Tag Archive: Hospital Tenom


ZIARAH CIKGU RIZAL HADI

IMG_9955

Selesai solat asar qasar di Masjid ar-Rahman Pekan Tenom, kami menuju ke Hospital Daerah beberapa minit dari situ. Che’gu Jamil memandu, Ust Amir di sebelah sementara saya di belakang.

Perjalanan lebih 2 jam KK-Tenom sebelum itu agak meletihkan khususnya pada permulaan mendaki jalan Kimanis kerana kabus terlalu tebal. Kadar jarak penglihatan hanya dapat dilihat beberapa meter sahaja, tambahan lagi hujan lebat beberapa ketika.

Berhenti solat di masjid dan berehat seketika jelas merenggangkan keletihan kami.

Wad pesakit lelaki di Hospital Tenom yang menempatkan Cikgu Rizal mempunyai 13 katil (kalau tidak salah) dan ada beberapa katil yang kosong tanpa pesakit.

Sehari sebelumnya, Cikgu Rizal dijadualkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Tetapi beliau merasa sesak nafas ketika perjalanan baru melepasi pekan, dan van terpaksa berpatah balik.

Kami dikhabarkan van hospital dalam keadaan sedikit uzur selepas kemalangan. Katanya sudah dibaiki tetapi mereka hanya berani membawa sekitar Tenom sahaja.

Jadi van kedua yang lebih kecil digunakan untuk membawa Cikgu Rizal tetapi kelengkapannya agak terhad. Harapnya pihak berkenaan dapat menyelesaikan segera untuk kemaslahatan pesakit yang memerlukan rawatan di luar Tenom.

Kami hadir dalam keadaan pernafasan Cikgu Rizal sedikit pulih. Semalam dia terpaksa menggunakan alat bantuan kecemasan sepanjang masa.

Kami lega sedikit kerana beliau boleh bercerita walaupun nafas agak tercungap-cungap. Katanya dia masih letih hatta  bergerak ke tandas pun beliau memerlukan bantuan.

Kesempatan sembang itu, kami masih menyarankan beliau agar mengisi masa luangnya dengan membuat blog dan menyumbang idea dan fikrah menurut kemampuannya.

Beliau agak berat bergerak ke sana ke mari, kerana keadaan kaki yang membengkak sehingga ke paha tetapi ideanya tentang program dakwah dan perbandingan agama masih segar dan diperlukan.

Agak teruja sebelum itu kami menyaksikan dalam uzurnya, khidmat beliau masih diperlukan sebagai AJK Masjid Daerah Tenom dan mengetuai Syukbah Ukhuwah dan Pembangunan Ummah sesi 2008-2010 sebagaimana dipaparkan di papan kenyataan masjid.

Sudah 2 minggu beliau ditahan. Bahkan 20 hari terakhir Ramadhan beliau juga menghuni hospital ini. Hanya seminggu ketika raya dibenarkan keluar dan kembali semula pada awal oktober.

Tetapi secara keseluruhan, beliau keluar masuk hospital ini sudah 3 tahun lamanya.

Satu perkara yang jelas saya perhatikan sepanjang keberadaan kami lebih 2 jam di situ sehingga pulang, orang tidak putus-putus menziarahi beliau.

Kami mendoakan keselamatan beliau, juga berdoa agar isterinya Puan Aisyah bersama anak-anak bersabar atas ujian yang menimpa. Sesungguhnya Allah bersama 0rang yang sabar.

Pada 19 Oktober, Cikgu Rizal akan menyambut ulangtahun ke-41. Semoga dipanjangkan umur dan diberi pahala yang besar oleh Allah SWT.

DOAKAN RIZAL

IMG_4276

Dua kali pernah saya bercerita dalam blog ini tentang beliau.

Cikgu Rizal Hadi Hj Ismail, orang Tenom. Penerima Anugerah Khalid al-Walid 2004 daripada Kerajaan Negeri Sabah kepada pendakwah muda yang berpotensi kepada masyarakat.

Ada beberapa SMS yang masuk ke telefon bimbit semalam.

Beliau yang sedang menderita penyakit buah pinggang dan kencing manis, khabarnya keadaan beliau semakin kronik. Kaki sehingga ke paha semakin membengkak.

Semalam, beliau dijadualkan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut. Khabarnya, dalam perjalanan baru beberapa kilometer melepasi Pekan Tenom, Cikgu Rizal sesak nafas.

Mereka berpatah balik ke hospital kerana bimbangkan dengan risiko yang tidak diingini. Kini beliau berada di Hospital Tenom dengan menggunakan bantuan oksigen sepenuh masa. Keadaan agak kritikal ketika ini.

Insya Allah petang ini, saya akan ke Tenom untuk berziarah.

Kepada pembaca blog ini, tolong luangkan masa 10 saat untuk mendoakan kesihatan beliau pulih seperti sediakala.

CIKGU RIZAL HADI HJ ISMAIL

IMG_2443Dari Tambunan, kami bergerak ke Tenom menziarahi seorang rakan Chegu Jamil iaitu Cikgu Rizal Hadi.

Cikgu Rizal Hadi memang berasal dari Tenom. Dahulunya beliau bertugas di SMK Sanzac selama 10 tahun mulai 1990. Pada 2000 beliau berpindah dan berkhidmat di halaman sendiri di SM Chung Hwa, Tenom.

Allah SWT telah menguji beliau apabila sejak setahun lalu beliau menghidapi sakit buah pinggang dan kencing manis. Kini beliau terpaksa bercuti daripada mengajar apabila kaki beliau kelihatan bengkak.

Ketika kami berziarah, keadaan tubuhnya semakin reda sedangkan sebelum itu perut beliau membesar sehingga ditahan lama di Hospital Tenom. Tetapi kakinya sehingga ke paha masih kelihat bengkak, yang menyusahkan beliau bergerak.

Cikgu Rizal memang dikenali sebagai seorang guru biasa yang mencintai dakwah. Sehinggakan katanya, ketika beliau sakit dan ditahan di Hospital Tenom, beliau pula yang memberi tazkirah kepada pelatih-pelatih jururawat di sana.

Selain itu, beliau juga berziarah ke katil-katil berdekatan untuk memberi semangat kepada pesakit-pesakit lain terutamanya mengingatkan sesama pesakit tentang ujian Allah, ketentuan takdir dan seumpamanya.

Kepada kami, beliau juga mengingatkan tentang cabaran kristianisasi yang berlaku di Tenom secara halus seperti jadual ziarah petugas-petugas mereka ke hospital untuk menziarahi pesakit.

Pada 2004 dahulu, kerajaan Negeri Sabah telah memilih beliau sebagai penerima Anugerah Khalid al-Walid Negeri Sabah dalam sambutan Maal Hijrah. Anugerah ini diberikan kepada belia yang berdedikasi dalam dunia dakwah.

Doakan beliau sembuh seperti biasa dan kembali cergas seperti dahulu.

%d bloggers like this: