Tag Archive: Hari Raya


Sumber : Web JHEAINS

Bersempena 01 Syawal hari mulia, merupakan hari kemenangan serta hari kegembiraan bagi seluruh umat Islam, khatib ingin menyampaikan pesanan yang sangat dianjurkan dalam Islam, tentang keutamaan Aidilfitri, menjalinkan ukhuwah Islamiah dan peri pentingnya menjaga keselamatan semasa balik kampung, iaitu:

Pertama: Rayakan Aidilfitri dengan Syariat Aidilfitri bukan semata-mata hari perayaan, hakikatnya Aidilfitri adalah hari umat Islam yang berpuasa kembali kepada fitrah suci bersih, hari kemenangan dan kegembiraan.

Maka Islam sebagai agama Syariat yang telah ditentukan oleh Allah SWT memberikan panduan, rujukan terbaik dan mesti diamalkan oleh umat Islam ketika menyambut hari raya Aidilfitri ini, kesemua panduan itu ada termaktub di dalam Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW serta Ijmak Ulama dan Qiyas.

Islam memberikan umatnya kaifiyat atau cara menyambut dan merayakan Hari Raya Aidilfitri ini. Iaitu umat Islam mesti merayakan Aidilfitri ini dengan membesarkan Allah SWT, mengikut Sunnah Rasul-Nya dan mengutamakan syariat-Nya. Dimulakan dengan kalimah Takbir, Tasbih, Tahmid sebagai tanda membesar dan mengagungkan Allah SWT dan memartabatkan Syariat dan syiar Islam, yakni menyambut Aidilfitri dengan panduan Syariat Islam yang indah lagi syumul.

Bila Syariat Islam didahulukan pasti kebaikan, keberkatan dan ukhuwah akan sentiasa hidup dan subur dalam kehidupan, pergaulan dan hidup bermasyarakat. Oleh itu, antara perkara-perkara yang terbaik sepanjang menyambut Aidilfitri, antaranya ialah:

1. Memberi ucapan tahniah sesama Islam: ‘TAQABALALLAHU MINNA WA MINKUM’ (Semoga Allah menerima segala amal puasa, amal soleh dari kita semua)

2. Melakukan amalan ziarah-menziarah.

3. Menjaga ibadah fardu seperti Solat Fardu lima waktu

4. Saling bermaaf-maafan.

5. Sentiasa mengeratkan jalinan ukhuwah dan silaturrahmi.

6. Meraikan dan menjamu tetamu yang datang dengan mesra dan juadah yang sederhana.

7. Mengelakkan pembaziran dalam menyediakan juadah.

8. Memelihara batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan muhrim.

Kedua: Mantapkan ukhuwah dan perpaduan Aidilfitri inilah masa paling sesuai kita mengilap kembali jalinan ukhuwah dan silaturrahmi, kerana umat Islam yang beriman itu adalah bersaudara. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 10)

Ketahuilah, bahawa Islam itu agama persaudaraan dan perpaduan. Marilah kita menjalin ukhuwah, memantap silaturrahmi pasti akan mengukuh perpaduan umat Islam. Di antara amalan yang dapat mengukuhkan perpaduan ummah itu, ialah hidup bermuafakat, berkerjasama, tolong-menolong, bermaafmaafan dan saling bersefahaman serta saling kenal-mengenal antara satu sama lain.

Justeru itu, ikat dan jalinlah ukhuwah, silaturrahmi dan perpaduan ini dengan tali iman dan Islam, pasti umat Islam akan bertambah kuat dan kukuh perpaduannya. Pegang teguhlah tali Allah, yakni agama Islam. Sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara…” (Surah Ali ‘Imran, ayat 103)

Maka bersempena hari mulia lagi barakah Aidilfitri ini bersama-sama kita suburkan ukhuwah, mantap silaturrahmi dan kukuhkan perpaduan demi mencari rahmat, berkat dan redha di sisi Allah SWT.

Ketiga: Hargai nyawa dan pastikan keselamatan Hidup mati adalah ketentuan yang ditakdirkan oleh Allah SWT. Manakala mengelak kecelakaan, kemalangan serta berusaha memelihara keselamatan diri, keluarga dan orang lain adalah sebahagian daripada perintah di dalam Syariat Islam. Firman Allah SWT:

 Maksudnya: “Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), kemudian Dia (Allah) menyempurnakan tempoh umur kamu, (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya) dan ada pula di antara kamu yang dikembalikan kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah dia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”. (Surah An-Nahl, ayat 70)

Oleh itu, kita patut bersyukur atas nikmat yang Allah SWT kurniakan melalui nikmat nyawa yang membolehkan kita merasai indahnya kehidupan, keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala macam lagi rahmat lain kurniaan Allah SWT kepada kita. Ingatlah, bahawa apabila nyawa terpisah dari badan, berakhirlah segala nikmat dan rahmat yang kita rasai selama itu.

Namun, Islam menganjurkan umatnya supaya mensyukuri nikmat nyawa itu dengan memelihara dan melindunginya, yakni mengelakkan segala bentuk bencana dan kemalangan yang boleh mengundang kecelakaan, seperti kemalangan jalan raya dan seumpamanya.

Sumber : Web JHEAINS

Sesungguhnya Ramadan, Syawal dan Aidil Fitri amat bermakna kepada umat Islam yang beriman, cintakan amal ibadat dan amal soleh. Perginya dirindui dan datangnya ditunggu-tunggu, walau ia datang cuma sekali dalam setahun.

Inilah rahmat kurniaan Allah SWT kepada umat Islam dan orang yang beriman. Beruntunglah kita yang berjaya mengambil dan mengisi segala peluang yang ada pada bulan Ramadan dan Syawal nanti.

Oleh itu, jika Ramadan diisi dengan segala amal ibadah, amal soleh seperti Solat berjemaah, Solat Tarawih, Tahajud, Duha, Taubat, tadarus Al Quran, Zikir, sedekah dan sebagainya.Hendaklah semangat ini biarlah berterusan di bulan-bulan seterusnya.

Sebabnya amal ibadat dan amal soleh yang disebutkan itu merupakan saham untuk kehidupan kita di akhirat nanti. Lagi banyak amal ibadat dan amal soleh dilaksana lagi banyaklah saham amalan kita di akhirat nanti.

Firman Allah SWT bermaksudnya : “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan”. (Surah An-Nahl. Ayat 97)

Syawal dan Aidilfitri merupakan hari kemenangan dan kegembiraan bagi umat Islam yang telah berjaya melaksanakan ibadah puasa sebulan Ramadan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…orang yang berpuasa mendapat dua perkara yang menggembirakan, pertama semasa dia berbuka puasa, dan kedua semasa dia menemui Tuhannya (pada hari akhirat)”. (HR Imam Muslim)

Ulama menjelaskan maksud Hadith tentang dua kegembiraan tersebut, bahawa bergembira semasa berbuka puasa itu kerana telah dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan pertolongan serta taufiq Allah SWT. Manakala bergembira pada hari akhirat kerana mendapat balasan yang sebaik-baiknya di sisi Allah SWT.

Justeru, Hari Raya Aidil Fitri adalah hari kegembiraan kita kerana telah berjaya melaksanakan ibadah puasa selama bulan Ramadan, melakukan qiyamul-lail bersolat Sunat Tarawih, zikir, doa, tadarus Al Quran dan sebagainya dengan tekun, istiqamah juga ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala.

Sesungguhnya inilah kegembiraan bagi umat Islam yang beriman dan beramal ibadah sepanjang bulan Ramadan. Oleh itu, marilah kita sambut dan rayakan Hari Raya Aidil Fitri ini dengan berpandukan Syariat dan bukannya dengan adat tradisi yang bercanggah dengan Syariat.

Kami sekeluarga mendapat undangan majlis hari raya yang dianjurkan bersama oleh 15 keluarga yang diadakan di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan tengahari ahad lepas. Mengetahui majlis berkenaan, ya ini adalah satu perkongsian pintar. Kenapa tidak, antaranya ialah tetamu yang hadir solat zuhur berjamaah, justeru memudahkan solat fardhu dijaga dan ditunaikan awal waktu. Barangkali juga ada tetamu masing-masing yang pertama kali berziarah ke surau ini, ertinya mereka selepas ini sudah mengetahui lokasi surau dan aktiviti mereka di sini.

Saya meyakini pula bahawa sesetengah tetamu adalah kenalan kepada beberapa keluarga penganjur, jadi kunjungan berhari raya sudah dapat dijimatkan dan boleh selepas itu bergerak ke lokasi-lokasi yang lain pula. Dari segi ekonominya, belanja majlis jamuan hari raya ini dijamin jimat kerana perkongsian kewangan. Sedikit kutipan dibuat dan kemudian acara masak memasak di surau. Selebihnya masing-masing menambah dan membawa dari rumah masing-masing. Ukhuwwah silaturrahim jelas kelihatan apabila kerja-kerja tolong menolong dapat dilakukan sebaiknya.

Tahniah kepada JK surau dan keluarga penganjur yang terlibat. Alhamdulillah…

Alhamdulillah, malam isnin lalu saya berkesempatan hadir dalam majlis sambutan hari raya anjuran Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut. Majlis berkenaan dimulakan seawal maghrib dengan solat maghrib dan isyak secara berjamaah. Selesai solat isyak, hadirin sekitar 200 orang yang terdiri daripada penduduk taman berkenaan dihidangkan dengan tazkirah oleh Ustaz Razali dari SMKA Tun Datu Mustapha.

Dalam tazkirahnya beliau mengimbau kembali tentang penghayatan Ramadhan yang sepatutnya sudah menampakkan kesannya selepas bulan Ramadhan. Dalam sibuk menjamu selera dan menghadiri undangan hari raya, beliau turut mengingatkan agar hadirin tidak mengabaikan puasa enam hari dalam bulan Syawal yang ternyata banyak kelebihannya.

Majlis berkenaan juga diserikan dengan persembahan nasyid oleh anak-anak penduduk taman berkenaan yang berumur 12 tahun ke bawah, yang merupakan gabungan murid-murid PASTI al-Aqsa Taman Limauan dan juga pelajar Sekolah Agama Rakyat an-Nur. Selain itu, cabutan pengunjung bertuah juga memeriahkan majlis yang berakhir sehingga jam 9.30 malam.

Tahniah kepada penganjur dan seluruh penduduk taman yang terlibat. Sewajarnya perkara baik seperti ini wajar diteruskan dan dikembangkan lagi.

%d bloggers like this: