Lokasi pertemuan kami kali ini ialah di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya. Seingat saya sepanjang penglibatan dalam mesyuarat ini selama 6 tahun sebagai ahli lajnah, ini kunjungan pertama ke hotel ini. Dari segi kemudahan dan kelengkapan hotel, memang memuaskan dan sangat membantu kami untuk menyelesaikan tugasan kali ini.

Pecahan bahan al-Quran yang hendak disemak kali ini agak banyak. Kebiasaannya pada akhir tahun, para penerbit, pencetak dan pengedar akan memohon pengesahan teks al-Quran mereka, kerana selepas ini pada tahun hadapan pertemuan bagi penyemakan berikutnya kebiasaannya diadakan pada bulan februari atau mac. Untuk pertemuan kali ini, setiap seorang kami menyemak 55-56 juzu’ seorang.

Sesuatu yang agak sentimental dalam pertemuan kali ini ialah ini adalah mesyuarat terakhir bagi kontrak kami sebelum diperbaharui atau tidak. Setiap dua tahun, lantikan akan dibuat dan untuk kali ini berakhir pada mesyuarat kali ini. Sudah ada negeri yang menamakan wakil mereka yang baru, atau menggantikan seorang daripada dua wakil negeri masing-masing.

Walaubagaimanapun negeri yang mencadangkan wakil, keputusan terakhir terletak pada keputusan Lembaga Kawalan Teks al-Quran yang dipengerusikan oleh Tan Sri Harussani Zakaria sama ada mereka mengekalkan ahli lajnah yang lama, atau menerima cadangan negeri-negeri berkenaan pertukaran ahli yang mewakili negeri masing-masing.

Alhamdulillah, sepanjang 6 tahun bersama-sama memikul amanah ini, saya merasakan diri terlalu kerdil dan menadah banyak ilmu secara teori dan praktikal melalui penyemakan al-Quran sama ada berupa mashaf, digital, readpen, vcd, cd, audio dan sebagainya. Sudah tentu secara keseluruhan dan umumnya semua ahli lajnah dan urus setia di peringkat KDN banyak membimbing.

Namun sebagai rekod dan penghargaan saya secara khusus, saya catatkan di sini antara watak penting yang selalu menjadi rujukan saya ialah Ybhg Datuk Ustaz Solahuddin Omar, Ustaz Azhari Othman, Ustaz Khairul Anuar Mohammad, Ustaz Shaharuddin Pangilun, Ustaz Kamaruddin Komeng dan lain-lain. Saya juga suka bergaul dengan Ustaz Abd Rahim Mohd Zain yang suka menyelangi kalamnya dengan bahasa Arab, juga Ustaz Mazlan Zaini dan Ustaz Moghni Asrari yang menjadi teman sembang isu-isu semasa.

Saya juga teringat akan kelembutan Ybhg Dato’ Idris Talib bak sebagai ayahanda kami, kepakaran ilmu khat Ustaz Haji Mohd Ilham Haji Ihsan;¬†mengenang Ustaz Zaheruddin, Ustaz Nasruddin Ngah dan Ustaz Ku Afwa dengan smartfone masing-masing serta galak dengan dunia ict mereka, Semuanya menjadi kenangan manis, mudah-mudahan kenangan yang baik itu menjadi inspirasi dalam kehidupan selepas ini, dan semoga bertemu lagi pada masa akan datang.