Tag Archive: Harun Taib


Tarikh : 1 Mei 2016

Lokasi : Markaz Tarbiyah PAS Kubang Lembek, Manir, Hulu Terengganu.

 

dana

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34676-dana-pendidikan-harun-taib-pas-bangunkan-pendidikan

Oleh : Dr Riduan Mohd Nor

MENELUSURI sejarah awal sumbangan PAS dalam bidang pendidikan di negara ini turut mencatatkan usaha Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama, Sheikh Abdullah Fahim yang telah  mengadakan  pertemuan dengan ketua-ketua sekolah agama rakyat di Madrasah Daeratul Maarif al- Wathaniyah, Kepala Batas pada 22 Mei 1952. Manakala pada 25 Mei 1952, PAS telah menubuhkan satu badan pendidikan yang dinamakan ‘Pembangunan Pelajaran  Persatuan Islam Se-Malaya’ dengan matlamat untuk menyatukan sekolah- sekolah agama.

Mesyuarat Agung PAS pada tahun 1953 telah mendesak PAS supaya mengadakan biasiswa kepada pelajar-pelajar agama bagi membantu membangunkan pendidikan  Islam. PAS juga telah berjaya mendesak kerajaan supaya memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah agama agar setanding dengan sekolah-sekolah yang lain.

PAS secara konsisten telah menunjukkan kecenderungan untuk menggerakkan pendidikan Islam dan isu-isu yang berlegar di sekitarnya. Contohnya dalam manifesto Pilihan raya PAS pada tahun 1955, dengan jelas parti itu menawarkan tawaran parti tersebut untuk rakyatnya.Antaranya:

1. Mengambil langkah supaya setiap kanak-kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuaian dengan kemajuan.

2. Pelajaran agama Islam hendakah diberikan kepada kanak-kanak beragama Islam.

3. Berikhtiar supaya pemerintah dapat mengadakan sekolah-sekolah dewasa dengan segera, terutama pada bahagian pertukangan da ekonomi

4. Berikhtiar dan berusaha supaya sekolah-sekolah Melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah negara dengan memperluas dan mempertingikan tingkatan darjah pelajarannya bersesuaian dengan dasar negara.

5. Berikhtiar megambil perhatian yang berat terhadap perkembangan pendidikan akhlak bagi meninggikan mutu dasar pelajaran.

Sumbangan PAS dalam bidang pendidikan semakin berkesan apabila berjaya menguasai negeri Kelantan dan Terengganu  pada pilihan raya tahun 1959 (Amaludin Darus, 1976). Di Kelantan, PAS telah berjaya menubuhkan Biasiswa Pelajaran PAS pada tahun 1960 iaitu melalui pemotongan gaji Menteri Besar Kelantan dan Exco-exco Kerajaan Kelantan. Matlamat biasiswa ini ialah untuk membantu anak-anak ahli PAS melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi. Biasiswa ini digelar sebagai Biasiswa Zulkifli Muhamad (seorang tokoh kanan PAS yang sinonim dengan dunia pendidikan) pada tahun 1964.

PAS terus memainkan peranan yang berkesan dalam menggerakkan pendidikan di negara ini terutama di Kelantan yang menjadi pangkalan politiknya.

Pada tahun 1984, Dewan Pemuda PAS Pusat telah secara rasminya menubuhkan sistem pendidikan pra sekolah bagi memenuhi tuntutan ahli terhadap kerperluan pendidikan Islam.Ini melengkapkan kitaran pendidikan dalam PAS melalui sekolah agama rakyat dan pondok. Satu lagi negeri yang menjadi pangkalan politik PAS iaitu Kedah turut aktif menggerakkan pendidikan prasekolah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) pada tahun1987.

Pada akhir tahun 1959, kerajaan PAS Kelantan telah melantik guru-guru agama dan dibayar gaji oleh kerajaan negeri.

PAS juga telah mewujudkan institusi pendidikan rendah dan menengah di seluruh negara sama ada langsung di bawah pentadbiran parti seperti Dewan Ulamak Negeri ataupun di bawah kelolaan ahli-ahli PAS. Di Terengganu sebagai contoh, Dewan Ulamak PAS telah menubuh dan mengelola sekolah rendah Islam yang digelar ‘darul’ Islah dan sebagainya.

Di Kedah pula ditubuhkan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di mana sekolah rendah Islam tajaan PAS ini telah berkembang menjadi 10 buah cawangan, Sekolah Islahiah Diniah Memali, SRIDU Kupang, Raudatul Muslimim Baling, Sri an-Nur Pendang dan Sekolah Menengah Islam Darul Ulum (SMIDU). Di Perlis pula ditubuhkan Madrasah Diniah Islamiah. Penyokong-penyokong PAS juga telah menubuhkan rangkaian Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP) di seluruh negara dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

Kemenangan semula PAS di Kelantan di mana Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diberikan amanah menerajui kerajaan negeri turut menyuburkan pendidikan di Kelantan terutamanya pendidikan Islam (Kamaruzaman Yusuf, 1994). Pada tahun 1992, kerajaan negeri telah menubuhkan Mahaad Dakwah Wa al-Imamah yang diletakkan di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan. Antara projek pendidikan lain yang dilaksanakan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Institut Teknologi Darul Naim dan Mahaad Tahfiz Sains.

Galakan terus diberikan supaya institusi pendidikan pondok yang berumur ratusan tahun yang telah meletakkan Kelantan dengan gelaran Serambi Mekah untuk terus menabur bakti pada masyarakat dengan ditubuhkan Yayasan Pembangunan Pondok Berhad. Kelantan juga selepas 1990 turut menyaksikan pertumbuhan sekolah tahfiz al-Quran di mana lebih daripada 20 buah sekolah tahfiz telah muncul di Kelantan.

Penguasaan semula PAS di Terengganu pada tahun 1999 juga merupakan satu pencapaian untuk ditelusuri dalam konteks mandat seorang tokoh pendidikan. Terengganu di bawah mandat seorang tokoh pendidikan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menubuhkan beberapa institusi pendidikan seperti Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), Kolej Islam Sains Terengganu (KIST), dan Kolej Sains dan Teknologi al-Quran (KOSTAQ). PAS juga membuka peluang pengajian tinggi yang meluas kepada rakyat dengan mengadakan pemberiaan biasiswa melalui Maidam.

Secara keseluruhannya, dapat dibuktikan bahawa PAS telah bergerak dan berkembang menjadi parti politik yang mendepani cabaran demokrasi di Malaysia. Pasang surutnya dalam pilihan raya, bersaing menebar pengaruh dan mencatur strategi, semua ini telah mewarnakan PAS sebagai parti politik pembangkang paling kuat di negara ini.

Menjana dan mengerakkan bidang pendidikan telah menjadi satu strategi utama kepada PAS untuk terus kekal relevan kepada masyarakat, berinteraksi dengan tuntutan pengikutnya dan membina perkaderan politik jangka panjang. Maka usaha Majlis Pendidikan PAS dengan kerjasama Dewan Ulamak Pusat menubuhkan Dana Pendidikan Harun Taib adalah usaha sistematik untuk memperkasakan institusi pendidikan di bawah naungan harakatul ummah ini. – HARAKAHDAILY 2/4/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat.

SATU KEHILANGAN

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Seharian alam siber berdecak dengan berita keuzuran Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, juga euforia syahdu dengan berita Dr Haron Din yang juga turut dimasukkan ke wad CCU Institut Jantung Negara (IJN).

Saya dan rombongan terbang ke bumi Tawau untuk program Ekspedisi Dakwah yang kami rancang beberapa bulan yang lepas. Kedua-dua tokoh ini adalah jantung hati jemaah yang disayangi dan sentiasa didoakan kesihatan mereka, keduanya juga adalah ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Panggilan telefon yang ringkas daripada YB Ustaz Mohd Nor Hamzah , mengkhabarkan kepulangan Tuan Guru Ustaz Datuk Harun Taib ke rahmatullah seperti percikan petir yang menggoncang sukma.

Sosok besar gerakan Islam semenjak pulang dari ardhul kinanah pada tahun 1981 itu tak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanahair ini. Anak didik Ikhwanul Muslimin semenjak di bumi Nabawi, serta melanjutkan kesarjanaannya di kampus al Azhar bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Beliau antara tokoh kaderisasi dakwah yang unggul dalam PAS, selain almarhum Ustaz Yahya Othman dan Tuan Guru Presiden PAS. Semenjak pulang ke Terengganu daripada pemukiman ilmu di Asia Barat, beliau secara sepenuh masa mewakafkan diri beliau dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat direlung hati anak-anak muda di awal dekad 80-an akibat kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti dunia Islam.

Ustaz Harun antara sarjana PAS yang terkenal alim, haraki dan sentiasa subur dengan majlis pencerahan, juga tokoh tajnid yang sentiasa berlanglangbuana ke serata dunia untuk mengkaderkan amilin parti.

Beliau bersama Ustaz Yahya Othman dan murabbi muda PAS yang lain telah menyusun manhaj tarbiah PAS pada tahun 1982, seterusnya mendapat reputasi cemerlang dalam dunia pendidikan PAS.

Dalam pertengahan dekad 1980-an, beliau membentangkan kertas kerja tentang pendidikan pra sekolah di bawah PAS dan akhirnya Pasti telah muncul sebagai produk pendidikan jamaah yang sangat piawai dan membanggakan gerakan Islam tertua di negara ini.

Bersama teman-teman pimpinan yang lain dalam Badan Perhubungan PAS Terengganu, beliau telah mengasaskan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bahkan turut menjadi tenaga pengajar yang awal. Sekolah kader terbesar PAS ini juga telah melahirkan ribuan alumni daripada rahimnya, bahkan mampu mengilangkan tenaga pakar PAS sehingga mampu duduk di Majlis Syura Ulamak PAS seperti Ustaz Zaharuddin Mohamad.

Tokoh tarbiyah ini juga telah membangunkan jihad taalim di kawasan pedalaman Terengganu,iaitu di Kampung Kubang Lembek sehingga terbangunnya markas tarbiah, Sekolah Rendah Islam Darul Ehsan, KUDQI. Kesan pentarbiahan kepada masyarakat Hulu Terengganu juga menyaksikan Dun Manir menjadi kubu kuat PAS sejak zaman berzaman dan kini anakandanya, Hilmi mewakili konstitusi tersebut.

Ustaz Harun mula menjadi nama besar apabila memenangi Pilihanraya kecil Teluk Pasu pada tahun 1989 dengan menewaskan Haji Abdul Rahman, seterusnya menang dalam PRU pada tahun 1990 di Dun Manir.

Beliau antara 10 orang calon Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dihantar ke Wisma Darul Iman dalam pilihanraya umum 1990 yang menyaksikan aksi serpihan Umno, Semangat 46.

Beliau antara nama besar dalam gerakan Islam yang juga melahirkan banyak karya-karya haraki seperti ‘Muslimat Pembangun Ummah’, ‘Berbilang-bilang Jemaah’ serta puluhan kertas kerja yang menjadi teks usrah dalam PAS.

Murabbi ini telah menunjukkan keteladanan yang indah di jalan dakwah, membentuk keluarganya untuk sama-sama berjuang dan mengucur keringat di medan amal Islami.

Isterinya, Ustazah Zainab pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, anak- anak lelaki beliau, Ustaz Hilmi dan Ustaz Hamdi menjadi tokoh penting dalam pemuda PAS. Yang paling penting beliau melahirkan ribuan anak didik di medan perjuangan dengan pelbagai latarbelakang sosial dan pendidikan. Markas Tarbiah Kubang Lembek, menjadi saksi sejarah bagaimana gigihnya sosok ini membangunkan tarbiah serta menjadi kilang tajnid.

Peranan paling besar almarhum ialah apabila dilantik menjadi Exco Kerajaan Terengganu dalam penggal 1999 sehingga 2004, beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Pendidikan dan Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu.

Lilitan serban merah putih dan wajah jernih itu tidak pernah gagal untuk memberikan idea yang terbaik bagi membangunkan pendidikan Islam dan dakwah.

Terengganu akhirnya menubuhkan pelbagai institusi pendidikan seperti Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), Kolej Sains dan Teknologi al-Quran (Kostaq), Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (Kospint), pemerkasaan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) sebagai sebuah universiti, serta menubuhkan Unit Pembinaan Insan dan Unit Mubaligh untuk merancakkan dakwah di negeri Tok Ku Paloh itu.

Malam merangkak sepi dan sayu apabila saya meluncurkan tulisan belasungkawa ini kerana almarhum seperti bapa saya. Semenjak ditamrinkan dalam Ikatan Pelajar Islam Terengganu di Kubang Lembek di alam kampus, sehinggalah saya menjadi aktivis Dewan Pemuda. Beberapa kali disergah kerana itulah cara beliau mendidik supaya anak muda tak lalai. Malah paling manis almarhum adalah saksi majlis pernikahan saya serta sering bertanya khabar melalui orang tengah.

Murabbi ini mampu mengikat dan menjinakkan hati kita supaya terus menerjang badai perjuangan dan jangan berpaling tumit. Saya mencium tangannya kali terakhir dalam mesyuarat PAS Pusat dua bulan yang lepas, sorotan matanya bening dan terpancar kasih sayang yang tulus.

Selamat jalan sang murabbi, berpulang ke negeri abadi setelah seluruh hidupmu diabadikan di atas jalan dakwah ini. Untaian kata-kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas dakwah ini…al-Fatihah.

Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat.

Semoga Allah SWT mengampunkan Tuan Guru Ustaz Harun Taib, memberikan ganjaran terbaik atas perjuangan Islam yang beliau tegakkan, serta menempatkan di kalangan mereka yang soleh.

TGHT (1)TGHT (2)TGHT (3)TGHT (4)TGHT (5)TGHT (6)TGHT (7)TGHT (8)TGHT1

TGHT2TGHT3TGHT4TGHT5








MUKTAMAR DUPP

DUPP (10)

ULAMAK HARAKI MENANGANI FASAAD MENGISI KEMENANGAN

Allah Taala berfirman dalam surah al-Rum ayat 41:

Maksudnya: “Telah zahir kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan apa yang diperolehi oleh tangan-tangan manusia untuk Dia merasakan kepada mereka sebahagian apa yang mereka lakukan mudah-mudahan mereka kembali.”

Apabila manusia meninggalkan agama maka berlakulah kerosakan di muka bumi. Di saat itu Allah menghantar para nabi dan Rasul untuk melaksanakan tugas islah memulihkan masyarakat. Bermula dengan memulihkan aqidah mereka seterusnya syariat dan akhlak mereka. Allah menceritakan kisah Nabi Syu’aib a.s dalam Surah Hud ayat 88:

Maksudnya: Nabi Syuaib berkata: “Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”

Begitulah sunnahnya apabila berlaku kerosakan di sesebuah negara dan masyarakat maka perlu bangkit para alim-ulamak yang mewarisi tugas kenabian untuk melaksanakan tanggungjawab Islah dan pemulihan masyarakat.

Yang Berbahagia al-Fadhil Pengerusi Tetap dan juga al-Fadhil Timbalan Pengerusi Tetap.

Yang dialu-alukan para pemerhati kehormat dan ahli-ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat.

Yang Amat Berhormat Sahibul Fadhilah Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Yang Berbahagia Sahibul Fadhilah Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Yang Berbahagia Ashaabul Fadhilah Setiausaha dan Penolong-Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya Dewan Ulamak PAS Pusat.

Ashabul Ilmi wal al-Fadl Ahli-ahli jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat.

Seterusnya seluruh saf kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat di semua peringkat Negeri dan Urusan Ulamak Kawasan.

Yang Berusaha Pengarah dan Urusetia Panitia Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat Kali k 52 beserta semua ahli jawatankuasanya.

Seterusnya Ashabul Ilmi wal karamah para Tuan Guru, Para Ulamak dan para Perwakilan serta tetamu kehormat yang dirahmati Allah sekalian.

 1. PENDAHULUAN

Alhamdulillah, saya mengajak seluruh hadirin untuk sama-sama kita bersyukur ke hadrat Allah yang melimpahi kita nikmat untuk terus istiqamah di jalan perjuangan menegakkan agama Allah. Marilah kita berdoa dengan doa al-Quran dalam Surah Aali Imran ayat 8:

Maksudnya : “Wahai Rabb kami, janganlah Engkau selewengkan hati kami setelah mana Engkau beri hidayah kepada kami dan kurniakanlah untuk kami dari sisi-Mu rahmat sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.”

Dalam dua muktamar yang lalu ucaptama saya bertajuk Ulamak Haraki Teraju Kemenangan dan Ulamak Haraki Benteng Izzah Islam. Kali ini kita bermuktamar selepas berlalunya PRU ke 13 yang meletakkan kita di hadapan tanggungjawab yang besar setelah kita masih diberi peluang untuk mengekalkan kemenangan di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Walaupun kita gagal untuk mempertahankan Kedah dan mengambil semula Perak, tetapi PAS telah dapat memenangi beberapa kerusi dun dan parlimen di beberapa negeri lain. Kemenangan di dalam pilihanraya ini menuntut untuk kita mengisinya dengan baik di samping meneruskan lagi usaha untuk menambah lagi kemenangan pada masa akan datang. Maka, saya bentangkan pula ucaptama kali ini dengan tema Ulamak Haraki Menangani Fasaad Mengisi Kemenangan

 Saudara saudari para perwakilan sekalian,

2. MEMPERKUKUHKAN MATLAMAT PERJUANGAN PASCA PRU KE 13

PAS merupakan gerakan dakwah dan gerakan siyasah. Ia bukan hanya gerakan dakwah tanpa melibatkan diri dengan politik. Dan bukan juga hanya gerakan politik yang mengenepikan elemen dakwah.

2.1 PAS Sebagai Gerakan Dakwah

Sebagai gerakan dakwah PAS sentiasa berusaha memperkenalkan Islam sehingga diterima oleh masyarakat bukan Islam dan diimani dengan penuh yakin oleh orang-orang Islam hingga mereka boleh menerima Islam sebagai cara hidup peribadi, bermasyarakat dan bernegara. Islam perlu mendasari sistem politik, ekonomi dan social negara. Apabila negara tidak ditadbir dan diurus berdasarkan Islam maka berlakulah pelbagai kepincangan dan kerosakan. Pelbagai medium perlu dimanfaatkan oleh alim-ulamak PAS dan juga ahli PAS untuk mencapai matlamat ini sama ada menerusi lidah atau penulisan.

2.2 PAS Sebagai Gerakan Siyasah

PAS sebagai gerakan siyasah pula sentiasa berusaha mendapatkan kuasa untuk memerintah negara ini dengan menjadikan pilihanraya sebagai wasilah. Pelbagai gerak kerja dan strategi dikemukakan untuk memenangi hati rakyat untuk memberikan kuasa pada Islam. Strategi Tahaaluf Siyaasi yang menjadi sebahagian pendekatan Pas sejak dulu telah membuahkan hasil dan kejayaan untuk mengurangkan kuasa dan dominasi UMNO dan Barisan Nasional. Maka di saat kejayaan awal telah dikecapi oleh PAS menerusi kerjasama politik Pakatan Rakyat, PAS perlu mengisi kemenangan ini dengan mengemukakan pelbagai dasar Islam dalam pentadbiran dan pengurusan negeri.

Teks Ucapan Dasar Penuh boleh dibaca di sini : http://muktamar59.pas.org.my/index.php/ucaptama/dewan-ulamak

DUPP1 DUPP2 DUPP3 DUPP4 DUPP5 DUPP6

DUPP (7) DUPP (8) DUPP (9) DUPP (11) DUPP (12)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

DALANG MIMBAR MASJID

Tajuk asal : Penyalahgunaan mimbar masjid untuk menyelamatkan parti yang mendalangi kemungkaran amat dikesali

Kenyataan: Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Kuala Lumpur, 3 Julai 2011 – Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Yb. Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkan tindakan UMNO-BN yang mendalangi penyalahgunaan mimbar masjid untuk survival kepentingan parti itu adalah sebagai tidak bertanggungjawab dan amat dikesali. Kekesalan tersebut diluahkan ketika mengulas laporan terdapat masjid di Kuala Lumpur yang seolah-olah menjadi lidah kepada pihak kerajaan untuk survival politik sempit parti pemerintah.

Apa yang mendukacitakan apabila dilaporkan bahawa UMNO bukan sahaja mendalangi mimbar masjid untuk kepentingan mereka bahkan tanpa segan silu mentafsirkan nas hadis dan pandangan para ulama mengikut selera mereka dan di luar konteks yang sebenar.

Berdasarkan teks khutbah yang disiarkan di dalam laman web JAWI (http://www.jawi.gov.my), mereka telah memberikan tafsiran yang salah terhadap petikan kata-kata salah seorang Imam di dalam mazhab As-Syafie iaitu Imam Abi Ishak Al-Juwayni yang seolah-olah mengharamkan perhimpunan yang memudaratkan kepentingan umum. Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkannya sebagai istidlal (penghujahan) yang tidak bertanggungjawab. Ini adalah kerana istidlal (penghujahan) tersebut ditujukan kepada pengharaman penentangan yang dizahirkan kepada kerajaan yang telah pun melaksanakan hukum Islam yang adil.

Pihak yang menyediakan teks ini sewajibnya faham bahawa kata-kata al-Imam Juwainy itu merujuk kepada kerajaan Islam dan bukannya kerajaan yang zalim dan melakukan maksiat seperti kerajaan UMNO-BN sekarang, apatah lagi menghalang perlaksanaan Islam. Dibawah kerajaan Islam yang adil maka ketaatan mesti diberikan sepenuhnya tanpa menimbulkan sebarang kemudaratan kepada masyarakat dan Negara sebagai usaha menyokong keadilan.

Ujar beliau lagi “ Tidak melaksanakan Islam adalah kemungkaran yang besar, serta menjadi kewajiban kepada rakyat untuk menegur dan menasihati pemerintah supaya meninggalkan kemungkaran samada melalui tangan, mulut dan hati yang sesuai dengan kemaslahatan ummah”

Menurut beliau lagi, BERSIH merupakan mekanisme yang digunakan secara aman dan berkesan supaya pengendalian pilihanraya di Negara ini dilaksanakan dengan lebih adil dan telus sepertimana tuntutan Islam yang sebenar. Ianya tidak ada kena mengena dengan pemberontakan dan apa sahaja istilah yang dimomokkan oleh pihak UMNO-BN di dalam media.

Adapun hujah mereka yang menggunakan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar, Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkan sebagai istidlal (penghujahan) yang ditafsir di luar konteks yang sebenar sepertimana diterangkan sebelum ini. Hadis-hadis yang menceritakan pengharaman penentangan kepada kerajaan adalah merujuk kepada kerajaan Islam yang adil dan bukannya kerajaan yang zalim dan melakukan kemungkaran seperti UMNO-BN seperti sekarang apatah lagi menentang perlaksanaan Islam.

Sementara itu , setiausaha Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya yang dihubungi oleh pihak web DUPP turut meluahkan rasa terkilan terhadap apa yang berlaku. Beliau sendiri turut mendengar khutbah tersebut berkata “Ianya satu perkara yang memalukan , saya berasa amat kesal dengan tindakan yang tidak professional ini.. apatah lagi ianya dibaca di atas mimbar yang sangat mulia.”

Ujar beliau lagi “ apa yang lebih mendukacitakan lagi nas-nas atau dalil-dalil syarak telah ditafsikan luar daripada konteksnya yang sebenar”. Tetapi beliau percaya bahawa rakyat sudah matang dalam membuat keputusan dan tahu membezakan diantara hak dan batil. Perjuangan untuk menegakkan keadilan insyaAllah pasti akan membuahkan hasilnya walaupun pelbagai sekatan dan hasutan dilakukan.

%d bloggers like this: