Tag Archive: Hotel Residence UNITEN


SESI MENYEMAK AL-QURAN

Jujurnya, sesi kali ini amat memenatkan.

Setiap kami bermula khamis malam jumaat hingga pembahagian terakhir malam ini menyemak sebanyak 42 juzu’ seorang. Walaubagaimanapun, amanah yang diberi selaku ahli lajnah tashih mesti diselesaikan sebelum mesyuarat berakhir.

Bahan yang terlalu banyak dan ahli lajnah yang hadir hanya 29 orang berbanding 35 ahli keseluruhannya.

Ada di kalangan sahabat ahli lajnah menghabiskan semakan sehingga jam 2-3 pagi, ada yang menyambung semakan di bilik setelah sesi menyemak berakhir pada lewat malam.

Dalam pemerhatian ini, kami menyaksikan Dato’ Hj Salahuddin Omar sudah menyelesaikan semakan sebanyak 30 juzu’ pada petang jumaat lagi.

Dalam kesibukan menyemak al-Quran, saya bersama beberapa sahabat sempat bertemu dengan seorang ahli kumpulan nasyid INTEAM, Sdr Abd Rahim Osman di Hotel UNITEN.

Ikatan persahabatan dan persaudaraan terjalin, sembang perkenalan menjadi topik cerita, beliau menghadiahkan saya sebuah CD Marhaban & Barzanji. Terima kasih.

Mesyuarat kali ini diadakan di Hotel Residence, UNITEN Kajang Selangor.

Lokasi mesyuarat kali ini di sini menyingkap semula kenangan saya bermesyuarat dalam lajnah ini buat pertama kalinya 3 tahun lalu. Ia menjadi kenangan kerana lajnah ini bagi saya adalah lajnah yang berkat kerana ia berkaitan langsung dengan al-Quran.

Seingat saya, nama saya dicadang oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan yang juga merupakan ahli Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran KDN.

Di dalam ini terkandung ahli-ahli al-Quran yang masyhur dengan ilmu al-Quran khususnya dalam bidang tahfiz, qiraat dan seumpamanya. Pemilihan nama saya ketika itu sudah tentu bagi saya menjadi rahmat yang besar kerana berpeluang berguru secara tidak langsung dengan mereka setiap kali bertemu dalam mesyuarat.

Mesyuarat bermula pada sebelah malam dipengerusikan oleh Ust Hj Azhari Othman, selaku timbalan pengerusi lajnah mewakili pengerusi Dato’ Sheikh Mohd Nor Mansur yang tiba lewat.

Mesyuarat penyemakan tahun 2010 agak lewat dimulakan kerana sudah masuk bulan April sedangkan bahan yang diterima oleh urusetia agak banyak. Oleh itu di peringkat ini kami dimaklumkan setiap ahli akan menerima bahan semakan lebih daripada 40 juzu seorang.

Sebahagian besar bahan semakan kali ini adalah berupa teks mashaf, manakala selebihnya berupa audio sama ada readpen, telefon dan cd.

Pada masa bermulanya mesyuarat, beberapa krew TV JAKIM datang ke bilik mesyuarat kami untuk rakaman video korporat. Khabarnya, ia akan ditayangkan untuk majlis-majlis keagamaan yang dianjurkan kerajaan.

%d bloggers like this: