Tag Archive: Hospital Likas


NOMBOR 7

Tarikh : 3 September 2014

Lokasi : Hospital Likas Kota Kinabalu

Alhamdulillah, isteri saya selamat melahirkan anak kami yang ketujuh, seorang putera pada 3 September sekitar jam 10.40 pagi dengan berat 3.5kg. Terdahulu, kami berdua bergerak ke Hospital Likas sekitar 2 pagi dan isteri mula daftar masuk sejam kemudian.

Terima kasih atas doa-doa semua ahli keluarga dan para sahabat. Doakan juga ibu dan bayi sihat sejahtera serta menjadi anak soleh. Nama akan diumumkan seminggu daripada sekarang.

Baby7 (1) Baby7 (2) Baby7 (3) Baby7 (4) Baby7 (5) Baby7 (6) Baby7 (7) Baby7 (8) Baby7 (9) Baby7 (10)

hospital likas

1) Ternyata pembedahan yang dilalui oleh anak kami, Nuha terlalu kecil dibandingkan dengan ribuan kes yang menimpa pesakit lain di hospital ini setidak-tidaknya. Nuha hanya ada masalah tonsil yang dialami sejak kecil yang menyebabkan dia tidak pandai membuang kahak serta dengkuran tidurnya begitu kuat. Sebelum ini puratanya setiap bulan atau dua bulan sekali sering demam dan apabila diperiksa doktor ternyata tonsilnya bengkak seperti selalu.

2) Petang ahad, saya bertemu seorang junior sekolah lama. Ada berita suka dan duka. Sukanya, isterinya baru bersalin lebih seminggu yang lalu dan bayinya sihat. Dukanya, ada masalah pada saluran kencing isterinya sehingga ada bahagian tubuhnya yang membengkak. Ikhtiar doktor belum berhasil dan saya membantu dengan air yang diruqyah.

3) Di dewan bedah, saya bertemu dan berkongsi cerita dengan beberapa penjaga kepada pesakit.  Ada seorang ibu dari utara Sabah yang anaknya disahkan mengidap leukemia. Si anak masih terlalu kecil. Walaupun belum tahap yang serius menurut ibunya, saya melihat derita pada wajah dan perasaannya. Hitung panjang keseluruhan, sudah enam bulan terlantar di hospital.

4) Petang isnin, selepas Nuha kembali ke wad, jiran katil sebelah sudah dibenarkan pulang. Sebagai gantinya, datang sekeluarga pesakit dari Kuala Penyu. Si anak baru darjah 1 kalau tidak salah. Masalahnya, dia tertelan duit syiling dan perlu pembedahan segera. Saya terasa berkali menelan air liur mendengar ceritanya.

5) Awal pagi selasa, antara jam 4-5 pagi berlaku satu musibah di tingkat 6 Hospital Likas. Ada kecurian sehingga membabitkan 3 buah smartphone samsung, di bilik wad yang berjiranan. Bilik 13, 14 dan 15. Sebuah telefon bimbit milik doktor yang bertugas, sebuah milik ibu yang menjaga anaknya dan satu lagi telefon samsung 3 milik saya.

6) Kebetulan, si ibu tadi adalah adik kepada rakan sekelas saya di sekolah rendah semasa di Labuan. Kecilnya dunia dan dia mengenal saya sebagai blogger – pemilik blog Abu Nuha Corner ini. Anaknya dibedah sama seperti sakit yang dialami Nuha dan kebetulan kami bersebelahan bilik.

7) Kecurian yang berlaku bagai sudah disusun oleh penjenayahnya. Pertama, waktu kecurian adalah ketika doktor dan jururawat menghabiskan rondaan dan baru berehat. Kedua, kesemua cctv di tingkat 6 wad tempat kami menginap tidak berfungsi. Contohnya cctv hadapan lif sudah rosak sejak lebih setahun lalu. Maklumat ini saya perolehi sendiri daripada bilik kawalan. Ketiga, tiada pengawal keselamatan yang bertugas di tingkat ini antara jam 12 tengah malam hingga 8 pagi.

8) Penjenayah berkenaan agak kami tahu nilai telefon bimbit dan hanya berhasrat mencuri telefon bimbit, bukan yang lain. Kesemua yang dicuri berjenama samsung. Ada telefon berjenama nokia di jiran katil si ibu tadi, yang juga sedang dicas tetapi tidak diusik pencuri. Sementara saya meletakkan dompet dalam laci yang terbuka berdekatan S3 saya yang juga sedang dicas juga tidak terusik. Ada saksi melihat seorang lelaki masuk gaya seperti berpakaian putih tetapi pihak wad siangnya menjelaskan tiada jururawat lelaki.

9) Saya melaporkan musibah ini kepada beberapa pihak. Pertamanya, kepada jururawat bertugas. Ketua jururawat di wad ini bertemu secara peribadi dan meminta maaf berkali-kali. Kedua, kepada pihak pengawal keselamatan. Ketiga, polis yang bertugas di hospital namun hanya merekod dalam buku catatan bukan sebagai laporan polis. Saya perlu ke balai polis berdekatan. Keempat, saya melanjutkan laporan kepada Balai Polis Alam Mesra.

10) Kehilangan telefon bimbit bukan sesuatu yang dikesalkan. Ia termasuk makhluk Allah yang satu masa tetap binasa, sama ada kecurian, rosak hancur lumat atau masuk air. Yang disayangkan hanyalah koleksi foto-foto dan ribuan nombor telefon yang hilang bersama telefon berkenaan.

11) Ada hampir 200 foto yang belum sempat disalin ke laptop dan sebahagiannya sangat berharga buat saya. Paling saya kenang, puluhan foto ketika pengurusan janazah Allahyarham Ustaz Ezri Mokhtar dan puluhan foto Nuha di dalam wad kecuali yang sempat dikongsi di facebook keluarga. Ada lagi foto-foto kelas tahfiz hujung minggu yang tidak dapat saya kongsikan pada minggu ini. Manakala dua foto terakhir di bawah artikel ini adalah dengan rakaman telefon baru yang sempat saya beli petang selasa.

12) Nuha dibenarkan keluar wad pada jam 10 pagi ini dengan perasaan gembira sekali. Dalam telefon bimbit yang dicuri itu sudah banyak catatan saya berkenaan doktor yang merawat dan jururawat yang membantu sejak awal sehingga pulang. Sebahagian besar saya sudah lupa dan hanya sedikit saya ingat.

13) Sekadar yang saya ingat dan catat semula : Jururawat = Jamilah, Linda,  Arni Najmuddin. Doktor Siti Hajar, Doktor Ahmad dan Doktor Premila. Semoga kebaikan kalian dibalas dengan sebaik-baiknya. Hanya saya berharap dan pinta keselamatan di Hospital Likas ini dapat dipertingkatkan.

Alhamdulillah atas kurnia Allah ke atas kami..

Nuha @ Hospital Likas (5) Nuha @ Hospital Likas (6)

CATATAN DALAM WAD (1)

nuha2

1) Menjelang tengahari ahad, saya bersama Nuha siap mendaftar masuk wad di Hospital Likas. Ditempatkan di tingkat 6, bilik nombor 15, bilik paling hujung sekali. Bilik yang mempunyai dua katil. Kami diberikan taklimat sebelum itu bahawa pembedahan bakal berlangsung pada pagi isnin, senarai terakhir daripada lima pesakit yang dijadualkan. Pembedahan membuang tonsil yang membelenggu sejak kecilnya.

2) Tarikh pembedahan ini sudah dinanti sejak lebih sebulan lalu. Sebelum itu tarikh pembedahan tertunda dua kali. Kali pertama dijadualkan pada bulan februari tetapi pihak hospital menunda kerana doktor banyak ditugaskan di Lahad Datu dan Tawau akibat peristiwa di Kg Tanduo. Tarikh dibawa kepada 5 dan 6 Mei, dan saya pula menunda kerana bertembung dengan hari mengundi PRU13.

3) Kami masuk wad dan di sebelah katil ada seorang anak berumur sekitar 4 tahun sindrom down dari Telipok yang juga menunggu giliran pembedahan atas penyakit yang lebih kurang sama. Tetapi khabarnya sudah menjalani beberapa pembedahan lain. Di sisinya ada ibunya yang juga seorang jururawat. Kelihatan sangat mahir dalam jenis penyakit, bentuk pembedahan dan ubatan.

4) Malam isnin, saya sempat keluar dan berkuliah lagi di Masjid Kg Sembulan Lama. Sementara Nuha tidur sendirian di katil sesudah saya siapkan bekalan yang sewajarnya. Sejak petang, saya mula menerima sms, panggilan dan whatsapp kebanyakannya siswa siswi maahad dan teman-teman rapat.

5) Sebenarnya tidak ramai mengetahui situasi ini pada peringkat awal, bahkan menyangka saya yang bakal dibedah. Kebanyakannya terkejut, sedang baru sehari sebelumnya saya di lapangan lalu kemudian dikhabarkan masuk wad. Catatan saya sengaja tidak jelas di facebook, siapa yang sakit, siapa yang dibedah, di hospital mana dan sebagainya.

6) Seawal jam 8 pagi, jiran sebelah katil awal dibawa masuk ke dalam bilik bedah dan kemudian keluar sebelum giliran Nuha tiba. Pembedahan yang dijadualkan kepada anak ini ada sedikit perubahan kepada pemeriksaan sahaja. Sementara giliran Nuha diawalkan kepada pesakit keempat disebabkan pembatalan salah seorang pesakit sebelumnya. Debaran semakin kencang.

7) Hampir jam 11 pagi, Nuha disuruh menukar baju khas sebelum dibawa masuk ke dewan bedah. Air mata mula mengalir. Saya turut mengiring hingga ke dewan bedah. Di dalam dewan bedah ada beberapa buah bilik bedah yang menjalankan pembedahan lain. Di bilik bedah, sesudah dibius, Nuha tidak lagi sedar dan saya diminta menunggu di luar bersama para waris dan penjaga yang turut menanti pembedahan jagaan masing-masing selesai.

8) Sejam setengah kemudian, saya dipanggil kerana pembedahan sudah selesai. Nuha dibawa keluar dari bilik bedah dan direhatkan lagi di ruangan dewan bedah selama sejam setengah lagi. Nuha sudah sedar tetapi masih lemah. Barangkali kesan bius belum selesai. Nuha berselisih tidur dan jaga dan sesekali bercakap longlai meminta air. Sementaranya di mulutnya masih ada sisa darah.

9) Jam 3 petang Nuha dibawa balik ke wad semula. Saya segera belikan aiskrim sebagaimana pesanan doktor untuk menyejukkan tekaknya. Bukan satu tapi tiga aiskrim. Doktor memesan, tidak boleh memakan makanan yang panas, pedas dan keras buat sehari dua sekurang-kurangnya dan dikehendaki mengalas perut dengan makanan atau minuman sejuk.

10) Lewat petang, sahabat-sahabat usrah berziarah. Tuan Haji Abu Aslam dan Bacho bersama isteri tidak datang dengan tangan kosong. Aduhai, bahagia mempunyai ahli usrah yang prihatin. Lewat whatsapp, sahabat-sahabat turut memberi ucapan yang meransang kami sekeluarga.

11) Saya akan lanjutkan catatan kedua nanti. Ada catatan lain yang wajar saya kongsikan tentang Hospital Likas, tempat kami berada di sini selama 3 malam.

nuha1

Nuha5

Ini penampilan kedua berceramah di sini. Saya suka mengisi program di sini apatah lagi lima daripada enam anak kami dilahirkan di hospital ini. Ia bagaikan membalas jasa mereka dengan membawa satu pengisian bermanfaat.

Pertama kali 2 tahun lalu ceramah ‘Ihya Ramadhan’, dan kali ini tentang Hijratur Rasul SAW. Saya mulakan dengan hadith niat dan hijrah, dan kemudian bercerita tentang latar belakang hijrah bermula daripada dakwah secara sembunyi sehinggalah babak hijrah. Saya juga menyentuh watak-watak yang terlibat dalam peristiwa hijrah, dan iktibar yang boleh diambil oleh umat Islam.

Kepada para doktor dan jururawat secara khusus saya dengan rendah diri mencadangkan agar terus menerapkan unsur-unsur keislaman – aqidah, syariah dan akhlak – kepada pesakit mereka walaupun kelihatan amalan kecil. Contohnya amalan memulakan rawatan dengan basmalah, tahmid, doa, menerapkan unsur aqidah kepada pesakit seperti kebergantungan kepada Allah, bukan kepada doktor, dan sebagainya.

Oleh kerana di sini terdapat wad bersalin, sebagai contoh saya mencadangkan para doktor khususnya berperanan mengazankan bayi yang baru lahir sekiranya ibu yang bersalin tidak ditemani oleh waris seperti suaminya. Bukan suatu yang menghairankan bahawa ramai para ibu dan bapa tidak mengetahui pensyariatan azan dan iqamah kepada bayi yang baru dilahirkan. Dalam soal ini, para doktor boleh berdakwah dengan cara mengazankan atau menunjukkan cara azan yang betul.

Untuk aktiviti dalaman, saya mencadangkan kursus-kursus seperti ‘ibadah pesakit’, pengurusan janazah, bahkan doa-doa ruqyah yang wajar diterapkan dalam pengubatan. Terus terang saya mencadangkan di kalangan mereka menyertai kursus Darussyifa’ pada pengambilan akan datang. Mudah-mudahan perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Terima kasih tuan pengarah yang sudi bersama sehingga ke akhir, para doktor, jururawat dan pengawai-pegawai kesihatan yang hadir.

TARIKH HARI INI

12 Mac 2005

Jam 8 pagi, isteri mula merasa sakit hendak bersalin anak kedua walaupun tarikh jangkaan hanya dua minggu lagi. Jarak sakitnya terlalu hampir dan berulang-ulang.

Dari rumah kami bergerak ke Hospital Queen Elizabeth sekitar jam 8.30 pagi. Ini pengalaman baru menghantar isteri ke hospital untuk bersalin, kerana anak pertama lahir di rumah ketika kami di Mesir.

Dalam resah dan kelam kabut, kami tiba di QEH dalam tempoh 15 minit. Tiba di sana, rupa-rupanya, mulai tarikh ini wad bersalin di QEH ditutup sepenuhnya dan semua operasi berkait dengan ibu dan anak dipindahkan ke Hospital Likas.

Mujurlah hari sabtu, jalanraya tidak sesak. Kami bergerak lagi sebelum tiba di Hospital Likas 15 minit kemudian. Alhamdulillah, sebelum tengahari isteri saya selamat bersalin anak kedua. Hana Sumayyah.

12 Mac 2008

Beberapa hari sebelumnya saya pulang ke WP Labuan untuk balik mengundi buat kali pertamanya. 8 Mac 2008, menjadi kenangan istimewa kerana saya mengundi buat kali pertama.

Saya balik berdua dengan anak sulung, Nuha kerana isteri sedang menunggu hari untuk bersalin anak keempat. Saya pulang ke WP Labuan sehari sebelum mengundi, dan kembali ke Kota Kinabalu selepas selesai mengundi pagi 8 Mac.

Empat hari selepas mengundi, isteri saya selamat bersalin anak perempuan di Hospital Likas. Suasana panas politik negara akibat tsunami PRU itu membuatkan ahli keluarga besar kami sibuk mencadang nama anak kami dengan nama-nama ahli politik yang menang sebagai Ahli Parlimen.

Ada yang cadangkan nama Nurul Izzah (Lembah Pantai), Siti Mariah (Kota Raja) dan lain-lain. Akhirnya kami sepakat menamakan anak keempat ini dengan nama Lu’lu’ Badriyyah. Bersempena dengan AP Titiwangsa Dr Lo’Lo’ dan bulan purnama (badriyyah).

Semoga kedua-duanya menjadi anak yang solehah dan berbakti buat agama ini. Amin.

CERAMAH RAMADHAN DI HOSPITAL LIKAS

IMG_7745

Semalam saya hadir pula di Hospital Likas.

Walaupun tidak asing dengan hospital ini kerana 4 cahayamata dilahirkan di sini, inilah pertama kali saya menyampaikan ceramah di hadapan jururawat, beberapa doktor dan staf perubatan yang lain.

Ceramah ini dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Negeri Sabah (PERKIPS) dengan cawangan Hospital Likas diketuai oleh Sdr Paduka Rani.

Beberapa hadith saya utarakan dalam ceramah lebih sejam itu. Sempat juga saya memberikan beberapa hadith-hadith motivasi berkenaan zikir-zikir harian. Nampaknya ramai yang berminat.

‏مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ في صَباحِ كُلّ يَوْمٍ وَمَساءِ كُلّ لَيْلَةٍ، بسْمِ اللَّهِ الَّذي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأرْضِ وَلا في السَّماءِ وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيم، ثَلاثَ مَرَّاتٍ لَمْ يَضُرَّه شَيْءٌ

“Seorang hamba yang membaca doa ini pada waktu pagi dan petang setiap hari sebanyak 3 kali, tidak akan dimudharatkan oleh sesuatu [Dengan nama Allah, tidak memudharatkan sesuatu yang ada di langit dan di bumi jika beserta namaNya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui]

Tidak ketinggalan, buat pertama kalinya saya tampilkan video korporat terkini Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah untuk tatapan dan renungan bersama. Ia memaparkan program setahun aktiviti PUM Sabah sejak julai 2008 hingga ogos 2009.

Terima kasih PERKIPS khususnya Sdr Sufree Wangkee yang telah membuka ruang untuk kita membina hubungan baik ini.

Harapnya, usaha baik mereka mengadakan ceramah ini bukan setakat Ramadhan sahaja. Insya Allah, ada umur bertemu lagi.

IMG_7749

IMG_7750

JAMBATAN TAMAN KINGFISHER

IMG_6178

Tidak sedikit yang merungut, khususnya ribuan penghuni di dalam Taman Kingfisher dalam DUN Karambunai apabila jambatan yang menghubungkan taman mereka dengan jalan utama masih tidak diperbesarkan sehingga kini.

Menurut beberapa penduduk di sana, sejak Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan (KPKP) bersebelahan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dibuka lebih beberapa tahun lalu, jalanraya bertambah sesak dengan kenderaan yang semakin banyak.

Kata mereka, untuk melepasi kawasan taman menuju ke jalan utama melalui jambatan dari rumahnya sahaja adakalanya memakan masa lebih setengah jam sedangkan sepatutnya ia tidak melebihi 2 minit pun.

Pihak berkuasa terutama orang politik pernah menjanjikan untuk melebarkan jambatan ke taman berkenaan bersesuaian dengan kapasiti ribuan penduduk taman.

Jambatan berkenaan masih kekal dengan laluan 2 hala dan 2 lorong sedangkan jalanraya di taman dan jalan utama 2 hala sudah diperbesarkan kepada 4 lorong.

Selain penduduk taman, jambatan berkenaan juga adalah laluan utama ke Kg Bangka-Bangka dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas.

Untuk rekod, kawasan Teluk Likas ini menempatkan Menara Tun Mustapha, Wisma Innoprise yang menempatkan pejabat Ketua Menteri, Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan (KPKP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta 1Borneo sebuah kompleks membeli belah utama di Sabah.

IMG_6179

SELAMAT

IMG_6174

Alhamdulillah, 10.22 malam tadi Ummu Nuha selamat bersalin secara normal. Anak perempuan seberat 3.5kg di Hospital Likas. Ia melengkapkan anak kelima kami.

Setakat ini, nama belum dimuktamadkan lagi kerana baru saja mencari-cari pagi ini melalui internet. Tetapi asasnya tidak akan lari daripada susun atur dan patern nama kakak-kakaknya.

Sebenarnya, sehingga Ummu Nuha bersalin, kami tidak mengetahui jantina bayi yang dikandungkan. Asal saja doktor melakukan scan di Klinik Putatan, jawapannya sama iaitu tidak nampak.

Nampaknya Abdul Hadi belum punya regu untuk bermain kecuali dengan babah dan atuknya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui sebab dan kewajarannya.

Alhamdulillaah ‘alaa kulli haal, wa fii kulli haal, wa ni’mah.

IMG_6171

IMG_6177

AIR KETUBAN PUN DIPECAHKAN

Jam 9.30 pagi saya sudah berada di Hospital Likas. Menghantar isteri yang mulai sakit perut dengan jarak masa yang dekat.

Bagi yang pernah menghantar isteri ke hospital untuk bersalin, ibu akan ditempatkan terlebih dahulu di bilik penilaian. Pakar akan memeriksa kadar bukaan pesakit sebelum tindakan lanjut dibuat.

Ketika waktu melawat petang tadi, saya datang bersama anak sulung, Nuha.

Jururawat yang memeriksa menyatakan bukaan sudah 5cm. Oleh kerana  isteri saya sudah merasa sakit yang semakin kerap, jururawat memutuskan air ketuban dipecahkan.

Nuha memerhati sayu umminya disorong memasuki ke dewan bedah, sementara kami bergerak pulang ke rumah.

Di dalam kereta, Nuha diam memanjang. Saya tahu dia sedih umminya sakit dan masuk hospital. Walau baru berumur 6 tahun, kini dia bakal menerima adik keempat. Bakat kepimpinannya terhadap adik-adiknya sudah mula kelihatan.

Saya mengambil ruang untuk menasihatinya. Inilah yang selalu saya lakukan apabila sesekali hanya kami berdua di dalam kereta.

Sebagai anak sulung, saya selalu menasihatinya agar menunjukkan contoh yang baik. Mengingatkan dia tentang keperitan seorang ibu melahirkan anak. Doakan ummi selamat serta membantu ummi apabila disuruh.

Mengenang itu, Nuha tidak dapat menahan sebaknya. Akhirnya, air matanya tumpah juga.

%d bloggers like this: