Tag Archive: Hudud


Tarikh : 26 Oktober 2014

Lokasi : Hotel Permai Kuala Terengganu

Global-Peace-Index

Oleh : Dr Zuhdi Marzuki

1. Saya berpandangan tidak adil untuk menjadikan ranking The Safest Countries yang lazimnya berdasarkan Global Peace Index untuk menilai keberkesanan Undang-undang Islam (Hudud) untuk mencegah jenayah. Indeks tersebut berdasarkan banyak parameter bukan sekadar kadar jenayah (criminal rate).

2. Termasuk dalam parameter indeks keamanan global itu ialah kadar insiden keganasan, insiden konflik dalaman, hubungan harmoni dengan negara jiran, jumlah perbelanjaan pertahanan, jumlah anggota pasukan keselamatan, sumbangan terhadap misi keamanan PBB dan lain-lain.

3. Kalau berdasarkan parameter ini memanglah Arab Saudi dan Pakistan tertinggal ke belakang, kerana negara ini dijadikan medan untuk menghadapi terroris oleh kuasa besar sendiri. Hubungan Pakistan dengan India sampai sekarang hampir mustahil boleh distabilkan. Oleh sebab itu mengambil indeks ini untuk menilai keberkesanan Islam dan hukumnya untuk mengekang jenayah adalah tidak tepat.

4. Sepatutnya lebih sesuai diambil secara spesifik kadar jenayah yang berlaku dalam 100,000 penduduk sesuai dengan tujuan hukum jenayah Islam (hudud) adalah berkaitan dengan jenayah.

5. Kalau diambil kadar jenayah (criminal rate) negara-negara yang dikatakan paling selamat itulah yang tertinggal, sebagai contoh kadar rogol berdasarkan statistik 2009:

a. Sweden berada di kedudukan kedua dengan 53.2 kes per 100,000 penduduk
b. New Zealand di kedudukan ketiga dengan 30.9 kes
c. Ireland di kedudukan kelima dengan 22.3 kes
d. Iceland di kedudukan keenam dengan 21.6 kes

6. Keempat-empat negara ini berada di kedudukan teratas dalam Global Peace Index dari segi negara paling selamat diduduki. Negara-negara Islam termasuk yang melaksanakan sepenuh atau sebahagian hukum Islam adalah antara paling rendah kes rogol, contohnya Sudan kadarnya 2.9 dan Maldive 3 dalam 100,000 penduduk.

7. Berhubung dengan jenayah bunuh dengan niat pula, berdasarkan indeks kadar jenayah global, kadar bunuh di Arab Saudi adalah 0.8 kes bagi 100,000 penduduk dan UEA juga 0.8, lebih rendah daripada New Zealand 0.9, Sweden 1.0, Australia 1.0, Ireland 1.2, Kanada 1.6, Finland 2.2 dan US 4.8.

8. Bagi kejadian rompakan pula, kejadian rompakan di Arab Saudi (statistik tahun 2000) hanya 2.9 kes bagi 100,000 penduduk, Pakistan (tahun 2000) 0.1 kes, Qatar (tahun 2004) 2.6 kes dan Brunei (tahun 2006) 0.5 kes, berbanding dengan US (tahun 2006) 146.6 kes, Sweden (tahun 2006) 94.2 kes, Australia (tahun 2002) 81.8 kes, New Zealand (tahun 2006) 59.7 kes, Ireland (tahun 2006) 55.7 kes, Switzerland (tahun 2006) 54.6 kes dan Finland (tahun 2006) 32.3 kes.

9. Jelas sekali berdasarkan angka-angka itu dari segi kadar jenayah dan kejadian jenayah-jenayah tertentu negara-negara yang melaksanakan secara sempurna atau sebahagian hukum jenayah syariah lebih berjaya dari negara-negara Scandinavia yang dibanggga-bangggakan. Pakistan selalu dijadikan sebagai model buruk perlaksanaan hukum jenayah syariah, sedangkan semua maklum negara itu adalah negara yang politiknya tidak stabil dan banyak berlaku konflik dalaman disebabkan pengaruh kuasa-kuasa dunia yang terlibat dalam politik serantau.

10. Jumlah penduduk Pakistan pula lebih dari 180 juta, justeru amat dangkal untuk membandingkan dengan negara yang jauh daripada konflik dan tidak menjadi medan percaturan kuasa-kuasa dunia seperti di Sweden, Switzerland, Finland dan Iceland, apatah lagi penduduk mereka yang begitu sedikit seperti Iceland hanya 300,000, Finland 5 juta, Switzerland 8 juta dan Sweden 10 juta. Dalam keadaan konflik dan penduduk yang begitu ramai, Pakistan masih dapat mengatasi beberapa negara ini dalam aspek-aspek jenayah.

1. Islam adalah cara hidup yang secara menyeluruh meliputi zahir dan batin, kini dan hidup selepasnya. Ia bukanlah sekadar kepercayaan yang boleh disalahtafsirkan tetapi ia juga merupakan pemerhatian dan pelaksanaan menyeluruh di dalam kehidupan manusia meliputi berbagai bidang seperti ekonomi, perniagaan, pendidikan, politik dan juga kesihatan.

2. Undang-undang syariah Islam termasuk Hudud, hanyalah melibatkan jenayah berat seperti mencuri, membunuh, pelakuan seks terlarang. Setiap kesalahan ini akan dihukum oleh mana-mana undang-undang tanpa pengecualian.

3. Hudud adalah undang-undang yang kompleks di mana ia menarik perhatian mereka yang selama ini tidak pernah sedar bagaimana cara dan pelaksanaannya. Undang-undang Hudud sesungguhnya adalah sangat adil, saksama dan terpelihara.

4.  Tujuan diturunkan syariah (Maqasid Syari’ah) adalah untuk memelihara keadilan dan kepentingan awam (maslahah ammah). Mahkamah Syariah dengan itu diberi mandat untuk melaksanakan hukum syariah tanpa takut dan memihak.

5. Allah memerintahkan pelaksanaan Hudud dilakukan di hadapan orang ramai adalah bertujuan untuk mendidik dan menginsafkan semua. Ia bukanlah untuk memalukan si pesalah. Semua yang terlibat adalah mereka yang terlatih dan dilantik. IMAM percaya ahli professional yang terlibat adalah mereka yang bertauliah. Sehinga kini sebarang pelaksanaan undang-undang di Malaysia akan dilakukan dengan kehadiran ahli perubatan bertauliah. Begitu juga dengan pelaksanaan hudud di negara Islam yang lain.

6. Seperti di dalam angkat sumpah ahli perubatan Islam, para doktor tidak dibenarkan untuk menjalankan pemotongan anggota badan manusia di mana tiada perubatan yang sesuai untuk pelumpuhan anggota badan manusia. Para doktor yang hendak membuang anggota badan yang terkena gangrene, perlu membuatnya di dalam keadaan pesakit dibius terlebih dahulu supaya mereka tidak merasa sakit. Hukuman Hudud ini diadakan supaya timbul rasa sakit, takut dan bertaubat kepada pesalah dan menimbulkan kesedaran kepada orang ramai agar tidak mengulangi kesalahan yang sama di masa hadapan. Melalui pelaksanaan Hudud, bius sama sekali tidak dibenarkan. Walaubagaimanapun ia terbuka kepada perdebatan dan IMAM bersedia menerima mana-mana pendapat berdasarkan hujah Syariah yang berkaitan untuk diamalkan oleh doktor-doktor Islam.

7. Islam adalah agama yang terbuka dan berlandaskan Sunnatullah. Sudah tentunya ia menghormati pendapat dan peraturan yang diamalkan oleh agama lain. Setiap Muslim adalah berhak diperintah di bawah undang-undang Syariah dan kita perlu memahami undang-undang Islam untuk kepentingan umat Islam sendiri. Paling tidak, pihak IMAM meminta semua pihak lain agak menghormati Islam dan juga undang-undang Syariah.

PROF DATUK DR ABD RAHIM MOHAMAD
Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM)

POTONG TANGAN PENCURI

SYED

Sumber : http://ustazsyed.blogspot.com/

POTONG TANGAN PENCURI

Motosikal dicuri. Kabel elektrik dicuri. Duit tabung masjid dicuri. Besi penutup longkang dicuri. Duit di dalam akaun juga ada yang dicuri. Pelbagai kes kecurian berlaku, apakah kesudahannya ? Bagaimana mengatasinya ? Jawapannya hanya satu, iaitu memotong tangan pencuri.

Imam Bukhari (no hadis 6788) dan Imam Muslim (no hadis 1688) meriwayatkan bahawa seorang perempuan dari qabilah besar dan sangat dihormati di kalangan masyarakat Mekah, iaitu qabilah Bani Makhzuum telah disabitkan kesalahan mencuri.

Lalu Quraisy begitu bimbang sekiranya perempuan bangsawan ini dipotong tangannya lalu mereka berbincang untuk mencari seseorang bagi memujuk Rasulullah s.a.w agar tidak menjatuhkan hukuman tersebut.

Akhirnya, mereka memilih Usamah bin Zaid bin Harithah untuk tugas itu kerana beliau adalah cucu angkat kesayangan baginda s.a.w. Setelah Usamah menyatakan perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, baginda terus menjawab dengan tegas “ Adakah kamu ingin memberi syafaat (memujuk diriku agar tidak menjatuhkan hukum) dalam perlaksanaan hukum Allah ini ??”

Lalu baginda bangun mengadap orang ramai dan menyampaikan satu ucapan yang bermaksud :

“Sesungguhnya umat terdahulu sebelum kamu telah binasa kerana apabila golongan atasan dan bangsawan di kalangan mereka melakukan kesalahan, mereka dibiarkan. Apabila golongan bawahan dan rakyat biasa melakukan kesalahan, hukuman yang ditetapkan oleh Allah ( hudud ) dilaksanakan ke atas mereka. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad ( s.a.w) mencuri, nescaya aku pasti akan memotong tangannya !”.

Menurut Imam al-Qurtubi, perempuan daripada Bani Makhzuum itu bernama Murrah binti Suffian bin Abdil Asad dan dia adalah wanita pertama yang dijatuhkan hukuman potong tangan oleh Rasulullah s.a.w. kerana disabitkan kesalahan mencuri. (Tafsir al-Jaami’ li Ahkaam al-Quran- surah al-Maa’idah ; ayat 38 )

KEJAM

Ada pandangan yang mengatakan bahawa hukuman ini adalah kejam. Sebenarnya tindakan memotong tangan seseorang memanglah kejam, tetapi sekiranya orang itu adalah seorang pencuri, maka hukuman tersebut amatlah sesuai.

Ia bersifat memberi pengajaran kepada pencuri dan masyarakat sekeliling serta memberi peluang kepada pencuri untuk bertaubat dan memulakan kehidupan baru. Sesiapa yang tidak mencuri atau tidak  berniat untuk mencuri tidak perlu bimbang kerana hukuman ini hanyalah istimewa untuk para pencuri sahaja.

Bayangkan seorang ayah yang mengumpul duit saban bulan untuk membeli sebuah motosikal bagi kegunaan anak sulongnya yang baru melanjutkan pengajian di universiti, tiba-tiba motosikal itu dicuri !

Tanpa disedari, ada yang pernah menjadi mangsa pencuri telah mengeluarkan ungkapan “Kalau aku jumpa pencuri keretaku, akan kucincang sehingga mati !” Ada juga yang menyebut “Kalau dapat ditangkap orang gaji yang mencuri barang kemasku itu, akan kutikam sampai hancur !”. Para pembaca boleh bertanya mangsa-mangsa kecurian, apa yang akan mereka lakukan sekiranya dapat menangkap pencuri tersebut

PREVENTION IS BETTER THAN CURE.

Islam hadir dengan membawa suatu penyelesaian yang sederhana di dalam segenap aspek kehidupan manusia. Hukumannya bukan sahaja bersifat setimpal dengan kesalahan tetapi ia juga mengandungi unsur pencegahan. Allah berfirman yang bermaksud

“ dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Surah al-Maa’idah ; 38 ). 

Walaubagaimanapun, seseorang pencuri tidak terus dipotong tangannya melainkan setelah cukup syarat-syaratnya seperti kadar nilaian barang curian, tersimpan di tempat yang selamat dan beberapa isu lain yang diperincikan di dalam kitab-kitab fekah. 

Para pengkaji di dalam bidang perundangan amatlah digalakkan untuk membuat kajian perbandingan berkenaan aspek “prevention (pencegahan) ” yang terkandung di dalam undang-undang jenayah Islam dan juga undang-undang ciptaan manusia.

Sekiranya masyarakat menyaksikan seseorang yang telah sabit kesalahan mencuri dipotong tangannya di khalayak ramai, pastinya tersemat satu perasaan gerun ke dalam hati mereka untuk melakukan jenayah yang sama. Begitu juga apabila pesalah yang dijatuhkan hukuman tersebut meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan sebelah tangannya  terpotong, pasti akan menjauhkan dirinya daripada mengulangi jenayah mencuri lagi.

Bahkan masyarakat yang berurusan dengannya akan sentiasa mengambil iktibar setiap kali melihat pencuri tersebut  dalam keadaan terpotong tangannya. Hukuman ini akan menyebabkan pencuri itu insaf dan bertaubat, lalu ia akan terselamat di akhirat nanti.

Inilah keindahan islam. Seseorang yang melakukan kesalahan mesti dihukum, tetapi di dalam masa yang sama ruang untuk membaiki diri terbuka luas sebagaimana firman Allah di dalam sambungan ayat di atas yang bermaksud

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (mencuri) itu dan memperbaiki amal usahanya, Sesungguhnya Allah menerima taubatnya (selepas dipotong tangannya) kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Maa’idah ; 39 )

Masyarakat juga boleh hidup dengan tenang dan aman daripada ancaman golongan yang berkarier sebagai pencuri ini.

hukum hudud di aceh

Sumber : http://myfaisalonline.blogspot.com/2013/10/apa-masalahnya-dengan-hukum-hudud.html

Permasalahan pelaksanaan Hudud di Malaysia bukan sangat disebabkan oleh namanya hudud, tetapi disebabkan hudud itu merupakan undang-undang yang berteraskan agama, yang mahu dikenakan kepada orang ramai. Orang yang berfahaman sekular sukar menerima pendekatan ini kerana agama bagi mereka hanyalah bersifat personal dan spiritual.

Mereka juga berasa tidak perlu kepada agama atau menggunakan agama apabila perlu sahaja. Apabila perintah agama ingin dijadikan undang-undang yang dikenakan kepada mereka, mereka sukar menerimanya.

Hal ini boleh dilihat dalam isu pemisahan kaunter antara lelaki dan perempuan. Ada orang yang tidak boleh terima pemisahan antara lelaki dan perempuan kaunter pembayaran atas alasan mengurangkan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang agak bebas. Ini kurang digalakkan di dalam Islam.  Mereka sukar menerima arahan ini kerana alasan kepada arahan itu berteraskan perintah agama. 

Tetapi, mengkhususkan koc keretapi untuk perempuan sahaja, boleh diterima pulak kerana alasannya mengelakkan gangguan seksual. Walapun ada yang bising, tetapi diteruskan sahaja. Inilah sekular.

Perkara yang sama juga dengan arahan menutup aurat yang ramai di kalangan umat Islam memandang rendah perintah ini. Kerana ia adalah arahan agama. Tetapi sebagai nurse atau tukang masak yang perlu memakai pakaian uniform yang tertentu, tidak pula komplen kenapa nurse wajib pakai putih, kenapa tidak hitam aje.

Penolakan ini berpunca dari penolakan / keraguan terhadap Islam sebagai agama yang mempunyai ciri universal yang boleh mengatur dan mengawal tingkah laku manusia. Ini merupakan cabaran yang hebat kerana dalam dunia moden, masyarakat lebih cenderung untuk menerima nilai yang universal berdasarkan kepada elemen rasionalisme. pluralisme dan demokrasi. Ini jelas di dalam masyarakat yang berbilang kaum.

Contohnya, seseorang ketua agak keberatan untuk membuat peraturan berasaskan kepada arahan agama seperti tidak membenarkan tukang gunting berlainan jantina dan memisahkan lelaki dan perempuan ketika membayar di kaunter.

Contoh lain ialah di dalam sesebuah organisasi yang mempunyai ahli yang berlainan agama dan bangsa. Apabila mereka ingin menganjurkan hari keluarga atau sambutan hujung tahun, pengisian program yang berasaskan agama biasanya dielakkan. Sekiranya ada pihak yang inginkan program tari menari atau tarian gelek, sukar bagi orang Islam yang cintakan agama memberikan alasan untuk tidak membenarkan program itu atas larangan agama. Untuk mengelaknya jugak, pelbagai alasan lain terpaksa dicipta untuk menghalang program itu.

Di dalam masyarakat yang berbilang kaum, dilemma ini biasa berlaku kerana perbezaan sistem nilai. Namun, yang menyedihkan kerana perbezaan kefahaman tentang agama. Contohnya, mereka yang berfahaman bahawa Islam hanyalah agama peribadi sahaja akan berbeza niilai dengan mereka memahami Islam adalah agama yang mengatur kehidupan manusia.

Hudud merupakan undang-undang yang mengatur kehidupan manusia. Oleh kerana ia merupakan peraturan yang berasaskan agama, kelihatan ia sukar untuk diterima oleh masyarakat Islam yang sekular, termasuk juga yang liberal. Sekiranya yang menolaknya bukan Islam, itu memang tidak menghairankan kerana agama yang mereka anuti seperti Kristian, Budha dan Hindu berteraskan sistem sekular. Tetapi sekiranya yang menolak itu terdiri dari orang Islam, ini bermakna ia sama dengan penganut agama lain yang secular.

Yakinlah dengan Islam. Ia adalah agama yang terbaik cuma manusia perlu memanfaatkan akal untuk berfikir dengan lebih mendalam untuk mencari jawapan disebalik arahan Allah dan memikirkan cara untuk melaksanakannya.

SEMBANG ISU HUDUD

Sumber : http://mufakkir-islami.blogspot.com/2012/10/sembang-isu-hudud.html

Nampaknya isu hudud semakin galak diperkatakan oleh pihak non-muslim. Ia memperlihatkan betapa prihatinnya golongan non-muslim memantau dan meneliti pelaksanaan hukum jenayah Islam di Malaysia. Walaupun suara-suara yang mahukan pelaksanaan itu hakikatnya datang daripada pihak pembangkang (khususnya Pas) yang mungkin sukar untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat, namun perang psikologi terhadap pelaksanaan tersebut telah pun dilakukan oleh pihak non-muslim seolah-olah hudud akan dilaksanakan pada esok atau lusa.

Bagi penulis, penolakan hudud oleh non-muslim itu boleh dianggap sebagai perkara biasa. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka memang pun tidak beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW mengenai hudud. Namun begitu, mereka terus mengkaji, meneliti, memerhati, memantau dan membuat ramalan dan andaian jika sekiranya hudud benar-benar berlaku. Begitulah tajamnya pemerhatian mereka terhadap pelaksanaan hudud di Malaysia. Soalnya, apa yang dibuat oleh kita sesama muslim dalam menanggapi isu ini? Pemerhatian penulis boleh diterjemahkan menerusi beberapa noktah berikut:

a) Tiada sebarang persepakatan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di negara ini iaitu Pas dan UMNO untuk melaksanakan hudud. Walaupun kedua-duanya sepakat bahawa hukum hudud terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Sunah, namun kedua-duanya saling bercanggah dalam teknikal pelaksanaannya hingga menyebabkan isu hudud terbengkalai selama 55 tahun.

b) Pas mendakwa telah berusaha untuk melaksanakan hudud di negeri-negeri yang ditawan seperti Kelantan dan Terengganu, namun kerajaan pusat tidak membenarkan pelaksanaannya. UMNO pula mendakwa hudud Pas bukan hudud Allah, namun tidak pula UMNO membentangkan hudud Allah yang sebenar.

c) Ulama Muda UMNO (ILMUAN) menambahkan lagi hujah ketidakkemungkinan hudud dilaksanakan apabila mengatakan hudud WAJIB dijalankan secara menyeluruh merangkumi muslim dan non-muslim supaya ianya menepati prinsip keadilan. Oleh itu, selagimana non-muslim tidak mahu menerima hudud, maka selagi itulah hudud mustahil untuk dilaksanakan. Pas pula mengatakan bahawa pelaksanaan hudud hanya dijalankan di kalangan muslim sedangkan non-muslim diberi pilihan sama ada mahu dihukum berdasarkan hudud atau sivil.

d) Sebahagian ilmuan muslim pula berpandangan hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali masyarakat benar-benar telah bersedia dan berada dalam suasana yang kondusif. Selagimana tahap tersebut tidak dicapai maka hudud tidak boleh dilaksanakan. Namun, tidak pula dinyatakan apakah ‘benchmark’ untuk mengukur masyarakat yang bersedia dan bersuasana kondusif tersebut. Boleh sahaja hujah yang seperti ini digunakan untuk 100 tahun lagi.

e) Tiada pihak yang membuat kajian perbandingan antara permulaan pelaksanaan undang-undang jenayah sivil dengan permulaan undang-undang jenayah Islam. Sepengetahuan penulis, permulaan undang-undang jenayah sivil tidak pula dibebankan dengan syarat-syarat seperti persediaan masyarakat, pemahaman rakyat tentang undang-undang dan suasana yang kondusif. Tetapi kenapa apabila undang-undang jenayah Islam ingin kembali dipraktikkan setelah sekian lama dihapuskan oleh penjajah,lalu ia dibebankan dengan pelbagai syarat? Adakah syarat-syarat itu hanya alasan bagi melengah-lengahkan pelaksanaan hukum Islam atau ia memang perlu dipenuhi terlebih dahulu?

f)   Pihak autoriti agama yang diperturunkan kuasanya oleh Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam negeri-negeri, jabatan gama Islam negeri-negeri, mufti-mufti dilihat hanya membisu seribu bahasa. Tidak berperanan malah tidak memainkan apa-apa fungsi yang patut bagi menjelaskan kekeliruan yang sedang berlaku. Sepatutnya sebagai sahib al-amanah (pemegang amanah agama Islam) mereka perlu tampil bersuara secara kolektif untuk menerangkan kedudukan sebenar hudud khususnya bagi mengelakkan isu ini terus dimainkan oleh ahli politik berkepentingan, ilmuan Islam yang tidak terarah dan golongan non-muslim yang tersalah anggapan.

Sebagai penyelesaiannya penulis mencadangkan seperti berikut:

a) Ketua tertinggi agama Islam di negara ini iaitu YDPA dan Raja-Raja Melayu perlu menyatakan solidariti yang padu terhadap  pensyariatan hudud sebagai salah satu daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Penulis yakin jika Raja-Raja Melayu sendiri yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan pensyariatan hudud, ia sudah pasti dapat meredakan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab golongan non-muslim yang beranggapan isu hudud hanyalah mainan politik semata-mata.

b) Pihak autoriti agama seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam, jabatan agama Islam, jabatan mufti, Jakim, JKSM, Ikim dan lain-lain perlu mempersiapkan draf lengkap jangka panjang dan jangka pendek pelaksanaan hudud di Malaysia dengan melihat kepada kedua-dua sudut teknikal perundangan mahupun hukum syara’. Mana-mana parti politik tidak perlu terlibat secara langsung dalam menggubal draf hudud tersebut bagi mengelakkan keluarnya istilah ‘hudud Pas’ atau ‘hudud UMNO’.

c)  Ditubuhkan kumpulan pemikir yang terdiri daripada pakar-pakar agama, perundangan Islam dan perbandingan agama sama ada tokoh-tokoh di peringkat tempatan mahupun antarabangsa yang berfungsi untuk memberi penjelasan dan pencerahan terhadap sebarang keraguan yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak sama ada golongan muslim atau non-muslim berkenaan pelaksanaan hudud.

Penulis yakin jika ahli-ahli politik muslim di semua peringkat daripada Perdana Menteri hingga ADUN biasa sama ada kerajaan atau pembangkang, bersedia memberi KEBEBASAN kepada ketiga-tiga institusi di atas iaitu institusi raja, institusi agama dan golongan pakar memainkan peranan masing-masing, nescaya hudud boleh dijalankan secara aman dan damai walaupun mungkin bukan dalam jangka waktu yang terdekat.

Apa yang penting, perancangan ke arah pelaksanaannya itu mampu berjalan tanpa konflik, tanpa perbalahan sesama sendiri dan tanpa campur tangan bukan Islam. Hudud juga akhirnya tidak menjadi retorik politik sesetengah pihak yang asyik berselindung di sebalik hujjah “tadarruj” atau “beransur-ansur”. Hal ini seperti mana penjelasan Imam al-Qaradawi dalam kitabnya “Fi Fiqh al-Awlawiyyat” berikut :

ولا نعني بالتدرج هنا مجرد التسويف وتأجيل التنفيذ ٬ واتخاذ كلمة التدرج “تكأة” لتمويت فكرة المطالبةالشعبية الملحة بإقامة حكم الله ٬ وتطبيق شرعه ٬ بل نعني بها تعيين الهدف ٬ ووضع الخطة ٬ وتحديدالمراحل ٬ بوعي وصدق ٬ بحيث تسلم كل مرحلة إلى ما بعدها بالتخطيط والتنظيم والتصميم ٬ حتى تصلالمسيرة إلى المرحلة المنشودة والأخيرة التي فيها قيام الإسلام ٬ كل الإسلام.

Maksudnya: “Dan kita tidak maksudkan tadarruj di sini hanya pelengahan dan penangguhan pelaksanaan, dan penggunaan kalimah tadarruj sebagai sandaran untuk mematikan fikrah tuntutan rakyat yang mendesak untuk menegakkan hukum Allah dan melaksanakan syariat-Nya, bahkan apa yang kita maksudkan dengannya (tadarruj) ialah menentukan matlamat, meletakkan perancangan, menetapkan fasa-fasa dengan penuh kesedaran dan kejujuran, agar setiap fasa diserahkan kepada yang seterusnya secara berstrategi, tersusun dan sistematik hinggalah perjalanan sampai kepada peringkat terakhir yang diimpikan yang padanya terbangun Islam, keseluruhan Islam”.

Wallahu a’lam…

 

 

%d bloggers like this: