Tag Archive: Husam Musa


Rakaman Ceramah Himpunan Anti GST dan Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di Belakang Flat Buluh Kubu, Kota Bharu, Kelantan oleh YB Dato’ Dr Fadzli Dato’ Hj Hassan & YB Dato’ Hj Husam Musa.

MUKTAMAR DMPP KE-53 / 2013

Tema : ‘MUSLIMAT MANTAP, PERJUANGAN BERKAT, NEGARA SELAMAT’

Ucaptama oleh : YB Ustazah Zailah Mohd Yusof, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

Tarikh : 21 November 2013

Mempertaruhkan visi ‘MUSLIMAT MANTAP, PERJUANGAN BERKAT, NEGARA SELAMAT’, Muslimat PAS hari ini bersedia mempersadakan PAS dalam arus mainstream politik negara dan juga negeri.

Ketuanya, YB Siti Zailah Mohd Yusof dalam ucaptama perasmian dewan itu menyatakan, visi itu akan terlaksana sekiranya organisasi Muslimat setiap peringkat membuatnya secara terancang.

“Jayakannya melalui apa jua program yang bersifat pengukuhan dan pemberdayaan, berikan prioriti dalam mengisi program-program bulanan dan tahunan Muslimat, baik dalam bentuk seminar, wacana, diskusi, kursus kemahiran organisasi, tamrin, usrah, mukhayyam dan seumpamanya,” jelasnya.

Tambahnya, kematangan Muslimat menghadapi fitnah musuh yang berusaha memporak perandakan keutuhan organisasi dalam siri-siri serangan professional vs ulamak boleh membantu mereka mencapai visi tersebut. Selari dengan visi itu, beliau menyeru Muslimat PAS bersama-sama menyusun langkah kemaraan untuk Islam.

Ucapan Perasmian oleh : YB Dato’ Husam Musa, Naib Presiden PAS

Perasmian Dewan Muslimat PAS kali ini disempurnakan oleh Dato’ Paduka Hj Husam Musa. Beliau memulakan ucapan dengan memberikan contoh Raja Balqis pada zaman Nabi Sulaiman sebagai model kepimpinan wanita sekarang dalam selok-belok berkerajaan.

Antara teknik yang digunakan Balqis adalah bahasa yang lunak, syura dalam urusan negara, kesan penakhlukan asing, hubungan diplomatik dan sebagainya. Kisah pemaisuri ini memberikan pemahaman sejarah yang panjang tentang turun naiknya sesebuah empayar.Urusan berkerajaan di dalam kalangan muslimat kini memerlukan kebijaksanaan tinggi dan berterusan seiring dengan teladan yang di tunjukkan Balqis.

Kisah Balqis ini sebagai ransangan buat generasi muslimat dalam mendepani cabaran membentuk kerajaan gerakan Islam uang berjaya.Jika dilihat pada PRU-13 yang lalu, rakyat sudah memberikan kepercayaan kepada PAS khususnya muslimat. 

Maka para pejuang muslimat disaran beliau suapaya tidak mensia-siakan harapan rakyat ini. Menurut Husam lagi, sasaran kita boleh dicapai andai seluruh jentera berpadu tenaga Pakatan Rakyat mampu menguasai 132 kerusi Dewan Rakyat kelak.

Penekanan Husam kepada kesediaan muslimat untuk PRU-14 akan datang perlu bermula sekarang. Fokus yang ditekankan beliau adalah kerusi marginal iaitu musliamt perlu fokus memenangi kerusi sasaran. Menurutnya lagi, golongan yang masih belum daftar mengundi ini perlu didekati dan diberi kesedaran untuk membuat perubahan. Gerakan pendaftaran perlu berterusan dan dilipat gandakan supaya 4.7 juta rakyat Malaysia yang belum berdaftar kini layak untuk mengundi pada PRU-14.

Husam memberikan gambaran “UMNO InsyaAllah ranap!” andai Pakatan Rakyat berjaya meruntuhkan kepercayaan rakyat kepada parti itu selama ini. Oleh itu menurutnya, PAS mempunyai tugas yang besar di setiap anggota jemaah untuk mencapai kemenangan di seberapa banyak kerusi yang ditandingi.

Peringatan diberikan Husam bahawa PAS masih kurang menambah jurucakap di Parlimen dan DUN-DUN dengan mengambil beberapa contoh. Kedua adalah strategi dakwah di mana perlunya mendekati masyarakat bukan Islam dalam melebarkan pengaruh PAS merentasi kaum.

Namun, Husam memberikan keyakinan bahawa anggota muslimat PAS mampu memberikan momentum dengan menyoroti sejarah keterlibatan muslimat dalam pilihanraya, muktamar dan kepimpinan. Antara tokoh muslimat yang muncul sebagai ahli Parlimen sebenarnya membuka jalan kepada perjuangan muslimat. Husam menyebut di mana Siti Zailah, Dr Siti Mariah dan Dr Lo’ Lo’ di kerusi Dewan Rakyat membuktikan keterbukaan ulama dalam kemunculan suara muslimat di dalam Parlimen.

Di akhir ucapan, Husam menyarankan kepada anggota muslimat supaya memperkukuhkan kekuatan dalam memimpin perubahan. Dengan mengambil contoh Saiyadatina Syifa’ Abdullah, Saiydatina Aisyah dan Saiyadatina Khadijah sebagai sayap kiri perjuangan Islam seharusnya muslimat kita menjadikan mereka ikon untuk terus berjuang.

Sebagai penutup, Dato Husam telah mengumumkan perasmian Muktamar Muslimat PAS kali ke-53 dengan bacaan al-Fatihah.

husam (2)

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/wawancara/husam-saya-tanding-di-putrajaya-demi-rakyat-malaysia-1.154973

JANATUL FIRDAUS YAACOB & JAMILAH HAMZAH
28 April 2013

ANAK Kelantan ini bersemangat waja dan yakin mampu menggugat kedudukan Umno-Barisan Nasional (BN) di kubu kuatnya dan lambang kebanggaan negara, Putrajaya. Menggunakan pendekatan yang lebih mesra dengan rakyat, mendengar keluh kesah mereka yang bergelar penjawat awam, calon Pas, Datuk Paduka Husam Musa komited untuk menyantuni masyarakat Putrajaya jika diberi peluang sebagai wakil rakyat di kawasan terbabit.

Ikuti wawancara wartawan SINAR HARIAN ONLINE.

SINAR HARIAN ONLINE: Memandangkan pada PRU13 ini Datuk akan bertanding di Putrajaya jadi apakah kriteria yang perlu ada untuk dipilih sebagai calon menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) ini?

HUSAM: Yang pertama setiap wakil rakyat mesti mampu memperjuangkan kepentingan rakyat di sesuatu tempat dan juga di seluruh negara. Kemudian yang kedua saya kira sebagai wakil Pas seorang wakil rakyat mestilah mempunyai keperibadian Islam dalam hidup mereka dan boleh memberikan sedikit sebanyak tazkirah, menjadi imam solat, boleh menghayati ajaran Islam.

Dalam bidang kepimpinan dan pemerintahan perlukan semua itu, jadi saya kira rakyat di mana-mana tempat bukan sahaja Putrajaya memerlukan pemimpin yang boleh memperjuangkan aspirasi mereka di samping mempunyai keperibadian Islam yang boleh membantu meninggikan daya kepimpinan mereka.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah cabaran Datuk pada kali ini, yang akan bertanding di dua kawasan berbeza Salor di Kelantan dan Putrajaya?

HUSAM: Ini bukan masalah cabaran kerana dua kawasan berbeza, cabarannya sistem demokrasi negara kita ini tidak benar-benar bebas dan telus. Sehingga hari ini kami belum dapat kebenaran untuk mengadakan ceramah dalam kawasan Parlimen Putrajaya padahal kita ini mengamalkan sistem demokrasi dan Putrajaya ini adalah ibu kota pusat demokrasi dalam negara (temu bual diadakan sehari sebelum penamaan calon).

Kenapa ada batas-batas? Jadi ini menjadi halangan, dan halangan kedua adalah tiada akses media jadi saya nak berkomunikasi dengan semua penduduk saya tidak ada instrumen, saluran sepatutnya pada masa pilihan raya semua pihak diberikan masa siaran, satu-satunya TV yang datang temu bual saya Sinar TV, TV lain tak pernah minta untuk temu bual saya.

Semasa saya melawat, berjumpa dengan orang ramai, tv-tv lain tidak ada buat liputan sedangkan sebelah sana, kalau Umno, kalau dia terbatuk pun TV siarkan jadi tak seimbanglah. Ini halangan besar di seluruh negara bukan sahaja di Putrajaya.

SINAR HARIAN ONLINE: Selain daripada halangan tidak mendapat akses media apa lagi cabaran kepada Datuk untuk mendapatkan Putrajaya?

HUSAM: Cabaran lain di sini umumnya perasaan takut warga Putrajaya. Sekarang sudah hilang ketakutan, pada mula dulu saya ingat mereka takut tapi sekarang oleh sebab mereka yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) ini mampu ditumbangkan kerana dosa-dosa yang tidak dapat lagi dimaafkan oleh rakayat jelata dan tidak ada perubahan ketara dalam segi sikap pemimpin-pemimpin utama.

Bahkan tokoh-tokoh lama yang bermasalah dari segi politik wang juga terpilih sebagai calon dan kebangkitan berlaku di seluruh negara termasuk di Sabah jadi kakitangan dan guru-guru di sini nampak yakin bahawa selepas 6 Mei 2013 ada sebuah kerajaan baru. Jadi dulu orang cakap mereka takut tetapi kali ini nampaknya sudah tidak takut.

Saya harap tidak ada ugutan-ugutan dibuat. Ada beberapa blog yang terbabit dengan parti lawan saya, menyiarkan nama-nama dan juga gambar-gambar ugutan terhadap sesetengah kakitangan yang telah memberikan komen yang bebas dalam blog-blog, Facebook dan lain-lain.

Saya kira ini bersalahan dengan ‘spirit’ yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga oleh Tun Mahathir Mohamad bila kita buka dunia siber kita nakkan kebebasan minda semua warga negara Malaysia.

Dengan kebebasan itu mereka akan menjadi lebih maju dan berpolitik kerana minda mereka tidak dikongkong. Kalau ugutan-ugutan dibuat, ini bersalahan dengan semua polisi-polisi negara kita.

Jadi adalah ujian besar Putrajaya ini BN terikat dan mematuhi promosi yang mereka sendiri lakukan seperti dunia maya yang tidak ada batasan sekatan asalkan ia adalah berakhlak, bermoral dan tidak melanggar undang-undang utama negara dan juga…. di mana saya dilarang berkempen sama ada ceramah ataupun aktiviti lain melawat apartmen-apartmen di sini, kawasan presint-presint di sini kalau tidak dunia akan katakan kita mundur ke belakang.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah setakat ini insiden seperti itu berlaku di Putrajaya?

HUSAM: Setakat ini tiada apa-apa insiden kerana saya bergerak dengan cara yang sangat ‘low profile’ tapi selepas penamaan calon kita akan memohon permit untuk ceramah, mempamerkan skrin LED kita di pasar-pasar, masjid dan lain-lain dan juga aktiviti menyebarkan maklumat dan kempen rumah ke rumah. Saya berharap masa itu tidak ada sebarang gangguan.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah isu yang akan Datuk bawa untuk meraih sokongan pengundi di sini?

HUSAM: Isu adalah isu mereka, saya tak boleh reka isu apa yang telah mereka suarakan pada saya, saya dah sebut dah sebelum ini, hari-hari pertama saya di sini adalah untuk berinteraksi, mendengar, menghayati kehidupan mereka jadi selepas itu banyaklah disampaikan pelbagai rungutan.

Masalah utama sekali adalah perumahan mahal, tidak mencukupi, dan sempit bagi kaki tangan awam rendah. Kemudian masalah premis perniagaan, yang sewanya adalah melalui orang ketiga yang terlalu mahal dan tidak diberi peluang untuk disewa beli kepada peniaga menyebabkan kos juga naik.

Isu ketiga adalah kos hidup naik, termasuk bayaran bil elektrik dan air termasuk cukai bandar adalah yang tertinggi di Putrajaya. Isu lain adalah mengenai tempat ‘parking’ yang tidak cukup baik di apartmen mahupun di pejabat dan sesetengah tempat ‘parking’ berbayar. Apabila kakitangan bawah datang mereka tidak ada tempat ‘parking’, kalau mereka salah ‘parking’ tayar kereta mereka dikunci. Jika berbayar pula tidak berbaloi dengan pendapatan mereka.

Kemudian sekolah agama tidak mencukupi kerana di sini penduduknya majoriti orang Islam dan mereka mencadangkan mewujudkan maahad tahfiz sains dan ada satu cadangan lain mereka berharap kita boleh menubuhkan madrasah atau pun institusi al-Quran peringkat dunia sesuai dengan tahap dan taraf Putrajaya dan menjadikan al-Quran sebagai orientasi pusat tersebut.

Selain daripada itu isu lif rosak, isu klinik kesihatan yang tertangguh lama, isu kafetaria terbakar yang sudah hampir lapan bulan terbakar, selepas saya lawat barulah Tengku Adnan melawat. Itu maknanya baguslah sama-sama melawat dan itu isu lokal.

Dalam pada itu, isu blok pangsapuri Putra Damai bagi kumpulan kakitangan rendah sewanya adalah dari segi nisbahnya berbanding tempat lain adalah tinggi jadi saya cadangkan bagi kuarters ini Putra Damai dikurangkan sewanya dan rumah ini terlalu sempit 650 kaki persegi dan sepatutnya 1,000 kaki persegi.

Manakala isu pentadbiran, termasuk kongkongan terhadap pegawai-pegawai. Dalam satu insiden seorang penduduk di sini, bila jumpa saya di medan selera Presint 8, dia datang sambil menangis kerana dia rasa tertekan sedemikian lama. Dia terharu bila saya datang bertanding di sini dan dia harap kali ini Putrajaya akan merdeka sama dengan Malaysia sekarang, dia kata Putrajaya tidak merdeka duduk dalam kongkongan.

Pegawai-pegawai rasa dikongkong, dihimpit, dikawal dan isu pegawai awam adalah antara lainnya peratus caj pinjaman kerajaan dan perumahan. Mereka cadangkan ini dihapuskan dan mereka juga mahukan supaya tidak ada campur tangan politik dalam jabatan pentadbiran penjawat awam.

Penjawat awam boleh buat keputusan berdasarkan rasional sesuatu perkara bagi mengelakkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah dan pembaziran peruntukan. Mereka percaya kalau tidak ada campur tangan politik keputusan-keputusan akan jadi lebih jitu seperti NFC mereka berpendapat kalau ada campur tangan politik RM250 juta itu dapat diselamatkan, itu satu contoh.

Kemudian isu nasional adalah seperti penghapusan tol, penurunan harga minyak, adalah disambut baik dan saya lupa tadi isu kakitangan juga adalah pusat asuhan jagaan anak-anak tidak mencukupi, orang kena beratur untuk hantar anak sejak dari dalam kandungan lagi sudah kena daftar kalau tidak dia tidak dapat hantar anak dia ke pusat jagaan tersebut. Jadi ada isu kecil, lokal dan nasional yang wujud di Putrajaya.

SINAR HARIAN ONLINE: Sejak bila Datuk kenal pasti isu-isu tersebut?

HUSAM: Saya datang ke sini menemu bual mereka dan kemudian membuka Facebook dan talian aduan, sebahagian staf saya berinteraksi dengan mereka dalam perjumpaan-perjumpaan dan dari situlah kami mengutip masalah-masalah ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah pembaharuan yang Datuk bawa berbanding pemimpin BN di Putrajaya?

HUSAM: Yang pertama mereka semua tahu ‘track record’ saya dalam Parlimen dahulu saya boleh menyuarakan. Jadi saya sudah tulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Perdana Menteri, rakyat jelata. Saya telah tulis surat menyuarakan bagi pihak rakyat Insya-ALLAH kalau saya jadi ahli Parlimen, saya boleh bertemu dengan Perbadanan Putrajaya, Putrajaya Holdings dan pihak-pihak berkuasa lain, menteri dan lain-lain untuk membawa isu ini kepada mereka.

SINAR HARIAN ONLINE: Jika boleh Datuk kongsikan, apakah yang pengundi perlu tahu tentang Datuk dan perlu menyokong Datuk?

HUSAM: Negara kita perlukan perubahan, arah yang dibawa oleh kerajaan sekarang ini adalah menuju kepada kehancuran. Saya ambil contoh dari segi hutang negara. Hutang negara semasa Datuk Seri Najib meningkat mendadak daripada RM350 bilion sekarang kepada RM500 bilion lebih iaitu naik RM229 bilion. Naik dalam masa tidak sampai lima tahun. Ini tertinggi berbanding bekas-bekas perdana menteri sebelum ini .

Jadi sehingga hari ini, tidak nampak gaya hutang negara ini akan berhenti bahkan terus meningkat dan setengah hutang ini tidak dikira tetapi sebagai tanggungan negara seperti bon yang dikeluarkan 1 Malaysia Development Berhad dalam masa dua tahun sahaja 1MDB ini telah keluar bon berpuluh ribu juta, RM20 bilion bon.

Maknanya kalau tidak disekat ia akan ‘membelon’ terus sampai pecah. Jadi negara kita akan jadi bermasalah. Jadi ini menunjukkan bahawa kerajaan sedia ada tidak lagi mampu menguruskan negara kita dan isu-isu pecah belah, perkauman, seks lucah, caci maki tidak dapat dihalang bahkan berkembang dengan begitu ketara.

Nampaknya kerajaan hanya berdiam diri, jadi tidak mungkin masyarakat kita sepanjang masa berada dalam ketegangan. Sebuah kerajaan yang berteraskan akhlak dan moral keadilan serta kesaksamaan perlu diwujudkan. Sebuah kerajaan bersih dan telus serta akauntibiliti adalah asas berkerajaan yang ditekankan oleh Islam.

Amanah ALLAH sendiri sebagai makhluk, di mana pengundi yang berikan undi itu pun satu amanah. Jadi amanah ini ALLAH gunakan titah untuk dilaksanakan menghakimi manusia dengan keadilan.

Bila suatu kuasa telah disalahgunakan wajib kepada kita untuk betulkan semula kuasa tersebut. Jadi pada hari ini calon-calon ada yang dikitar semula yang pernah kena politik wang, terkenal terlibat dalam rasuah masih dipilih. Kabinet dengan sendirinya nanti tidak bersih, Kabinet lama yang mengulangi cerita-cerita politik wang.

Maknanya peluang bagi BN adalah terhalang dan PR menampakkan perpaduan dan kesungguhan dan ‘track record’ di negeri-negeri yang ditadbir dengan berkebajikan. Dengan berkebajikan ini kita yakin kita lebih sensitif dengan rakyat jelata apa yang menjadi masalah mereka akan menjadi keutamaan dalam dasar-dasar kita.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah jaminan Datuk boleh berikan kepada rakyat terutamanya warga Putrajaya sekiranya berjaya menawan Parlimen ini bahawa keadaan politik seumpama ini tidak akan wujud lagi?

HUSAM: Kita dalam Islam nombor satu adalah keperibadian mesti bertakwa, tetapi kalau keperibadian bertakwa sistem dan mekanismenya tidak baik, lama-lama orang itu boleh jadi tidak baik. Umpamanya pemimpin-pemimpin kerajaan mesti mengisytiharkan harta mereka dan pengisytiharan ini bukan untuk simpanan perdana menteri dalam biliknya. Kalau disimpan dalam laci perdana menteri dia tahu orang ni bertambah kekayaan tetapi kroninya ditambah lagi kekayaan melalui projek.

Mekanisme lebih bertanggungjawab boleh diaudit oleh Ketua Audit Negara, boleh diperiksa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain. Dan dengan cara itu pemimpin kurang peluang untuk melakukan kesalahan penyalahgunaan kuasa, serta mengaut kekayaan sesama mereka.

Sistem tender terbuka boleh mengelakkan kronisme dan menghapuskan orang tengah yang dipanggil monopoli seperti Perbadanan Putrajaya. Perbadanan ini bagi orang tengah untuk kawal premis perniagaan untuk ambil untung, kalau kita buang fungsi orang tengah ini, keuntungan itu boleh dijimatkan. Kita juga boleh mengurangkan kos sewa sama dengan Bernas yang berfungsi sebagai orang tengah dalam industri beras negara 2012.

Kenapa teksi tidak boleh diberikan secara milikan terus? Hanya dekat pilihan raya diuar-uarkan nak bagi tapi amalan kronisme beri kepada orang tertentu masih berjalan. Sistem itu tidak ada sistem itu, tak ada terbuka, tak ada telus, amalan kronisme di mana orang tengah ambil peluang mengambil keuntungan masih lagi berlaku.

SINAR HARIAN ONLINE: Ada dakwaan yang mengatakan ramai kakitangan kerajaan ini adalah orang Kelantan. Jadi adakah dengan tanggapan itu menjadi salah satu faktor berani mengambil risiko bertanding di sini?

HUSAM: Tak ada itu tak betul, orang Kelantan di sini tidak seramai mana dan saya bukan datang kerana Kelantan, Datuk Najib dia dari Pekan macam mana dia boleh duduk sini? Kalau kira macam itu semua menteri-menteri tak boleh duduk Putrajaya. Tengku Adnan sendiri berasal dari Melaka, jadi kalau orang Melaka boleh bertanding sini, apa salah orang Kelantan bertanding di sini?

Saya bukan bertanding di sini untuk orang Kelantan tetapi untuk Malaysia, untuk negara kecuali dia buat di situ orang Kelantan tak boleh masuk sini kenapa nak ‘bias’ dengan Kelantan? Mentang-mentang saya Kelantan, jadi saya ini rakyat kelas kedua? Perdana menteri pun sebut dalam ucapan beliau saya ini orang Kelantan, adakah orang Kelantan ini rakyat kelas kedua dalam Malaysia, sehingga orang di Putrajaya anggap saya ‘paria’ yang tak boleh bertanding.

Tak kenalah macam itu. Kita sudah berada pada abad 21. Malaysia negara maju, Putrajaya mesti menganuti fahaman masyarakat madani. Putrajaya mesti jadi ‘an excellent city ‘. Ciri-ciri keterbukaan menerima perbezaan pendapat dan melahirkan idea-idea yang boleh dicambah oleh pelbagai pihak untuk kebaikan bersama dan kesaksamaan yang menyeluruh yang utama sekali.

Ciri kemanusiaan bukan bangunannya, bangunan itu kedua. Manusia dan kemanusiaan itu utama. Bangunan dan lain-lain infrastruktur berada di tempat kedua. Infrastruktur itu dan lain-lain itu mesti diolah seperti kehidupan, kesejahteraan penghuninya bukan hendak menjadi Tengku Adnan.

Kalau kita kata jambatan itu mahal kerana dibengkokkan begitu-begini, tetapi kemudahan tempat letak kereta tidak ada, sudah tak seimbang antara keperluan manusia yang sebenar dengan hiasan-hiasan.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi apakah yang membuatkan Datuk berasa kuat berada di Putrajaya?

HUSAM: Saya berasa kuat, pertama kerana sekarang di seluruh negara atmosfera politik berubah untuk perubahan.  Kedua, orang di sini orang rasional, terpelajar, terbuka, celik IT dan menerima maklumat melalui internet. Pas percaya saya boleh menang.

SINAR HARIAN ONLINE: Jika Datuk berjaya menawan Putrajaya apakah janji yang akan Datuk tunaikan kepada pengundi di sini?

HUSAM: Janji khidmat apa yang telah saya lakukan di Dewan Rakyat, Dewan Negeri boleh ditonton dalam YouTube, ada buku dalam Parlimen saya semasa jadi ahli Parlimen yang dianggap sebagai ‘newsmaker of the year’ oleh Malaysiakini.com. Ini kerana saya sentiasa membangkitkan masalah isu dengan tepat, berdasarkan fakta-fakta itu antara kebolehan saya.

Saya akan teruskan bakat saya dan menyantuni masyarakat di sini sebagai sahabat. Saya datang ke sini untuk bersahabat jadi KSU, KSN, dan jusa-jusa yang banyak pendapat dan idea, kita bina potensi mereka dapatkan idea-idea mereka ini sangat berguna untuk kemajuan.

Saya akan fokus untuk selesaikan masalah-masalah berbangkit dan maahad tahfiz sains. Perbadanan Putrajaya adalah sebuah badan yang banyak duit kerana ada Petronas. Tidak mungkin Perbadanan Putrajaya ini tidak boleh layan penduduk di sini termasuklah dalam isu lif rosak tidak dibaiki, bangunan lusuh, dan sebagainya.

Ini kerana berpunca tidak ada persaingan di sini, saya yakin kalau ada persaingan di sini orang beri perhatian meningkatkan lagi mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan Putrajaya. Insya-ALLAH selepas menang baru bincang, penerimaan sangat baik. Tahun 2013 ini, tahun kelam-kabut buat Umno, ramai nak jadi calon Bebas.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah harapan Datuk pada PRU13 ini?

HUSAM: Saya berharap pilihan raya ini, berjalan licin dan aman serta rakyat tidak diugut dengan apa-apa ugutan termasuk berbaur perkauman, perpecahan dan huru hara. Rakyat perlu diberi kebebasan memilih, lima tahun sekali nak bertukar kerajaan. Sejak 55 tahun kerajaan sedia ada memerintah, ia sudah nyanyuk dan uzur dan tidak lagi mampu, seakan-akan bertongkat, hilang daya saing dan mutu perkhidmatan sebab itu kita buat demokrasi pilihan raya.

Wujudnya persaingan, pertukaran kerajaan, Malaysia akan jadi lebih maju. Saya yakin, ALLAH bantu hamba yang tulus ikhlas untuk berkhidmat. Selepas kempen saya yakin momentum rakyat di sini naik sedikit berbanding dulu.

ZIARAH KE PULAU GAYA

Tarikh : 17 Februari 2013 (Ahad)

Masa : 8.30 – 11 pagi

Lokasi : Pulau Gaya

Peserta : 30 orang

Kehadiran penduduk tempatan : 30-40 orang

Penganjur : PAS Kawasan Putatan

Tetamu : YB Datuk Paduka Hj Husam Musa, Naib Presiden PAS

Aktiviti : Ziarah, menyampaikan sumbangan, penyerahan borang masuk PAS

***

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/16788-pas-tubuh-cawangan-baru-di-pulau-gaya

PUTATAN: PAS Kawasan Putatan mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan cawangan di Pulau Gaya pada hari ini. Penyerahan borang keahlian PAS dilakukan oleh wakil penduduk, Tuan Ahmadi Munaf kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa sebagai simbolik penubuhan cawangan PAS Pulau Gaya.

Sebelum itu, dalam ucapan  Tuan Ahmadi Munaf berjanji akan memberi penerangan ‘apa itu PAS’ kepada masyarakat setempat agar misi dan visi perjuangan PAS dapat difahami oleh penduduk Pulau Gaya. Sokongan yang diberikan daripada  ahli keluarga beliau banyak membantu untuk menubuhkan cawangan PAS di Pulau Gaya.

Seterusnya, pimpinan PAS Negeri Sabah bersama Husam mengambil kesempatan untuk bertanya masalah yang dihadapi oleh penduduk Pulau Gaya, antara masalah mereka adalah ketiadaan pusat kesihatan (klinik) di kawasan tersebut. Bekalan air juga menjadi masalah utama penduduk yang terpaksa membeli air dalam tong dari Kota Kinabalu. Selain itu, penduduk Pulau Gaya juga berharap agar madrasah ta’lim dan kelas fardu ‘ain dapat diadakan di kampung mereka.

Di akhir majlis, pimpinan PAS Negeri Sabah bersama Husam menyampaikan sumbangan beras kepada masyarakat.

Pas@ Pulau Gaya (1) Pas@ Pulau Gaya (2) Pas@ Pulau Gaya (3) Pas@ Pulau Gaya (5) Pas@ Pulau Gaya (8) Pas@ Pulau Gaya (9) Pas@ Pulau Gaya (10) Pas@ Pulau Gaya (11) Pas@ Pulau Gaya (12) Pas@ Pulau Gaya (13) Pas@ Pulau Gaya (16) Pas@ Pulau Gaya (17) Pas@ Pulau Gaya (18)

DHPP DILANCARKAN DI SABAH

Sesuai dengan kedudukan Negeri Sabah yang rakyatnya pelbagai suku kaum dan agama, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sabah kini dapat melebarkan pengaruhnya dan memecahkan satu lagi tembok yang menghalang perhubungannya dengan masyarakat Malaysia secara keseluruhan apabila kini menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), satu sayap parti bagi rakyat non muslim yang berminat menyertai parti berkenaan.

Di Plaza Tanjung Aru Kota Kinabalu pada pagi sabtu, YB Datuk Paduka Haji Husam Musa, Naib Presiden PAS yang juga EXCO Kerajaan Negeri Kelantan melancarkan DHPP Negeri Sabah di hadapan 100 tetamu termasuk di kalangan bukan Islam sekitar Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Pitas dan lain-lain. Husam juga menerima borang keahlian masuk yang disampaikan oleh wakil-wakil kawasan berkenaan dan sebagai simboliknya, Husam menyerahkan bendera parti kepada mereka.

Dalam ucapannya, Datuk Husam menjelaskan orang Islam dididik untuk melakukan kebajikan dan kebaikan kepada orang lain yang berbeza bangsa dan agama. Perbezaan agama dan bangsa juga tidak mewajarkan orang Islam menzalimi orang lain. Beliau juga menyeru ahli PAS di Sabah bersatu tenaga, bekerja keras untuk menawan hati seluruh rakyat Sabah dengan mendengar masalah mereka, memikirkan dan membantu menyelesaikannya tanpa memilih suku bangsa dan agama. Inilah ajaran Islam yang syumul yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Terdahulu Pengerusi DHPP Sabah Sim Kang Loon dalam ucapannya mengakui tanggungjawab berat untuk memahamkan rakyat Sabah khususnya yang bukan berugama Islam namun berjanji akan bekerja keras untuk memberikan kemenangan kepada PAS di Sabah dalam pilihanraya akan datang. Beliau juga menyeru orang bukan Islam pelbagai bangsa menyertai DHPP dan bersatu untuk memberi kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat di Sabah.

Pada sesi yang kedua, diadakan dialog dan soal jawab yang mendapat sambutan yang baik daripada para peserta yang hadir yang dipengerusikan oleh Sdr Lahirul Latigu Ketua Pemuda PAS Sabah. Menarik apabila Husam bertanya kepada seorang pakcik dari Pitas, apakah yang semestinya dilakukan untuk memenangkan PAS dan Pakatan Rakyat di Sabah, pakcik berkenaan menjawab : “Satu hati”.

Turut hadir ialah YB Dr Mohd Hatta Ramli (Pengarah Pilihanraya PAS Pusat), Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda PAS Malaysia), Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia), Tuan Aminuddin Aling (Pesuruhjaya PAS Sabah), Ustaz Haji Awang Laiman Ikin (Setiausaha PAS Sabah) dan Tuan Haji Mohammad Abdullah (Penasihat PAS Sabah).

 

 

 

 

 

 

 

MAKAN MALAM PAS SABAH

Walaupun makan malam itu pada saat akhir tidak dapat dihadiri oleh YAB Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Mursyidul Am PAS kerana kesihatan beliau yang tidak mengizinkan, sesi ceramah jarak jauh dari rumah beliau di Pulau Melaka Kelantan secara maya pada malam itu sedikit sebanyak melegakan mereka yang hadir.

Bahkan kesudian Tok Guru ‘melepaskan’ isteri beliau Datin Tuan Sabariah ke Sabah sudah menunjukkan kesungguhan beliau yang ingin bersama-sama rakyat Sabah walaupun sepatutnya seorang isteri berada di sisi suami. Ada maklumat menjelaskan bahawa Tok Guru sudah berada di KL pada jumaat untuk menghadiri satu majlis makan malam bersama Dewan Muslimat sebelum dijadualkan ke Tawau pada pagi sabtu, namun beliau terpaksa pulang ke Kota Bharu pada pagi berkenaan.

Hampir 1000 tetamu yang hadir memenuhi dewan konvensyen Star City Kota Kinabalu, terpaku diam mendengar ucapan beliau walaupun beberapa kali siaran berkenaan tersekat-sekat. Sebagai ganti Tok Guru, YB Datuk Husam Musa selaku Naib Presiden PAS dan exco kanan kerajaan negeri Kelantan hadir di Kota Kinabalu sejak lewat petang bagi melancarkan dana pilihanraya ke-13 dalam majlis berkenaan.

Selain YB Datuk Husam Musa, turut tampil menyampaikan ucapan ialah YB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Bukit Gantang; Dato’ Nassaruddin Daud, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan; Aminuddin Aling, Pesuruhjaya PAS Sabah; Ahmad Tamrin, Pengerusi Perhubungan PKR Sabah dan Dr Edwin Bosi mewakil DAP Sabah. Tuan Haji Ahmad Kambar, bekas pegawai tinggi kerajaan bertindak sebagai juruacara majlis.

Video rakaman ucapan pemimpin akan menyusul.

NABI Muhammad s.a.w bersabda :

“Mereka (kakitanganmu) adalah saudara (adik beradik)mu, Allah menempatkan mereka di bawah kelolaanmu; sehingga sesiapa mempunyai saudara di bawah kelolaannya maka harus diberinya makan seperti apa yang dimakannya (sendiri) dan memberi pakaian seperti apa yang dipakainya (sendiri); dan tidak membebankan  mereka dengan tugas   berat di luar kemampuan, dan jika kamu membebankannya dengan tugas seperti itu,   hendaklah kamu sendiri membantu mereka.” (HR. Muslim)

Saya ditugaskan berdiri di sini untuk membentangkan Kertas Jingga Tawaran Pakatan Rakyat berkaitan Perkhidmatan Awam Negara.

Pakatan Rakyat telah mencapai kemenangan. Semalam Perdana Menteri telah mengumumkan skim SBPA ditangguhkan. Pengumuman ini dibuat sehari sebelum Konvensyen Pakatan Rakyat di mana Kertas Jingga kita telah  mencadangkan bukan sahaja SBPA ditangguhkan tetapi digubal semula! Nampaknya Kertas Jingga kita telah dapat dikesan oleh PM.

Tahniah kita ucapkan kepada seluruh kakitangan awam atas kejayaan mereka menangguhkan pelaksanaan skim yang akan melebarkan lagi jurang pendapatan di kalangan kaki tangan awam negara ini. Selain tidak dirundingi secara lebih menyeluruh, SBPA benar-benar memberikan penekanan kepada lapis atas sektor perkhidmatan awam dan tidak memberikan pembelaan sewajar dengan kenaikan beban hidup kepada 80% lagi kaki tangan yang dimmasukkan dalam kategori pelaksana.

Berdasarkan Laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), 40 peratus daripada rakyat negara ini tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan. Kira-kira 75 peratus daripadanya ialah keluarga Melayu/Bumiputera merangkumi keluarga kakitangan awam yang kononnya dibela oleh Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN). Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup merana. Layanan terhadap golongan rakyat tersebut yang diberikan Kerajaan UMNO-BN dapat disifatkan umpama melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi.

Jika kita merujuk kepada data terkini Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP), 5.3 juta pekerja dengan 92 peratus daripadanya adalah ahli aktif menerima gaji bulanan tidak melebihi RM5,000. Dengan kata lain, hanya 8 peratus daripada golongan pekerja, termasuk kakitangan awam yang berada dalam kategori berpendapatan  melebihi RM5,000. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34 peratus daripada tenaga kerja masih dibayar kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan. Kakitangan awam juga berdepan dengan situasi sedemikian.

Gaji yang bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh kakitangan awam, tetapi satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia. Prinsipnya adalah seharusnya menepati maksud hadis yang saya bacakan tadi.

Bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi Kerajaan UMNO-BN yang memandang remeh kehendak rakyat, termasuk kakitangan awam yang begitu asasi, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Hasilnya, sama seperti mahasiswa yang dibelenggu dengan hutang PTPN, kakitangan awam negara kita sebenarnya turut terbelenggu dengan perangkap hutang.

Kerajaan Kelantan pada asasnya bersetuju, Insyaallah jika PR mentadbitr Putrajaya, royalti petroleum yang terhak kepada Kelantan akan dibayar dan semua pinjaman PTPN rakyat Kelantan bermula sejak 2005 akan dijelaskan. Saya telah mendengar ucapan Dato Seri Anwar Ibrahim menjelang 901 yang menyebut PR akan menyemak semula kedudukan PTPN seluruh negara jika PR menguasai Putrajaya. Di bawah SPBA yang dicadangkan, masih terdapat kakitangan awam yang menerima gaji di bawah RM900. Sebagai contoh:

Tangga Gaji Bagi Skim N(Pentadbiran & Sokongan):

Gred N5-1 (SSM – N11) 850 – 2390 (Kenaikan gaji tahunan KGT RM80)

Gred N4-1 (SSM – N17) 955 – 2780 (Kenaikan gaji tahunan KGT RM95)

Prinsip mendekatkan jurang pendapatan akan diguna pakai bagi tawaran alternatif PR kepada perkhidmatan awam negara. Prinsip lain ialah Pakatan Rakyat mengiktiraf sumbangan kakitangan awam yang telah lama berkhidmat atau ‘seniority’ bagi memastikan kenaikan gaji golongan tersebut adalah sepadan. Elaun khas profesional akan ditetapkan bagi kakitangan awam yang mempunyai pengiktirafan profesional seperti jurutera (Ir), juru arkitek (Ar), juruukur tanah (Sr) dan seumpamanya.

Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding antarabangsa yang penuh dengan pertikaian dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan.

Tindakan membuka jawatan penting kerajaan kepada lantikan luar juga membuktikan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai kepercayaan kepada kakitangan awam untuk melaksanakan agenda transformasi beliau sehingga terpaksa mengimport tenaga profesional luar seperti yang dilakukan melalui Pemandu di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan melibatkan syarikat perhubungan antarabangsa seperti APCO dan FBC. Oleh kerana kertas ini disediakan untuk memberikan pandangan PR terhadap SBPA, izinkan saya melanjutkan sedikit ulasan saya mengenainya.

Kakitangan awam kategori Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C dijangka menerima kenaikan hampir 45 peratus pada peringkat permulaan gaji berbanding SSM. Meskipun kumpulan pengurusan premier hanya mempunyai 36 orang di negara ini, tetapi Kumpulan Premier 1 mendapat kenaikan sehingga RM60,000 sedangkan gaji mereka sebelum ini hanya sekitar RM30,000. Sementara itu, kakitangan awam biasa hanya menerima kenaikan gaji 7-13 peratus selepas menerima SBPA.

Sebahagian kakitangan juga menuduh SBPA tidak menghargai kakitangan yang bekerja lama atau warga tua. Sebagai contoh, selepas kenaikan tangga gaji skim SSM kepada skim SPBA, kakitangan awam B hanya mendapat separuh daripada kenaikan kakitangan awam A, masalah sama juga berlaku kepada kakitangan awam C gred gaji N1 yang berkhidmat lebih 20 tahun mendapat kenaikan kurang daripada kakitangan awam A. Padahal kakitangan awam C sepatutnya layak menerima lebih kenaikan berbanding kakitangan awam A.

Oleh sebab peningkatan gaji bergantung kepada peratusan daripada pokok gaji, ini menyebabkan peningkatan gaji kakitangan awam yang rendah tidak mendapat peningkatan yang ketara apabila dilakukan kenaikan daripada SSM kepada SBPA.  Mengambil gaji guru sebagai contoh, perbezaan peratusan kenaikan gaji bagi guru di bawah SBPA sangat ketara. Guru DG44/DG1-2 cuma mendapat kenaikan gaji sebanyak RM2.01 atau 0.07% iaitu daripada RM2,982.99 kepada RM2,985 selepas menukar daripada SSM kepada SBPA. Nilai ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan kenaikan gaji guru DG54/DG1-6 sebanyak RM1,857.46 (bersamaan 35.94%), daripada RM5,167.64 kepada RM7,025.00.

Gaji guru

Penelitian kami  menunjukkan bahawa pengiraan SBPA akan menyebabkan berlakunya peningkatan gaji guru yang tidak adil. Tambahan juga, terdapat guru dalam gred berbeza menikmati gaji yang sama. Contohnya, seorang guru P1T10 yang menikmati gaji bulanan RM2509.90 dalam SSM, selepas menerima SBPA, gajinya sama dengan guru P1T9 sebanyak RM2615 sebulan.

Jika dihayati ucapan Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan Negara 2012, tempoh guru DG41 (DG1-1) dinaik pangkat ke DG44 (DG1-2) adalah tahun ke-8 dan seterusnya tahun ke-16 dikira dari pelantikan DG41 akan dilantik ke DG48 (DG1-4). Tapi mengikut SBPA, pihak yang terlibat harus menunggu tahun ke-9 atau menggenapkan perkhidmatan selama 8 tahun di DG41/DG1-1 sebelum dinaikkan pangkat ke DG44/DG1-2 dan perlu menggenapkan 8 tahun perkhidmatan di DG1-2 sebelum layak dinaikkan pangkat secara ‘time-based’ ke DG1-4.

Pengumuman penangguhan SBPA oleh PM membuktikan terdapat begitu banyaknnya kelemahan dalam skim ini. Soalnya, kenapa kabinet meluluskan pelaksanaannya tanpa benar-benar menelitinya? Pakatan Rakyat mencadangkan bukan sahaja SBPA ini ditangguhkan bahkan satu tawaran alternatif berasaskan prinsip akauntabiliti dan kecemerlangan perkhidmatan awam dibentangkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh konvensyen ini.

Selain dari itu, satu jawatankuasa mengkaji Akta Pekerja yang dicadangkan oleh Kerajaan BN di mana ia lebih menyebelahi majikan berbanding kakitangan terutama kaki tangan kontrak. Sewaktu menyiapkan kertas ini, kami juga menerima permintaan dari kakitangan MAS yang merasa tidak puas hati dengan kedudukan mereka ekoran ‘share swapping’ antara Air Asia yang mempunyai kakitangan yang sedikit berbanding pesawat dan MAS di mana kaki tangannya lebih besar dengan nisbah pesawat yang lebih kecil.

Di samping itu, dari maklum balas yang kami terima, lebih dari 50% kakitangan awam memihak kepada PR kerana mereka merasakan PR lebih ‘fatherly and motherly’. Simbol ‘fatherly’ PR ada pada tokoh seperti Tuan Guru Nik Aziz dan tokoh ‘motherly’ seperti Datuk Seri Dr. Wan Azizah. Sementara dinamisma yang diperlukan oleh perkhidmatan awam ada pada tokoh seperti YAB Lim Guan Eng. Dengan itu, PR mempunyai kelebihan bagi memberikan tawaran yang lebih bertepatan dalam rangka meningkat mutu perkhidmatan awam kita yang sebenarnya menjadi kunci ‘delivery and perfomance’ Kerajaan.

Dengan saiz perbelanjaan mencecah 28.7% dari Belanjawan 2012 atau jumlahnya RM 52 billion, seharusnya mutu penyampaian perkhidmatan awam mestilah sangat tinggi dan cemerlang.

Sekian

Husam Musa

Konvensyen Pakatan Rakyat

14 Januari 2012

——————————————-

Kertas cadangan ini dibentangkan penulis dalam Konvensyen Ketiga Pakata Rakyat di Alor Setar pada 14 Januari 2012.

ROYALTI MINYAK KELANTAN

KOTA BHARU – 24 daripada 32 telaga minyak dan gas di Medan Bumi dan Suria berhampiran perairan negeri itu memulakan pengeluaran sejak April lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa. Menurutnya, kerajaan negeri kecewa kerana tidak dimaklumkan perkara tersebut walaupun telaga berkenaan berada di kawasan Kelantan sepertimana hasil royaltinya yang tidak dapat dimiliki rakyat negeri ini.

“Berdasarkan pengeluaran minyak dan gas mutakhir, 12 daripada 16 telaga minyak di Medan Bumi sudah mengeluarkan hasil sejak April lalu manakala 12 lagi telaga gas daripada 16 telaga di Medan Suria juga memulakan pengeluaran. Saya diberitahu Kerajaan Terengganu menerima royalti minyak sebanyak RM936 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. Bayangkan jika setahun berapa jumlah keseluruhan yang diperolehi Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim, semalam.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mendakwa Petronas melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil daripada minyak dan gas di perairannya dan di kawasan laut yang bertindih di antara Kelantan-Thailand, Kelantan-Vietnam dan Kelantan-Terengganu. Berikutan dinafikan royalti minyak itu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lalu.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum berkata, sehingga kini timbul persoalan kenapa Terengganu diberikan keistimewaan menerima bayaran royalti minyak berbanding Kelantan yang diketepikan. Menurutnya, kedua-dua kawasan telaga minyak dan gas itu hampir dengan Kelantan dan hanya mengambil masa 35 minit menggunakan helikopter dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

%d bloggers like this: