Tag Archive: ILHAM


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41020-pas-dan-pendidikan-tinggi-kolej-universiti

KESEDARAN dan keinginan untuk mengukuhkan lagi rantaian pendidikan dalam PAS telah mendorong untuk PAS bergerak bagi menubuhkan institusi pengajian tinggi. Berbanding dengan gerakan Islam lain di luar negara, PAS agak terlambat untuk memiliki institusi pengajian tinggi miliknya sendiri.

Ini berkemungkinan kerana tekanan politik yang dialaminya akibat bersaing dengan pihak kerajaan serta faktor kekangan kewangan parti tersebut.

ILHAM

Di antara usaha PAS melalui Lajnah Tarbiahnya untuk memberikan pendidikan tinggi dan pendidikan berterusan  kepada ahli-ahli ialah menubuhkan ILHAM, iaitu ditubuhkan pada tahun 1994. Kampus utama ILHAM ialah di Markas Tarbiah PAS Pusat Taman Melewar (kini dijadikan kampus KUIZM) dan ILHAM juga mempunyai cawangan-cawangannya di beberapa buah negeri.

Matlamat utama ILHAM ialah untuk menyediakan kepada masyarakat awam terutama ahli PAS sendiri program-program diploma dan pensijilan berkaitan dengan Tasawwur Islam.

ILHAM juga telah berjaya mengembangkan cawangannya ke seluruh negara dan menawarkan kursus kepada ahli masyarakat dan juga ahli PAS pelbagai tawaran kursus, di mana tenaga pengajarnya terdiri daripada ahli akademik kampus tempatan dan juga pimpinan PAS yang mempunyai latar akademik yang baik dan berpengalaman sebagai ahli akademik.

Manakala latar belakang pelajar-pelajar ILHAM pula terdiri daripada mereka yang tidak mendapat pendidikan formal dalam pengajian Islam terutama yang mengikuti Diploma Tasawur Islam.

ILHAM adalah cita-cita PAS untuk meningkatkan keupayaan masyarakat dan ahli PAS dalam memahami Islam dan cabarannya, juga hasrat PAS untuk mengulamakkan intelektual dan mengintelekkan ulama di dalam PAS.

Institut Teknologi Ibnu Sina (INTIS)

Penubuhan kolej universiti yang terletak di Seri Gombak ini adalah diinisiatifkan oleh sebuah badan koperasi yang ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Koperasi Siswazah Berhad (KOSIS).

KOSIS telah ditubuhkan pada tahun 1994 semasa Dewan Pemuda PAS dipimpin oleh Haji Abu Bakar Chik, bertujuan untuk menghimpun dan menyatukan siswazah penyokong  PAS, lulusan dalam dan luar negeri.

Koperasi ini mendapat sambutan yang hangat di awal penubuhannya dan mendapat publisiti yang baik daripada jaringan PAS. KOSIS telah meluaskan perniagaan termasuk telah berjaya menubuhkan sebuah kolej yang menawarkan pengajian di peringkat diploma.

KUDQI

Di antara kolej pengajian tinggi yang telah berjaya ditubuhkan oleh PAS oleh Kolej Darul Quran Islamiyyah Terengganu yang terletak di Kampung Kubang Lembek. Kolej ini telah diasaskan oleh Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat yang juga Exco Pendidikan Kerajaan Terengganu (1999-2004).

Kolej ini antara lain bertujuan meluaskan proses pendemokrasian ilmu terhadap anak-anak ahli PAS yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran ke luar negara dan untuk menampung keciciran alumni Maahad Darul Quran Rusila yang tidak berjaya ke Timur Tengah.

Kolej ini menawarkan pengajian diploma dan mengadakan kerjasama dengan beberapa universiti luar negara seperti IAIN, Indonesia.

Kolej Islam Darul Ulum (KIDU)

Kolej ini adalah cetusan Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS yang juga pernah menyandang jawatan Pesuruhjaya PAS negeri Kedah. Penubuhan kolej ini adalah bertujuan untuk melahirkan ulama amilin yang mampu memimpin masyarakat ke arah pengamalan Islam yang menyeluruh.

Datuk Fadzil Noor terinspirasi dengan Markas Pusat Jamaat-e-Islami, Pakistan yang terletak di Mansoorah, di mana terdiri daripada kompleks pendidikan yang lengkap, temasuk rumah tetamu dan rumah pimpinan utama Jamiat Islami.

Kolej ini adalah projek PAS Kedah untuk membina jaringan pendidikan kepada anak-anak ahli PAS sebagai penerus perjuangan. Perjuangan untuk membina kolej ini sangat dramatik kerana tercetusnya isu perampasan tanah ini pada tahun 1987 sehingga membawa kepada tangkapan ISA.

Kolej ini telah dibina dengan sumbangan derma orang ramai, ahli-ahli PAS yang ingin melihat sebuah pusat pengajian tinggi berjaya direalisasikan.

KUIZM

PAS juga menubuhkan KUIZM di Taman Melewar dengan hasrat melahirkan generasi berpendidikan yang akan terus menjadi kader perjuangan Islam. KUIZM digerakkan oleh Dewan Ulama PAS Pusat semasa di bawah kepimpinan almarhum Ustaz Datuk Harun Taib, seorang tokoh pendidikan PAS.

Pelbagai usaha dilakukan untuk membaikpulih bangunan yang asalnya merupakan markas tarbiah PAS Pusat yang sentiasa dihidupkan dengan majlis-majlis ilmu. Usaha harakatul ummah ini sangat tersusun dalam menggerakkan pendidikan, semenjak daripada pra sekolah sehinggalah keperingkat pengajian tinggi.

HARAKAHDAILY 1/5/2016

Sumber : http://m.harakah.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/35393-2-dekad-ilham-menabur-bakti-memperkasa-tarbiah-pas

DR RIDUAN MOHD NOOR | 13 Mei 2015.

Satu usaha yang paling serius dilakukan oleh Lajnah Tarbiah PAS Pusat dalam membina kefahaman ahli kepada perjuangan Islam ialah dengan menubuhkan Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyyah atau lebih dikenali sebagai ILHAM pada tahun 1994. Tenaga nuqaba’ PAS mestilah dicetak dengan bersistem dan melengkapi piawaian sebagai tenaga teras dalam jamaah.

Matlamat utama menubuhkan ILHAM ialah untuk menyediakan kepada masyarakat khususnya ahli-ahli PAS satu program berupa persiapan yang mantap dan sesuai dengan persiapan menghadapi cabaran perjuangan Islam di Malaysia.

Bagi mempersiapkan ILHAM sebagai institusi pengkaderan parti, ia telah dimantapkan dengan struktur organisasinya yang dianggotai oleh gabungan barisan PAS, para ulama dan golongan profesional.

PAS tidak pernah memencilkan profesional dan kelompok lain jika mereka mempunyai keupayaan dalam memberikan sumbangan yang berkesan dalam jemaah.

Semasa peringkat awal dilaksanakan, ILHAM yang berpusat di markas Tarbiah Taman Melewar menawarkan pengajian diploma Tasawwur Islam (DTI), Kursus Pengurusan dan Organisasi (ILPO) dan Kursus Kefahaman dan Visi (ILKV).

Hasil daripada kesungguhan Lajnah Tarbiah dan pimpinan PAS di era kepimpinan ulama, kini ILHAM telah mengembangkan cawangannya ke seluruh negara dan mampu menawarkan pelbagai kursus kepada ahli-ahli PAS seperti Diploma Tasawwur Islam, Kursus kefahaman dan misi, Kursus Pengurusan Dan Organisasi, Sijil Bahasa Arab dan kursus-kursus intensif yang diadakan dari semasa ke semasa. Penubuhan ILHAM dilihat sebagai satu keseriusan PAS untuk melahirkan para nuqaba’ yang akan membina jaring tarbiah di dalam PAS.

Sehingga Kini ILHAM telah berjaya mengeluarkan ribuan graduannya dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.

Tidak dinafikan perkembangan  ILHAM tidak serancak yang diimpikan oleh pimpinan PAS namum institusi ini hanya boleh mencapai tahap yang membanggakan jika mempunyai dukungan dua hala, pusat dan akar umbi parti.

Pimpinan PAS di era kepimpinan ulama sentiasa memastikan ‘al-fahmu’ adalah elemen yang penting dalam membina kesiapsiagaan PAS dalam berdepan dengan cabaran, menekankan soal membina kefahaman dan tarbiah untuk ahli-ahli sebagaimana yang disarankan oleh Ustaz Fadzil Noor dalam Ucapan Dasar Muktamar PAS kali ke-42:
“Di sini suka saya mengulangi seruan kepada semua pendukung PAS supaya mempertingkatkan program tarbiah kerana tarbiah adalah nadi kepada PAS sebagai jamaah Islam. Tarbiah yang dimaksudkan di sini bukan sekadar usrah dan tamrin serta pengisian ilmu, tetapi juga bersedia membentuk diri sebagai petugas Muslim yang mampu memperlihatkan wataknya sebagai ‘role model’ yang ceria kepada masyarakat.bukan sahaja dari segi syakhsiyyah, ilmu, disiplin, malah ketrampilan sebagai mujahid”.

Menurut Ustaz Fadzil Mohd Noor, penubuhan ILHAM adalah untuk memenuhi tuntutan ini dengan menginstitusikan ilmu untuk meningkatkan keupayaan dan kemantapan ahli kerana menjadi pendokong gerakan Islam bukan sahaja perlu memiliki semangat juang yang tinggi, tetapi juga kemantapan tarbiah dan ilmu yang meliputi semua bidang. Dengan itu program- program tarbiah hendaklah menjadi agenda pertama dalam jamaah.

Misi PAS juga ialah memperkasakan tahap kepimpinan, bagi Ustaz Fadzil Mohd Noor, PAS mestilah memainkan peranan yang serius dalam mengintelektualkan ulama dan mengulamakan intelektual.

ILHAM lebih dua dekad menabur bakti melahirkan kelompok nuqaba’ dalam PAS dengan sistem pembelajaran formal.

Bakti ini tak mampu dipadamkan daripada sejarah, walaupun jamaah mengalami pasang surut prestasi. Pada 9 Mei yang lalu lebih 300 orang lebih pelajar ILHAM menerima diploma mereka dalam majlis konvokesyen di KUIZM Taman Melewar.

PAS yang telah menjangkau lebih enam dekad umurnya, semakin tersusun membina kader-kader yang kompeten dan akan merancakkan program amal tarbawi di persada perjuangan. – HARAKAHDAILY 13/5/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat.

%d bloggers like this: