Tag Archive: Idris Ahmad


Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31521-teguran-berkesan-cakap-serupa-dengan-amal

USTAZ IDRIS AHMAD | 16 Oktober 2014.

i.

Patutlah Imam Hasan Al-Banna meletakkan rukun bai’ah pertama ialah Faham. Dia tidak meletakkan ikhlas yang pertama. Ertinya betapa penting kita faham terlebih dahulu apa yang kita hendak buat. Hendak tanda tangan satu borang pun kena faham dahulu apa yang kita tanda tangan.

Begitu juga, jika kita dalam perjuangan mesti faham dahulu apakah dasar, matlamat perjuangan PAS. Ini yang paling penting. Kita akan kecewa kalau kita menyertai PAS kerana orang atau individu tertentu. Kerana di dalam PAS bermacam ragam manusia.

Maryam Jameelah bekas penganut Yahudi pernah mengungkap kata-kata, “Aku bersyukur kepada Allah kerana aku memahami Islam terlebih dahulu daripada aku melihat orang Islam”.

ii

Saya cuba mendidik diri saya, kalau hendak kritik sahabat di dalam jamaah, maka saya cuba cermin diri saya dahulu. Adakah saya lebih baik daripada dia? Adakah saya lebih ikhlas daripada dia? Adakah saya lebih berakhlak daripada dia? Adakah saya lebih banyak menyumbangkan tenaga, harta dan masa untuk jamaah daripada dia?

Kalau saya OK, barulah saya boleh kata dekat dia. Saya bimbang nanti orang akan pulang paku buah keras kepada saya. Teguran berkesan jika kita bercakap serupa dengan amal.

Jadikan media baru sebagai penghubung ukhwah, bukan ‘adawah (permusuhan) sesama rakan seperjuangan.

Caranya:

Jangan fitnah sesama sendiri. Isu-isu parti kita serah kepada pimpinan, kerana mereka berada di medan. Jangan pula bila pimpinan buat keputusan yang tidak secucuk dengan kita, maka kita balun sampai tak bernafas.

Janganlah guna bahasa yang menghina rakan, walaupun isi betul, bahasanya menyakit hati. Berlapang dada atas teguran. Jangan ego dengan pandangan sendiri, kita hidup berjamaah. Jangan tegak benang yang basah.

Sahabat yang kita hina, dia juga ada pengikut, kerana Ayah Pin yang tidak betul pun ada pengikut. Janganlah pula bila orang cerca sahabat yang kita suka, maka dibela. Tetapi membiarkan orang memfitnah orang yang dia tidak suka.

WhatsApp, massegelah secara personal daripada kita guna medium umum supaya orang lain tidak tahu. Kalau perlu tidak menjawab pun tak apa di dalam FB @ WhatsApp isu-isu yang mengundang perbalahan. Kerana kadang-kadang, lain yang kita maksud, lain yang dia faham.

Jangan kita dedahkan proses perbincangan, kerana di sana ada pro & kontra, ini yang selalu berlaku perbalahan kerana perbincangan belum masak. Disiplinkan diri, biar pecah perut jangan pecah gajet. Fikir dulu sebelum menulis di media baru. Kita mesti fikir fitnah bertulis kekal, berbanding dengan fitnah lidah.

Pegang falsafah apa yang berlaku dalam jamaah dan rakan tahaluf bukan boleh diselesai melalui media, tetapi dengan perbincangan tertutup. Ingat! Dalam media baru ada yang bertindak sebagai batu api, sehingga di dalam air pun boleh menyala.

Peringatan Dhuha untuk diri saya. Ustaz Idris Ahmad. 12/8/14.

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/29654-badar-kubra-ibrah-untuk-perjuangan

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Muqaddimah

Peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua  hijrah. Orang Islam pada mulanya hanyalah mahu menghalang pedagang Quraisy dan merampas barang dagangan mereka. Hal ini kerana kaum Quraisy telah menahan harta kaum muhajirin yang tinggal di Madinah. Sebagai balasan, kaum muslimin harus merebut harta dagangan Quraisy sebagai rampasan perang.

Rombongan ini diketuai oleh Abu Sufian dari Syam ke Makkah. Beliau telah menghantar Zamzam bin Ammar al-Ghifari pulang ke Makkah untuk memohon bantuan. Maka Amru bin Hisham (Abu Jahal) telah mengetuai pasukannya seramai 1000 orang. Badar terletak 130 kilometer di barat daya Madinah.

Sebagai anggota jamaah Islam, perlu kita mengambil pengajaran dan pengiktibaran untuk kita sama-sama menghayati ruh Badar di dalam gerakan kita.

Perjuangan akan diuji

Menjadi lumrah apabila Islam berkembang ia akan mendapat tentangan, ini adalah sunnah perjuangan Islam yang dilalui oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita. Ketika Islam lemah mereka buat tidak kisah dengan Islam, tetapi apabila ia semakin kuat maka mereka akan ganggu. Maka inilah yang berlaku kepada Rasulullah SAW di dalam peperangan Badar.

Orang Islam  hanya untuk sekat kafilah perniagaan yang membawa barang dagangan sahaja, bukan hendak berperang. Tetapi apabila mereka mahu berperang, maka Nabi SAW dan para sahabat tidak akan mudah mengalah begitu sahaja demi maruah Islam.

Mereka mahu bunuh benih perjuangan dan daulah Islamiah sejak mula lagi. Walau pun negara Madinah baru berusia dua tahun. Namun sudah dianggap bahaya kepada kuasa jahiliah. Keadaan yang berlaku di Palestin yang tidak berkesudahan.

Segenap penjuru mereka dibedil tanpa belas ehsan. Dunia Islam yang kaya dengan hasil mahsul, terutama negara Arab diam membisu kerana hati mereka sudah mati kerana termakan ubat pelali yang disuap oleh Amerika dan kuasa besar dunia.

Orang Jahat Sentiasa Bersalah

Orang kafir Quraisy yang jahat kepada baginda sejak di Makkah sudah takut dengan bayang-bayang. Mereka memikirkan apabila barang dagangan mereka disekat mereka ingat nabi SAW hendak berperang. Ini lumrah biasa bagi orang yang jahat, mereka fikir orang jahat seperti mereka juga.

Sikap ini berterusan sehingga hari kiamat kepada mereka yang mempunyai budi pekerti yang jahat. Mereka sentiasa diburu dengan ketakutan dan kesalahan sehingga mereka bertindak untuk melakukan kejahatan kepada orang lain.

Pertahan Islam, bukan ageda peribadi

Ketika menghadapi saat genting, baginda bermunajat dengan Allah SWT demi survival Islam, bukan keselamatan baginda dan keluarganya.

اللَّهُمَّ أَنْجِزْنِيْ مَا وَعَدْتَنِيْ . اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِيْ . اللّهُمَّ إِنْ تَهْلِك هَذِهِ الْعِصَابَة لاَ تُعْبَد في الأرض

Ya Allah Ya Tuhanku , tunaikanlah apa yang telah engkau janjikan kepada ku. Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah apa yang telah engkau janjikan kepada ku. Ya Allah Ya Tuhanku, Jika binasa kumpulan ini, nescaya tiada siapa lagi yang menyembahMu di dunia ini.

Inilah sikap seorang pejuang agama Allah, yang difikirkan ialah mengenai masa depan Islam, bukan keselamatan keluarganya, pangkatnya, projeknya. Hidup dan matinya hanya untuk Islam. Baginda takut tidak ada lagi orang yang hendak menyembah Allah, jika 313 orang ini dikalahkan oleh tentera Quraisy.

Kita sebagai anggota jemaah mesti merasa bimbang tentang masa depan Islam, bukan hanya untuk kepentingan diri kita sahaja. Jika sikap kita hanya untuk memikirkan kepentingan diri sendiri, maka tunggulah saat kehancurannya.

Lazimkan Bermesyuarat

Walau pun baginda seorang Rasul yang diberi wahyu oleh Allah, namun Baginda  diajar supaya di dalam satu keputusan besar mesti diputuskan secara bersama. Baginda melakukan demikian untuk mentarbiah umatnya, jangan abaikan mesyuarat.

Sepandai mana sekalipun kita, urusan mesyuarat jangan diabaikan. Insya-Allah di sana ada keberkatan. Secerdik mana sekalipun tidak boleh sama dengan keputusan yang dibuat secara beramai-ramai. Bagusnya mesyuarat, sekiranya salah semuanya bertanggungjawab. Berbeza dengan keputusan yang dibuat secara sendirian.

Di dalam jemaah, ada pandangan peribadi yang tidak boleh dijadikan keputusan, terutama yang membabitkan perkara yang besar. Jemaah bukan hak individu, tetapi hak semua ahli. Perlu diputuskan di dalam mesyuarat dan diambil keputusan secara bersama.

Amat malang kepada kita yang malas hadir mesyuarat, tetapi bercakap melebihi daripada orang yang hadir mesyuarat. Atau pun hadir mesyuarat tapi tidak patuh dengan keputusan mesyuarat. Orang ini semuanya ada masalah hati yang perlu dirawat, jika tidak membawa kebinasaan pada diri dan juga jamaah.

Taat

Di dalam organisasi atau jemaah tidak akan maju jika ada ahli yang keras kepala, ikut kepala sendiri. Merasakan beliau lebih pandai daripada pimpinan jemaah. Dia perasan, pandangan beliau paling terbaik. Walaupun ia hanya pandang dari satu sisi sahaja. Sedangkan jemaah mengambil kira dari semua sudut. Ia hanya pandang dengan keluasan tablet atau gajetnya sahaja, tidak lebih daripada itu.

Sikap sahabat daripada kalangan Ansar dan Muhajirin adalah contoh yang terbaik perlu diikut, terutama saat getir yang memerlukan keputusan yang padu daripada semua pihak. Kenyataan al-Miqdad bin al-Aswad dari pihak Muhajirin mendokong keputusan baginda Rasulullah SAW :

يَا رَسُولَ اللهِ اِمْضِ لِماَ أَرَاكَ اللهُ فَنَحْنُ مَعَكَ , وَ اللهِ لاَ نَقُوْلُ لَكَ كَماَ قَالَتْ بَنُوْا إِسْرَائِيْلَ لِمُوْسَى : اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِناَّ ههُناَ قَاعِدُوْنَ , وَلكِنِ اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِنَّا مَعَكُمَا مُقَاتِلُوْنَ , فَوَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوْ سِرْتَ بِنَا إِلى بَرْكِ الْغِمَادِ لَجَالَدْنَا مَعَك، مِنْ دُوْنِهِ حَتَّى تَبْلُغَهُ .

“Wahai Rasulullah, teruskan apa yang telah ditunjukkan kepada mu oleh Allah nescaya kami bersama, demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana berkata Bani Israel kepada Nabi Musa, pergilah kamu bersama tuhanmu, berperanglah kamu berdua, kami mahu tinggal di sini sahaja. Tetapi kami akan berkata: Pergilah kamu bersama tuhanmu, kami pasti akan berperang bersama kamu berdua, maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran. Kalau engkau berjalan dengan kami ke Birk al-Ghimad (satu tempat yang jauh di Yaman) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai walau apa pun yang terjadi.”

Lalu Saad bin Muadz yang mewakili golongan Ansar tidak akan melepaskan peluang untuk memberi janji setia kepada baginda Nabi SAW menegaskan:

فَقَدْ آمَنَّا بِكَ فَصَدَّقْناَكَ وَ شَهِدْناَ أَنَّ مَا جِئْتُ بِهِ هُوَ الْحَقُّ وَ أَعْطَيْناَكَ عَلى ذلِكَ عُهُوْدَناَ وَ مَوَاثِيْقَناَ عَلى السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ , فَامْضِ ياَ رَسُوْلَ اللهِ لِمَا أَرَدْتَ فَوَالَّذِيْ بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوِاسْتَعْرَضْتَ بِنَا هذَا الْبَحْرَ فَخُضْتَهُ لَخُضْناَهُ مَعَكَ مَا تَخَلَّفَ مِنَّا رَجُلٌ وَاحِدٌ , وَ مَا نَكْرَهُ أَنْ تَلْقَى بِناَ عَدُوَّناَ غَدًا , إِناَّ لَصُبُرٌ فِي الْحَرْبِ صُدُقٌ فِي اللِّقاَءِ . وَ لَعَلَّ اللهَ يُرِيْكَ مِنَّا ماَ تَقَرُّبِهِ عَيْنُكَ فَسِرْ بِناَ عَلى بَرَكَةِ اللهِ

“Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu, percaya kepadamu, kami bersaksi bahawa apa yang kamu datangkan kepada kami itu adalah benar dan kami berikan atas dasar itu janji-janji dan ikatan kesetiaan. Kami sedia mendengar dan taat kepadamu. Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendaki.

Maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran, kalau sekiranya kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau mengharunginya nescaya kami akan mengharunginya bersamamu. Tiada seorang pun diantara kami yang akan berundur kebelakang dan tidaklah kami merasai benci apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersama kamu esok.

Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sabar di medan perang, benar mengotakan apa yang kami kata sekiranya bertempur dengan musuh dan mudah-mudahan Allah membuktikan kepadamu dari kami, apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan. Marilah kita teruskan perjalanan, mudah-mudahan Allah memberkati kita.”

Pertembungan Dasar Bukan Peribadi

Peperangan Badar juga disebut sebagai Yaumul Furqan (hari pembeza hak dan batil). Di dalam perjuangan ini kadang-kadang kita terpaksa berhadapan dengan orang yang paling kita rapat, iaitu ibu bapa, saudara mara terdekat sebagaimana di dalam peperangan Badar. Perjuangan kita bukan kerana individu tertentu, tetapi ialah kerana Islam.

Jika berjuang kerana individu maka tidak layak untuk bersama dengan perjuangan Islam. Kebiasaannya orang ini tidak lama di dalam perjuangan kerana nafas tidak panjang. Mereka ini akan membawa masalah di dalam jemaah, bekerja kerana individu bukan kerana Islam.

Oleh sebab itu, di dalam PAS kita dididik supaya faham matlamat perjuangan. Individu boleh datang dan boleh pergi. Paling malang  jika kita bersikap demikian, rugi di dunia dan di akhirat. Di dunia sudah pasti tidak mendapat apa-apa projek, manakala di akhirat pula semuanya sia-sia belaka di sisi Allah. Nauzubillah.

Perancangan Rapi

Baginda SAW adalah seorang yang pakar strategi peperangan. Ketika meyusun atur di dalam peperangan tersebut baginda mengambil kira dari segi kekuatan dan kelemahan pihak Islam dan Kuffar. Untuk mengetahui berapa bilangan musuh, baginda memperoleh maklumat daripada dua orang budak lelaki yang telah mendedahkan tentang tempat persinggahan orang Quraisy.

Apabila Rasulullah bertanya berapa ekor binatang yang disembelih untuk makanan mereka setiap hari, kanak-kanak itu menjawab 9 atau 10 ekor. Dengan kebijaksanaan Rasulullah, Baginda dapat menganggarkan jumlah tentera musuh seramai 900 hingga 1000 orang.

Baginda menerima pandangan al-Hubab bin Mundhir r.a. supaya tentera Islam berkubu dekat dengan sumber air, kemudian membuat kolam persediaan air untuk mereka dan menghancurkan sumber air yang lain sehingga dapat menghalang orang kafir Quraisy daripada mendapatkan air.

Kemudian Sa’ad bin Muadh mengusulkan untuk membangun benteng untuk Rasulullah SAW buat perlindungan dan sebagai markas bagi pasukan Muslimin. Rasulullah SAW dan Abu Bakar r.a. tinggal di dalam benteng sementara Sa’ad bin Muadh dan sekumpulan lelaki menjaganya.

Baginda mendidik kita supaya berlawan dengan penuh strategi, walaupun kita berjuang di pihak kebenaran. Islam melarang kita bertindak secara membabi buta tanpa memikirkan kesan kepada perjuangan Islam. Sedangkan baginda mempunyai wahyu, namun baginda tetap mendidik umatnya supaya bertindak di dalam suatu perkara penuh strategi.

Jangan Lupa Berdoa

Rasulullah mengajar kita walaupun kita telah menyusun  strategi yang terbaik, namun jangan lupa kita kepada Allah SWT untuk kita menyerahkan segala urusan kita kepadanya. Kerana doa merupalan senjata orang mukmin Rasulullah SAW telah menghabiskan sepanjang malam dengan berdoa dan beribadah walaupun baginda yakin bahwa Allah telah menjanjikannya kemenangan. Ini sebagai  lambang kecintaan dan perhambaan dirinya kepada Allah SWT.

Husnu Thiqah Billah (Sangka baik dengan Allah)

Sebagai pejuang Islam, kita mesti mempunyai sangka baik dengan Allah SWT yang akan membantu hambanya. Kita jangan gopoh hendak cepat melihat kemenangan. Jangan lari daripada fitrah perjuangan Islam. Ia memerlukan kesabaran dan semangat yang kental. Kita tidak boleh memetik hasil dengan cepat, kerana ia ada penapisan. Sesungguhnya kita mesti yakin dengan janji Allah kepada hambanya.

Kualiti Lebih Penting Daripada Kuantiti

Kualiti merujuk kepada mereka yang berada di saf hadapan. Semua mereka yang berada ditahap pemimpin, terutama di peringkat tertinggi perlu meningkatkan kualiti hubungan dengan Allah dan skil kepimpinan.

Mereka yang bergelar pemimpin mesti menunjukkan sikap dan akhlak yang terbaik untuk memenuhi pra syarat kemenangan. Di dalam peperangan Badar tentera Islam 313 orang dengan serba kekurangan, dua ekor kuda dan 70 ekor unta, manakala tentera Musyrikin Makkah 1000 orang, 100 ekor kuda dan 170 ekor unta.

Wehdah Asas Kejayaan

Walau pun bilangan tentera musyrikin Makkah lebih ramai daripada tentera Islam, tetapi mereka tidak bersatu dan berbelah bagi antara takut dan berani. Sedangkan tentera Islam walau pun sedikit, tetapi bersatu hati dan bersatu azam untuk bersama Rasulullah SAW. Walaupun orang Muhajirin yang terpaksa berhadapan dengan kaum dan bangsa mereka sendiri. Pada mereka ikatan tauhid mengatasi segala-galanya.

Kita sebagai anggota jemaah, mesti meletakkan kesatuan sebagai keutamaan. Perselisihan peribadi mesti diketepikan, kerana orang awam sedang memerhati. Masyarakat akan membuat telahan, jika kamu sesama sendiri pun tidak boleh disatukan, macam mana hendak memimpin negara dan rakyat. – HARAKAHDAILY 14/7/2014

Ustaz Haji Idris Ahmad

ORANG yang suka menyebar fitnah sebenarnya adalah seorang yang sakit jiwa, kerana kosong makanan rohaninya. Makanan penyebar fitnah ialah bahan fitnah, mereka sentiasa lapar, seperti lembu yang kehausan apabila tidak ada makanan. Segala makanan dan minuman yang mereka makan sebenarnya dimakan oleh iblis dan syaitan yang bersarang di dalam batang tubuh mereka.

Mereka ini tidak kenyang dengan makanan ruji, sebaliknya merasakan satu kepuasan apabila dapat menyebarkan fitnah kepada orang lain. Seolah-olah mereka merasa lapar dan dahaga apabila jari mereka tidak menyentuh huruf-huruf di skrin Ipad atau tab mereka. Nafsu Ammarah yang menguasai mereka sudah hilang karamah Insaniah dengan diganti dengan nafsu syaitaniah sehingga hilang harga diri.

Pada zaman langit terbuka penyebar fitnah amat gemar menggunakan segala kemudahan yang Allah anugerahkan tanpa menghitung dosa dan pahala. Pendekatan “Matlamat Menghalalkan Cara” telah menjadi makanan kepada golongan ini. Tanpa mereka sedar bahawa fitnah yang berbentuk tulisan lebih merbahaya daripada fitnah yang diungkap oleh lidah.

Fitnah lidah ia akan habis begitu sahaja kerana orang mudah lupa, sedangkan di dalam tulisan ia akan melekat dan dibaca berkali-kali. Jika disebar melalui media baru, entah berapa puluh juta orang like dan share posting mereka.

Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah SAW bersabda: ”Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat.” (diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya)

Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa tukang fitnah tidak dapat dipercayai kata-katanya dan tidak diterima sedekahnya. Sesungguhnya fitnah ditegakkan di atas kedustaan, kedengkian dan kemunafikan. Kesemua sifat ini adalah tungku dapur kehinaan.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Sikap kita untuk melawan fitnah

1. Tabayyun terlebih dahulu sebagaimana diajar oleh Allah SWT, iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita peroleh. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)

Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.

2. Bersangka baik terlebih dahulu, jangan terus menerima bulat-bulat apa yang diterima. Lebih-lebih lagi jika melibatkan sahabat yang kita kenali hati budi.

Dalam hal ini, pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan. Ambillah sikap yang diajar oleh Islam apabila mendengar berita mengenai fitnah terhadap sahabat.

Firman Allah SWT: ‘’Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” (Surat an-Nur : 12)

3. Menyedari besarnya dosa fitnah yang dilakukan oleh kita. Apakah yang akan terjadi kepada kita jika orang yang kita fitnah telah meninggal dunia, sedangkan kita tidak sempat memohon maaf kepada mangsa fitnah.

4. Banyak berzikir dan melakukan program tazkiah al-Nafs (bersih jiwa) supaya hati kita jijik untuk melibatkan diri dengan fitnah.

5. Sentiasa berada di dalam majlis ilmu yang memberi ingatan tentang bahayanya penyakit fitnah.

6. Bacalah buku-buku yang boleh mengubat jiwa dan hati, supaya sifat mazmumah diganti dengan sifat mahmudah.

Kesimpulannya, bagi kita yang difitnah mengambil sikap, biarlah seluruh media sosial, Facebook., twitter, Whatsapp, Telegram, blog, portal hendak memfitnah kita. Kita akan terus melaksanakan kerja jamaah. Biarlah tangan pemfitnah ini menulis sehingga tangan mereka kaku ketika sakaratulmaut menjemput mereka.

Kita tidak ada kuasa untuk menghentikan tangan mereka daripada menulis, kerana kita insan kerdil. Hanya kematian sahaja yang dapat menghentikan tangan mereka untuk menulis. Kita bertemu di Medan Mahsyar yang lebih hebat daripada Media Sosial. Teruskan usahamu jika itu yang dirasakan boleh memberatkan timbangan amalanmu di akhirat kelak.

ANAKKU AHLI PAS

YB Ustaz Haji Idris Ahmad

PAS memerlukan penggerak bukan sekadar penyokong sebagai penerusan kerja perjuangan. Macam mana kita mahu perjuangan PAS ada penerusan? Adakah dengan “Kun Fayakun”, tanpa apa-apa perancangan.

Dengan alasan PAS jamaah Islam, tidak payah berbuat sesuatu, serahkan kepada takdir sahaja. Adakah ini menepati dengan sunnah perjuangan Islam yang diajar oleh Nabi kita Muhammad SAW. Sedangkan baginda sendiri memberi keutamaan kepada proses perkaderan sebagai usaha dakwah baginda.

Usamah bin Zaid  dalam usia muda sudah diberi amanah yang besar, walau pun ada di kalangan pembesar sahabat yang lain untuk mengepalai peperangan untuk melawan Rom. Umurnya baru mencecah 18 tahun. Semuanya hasil tarbiah Rasulullah SAW sejak daripada kecil.

Amat malang kepada PAS sekiranya proses ini tidak diberi keutamaan. Proses perkaderan yang paling mudah sekali ialah dari kalangan orang yang paling rapat sekali dengan kita, iaitu ahli keluarga kita. Allah SWT telah memerintahkan kepada baginda supaya menyeru kepada ahli keluarga yang terdekat untuk menerima Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berilah peringatan kepada mereka (ahli keluarga) yang hampir dengan kamu”.

Apa makna kita berjuang siang malam, tiba-tiba anak kita sendiri yang tercicir di dalam perjuangan. Lebih parah lagi ada yang menentang perjuangan PAS. Semua gara-gara kecuaian ibu bapanya mentarbiah anaknya untuk bersama dengan perjuangan Islam.

Kenapa perlu menjadi ahli PAS

Senang untuk dicula ketika musim pilihanraya, kerana seorang ahli,  insyaAllah pasti memangkah PAS. Orang atas pagar belum tentu mereka akan bersama dengan PAS, apabila disogok dengan wang dan diasak dengan media. Berbeza dengan ahli, mereka tidak akan termakan dengan fitnah media dan sogokan wang. Walau pun dia tidak puas hati dengan calon, namun beliau tetap memangkah.

Senang untuk dikaderkan, kerana kita boleh mengetahui potensi diri yang ada di dalam setiap orang ahli. Kita tidak boleh melaksanakan perkaderan jika ia bukan ahli kita. Senang untuk mendapat dana parti. Seperti yang kita maklum wang PAS daripada ahli PAS. Wang boleh diperolehi melalui yuran dan infaq ahli.

Seorang ahli dia merasa sayang dengan parti. Ia menganggap PAS bukan hak mana- mana individu, tetapi hak semua ahli. Seorang ahli PAS ia akan menjadi jentera penerangan. Mereka akan menangkis fitnah musuh terhadap PAS. Mereka bertindak sebagai televisyen PAS di kedai kopi atau mana-mana perhimpunan orang ramai.

Cara Untuk Memastikan Anak Menjadi Ahli PAS

Apabila anak sudah baligh isilah borang ahli PAS. Beri semangat kepada anak supaya meneruskan perjuagan PAS. Jangan menakutkan anak-anak supaya jangan terlibat dengan PAS, nanti tidak dapat kerja. Yakinkan mereka bahawa tidak ada yang susah kerana berjuang Islam. Allah menjamin hambanya yang bekerja di jalan Allah.

Berikan semangat bahawa kerja di dalam jamaah akan dianugerahkan keberkatan oleh Allah SWT. Ajak mereka hadir ke program PAS sejak kecil lagi supaya mereka tidak kekok ketika mereka besar nanti. Beri galakan  kepada anak lelaki menyertai Unit Amal, anak perempuan menyertai Nisa’ dan Briged Muslimat.

Ketika mereka masuk ke Pusat Pengajian Tinggi pastikan anak meneruskan tradisi berjamaah dengan PAS. Bawa anak-anak ke Markaz Tarbiah supaya daripada kecil sudah jinak dengan PAS.

Berbual dengan anak-anak mengenai perjuangan supaya mereka dapat menyampaikan pula kepada orang lain. Satu perkara yang silap apabila ada ibubapa yang tidak mahu membawa balik cerita PAS di rumah, kononnya tidak mahu anak serabut dengan perjuangan.

Satu mala petaka yang menimpa perjuangan PAS apabila ada ibu bapa membiarkan anak menentang perjuangan PAS dan menjadi pemimpin parti lawan. Banggalah jika kita berjaya meninggalkan warisan perjuangan apabila kita menemui Allah SWT.

Oleh : Ustaz Idris Ahmad

Sebagai sebuah jamaah Islam, tarbiah menjadi  asas kepada perjuangan Pas. Inilah kelainan daripada parti politik yang lain. Walau pun luaran masyarakat lebih kenali Pas sebagai parti politik sahaja, sedangkan Pas merentasi perenggan parti politik di dalam perjuangannya. Hasilnya Pas mampu berada dipersada politik negara sehingga menjangkau usia 63 tahun. Dalam masa yang sama parti yang seangkatan dengannya telah berkubur dimamah usia.

1. Membina Peribadi Muslim

Orang yang menyertai Pas sudah pasti ia tahu sebab apa ia sertai Pas. Sudah tentu kerana dasar Pas ialah Islam. Menjadi tugas Pas untuk mentarbiah ahlinya supaya memahami Islam dan menghayati Islam. Sebelumnya mereka memahami Islam dalam konteks ritual sahaja,  yakni hubungan dengan Allah semata-mata maka menjadi tanggungjawab kepada Pas memberi kefahaman Islam yang syumul. Islam yang merangkumi Din Wa Daulah.

Tarbiah Pas mesti memastikan ahlinya menutup aurat mengikut syariat, bukan adat. Tarbiah Pas memastikan ahlinya bermuamalat dengan amalan Islam, menjauhkan amalan riba ketika membeli kenderaan, rumah dan sebagainya. Pas berusaha untuk memastikan setiap ahlinya menjadi Insan Rabbani, sebagai mana yang Allah telah jelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud,

“Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Ta`ala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” Al Imran:79)

Antara aspek tarbiah yang penting ialah membina akidah yang soheh. Tanpa perkara ini semua amalan dianggap sebagai lagha dan tidak ada nilai di sisi Allah SWT. Sekiranya akidah rosak maka tidak ada nilai ibadah yang lain. Sebenarnya lonjakan yang menjadi motivasi untuk terus bekerja berpunca daripada kekuatan akidah yang sebenar.

Sebab itu pemahaman akidah yang soheh menjadi perkara awal di dalam nizam tarbiah Pas. Kita tidak boleh cerita tahaluf siasi dahulu sebelum seorang itu memahami aspek akidah, jika tidak ia akan menjadi kecelaruan di dalam aspek tarbiah kita.

2. Membina Usrah Muslimah (Keluarga Islam)

Setelah membina fardu Muslim, tarbiah mesti menjurus kepada pembinaan keluarga Islam. Kerana ia adalah batu bata kepada pembinaan daulah Islamiah. Bagaimana kita hendak membina negara jika institusi keluarga rosak. Tarbiah keluarga, Ia bermula daripada pemilihan jodoh sehinggalah kepada kerukunan dalam rumah tangga.

Ada orang yang hebat di dalam parti tetapi ia gagal mentarbiah ahli keluarganya sendiri, sehingga kehebatannya terlidung dan cacat di pandangan ahli dan juga orang ramai. Apabila keluarganya lemah dari segi penghayatan Islam orang akan memikirkan apa yang boleh diharap untuk membawa agenda yang lebih besar di dalam sebuah negara.

Apabila beliau gagal membentuk qudwah yang baik di dalam rumah tangga beliau, bagaimana beliau hendak meyakinkan ahli yang lain kepada perjuangan Pas.Beliau sendiri gagal untuk hendak pastikan anak isteri bersama berjuang, bagaimana ia hendak mengajak anak isteri orang lain untuk turun berjuang.

3. Membina Masyarakat Muslim. 

Manusia ialah makhluk bersosial dan berhajat antara satu sama lain. Mereka tidak boleh hidup bersendirian tanpa kawan dan berpasangan. Pas mentarbiah ahlinya supaya ahlinya sentiasa evergreen di dalam semua keadaan. Watak kita diperhati oleh kawan dan lawan. Tingkahlaku kita di dalam masyarakat sentiasa menjadi fokus kepada orang ramai. Biarlah kehadiran kita dinanti, pemergian kita diingati. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW “Jadilah kamu sebagai orang yang menarik perhatian di kalangan manusia”.

Kerana masyarakat merupakan medan sebenar untuk kita mengembangkan pengaruh dan fikrah perjuangan. Kita jangan menjadi pemusnah di dalam jamaah. Diharapkan tingkahlaku  kita akan menjadi aset, bukan bebanan jamaah. Kita mahu masyarakat yang diduduki oleh ahli Pas memaparkan akhlak Islam yang menjadi contoh dan daya tarikan kepada orang awam yang menjadi mad’u kita.

Biarlah sejuk mata memandang apabila orang luar masuk di kampung yang majoritinya orang Pas. Wanitanya tidak kira muda atau tua memakai pakaian yang menutup aurat. Suraunya hidup dengan solat berjamaah, masjidnya diimarah dengan majlis ilmu. Semangat gotong royong antara masyarakat, berusaha mencegah kemungkaran dan kebatilan. Walau pun daulah belum lagi tertegak, tetapi masyarakat telah berjaya mewujudkan biah solehah (persekitaran yang baik) yang akan menjadi batu bata kepada kewujudan daulah Islamiah.

4. Membina Daulah Islamiah. 

Walau pun bukan senang, usaha ke arah itu perlu dilakukan dengan baik dan teratur.  Inilah matlamat tarbiah Pas yang terakhir. Pas mengambil pendekatan muwajahah silmiah iaitu melalui demokrasi. Platform inilah yang digunakan sejak 13 kali pilihanraya berlangsung di negara ini. Jatuh bangun Pas  di pentas demokrasi memang hebat sehingga menjadi perhatian pengkaji sains politik tentang keunikan Pas.

Walau pun berbagai tektik dan strategi untuk mematikan perjuangan Pas, namun semuanya gagal, malahan Pas tetap segar dan menarik sokongan orang ramai. Islam yang syumul tidak boleh ditegakkan jika tidak mempunyai daulah. Rasulullah SAW tidak akan berhijrah dan meninggalkan kampung halaman baginda di Makkah jika Islam yang baginda bawa ialah solat, puasa, zakat dan haji.

Di Makkah baginda hanya boleh berdakwah, jika ada pelanggaran hukum baginda tidak boleh buat apa-apa. Kecantikan Islam hanya terdapat di dalam tulisan yang disusun indah di dalam maktabah sahaja. Ianya tidak boleh dipraktikkan sepenuhnya. Keadilan syariat Allah tidak dapat dibuktikan jika tidak ada daulah yang mendokongnya. Keadilan Islam tidak boleh dilihat dan dihayati di dalam kerangka sekular. Malahan kadang-kadang menimbulkan fitnah kepada keindahan Islam.

Firman Allah yang bermaksud :

“(Iaitu orang-orang yang jika Kami beri kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang munkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan”. ( al-Haj, 22:41)

ADAB KITA BERJEMAAH

Oleh Ustaz Idris Ahmad. Sumber : Harakahdaily

Ikhlas kerana Allah

Sebelum kita pergi lebih jauh, kenapa kita berjuang di dalam PAS. Sudah PASti jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan kerana Allah SWT. Jika kita berjuang kerana dunia belum tentu kita akan peroleh apa yang kita hajat. Jika kita sertai PAS kerana hendak bertanding di dalam pilihan raya, belum tentu nama kita tersenarai sebagai calon. Misalnya di dalam satu kawasan hanya dua atau tiga orang sahaja yang dipilih sebagai calon daripada beribu ahli PAS di satu kawasan. Rugi kita di sisi Allah SWT jika matlamat kita lain daripada apa yang diizin oleh Allah SWT yang bermaksud:

“Pada hal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas dengan mentaati perintah agama-Nya” (Al-bayyinah : 5)

Ikut Arahan Jemaah

Tidak molek, jika bersama dengan jemaah, tiba-tiba tidak mahu ikut arahan jemaah. Apabila kita berintima’ dengan jemaah maka wajib kita mengikut arahan jemaah. Sebuah jemaah tidak akan maju jika mempunyai ahli yang ikut kepala sendiri, tanpa mahu ikut arahan jemaah. Mana-mana jemaah akan mengalami masalah jika mempunyai ahli sedemikian rupa.

Manusia ini sebenarnya tidak boleh bersama jemaah. Jenis manusia yang tidak boleh berkawan dengan manusia lain. Sebenarnya manusia ini ada penyakit di dalam dirinya iaitu penyakit tidak boleh ikut arahan. Peringatan Nabi SAW:

“Bahawa sesiapa yang taat kepada aku, maka ia sudah taat kepada Allah. Dan bahawa sesiapa yng derhaka kepada Aku, maka ia derhaka kepada Allah. Dan barang siapa yang taat kepada Amir (Ketua), maka ia telah taat kepada aku. Dan barang siapa yang derhaka kepada ketua, maka ia derhaka kepada aku” (Muttafaqun Alaih)

Tidak Mengabaikan Amanah Jemaah

Apabila kita menyertai jemaah PAS, maka kita mempunyai tanggungjawab untuk memikul amanah yang diarahkan oleh jemaah. Jika kita tidak melaksanakan amanah yang dipikul kepada kita, siapa lagi yang akan melaksanakan amanah ini. Perlu diingat, jika kita tidak melaksanakan amanah jemaah, maka akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Di atas dunia lagi kita melakukan jenayah dengan jemaah, sehingga musuh kita bermaharajela. Sifir mudah, kita telah membantu Umno secara percuma apabila kita tidak membantu PAS dengan melaksanakan amanah yang sepatutnya. Tidak ada makna kita marah kepada Umno, sedangkan kita sendiri membantu Umno secara tidak langsung.

Merasakan Jemaah Milik Bersama

Semangat ini akan merasakan kita sayang kepada jemaah melebihi segala-galanya. Pada kita, PAS bukan hak Mursyidul Am, bukan hak Presiden, tetapi milik bersama. Maju mundur perjuangan PAS atas daya usaha kita (biiznillah).

Jika ada perasaan ini jemaah akan selamat. Kita akan terasa jika ada yang memfitnah PAS, lantas kita akan membetulkan fitnah tersebut. Bukannya kita menokok tambah untuk menabur fitnah. Siapa lagi yang hendak memikirkan tentang perjuangan PAS, jika tidak kita?.

Kerja Dengan Penuh Tekun

Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya Allah suka kepada seorang yang bekerja dengan penuh ketekunan”. Kita mesti yakin bahawa bekerja di dalam jemaah adalah ibadah dengan syarat ikhlas kepada Allah. Kita mesti rasa malu dengan penegak mungkar yang tidak jemu-jemu mencari formula bagaimana hendak menarik orang kepada program mereka. Sedangkan kerja mereka tidak diredhai oleh Allah SWT.

Mereka merancang dengan penuh strategik untuk menarik sokongan kepada program mereka. Sepatutnya kita sebagai anggota jemaah perlu menggandakan usaha kita tanpa penat dan jemu, kerana kita adalah Ansarullah. Perlu diingat walaupun perjuangan kita benar tetapi jika kita tidak berkerja dengan penuh ketekunan maka usaha ini akan gagal. Sebagaimana kata-kata Saidina Ali Karramallahuwajhah, “Kebenaran tanpa penyusunan akan ditewaskan oleh kebatilan yang mempunyai penyusunan yang rapi”.

Thiqah Dengan Kebijaksanaan Pemimpin

Hidup berjemaah inilah sifat yang mesti disuburkan. Apa makna dia seorang pemimpin jika kita sendiri tidak thiqah kepadanya. Menganggap pemimpin semua bodoh, kita sahaja yang cerdik adalah suatu perkara yang salah. Suatu masa nanti apabila kita menjadi pemimpin, Allah akan balas balik kepada kita iaitu pengikut kita pula anggap kita pula bodoh.

Masing-masing ada tanggungjawab yang telah diatur oleh perlembagaan parti. Pemimpin membuat cadangan, perancangan dan mengatur gerak kerja yang difikirkan sesuai dan munasabah untuk mencapai matlamat. Hal ini akan berubah dari semasa ke semasa menurut ijtihad kepimpinan.

Dasar sahaja tidak berubah, iaitu Islam. Tetapi bagaimana cara kita mahu melaksanakan gerak kerja kita sentiasa berubah. Perubahan kadang-kadang besar, kadang-kadang kecil, contohnya Tahaluf Siyasi. Mereka yang tidak belajar Feqah Politik, mengatakan PAS sudah menyeleweng.

Pada hal keputusan yang kita buat masih lagi berkisar kepada nas syarak. Kepercayaan kepada kebijaksanaan kepimpinan adalah amat mustahak, khususnya di dalam dunia politik yang bergerak pantas. Jika jemaah gagal membuat keputusan yang cepat untuk menghadapi suasana kita akan ketinggalan zaman.

Jika keputusan hendak dibincang dahulu daripada semua peringkat hingga ke cawangan, maka sudah tentu kita ketinggalan dan jemaah tidak maju. Pemimpin PAS tidak rela untuk diri mereka dimamah neraka kerana mengkianati perjuangan PAS dan ahli.

Menjaga Rahsia Parti

Rahsia parti bukan sahaja kepada orang lain, malahan dengan anak isteri tidak boleh diberi tahu. Menunjukkan bukan semua perkara yang dibincang oleh parti mesti diketahui oleh orang lain. Seorang itu dianggap biadab dengan jemaah apabila mendedahkan apa yang berlaku di dalam mesyuarat.

Lebih parah lagi yang disebar keluar ialah perjalanan mesyuarat untuk membuat keputusan, bukannya keputusan mesyuarat. Beliau menceritakan orang ini setuju, orang ini bangkang. Rahsia parti dan strategi parti tidak boleh dibincang di dalam forum yang terbuka seperti Face book, Twitter yang bukan ahlinya.

Lebih kurang ajar lagi minta pandangan dan komen daripada mereka yang bukan ahlinya mengenai perjalanan parti. Biarlah kita menyusahkan musuh mendapat maklumat, jangan kita memberi maklumat secara percuma tanpa mereka bersusah payah.

Sebenarnya di dalam keadaan kita menjaga rahsia ini pun masih terlepas, telahan pula kita sendiri yang mendedahkan. Peringatan untuk diri saya, hendak bercakap mengenai rahsia parti kena berhati-hati. Kebimbangan kita dengan alat komunikasi yang canggih akan merakam perbualan kita. Oleh itu, perhatikan dengan siapa yang kita berbicara.

Zaman dahulu berpandang-pandang sebelum bercakap, sekarang agak sukar kerana alat perakam di dalam telefon sudah cukup menjadi alat untuk merakam perbualan kita dan di dedahkan keluar.

SATU CAWANGAN SATU USRAH

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/26276-satu-cawangan-satu-usrah

Oleh : YB Ustaz Haji Idris Ahmad 

Usrah merupakan satu nizam yang penting di dalam tarbiah PAS. Selain daripada usrah, ialah tamrin, liqa’ al-Fikri, Majlis Ilmu, Daurah Tadribiah, Nadwah, Rehlah, Mukhayam, Qiamullail, Riadah. Kesemua program ini mesti digarap oleh semua ahli PAS supaya tidaklah mereka menyertai PAS hanya dari segi isi borang sahaja, sedangkan pemikiran dan tingkah laku tidak berubah. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Biarlah apabila menjadi ahli PAS, dia perlu berubah dalam semua perkara, walau pun memakan masa yang lama.

Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud keluarga adalah merupakan satu medan yakni ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.

Usrah mesti diwujudkan di dalam setiap cawangan untuk memastikan PAS dapat memenuhi ciri-ciri Gerakan Islam dan Gerakan Politik. Ini adalah satu kelainan dengan jamaah lain kerana PAS juga merupakan gerakan politik, dua perkara ini mesti diseimbangkan.

Setiap cawangan PAS mesti menjalankan aktiviti Usrah, ia boleh dilakukan rumah ahli PAS secara bergilir. Buat permulaan laksanakan sebulan sekali. Kenapa buat di rumah ahli tidak di markaz? Jawapannya supaya program usrah dan ziarah boleh disekalikan. Maklumlah semua kalangan ahli PAS sentiasa sibuk, tidak ada masa untuk ziarah menziarahi antara satu sama lain.

Apabila usrah dibuat di rumah setiap ahli, maka secara tidak langsung program ziarah berjalan secara serentak. Tujuannya supaya kita dapat memerhati suasana rumah ahli PAS. Kadang-kadang ahli PAS yang kita temui di markaz tidak sama dengan hakikat yang sebenar. Ada kalangan ahli PAS yang cukup dhaif, tetapi mempunyai semangat dan jiwa yang kental.

Wajahnya tidak menunjukkan beliau seorang yang susah, sentiasa ceria dalam hidup. Tidak pernah ponteng program parti. Tidak pernah mengeluh apabila diberi arahan. Dengan kehadiran ahli PAS ke rumahnya, terutama pemimpin, wakil rakyat PAS, secara tidak langsung akan menyentuh kalbu kita apabila melihat rumah ahli PAS yang dhaif tetapi istiqamah di dalam perjuangan.

Kebaikan usrah buat di rumah, kita juga dapat memerhatikan rumah tangga ahli PAS, sama ada menepati dengan rumah tangga Islam atau tidak. Kita boleh perhatikan anak isterinya menutup aurat atau tidak. Setengahnya kita berjumpa di luar rumah lain dengan keadaan beliau berada di rumah. Kita  mungkin terkejut apabila melihat isteri dan anaknya tidak menutup aurat, sedangkan suaminya berjubah dan berserban. Semuanya tidak akan kita ketahui melainkan apabila kita ziarah rumah sahabat secawangan.

Perlu kita sedar bahawa kekuatan PAS terletak di cawangan, bukan di kawasan, negeri atau pusat. Hebat macam mana sekali pun Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak ada makna, jika di peringkat akar umbinya lemah. Dua Tuan Guru tidak tahu secara terperinci kekuatan atau kelemahan PAS, begitu juga kekuatan atau kelemahan parti lawan.

Maklumat ini hanya boleh disampaikan oleh cawangan kepada pimpinan tertinggi. Pimpinan tertinggi tidak boleh merancang strategi jika tidak mempunyai maklumat yang disampai oleh ahli peringkat cawangan. Apabila usrah berjalan di peringkat cawangan maklumat ini senang diperoleh, contohnya cula setiap lokaliti hanya akan diketahui oleh ahli cawangan.

Kita boleh lihat cawangan yang aktif mengadakan usrah, ahlinya hidup damai dan bersatu padu. Masalah dalaman dapat dikurangkan, kerana sering bertemu. Anasir-anasir yang tidak baik untuk meruntuhkan jemaah dapat dihindarkan. Motivasi ahlinya tinggi kerana sering diberi semangat di dalam usrah.

Inilah sebenarnya matlamat usrah, selain daripada membina peribadi dan fikrah. Menjadi kelaziman manusia akan bermotivasi apabila sering diperingatkan sesama sendiri. Biasalah, manusia yang hidup di dalam kelalaian mesti hidup di dalam suasana nasihat menasihati antara satu sama lain, maka usrah adalah salah satu caranya.

Saya yakin apabila usrah berjalan di peringkat cawangan, masalah kewangan akan dapat diatasi. Idea supaya setiap ahli PAS infaq setiap bulan seorang seringgit masih belum menjadi kenyataan. Kalau projek ini berjalan maka PAS akan dapat mengumpul hampir satu juta sebulan.

Kenapa? Jawapannya ialah bagaimana mekanisme hendak dibuat. Jika hendak buat arahan potongan secara bulanan melalui bank agak tidak praktikal, kerana kos pengurusan tinggi. Lebih-lebih lagi bukan semua ahli PAS mempunyai akaun bank. Sudah tentulah usrah merupakan salah satu caranya.

Sebenarnya ahli PAS bukan kedekut hendak memberi kepada PAS. Kalau kedekut maka sudah pasti tidak ada markaz yang didirikan oleh ahli PAS dengan wang sendiri. Cuma mekanismanya yang tidak ada untuk pungut. Jika hendak suruh bendahari pergi memungut ke setiap rumah juga tidak praktikal. Kadang-kadang bendahari pergi ke rumah ahli, tetapi ahli tidak ada di rumah.

Tetapi jika usrah berjalan, insya-Allah perkara ini dapat diatasi. Setiap ahli PAS akan bawa wang sewaktu mereka hadir ke usrah dan diberi kepada bendahari cawangan. Jika mereka terlupa mereka akan gandakan untuk bulan berikutnya.  Jika usrah berjalan, idea untuk memungut sejuta sebulan menjadi kenyataan dengan setiap ahli infaq satu ringgit sebulan.

Lajnah ekonomi juga dapat menambahkan pendapatan cawangan. Contohnya setiap ahli diwajibkan membeli satu tiub ubat gigi dan satu kotak sabun basuh Hilal setiap bulan. Ini adalah barang keperluan yang mesti diguna oleh setiap ahli Pas. Jika hasil jualan dua barang ini memberi keuntungan seringgit, maka berapa banyak wang tabung cawangan akan diperoleh.

Diandaikan ada 30 orang ahli PAS, maka cawangan akan memperolehi RM30 sebulan, setahun RM360, lima tahun RM1800. Apabila pilihanraya tidak timbul lagi masalah kewangan di setiap lokaliti dan Unit Peti Undi.

Jika usrah berjalan soal menambah ahli akan dapat dilakukan. Misalnya setiap ahli PAS diarahkan mencari setahun seorang ahli baru. Ertinya setiap bulan sebelum memulakan usrah, naqib akan meminta borang keahlian daripada siapa yang membawa. Bulan hadapan akan diminta lagi.

Secara tidak langsung ahli PAS akan berlumba-lumba untuk mencari ahli baru sebagaimana diarahkan oleh naqib. Begitu juga dengan daftar pemilih. Naqib akan pastikan nama anak-anak ahli yang cukup umur 21 tahun akan dipantau di dalam usrah supaya mereka mendaftar anak dengan SPR.

Paling penting ialah kebajikan ahli akan terjamin. Perlu diingat politik orang kampung, politik masyarakat. Jika PAS boleh pastikan kenduri, sakit, meninggal mereka terbela maka mereka akan berani untuk mendekati PAS. Oleh sebab itu kita lihat di tempat yang kuat Umno, PAS mendapat undi secara senyap kerana takut di pulau oleh Umno jika diketahui secara terang.

Insya-Allah dengan usrah ada di cawangan soal kebajikan akan terpelihara. Apabila ada berita seorang ahli sakit, meninggal dan hendak buat kenduri terus dimaklum di dalam majlis usrah. Semua ahli akan mengambil perhatian dan tindakan untuk membantu. Inilah pentingnya usrah di dalam jemaah kita.

Timbul persoalan, bagaimana jika tidak ada naqib di dalam cawangan tersebut, atau naqib tidak datang apa yang perlu dilakukan? Program usrah mesti diteruskan. Ketiadaan naqib jangan menjadi alasan untuk tidak ada usrah. Ahli boleh membaca Yasin, tahlil kemudian buat tazkirah. Bahan tazkirah boleh baca terus daripada penulisan Tuan Guru di dalam Harakah atau mana- mana buku yang difikir sesuai.

Kemudian bincang program yang akan dilaksanakan di cawangan atau kawasan. Hebahkan kepada semua ahli jika ada majlis kenduri yang memerlukan pertolongan daripada ahli cawangan. Atau makluman mengenai ahli yang sakit untuk diziarahi samaada di hospital atau di rumah.

Makanan biarlah disediakan oleh cawangan, bukannya oleh tuan rumah. Pengalaman yang saya perhatikan usrah di cawangan mati, apabila tuan rumah tidak sanggup menyediakan jamuan. Tetapi apabila cawangan sendiri yang menyediakan jamuan, insya-Allah semuanya sanggup untuk menyediakan rumahnya sebagai tempat usrah.

Insya-Allah jika usrah dijalankan di peringkat cawangan PAS akan kukuh sama ada dari segi pembinaan fikrah, peribadi dan jamaah. Jom kita buat usrah di cawangan masing-masing. Setelah buat mesti ada kelainanya. Cuba dulu baru tahu.

Oleh : Ustaz Idris Ahmad

Apabila Rasulullah wafat, Saidina Umar Alkhattab bangkit menyatakan dengan marah siapa yang kata baginda wafat maka akan dikenakan hukuman. Maka Saidina Abu Bakar Assidiq bangun dengan ungkapannya yang masyhur “Siapa yang menyembah Nabi Muhammad SAW sesungguhnya Nabi Muhammad sudah wafat, siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati”.

Ini dalil hendak menunjukkan bahawa ajaran Islam mengajar penganutnya hanya menyembah Allah tuhan yang esa bukannya menyembah makhluk. Ajaran baginda SAW hanya menyeru manusia menyembah Allah, bukan menyembah baginda. Baginda sebagai manusia biasa, cuma baginda mempunyai sifat maksum dan dianugerahkan wahyu oleh Allah SWT.

Maka asas inilah juga PAS sebagai sebuah Jamaah Islam yang bergerak dijaluran dakwah dan politik,  menyeru manusia supaya kenal Allah dan mengabdikan sepenuhnya kepada Allah bukan kepada manusia. PAS bertugas menyeru manusia supaya menghayati Islam sepenuhnya. PAS tidak ajak manusia supaya taksub kepada mana-mana individu di dalam parti.

Ketaatan kepada pemimpin selagi mereka taat kepada Allah dan Rasul. Mereka akan keseorangan dan menjadi kera sumbang apabila mereka meninggal dan mengkianat parti. Ahli PAS hanya wala’ kepada mereka apabila pemimpin wala’ dengan Allah dan Rasul.

Firman Allah SWT bermaksud;

“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya serta orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat, sedangkan mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka percayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah itulah yang tetap menang”. (Al-Maida 55-56)

Oleh sebab itu PAS pernah kehilangan Yang Dipertua PAS pertama Ustaz Haji Ahmad Fuad, apabila beliau mengikut Dato’ Onn Jaafar. PAS tetap bergerak dipaksi perjuangannya.

Bekas Setiausaha Agung Pas Ustaz Osman Abdullah keluar parti untuk menyertai Umno, beliau pernah manjadi ahli Parlimen Tanah Merah pada tahun 1959. Seorang yang hebat dan petah berpidato. Pernah mendapat didikan Parti Masyumi Indonesia yang dipimpin oleh Pak Mohd Nasir. Ustaz Osman juga pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat. Apabila beliau keluar parti tidak dapat mempengaruhi orang lain. PAS tetap utuh dan bergerak terus memacu perjuangannya tanpa memaling kekiri atau kanan.

PAS pernah kehilangan Panglima Jihad Ustaz Hassan Adli, apabila beliau tidak bersama dengan keputusan pimpinan PAS yang membuat keputusan meletak jawatan dalam kabinet dan semua agensi kerajaan setelah PAS menentang Akta darurat di Kelantan pada tahun 1977.

PAS juga pernah kehilangan Datuk Asri Hj Muda bekas Yang Dipertua Pas Pusat. Seorang pemidato yang mempunyai suara serak basah, dengan penggunaan bahasa sasterawan yang tinggi. Seorang yang diasuh sebagai pejuang kemerdekaan bersama dengan hizbul Muslimin, akhirnya mengakhiri hidupnya dengan Umno. Sebuah parti yang ditentang sejak beliau remaja.

Kehebatan beliau ketika memimpin PAS, sehingga orang menganggap bahawa PAS akan mati tanpa Asri. Sehingga musuh-musuh PAS menamakan PAS ialah “Parti Asri Sekeluarga”. Namun apabila ketiadaan beliau PAS bangkit dengan gagah dengan wujudnya kepimpinan Ulama yang dikawal oleh Majlis Syura Ulama. Selepas ketiadaan beliau, PAS bergerak maju selari dengan Gerakan Islam Seluruh dunia.

Dahulunya PAS sebagai parti yang dianggotai majoritinya pak lebai kampung sekarang tanzim PAS wujud diseluruh dunia. Penyertaan daripada kalangan cerdik pandai berbondong-bondong ke dalam PAS. Sebelum adanya kepimpinan Ulama, perjuangan PAS tidak mempunyai watak dan syaksiah yang berbeza dengan Umno. Persoalan tarbiah tidak diberi keutamaan. Mungkin kerana tidak ada orang yang menggerakkanya secara sistematik.

Pas pernah ditinggal oleh Ustaz Nakhaei Haji Ahmad, tokoh pemikir PAS yang hebat. Beliau pernah menduduki kerusi Naib Presiden PAS dan Ahli majlis Syura PAS. Ustaz Nakhaei juga terkenal sebagai penulis yang hebat, banyak menulis buku-buku tarbiah. Penulisannya sentiasa hidup dan segar. Idea-idea beliau juga bernas dilontarkan ke dalam PAS.

Hebat macam mana sekali pun, apabila beliau mengambil keputusan keluar parti sedikit pun tidak memberi kesan kepada PAS. Beliau hebat kerana bersama dengan PAS. Ahli PAS hanya akan ikut selagi ia berada bersama PAS. Jika beliau meninggalkan perjuangan, maka ibarat hidup sebatang kara.

Tan Sri Samad Idris bekas Menteri, pernah membayangkan “Faktor fanatik kepada perjuangan PAS tidak boleh diketepikan begitu sahaja, mereka setia dengan PAS, mereka sanggup dibakar hangus, direndam basah, dicincang lumat, oleh sebab itu Datuk Mohd. Asri dan Mohd Nakhaei keluar daripada parti mereka anggap  melukut tepi gantang”. Utusan Malaysia 13hb. Disember 1990)

Inilah bukti kejayaan tarbiah PAS. Ia tarbiah ahlinya supaya wala’ kepada Allah, Rasul dan pemimpin. Mereka ditarbiah, pemimpin boleh datang dan boleh pergi. Mereka tidak akan ikut pemimpin yang meninggalkan parti. Mereka sudah diberi kefahaman awal supaya jangan taksub kepada pemimpin.

Perjuangan yang menyeru supaya taksub kepada individu ia adalah satu penyelewengan dalam dakwah. Nabi Muhammad SAW tidak ajar pengikutnya supaya sembah kepada baginda, sebaliknya baginda menyeru supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT.

PERLU BERSABAR BERSAMA PAS

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/25758-perlu-bersabar-bersama-dengan-pas

Sabar merupakan sifat mahmudah. Ia merupakan sifat para Nabi dan Rasul alaihimussolatuwassalam. Ia adalah tonggak kepada kejayaan dalam amal, sama ada amal dunia atau amal Islami (kerja harakah Islamiah). Tanpa kesabaran nescaya Islam tidak akan sampai ke negara kita.

Para Nabi menyampai dakwah tanpa jemu-jemu penuh dengan kesabaran. Penentang dakwah mereka ialah orang yang akrab dengan mereka, seperti anak, isteri dan saudara terdekat.

Nabi Muhammad SAW berhadapan dengan bapa saudaranya Abu Lahab, Abu Jahal dan bangsanya sendiri. Nabi Nuh alaihissalam, isteri dan anaknya sendiri. Nabi Ibrahim dengan bapanya. Nabi Lut dengan isterinya. Semua halangan ini dapat diatasi dengan kesabaran. Apakah tanpa kesabaran dakwah mereka akan berjaya?

Begitu juga kesabaran yang ditunjuk oleh pendakwah yang datang ke negara kita dengan kelengkapan yang tidak seberapa. Namun kerana menyahut seruan Allah, mereka merentasi lautan dan gelombang yang besar untuk menyampai seruan Islam. Semoga Allah sahaja yang membalas jasa mereka, tanpa usaha mereka, kita tidak pasti agama apa yang menjadi anutan kita.

PAS sebagai sebuah jamaah yang menjadi  Islam sebagai dasar seperti yang tertera di dalam Perlembagaan PAS. Tanpa kesabaran PAS tidak mampu bernafas dan bergerak maju. Bukan senang hendak meyakinkan orang ramai mengenai prinsip perjuangan PAS. Seruan kepada perkara yang tidak nampak, bukan kepada kebendaan yang terbentang luas. Tetapi penuh ranjau dan duri. Inilah yang membezakan dengan orang lain.

Untuk mencari kebenaran dan makna diri memerlukan kepada kesabaran yang tinggi. Pastinya godaan dan halangan yang datang daripada berbagai sudut samaada berupa manusia atau syaitan yang terus bekerja tanpa penat dan pencen. Penentang ini tidak membiarkan kita berada di zon selesa. Mereka akan mencari helah dan tipu daya untuk menggagalkan usaha kita.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang -orang yang beriman bersabarlah, sabar dan teguhkan pendirian”.

Kita perlu sabar jika kita ada idea untuk dikemukakan kepada PAS. Jangan marah jika idea yang kita lontar tidak diterima. Mungkin idea ini akan diterima dua puluh tahun lagi. Yang penting ada kesabaran di dalam berjuang.

Contoh yang ditunjuk oleh Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad. Beliau pernah mencadangkan kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk membuka keahliah PAS kepada bukan Islam sebagai ahli bersekutu pada tahun 60-an dahulu. Cadangan itu ditolak oleh Jawatankuasa PAS Pusat, dituduh sebagai pengkhianat kepada perjuangan. Beliau menarik balik cadangan tersebut kerana mendapat kencaman yang teruk.

Ustaz Zulkifli sabar, dia tidak gopoh, beliau tidak buat kenyataan akhbar, dia tidak keluar parti. Akhirnya cadangan beliau 50 tahun dahulu menjadi kenyataan pada hari ini dengan tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Begitu juga cadangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang mencadangkan Kerajaan Perpaduan pada tahun 2009 lebih kurang sama dengan Konsensus Nasional cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang.

Walau pun cadangan beliau ditentang dan difitnah kononnya beliau hendak bawa PAS sertai BN. PAS berada di dalam keadaan yang kelam kabut kerana isu ini. Sehingga hari ini masih ada fitnah terhadap Presiden PAS, kononnya hendak masuk Umno. Inilah tuduhan yang biadab dan tidak ada akhlak.

Namun Tuan Guru Haji Abdul Hadi sabar, tunggu dan lihat. Hampir 5 tahun idea beliau telah menjadi kenyataan, walaupun namanya lain. Jika dahulu ikan kembung sekarang ikan temenung. Pokok pangkalnya kena sabar.

Sabar ketika menyampaikan risalah perjuangan. Bukan senang manusia hendak menerima seruan Islam. Seruan yang tidak menjanjikan benda, hanya bermotivasi akhirat, dosa dan pahala. Hanya mereka yang kental Iman dan semangat yang tinggi sahaja yang akan mampu menghadapi tribulasi ini.

Saya teringat kisah yang pernah diceritakan oleh Almarhum Ustaz Harun Taib mengenai kesabaran di dalam dakwah yang ditunjukkan oleh Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad dengan seorang penyokong tegar Umno di kawasan Bachok, Kelantan yang beliau pernah menjadi Ahli Parlimen.

Pada suatu hari Ustaz Zulkifli berhenti di rumah seorang yang kuat Umno kebetulan di depan rumah beliau ada pokok nangka yang masih kecil. Beliau memberi tahu kepada tuan rumah tersebut, isterinya mengidam nangka. Beliau hendak tempah nangka tersebut, walaupun pada awalnya penyokong tegar Umno ini tidak berapa hendak layan.

Arwah berulang kali singgah di rumah tersebut sehingga nangka itu masak. Akhirnya si Umno ini menyertai PAS setelah melihat akhlak dan watak pemimpin PAS yang sabar walaupun beliau seorang penyokong yang tegar Umno. Inilah dakwah yang memerlukan kesabaran dan ketekunan.

Penulis ialah Pengarah Jabatan Tarbiah PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

%d bloggers like this: