku berlindung denganMu daripada api neraka”. (HR Sunan Abu Daud)

Daripada Abu Said al-Khudriy RA, daripada Nabi SAW baginda bersabda :

‏مَنْ قَالَ حِينَ يَأوِي إلى فِرَاشِهِ‏:‏ أسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذي لا إِلهَ إِلاَّ هُوَ الحَيَّ القَيُّومَ وأتُوب إِلَيْهِ، ثَلاثَ مَرَّاتٍ، غَفَرَ اللَّهُ تَعالى لَهُ ذُنُوبَهُ وَ إِنْ كانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ، وَ إِنْ كَانَتْ عَدَدَ النُّجُومِ، وَإِنْ كانَتْ عَدَدَ رَمْلِ عالجٍ، وَ إنْ كانَتْ عَدَدَ أيَّامِ الدُّنْيَا‏”‏

“Sesiapa berdoa sebanyak 3 kali ketika hendak tidur : [Aku meminta ampun kepada Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, dan aku bertaubat kepadaNya], Allah Taala mengampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan, walaupun sebanyak bintang di langit, walaupun sebanyak pasir, walaupun sebanyak bilangan hari dunia” (HR at-Tirmizi)

Daripada seorang lelaki suku Aslam daripada sahabat Nabi SAW berkata : Aku duduk dekat Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki daripada kalangan sahabatnya berkata :

يا رسول اللَّهِ‏!‏ لُدِغْتُ الليلةَ فلم أنم حتى أصبحتُ، قال‏:‏ ‏”‏مَاذَا‏؟‏‏”‏ قال‏:‏ عقربٌ، قال‏:‏ ‏”‏ أما إنَّكَ لَوْ قُلْتَ حِينَ أمْسَيْتَ‏:‏ أعُوذُ بكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرّ ما خَلَقَ لَمْ يَضُرَّكَ شَيْءٌ إنْ شاءَ اللَّهُ تَعالى‏”‏‏

“Wahai Rasulullah, semalam aku terkena sengatan, sampai subuh aku tidak dapat tidur”. Tanya Nabi SAW : “Disengat apa?” “Kala jengking”, jawabnya. Sabda Nabi SAW : “Kalaulah engkau berdoa pada waktu petang : [Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada segala kejahatan yang diciptakanNya], nescaya itu tidak memudharatkan engkau, dengan izin Allah Taala” (HR Abu Daud dan lain-lain)

Daripada Anas RA :

أن النبيّ صلى اللّه عليه وسلم أوصى رجلاً إذا أخذ مضجعه أن يقرأ سورة الحشر وقال‏:‏‏”‏ إنْ مِتَّ مِتَّ شَهِيداً‏”‏ أو قال‏:‏ ‏”‏مِنْ أهْلِ الجَنَّةِ‏”‏

“Sesungguhnya Nabi SAW pernah berpesan kepada seorang lelaki agar membaca surah al-Hasyr ketika hendak tidur. Kemudian baginda bersabda : “Jika engkau mati, kamu mati syahid” atau Nabi bersabda : “Kamu ahli syurga”. (HR Ibnus Sunni)

Daripada Ibnu Umar RA, dia memerintahkan seorang lelaki agar berdoa ketika hendak tidur :

‏”‏اللَّهُمَّ أنْتَ خَلَقْتَ نَفْسِي وأنْتَ تَتَوَفَّاها، لَكَ مَمَاتُها وَمَحْياها، إنْ أحْيَيْتَها فاحْفَظْها، وَإنْ أمَتَّها فاغْفِرْ لَهَا، اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ العافِيَةَ‏”‏ قال ابن عمر‏:‏ سمعته من رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم‏.

“Ya Allah, Engkaulah yang menjadikan diriku, Engkaulah yang mematikannya. Kerana Engkaulah hidup dan matinya. Jika Engkau menjadikan ia hidup, peliharalah; ia dan jika Engkau mematikannya, ampunilah dosanya. Ya Allah, aku memohon kepadaMu keafiatan”.

Ibnu Umar berkata : “Aku mendengarnya daripada Rasulullah SAW”. (HR Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA sebagaimana kami bentangkan dalam bab : Zikir ketika pagi dan petang berkenaan kisah Abu Bakar as-Siddiq RA :

‏”‏اللَّهُمَّ فاطِرَ السَّمَوَاتِ والأرْضِ عالِمَ الغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ رَبَّ كُلِّ شَيْءٍ وَمَلِيكَهُ، أشْهَدُ أنْ لا إِلهَ إِلاَّ أنْتَ أعُوذُ بِكَ مِنْ شَرّ نَفِسِي وَشَرّ الشَّيْطانِ وَشِرْكِهِ‏.‏ قُلْها إذَا أَصْبَحْتَ وَإذَا أَمْسَيْتَ وَإذَا اضْطَجَعْتَ‏”‏‏.‏

“Ya Allah, pencipta langit dan bumi, yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan zahir, Tuhan dan pemilik segala sesuatu, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, aku berlindung denganMu daripada kejahatan diriku dan kejahatan syaitan serta rakan-rakannya”.

“Bacalah ketika pagi dan petang serta ketika hendak tidur” (HR Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi)

Daripada Syidad bin Aus RA katanya, Rasulullah SAW bersabda :

‏”‏ما مِنْ مُسْلِمٍ يأوي إلى فِرَاشِهِ فَيَقْرأُ سُورَةً مِنْ كِتابِ اللَّهِ تَعالى حِينَ يأخُذُ مَضْجَعَهُ إِلاَّ وَكَّلَ اللَّهُ عَزَّوَجَلَ بِهِ مَلَكاً لا يَدَعُ شَيْئاً يَقْرَبُهُ يُؤْذِيهِ حتَّى يَهُبَّ مَتَى هَبَّ‏”

“Mana-mana orang Islam yang hendak tidur lalu dibacanya satu surah daripada al-Quran ketika mulai berbaring, Allah AWJ akan menugaskan malaikat untuk menjaganya, malaikat itu tidak akan membiarkan sesuatu pun mendekati dan mengganggunya, sehinggalah orang itu terbangun bila-bila sahaja ia terbangun” (HR at-Tirmizi dan Ibnus Sunni)

Daripada Jabir Ra, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda :

“‏إنَّ الرَّجُلَ إذَا أوَى إلى فِرَاشِهِ ابْتَدَرَهُ مَلَكٌ وَشَيْطانٌ، فَقَالَ المَلَكُ‏:‏ اللَّهُمَّ اخْتِمْ بِخَيْرٍ، فَقالَ الشَّيْطانُ‏:‏ اخْتِمْ بِشَرّ، فإنْ ذَكَرَ اللَّهَ تَعالى ثُمَّ نامَ باتَ المَلَكُ يَكْلَؤهُ‏”‏‏.‏

“Sesungguhnya apabila seseorang hendak tidur, bersainglah malaikat dan syaitan. Malaikat berdoa : Ya Allah, akhirilah orang ini dengan kebaikan. Sedangkan syaitan berkata : Akhiri orang ini dengan kejahatan. Jika orang itu mengingati Allah lalu ia tidur, bermalamlah malaikat menjaganya”. (HR Ibnus Sunni)

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA, daripada Rasulullah SAW bahawa apabila baginda hendak tidur berdoa :

‏”‏اللَّهُمَّ‏!‏ باسْمِكَ رَبي وَضَعْتُ جَنْبِي فاغْفِرْ لي ذَنْبِي‏”‏‏.

“Ya Allah, dengan namaMu Tuhanku, aku letakkan pinggangku. Ampunilah dosaku” (HR Ibnus Sunni)

Daripada Abu Umamah RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

‏”‏مَنْ أوَى إلى فِرَاشِهِ طاهِراً، وَذَكَرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَتَّى يُدْرِكَهُ النُّعاسُ لَمْ يَتَقَلَّبْ ساعَةً مِنَ اللَّيْلِ يَسألُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيها خَيْراً مِنْ خَيْر الدُّنْيا والآخرَةِ إِلاَّ أعْطاهُ إيَّاهُ‏”‏

“Sesiapa yang berada di tempat tidurnya dalam keadaan suci, mengingat Allah AWJ sehingga ia mengantuk dan tertidur, tidaklah berubah sesaat pun malam itu, lalu ada orang bermohon kebaikan dunia dan akhirat kepada Allah AWJ, melainkan kebaikan itu diberikan kepadanya” (HR Ibnus Sunni).

Daripada Aisyah RA katanya, Rasulullah SAW apabila hendak tidur berdoa :

“‏اللَّهُمَّ أمْتِعْنِي بِسَمْعِي وَبَصَرِي، وَاجْعَلْهُما الوَارِثَ مِنِّي، وَانْصُرْنِي على عَدُوِّي وَأرِنِي ثَأْرِي، اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَمِنَ الجُوعِ فإنَّهُ بِئْسَ الضَّجِيعُ‏”‏‏.‏

“Ya Allah, kuatkan pendengaran dan penglihatanku, jadikanlah kedua-duanya elok sehingga kematianku. Tolonglah aku mengatasi musuh-musuhku, perlihatkanlah aku muslihat-muslihat mereka. Ya Allah aku berlindung denganMu daripada hambatan hutang dan kelaparan. Kerana itulah sejahat-jahat kejatuhan”. (HR Ibnus Sunni)

Daripada Aisyah RA juga katanya :

ما كان رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم ـ منذ صحبته ـ ينامُ حتى فارقَ الدنيا حتى يتعوّذ من الجبن والكسل، والسآمة والبخل، وسوءِ الكِبَر، وسوء المنظر في الأهل والمال، وعذاب القبر، ومن الشيطان وشركه‏.

“Selama bergaul dengan Rasulullah SAW sehingga akhir hayatnya, baginda tidak terus tidur melainkan berdoa memohon perlindungan Allah daripada pesimis terhadap kenyataan hidup, malas, bosan, bakhil, sombong, berpandangan negatif terhadap keluarga dan harta benda, berlindung daripada azab kubur, syaitan dan segala sekutunya”. (HR Ibnus Sunni)

Daripada Aisyah RA juga, apabila hendak tidur dia berdoa :

اللَّهُمَّ إِنِّي أسألُكَ رُؤْيا صَالِحَةً، صَادِقَة غَيْرَ كاذِبَةً، نافِعَةً غَيْرَ ضَارَّةٍ‏.‏ وكانتْ إذا قالت هذا قد عرفوا أنها غير متكلمة بشيء حتى تصبحَ أو تستيقظَ من الليل‏.

“Ya Allah, aku bermohon kepadaMu mimpi yang baik lagi benar, bukannya mimpi dusta. Berilah mimpi yang memberi manfaat, bukannya memberi mudharat. Apabila dia sudah berdoa, para sahabat mengetahui bahawa dia tidak akan berbicara lagi sehingga subuh atau bangun pada waktu malam”. (HR Ibnus Sunni)

Daripada Ali RA katanya :

ما كنتُ أرى أحداً يعقل ينام قبل أن يقرأ الآيات الثلاث الأواخر من سورة البقرة‏.

“Seseorang yang berakal tidaklah kulihat ia terus tidur melainkan didahului dengan membaca 3 ayat terakhir daripada surah al-Baqarah”. (HR Abu Daud)

Daripada Ali RA juga katanya :

ما أرى أحداً يعقلُ دخلَ في الإِسلام ينامُ حتى يقرأ آيةَ الكرسي‏.‏

“Seseorang yang berakal dengan memeluk Islam, tidaklah ia terus tidur melainkan didahului dengan bacaan Ayatul Kursi”. (HR Abu Daud)

Daripada Ibrahim an-Nakh’ie katanya :

“Para sahabat mengajar, apabila seseorang hendak tidur, bacalah membaca surah al-Falaq dan an-Nas. Dalam riwayat lain : Mereka suka membaca tiga surah – al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas sebanyak tiga kali setiap malam”.(Isnad sahih menurut Sahih Muslim).

Wallahu a’lam.

DOA SELEPAS TASYAHHUD AKHIR

IMG_7710

1) Doa selepas tasyahhud akhir itu disyariatkan tanpa khilaf.

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA :

أن النبي صلى اللّه عليه وسلم علّمهم التشهّد ثم قال في آخره‏:‏ ‏”‏ثُمَّ يُخَيّرُ منَ الدُّعَاءِ‏”‏ وفي رواية البخاري‏:‏ ‏”‏أعْجَبَهُ إلَيْهِ فَيَدْعُو‏”‏ وفي روايات لمسلم ‏”‏ثُمَّ ليَتَخَيَّرْ مِنَ المَسْأَلَةِ ما شاءَ‏”‏‏

“Sesungguhnya Nabi SAW mengajar mereka tasyahhud kemudian baginda bersabda pada akhirnya : “Kemudian hendaklah di kalangan kamu memilih beberapa doa”.

Dalam Riwayat al-Bukhari ditambah : “.. doa yang disenanginya, lalu ia berdoa”. Menurut beberapa riwayat daripada Muslim : “kemudian hendaklah ia memilih permohonan yang diingininya”.

2) Doa ini disunnatkan bukannya wajib, dan disunnatkan pula agar memanjangkannya, kecuali jika ia menjadi imam.

3) Hendaklah dia berdoa apa saja yang dikehendakinya sama ada urusan akhirat dan dunia.

4) Berdoalah dengan doa-doa yang ma’thur; dan boleh berdoa dengan doa-doa yang direka sendiri, tetapi berdoa dengan yang ma’thur lebih utama.

Telah thabit di dalam tajuk ini, doa-doa yang banyak antaranya :

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda :

‏”‏إذَا فَرَغَ أحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الأخِيرِ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أرْبَعٍ ‏:‏ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالمَماتِ، وَمِنْ شَرّ المَسِيحِ الدَّجَّالِ‏”‏ رواه مسلم من طرق كثيرة‏.

وفي رواية منها‏:‏ ‏”‏إِذَا تَشَهَّدَ أحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ، يَقُولُ‏:‏ اللَّهُمَّ إِني أعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيا والمَماتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَة المَسِيحِ الدَّجَّالِ‏

“Apabila kamu selesai membaca tasyahhud akhir, hendaklah kamu berdoa memohon perlindungan kepada Allah terhadap empat perkara : Berlindung daripada azab jahannam, daripada azab kubur, daripada ujian hidup dan mati; serta berlindung daripada kejahatan al-masih ad-dajjal”. (HR Muslim).

Dalam riwayat lain : “Apabila kamu selesai bertasyahhud, hendaklah memohon perlindungan dengan Allah daripada empat perkara, baginda membaca : Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab jahannam, dan daripada azab kubur, dan daripada fitnah hidup dan mati, dan daripada keburukan fitnah masih ad-dajjal”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Aisyah RA : Sesungguhnya Nabi SAW berdoa di dalam solat :

‏”‏اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسيحِ الدَّجَّال، وأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيا والمَماتِ، اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ من المأثمِ والمَغْرَمِ‏”‏‏

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada fitnah masih ad-dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada hambatan dosa dan hutang”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Ali RA, katanya : Rasulullah SAW, apabila bersolat, bacaan terakhirnya antara tasyahhud dan salam :

‏”‏اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ما قَدَّمْتُ وَمَا أخَّرْتُ، وَمَا أسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أسْرَفْتُ وَمَا أنْتَ أعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أنْتَ المُقَدِّمُ وأنْتَ المُؤَخِّرُ لا إِلهَ إِلاَّ أنْتَ‏”‏‏

“Ya Allah, ampunilah dosaku apa yang terdahulu dan yang terkemudian, apa yang tersembunyi dan apa yang terzahir, apa yang terlampau dan apa-apa yang Engkau lebih mengetahui daripadaku. Engkaulah yang Maha Terdahulu dan Engkaulah yang Maha Akhir, tiada Tuhan kecuali Engkau”. (HR Muslim).

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash, daripada Abu Bakar as-Siddiq RA : Abu Bakar berkata kepada Rasulullah SAW : “Ajarlah kepadaku satu doa, yang aku akan berdoa di dalam solatku”. Baginda menjawab :

‏”‏قُلِ اللَّهُمَّ إني ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْماً كَثِيراً وَ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحمْنِي إنَّك أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيم‏”‏

“Bacalah : Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak; oleh itu tidak ada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau. Ampunilah aku dengan keampunan dariMu, rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (HR al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Soleh Zakwan, daripada sebahagian sahabat-sahabat Nabi SAW, kata mereka : Nabi SAW bersabda kepada seorang lelaki :

‏”‏كَيْفَ تَقُولُ فِي الصَّلاةِ‏؟‏‏”‏ قال‏:‏ أتشهَّد وأقول‏:‏ اللَّهُمَّ إني أسألُكَ الجَنَّةَ، وأعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ، أما إني لا أحسنُ دَنْدَنَتَكَ وَلا دَنْدَنَةَ معاذ، فقال النبيّ صلى اللّه عليه وسلم‏:‏ ‏”‏حَوْلَهَا دَنْدِنْ‏”‏‏.‏

“Apa yang kamu baca di dalam solat?” Lelaki itu menjawab : “Aku bertasyahhud dan berdoa : Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu syurga, dan aku berlindung denganMu daripada api neraka”.

Lelaki itu melanjutkan lagi : “Aku ini tidaklah pandai panjang-panjang berdoa sebagaimana engkau dan Muaz”. Nabi SAW menjawab : “Sebenarnya doa sekitar syurga itu pun panjang”. (HR Abu Daud).

Antara doa yang sunnat dibaca pada setiap tempat ialah :

اللَّهمّ إني أسألُك العفوَ والعافية، اللَّهمّ إني أسألُك الهدى والتقى والعفافَ والغنى.

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kemaafan dan keselamatan. Ya Allah sesungguhnya aku bermohon kepadaMu petunjuk, taqwa, menahan diri dan kekayaan”.

Wallahu a’lam.

Kitab al-Azkar Imam an-Nawawi; Kuliah Maghrib Masjid Kg Lok Kawi Baru, Putatan

MENGHENTIKAN KESEDIHAN

Daripada Abu Darda RA, daripada Nabi SAW bersabda :

‏مَنْ قالَ فِي كُلّ يَوْمٍ حِينَ يُصْبحُ وَحِينَ يُمْسِي‏:‏ حَسْبِيَ اللَّهُ لا إِلهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ العَرْشِ العَظِيمِ سَبْعَ مَرَّاتٍ كَفَاهُ اللَّهُ تَعالى ما أهمَّهُ مِنْ أمْرِ الدُّنْيا والآخِرَةِ‏”‏‏

“Siapa yang berdoa pada setiap hari, ketika pagi dan petang : [Cukuplah Allah bagiku. Tiada Tuhan kecuali Dia. kepadaNya aku berserah, dan Dia Tuhan Pencipta Arasyh yang agung] .

Sesiapa yang membacanya 7 kali, Allah Taala menghentikan untuknya apa yang menjadi kesedihannya sama ada urusan dunia dan akhirat”. (HR Ibnus Sunni)

Kuliah Maghrib Kitab al-Azkar Imam an-Nawawi

Masjid Nurul Ihsan, Kg Lok Kawi Baru.

PENGHULU ISTIGHFAR

Daripada Syaddad bin Aus RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda :

Penghulu istighfar ialah :

‏”‏ اللَّهُمَّ أنْتَ رَبِّي لا إِلهَ إِلاَّ أنْتَ خَلَقْتَنِي وأنا عَبْدُكَ، وأنا على عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ ما اسْتَطَعْتُ، أبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأبُوءُ بِذَنبي، فاغْفِرْ لي فإنَّه لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، أعُوذُ بِكَ مِنْ شَرّ ما صَنَعْتُ‏.”‏

“Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau, yang menciptakan aku. Akulah hambaMu, aku berpegang dengan janjiMu sekuat tenagaku. Aku mengakui kerana Engkaulah aku beroleh nikmatMu, dan aku juga mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah dosaku. Tiadalah yang mengampunkan dosa kecuali Engkau. Aku berlindung denganMu daripada menghadapi akibat kejahatan yang aku lakukan”.

Apabila istighfar ini dibaca pada waktu petang, lalu ia meninggal dunia, ia masuk syurga. Apabila ia membacanya pada waktu pagi, lalu ia meninggal dunia pada hari itu, begitulah juga keadaannya”. ( HR Bukhari)

Rujukan : Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah & Kitab al-Azkar.

Sedutan kuliah maghrib di Masjid as-Sobirin, Kg Sipanggil Putatan. (Isnin malam selasa).

hadith 40Sukacita dimaklumkan saya mewar-warkan program ilmu berikut :

Program sehari, mengaji dan menadah kitab Hadith 40 susunan al-Imam an-Nawawi RH, di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, Kepayan pada sabtu, 20 Jun 2009 mulai 8.00 pagi sehingga petang.

Menuntut ilmu suatu yang disyariatkan. Sejak awal al-Quran diturunkan, perintah membaca dan mencari ilmu menjadi dasar yang penting dalam Islam, kerana Islam itu tertegak dengan ilmu pengetahuan.

Ilmu pengetahuan yang pertama ialah al-Quran, sedang yang kedua ialah hadith.

Daripada sekian ratusan ribu hadith, bermula daripada Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lainnya, ada suatu buku himpunan hadith yang sangat asas tetapi penting untuk dipelajarinya.

Hadith 40 yang terkenal itu memuatkan 42 buah hadith yang mendasari agama Islam seperti persoalan niat dan keikhlasan, Islam – Iman & Ihsan, dan sebagainya.

Ramai orang merasakan tidak penting mempelajari hadith, walaupun ia rajin mempelajari al-Quran. Sedangkan al-Hadith itu adalah sumber hukum dan rujukan kedua selepas al-Quran.

Sesetengah masjid dan surau di kampung-kampung, buku hadith 40 susunan Imam an-Nawawi ini sangat terkenal dan menjadi kuliah wajib, walaupun sesudah ia tamat, diulangi lagi sehingga hadham.

Saya melakukan seruan ini agar kita beramai-ramai hadir ke lokasi berkenaan pada masa tersebut. Jika sudah memiliki buku berkenaan, bawa saja pada hari tersebut untuk kita bersama-sama menadah kitab daripada seorang ulama muda daripada Kedah, Ust Zainul Asri.

Jika bukunya belum ada, boleh dibeli di kedai-kedai buku seperti di Wisma MUIS dengan harga sekitar RM25 sahaja. Jika tidak pun, bawa duit secukupnya pada hari pengajian, bersama yuran RM10 untuk makanan, insya Allah bukunya akan dijual di sana.

Untuk menamakan kita termasuk seorang yang belajar dan mengaji, hendaknya kita mempunyai buku, tidak memadai sekadar mendengar.

Nabi SAW menyebut : “Jadilah orang yang mengajar, atau orang yang belajar, atau orang yang mendengar, atau orang cinta pada ilmu. Jangan jadi orang kelima, nanti kamu binasa”.

Hubungi urusetia Sdr Ahmad Tariq Abd Muttalib 012-4935689 untuk urusan selanjutnya.

Program lain bersama Ust Zainul ada dipaparkan di sisi kanan blog ini. Selamat mengaji!

 

IMAM AHMAD

Pulang daripada kuliah maghrib – membaca Kitab Riyadus Solihin, Imam Nawawi di Surau Taman Olivia, saya memasang cd di kereta. Cd yang mengumpul kuliah-kuliah pimpinan PAS. Kebetulan kuliah TG Hj Abd Hadi berkenaan aqidah.

Tuan Guru menceritakan kisah Imam Ahmad yang diuji ketika di dalam penjara, beliau dipujuk oleh ulama-ulama ‘fulus’, agar menarik balik fatwanya yang mengatakan al-Quran itu qadim bukannya makhluk seperti yang dikehendaki oleh pemerintah ketika itu yang berfahaman muktazilah.

Yang menjadi kekuatan saya malam itu, apabila mendengar ungkapan Imam Ahmad yang sangat masyhur :

“APABILA ORANG ALIM DIAM KERANA INGIN MELEPASKAN DIRI, SEDANG ORANG JAHIL TERUS JAHIL, BILAKAH KEBENARAN AKAN TERSERLAH?!”

Semoga Allah memberi kekuatan.

%d bloggers like this: