Semalam saya dihubungi oleh seorang kenalan yang tugasannya biasa mengacarakan majlis-majlis rasmi. Memang itulah kepakarannya sejak beberapa tahun ini.

Suara macho dan jantan serta kebijaksanaannya mengawal majlis, menyebabkan ramai menyenangi beliau mengacarakan majlis yang boleh tahan juga protokolnya.

Topik bicaranya menghubungi saya berkisar tentang majlis-majlis berbuka puasa di hotel-hotel terkemuka di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, beberapa hotel sudah menghubunginya untuk menempah khidmatnya sebagai pengacara majlis berbuka puasa. Apa yang ingin diterapkan oleh hotel-hotel ialah menyediakan satu pakej lengkap, bukan sahaja bayaran makanan, termasuk juga khidmat pengacaraan.

Bukan itu sahaja, bahkan pengurusan hotel juga bertanya kepadanya untuk melengkapkan pakej khidmat Ramadhan itu dengan khidmat imam dan pembaca doa. Yang ditanya ialah nilai bayaran kepada imam solat maghrib, isyak dan tarawih serta pembaca doa itu.

Jadi, kenalan saya itu bertanya kepada dua perkara. Pertama, bertanya kadar bayaran untuk khidmat imam dalam program berkenaan. Kedua, memohon kesudian saya agar boleh disenaraikan dalam orang yang boleh diundang sebagai imam dan pembaca doa.

Untuk soalan pertama, saya katakan saya tidak mengetahui kadarnya. Memang pernah menjadi imam solat tarawih tetapi saya tidak mengingati lagi saguhati penganjur. Ada kalanya memang tiada pun, kerana saya menyertai rombongan TYT.

Bagi soalan kedua, saya mengelak untuk dilibatkan sama. Cukuplah penglibatan beberapa tahun lalu antara 2005-2007 saya terlibat. Kalau boleh saya tidak mahu lagi.

Punca utamanya bukan masalah makan, kerana menunya begitu istimewa dan mewah. Bukan kerana duit, kerana itu bukan matlamatnya. Puncanya ialah saya tidak suka dalam masalah ibadah khususnya solat tarawih begitu, imam dikuasai dan diatur secara berlebih-lebihan oleh penganjur.

Kebiasaan mengimam di masjid dan surau begitu selesa. Apabila di hotel, maklumlah, program di hotel bukannya disertai oleh orang miskin, tetapi dihadiri oleh orang yang mempunyai nama dan kedudukan dalam kerajaan dan masyarakat. Jadi, ada kedengaran suara-suara berbisik :

“Imam, lajukan sikit ya..” “Imam, lapan saja ya..” “Imam, baca pendek-pendek saja”. “Imam, tak payahlah solawat ya..”

Puak-puak begini, saya pernah menjawab :

“Makan mahal, tapi sembahyang mau sikit-sikit..”