Tag Archive: Hotel Shangri La Bandaran Berjaya


Tarikh : 29 Julai 2013 (Isnin)

Tempat : Hotel Shangri-La Bandaran Berjaya Kota Kinabalu

Ini adalah undangan tahunan sahabat kami Chef Abdullah Ahmad yang juga AJK Darussyifa Sabah & Lok Kawi juga AJK Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah. Di samping kami seramai 10 orang, beliau juga mengundang anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim (RAY) as-Sakinah Kinarut.

Ini undangan pertama berbuka puasa di hotel bagi ramadhan kali ini, kami solat maghrib berjamaah di tingkat 1 dan kemudian beredar ke lokasi masing-masing selepas itu. Terima kasih Chef Abdullah atas kenangan baik ini.

Shangri-La KK (1) Shangri-La KK (2) Shangri-La KK (3) Shangri-La KK (4) Shangri-La KK (5)

Saya menunaikan janji kepada anak-anak untuk membawa mereka berbuka puasa di Hotel Shangri La di Bandaran petang tadi. Saya sudah memaklumkan perkara itu beberapa hari sebelum ini kepada mereka. Sesungguhnya ini pertama kali saya membawa mereka makan-makan di hotel. Sejak awal pagi, anak-anak terutamanya Abdul Hadi begitu teruja. Bermacam-macam soalan diajukan, maklumlah selama ini kalau pun pernah bermalam di mana-mana resort, hanya terbayang kolam mandi saja.

“Ada kerusi ka Babah di hotel tu?”

“Cukupkah meja di hotel nanti?”

“Babah, kita bawa khemah kah?”

Bukan mahu bermewah, tetapi sekadar menggembirakan hati isteri dan anak-anak. Maklum saja, dalam Ramadhan ini banyak masa saya diperuntukkan di luar rumah kerana pelbagai aktiviti yang sudah diatur. Hanya masa saya berbuka banyak bersama keluarga kecuali beberapa kali. Lagipun ini hadiah atas ketekunan dan kesungguhan mereka menunaikan ibadah puasa.

Nuha insya Allah menamatkan puasa tahun ini dengan rekod penuh. Hana (6 tahun) ada dua hari tidak berpuasa kerana demam – jika diambil kira maka rekod juga penuh kerana bukan ponteng dengan sengaja atau suka-suka. Abdul Hadi (5 tahun) berpuasa sebanyak 22 hari – ponteng pada minggu pertama dan kemudian berterusan puasa sejak hari ke-8 Ramadhan sehingga hari ini. Sebenarnya kekuatan anak-anak ini jujurnya mengalahkan saya ketika kecil dahulu.

Turut serta bersama-sama kami ialah Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar dan keluarganya. Kami bersungkai dan bersolat magrhib bersama di surau kecil yang disediakan di tingkat dua. Terima kasih buat Chef Abdullah Ahmad yang menempah meja untuk kami bersungkai bersama-sama malam ini. Ternyata anak-anak sangat gembira.

MENYUNGKAI DI SHANGRI-LA

Setinggi penghargaan buat Chef Abdullah Ahmad, chef di Hotel Shangri La Bandaran Berjaya yang membelanja kami makan berbuka puasa petang tadi di sana. Beliau adalah juga AJK Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah yang sentiasa memberikan komitmen dalam tugas-tugas kesukarelawanan khususnya dalam menjayakan aktiviti syukbah dakwah yang dipengerusikan oleh Ustaz Haji Muchlish.

Ustaz Muchlish dan Ustazah Elfi sendiri hadir bersama ramai AJK dan beberapa jamaah Masjid Negeri, rakan-rakan beberapa Darussyifa’ Sabah. Saya sendiri tiba ketika azan sedang berkumandang. Zaman ‘kegemilangan’ di Istana dahulu memang agak kepuasan saya bersungkai di banyak hotel mewah dan terkenal di sekitar Kota Kinabalu kerana mengiringi rombongan TYT Tun. Selepas berpindah, bukan tiada yang mengundang bersungkai di hotel, tapi saya sendiri yang keberatan dan lebih selesa berbuka di rumah.

Kata Chef Abdullah, harga makan untuk seorang ialah RM55.++ sahaja untuk dewasa. Oleh kerana saya datang sendirian kerana isteri baru bersalin, insya Allah saya akan datang semula untuk membawa keluarga berbuka di sini sebelum hari raya menjelang. Ia menjadi salah satu hadiah untuk anak-anak khususnya Nuha, Hana dan Hadi yang berhempas pulas berpuasa tahun ini.

%d bloggers like this: