Tarikh : 24 Julai 2016
Lokasi : Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu
Sebagaimana resolusi dengan sahabat-sahabat, hampir 20 keluarga berhimpun di pusat peranginan ini dengan keseluruhan ahli sekitar 80 orang termasuk anak-anak kecil.
Tujuan utama selain untuk bercuti bersama keluarga masing-masing adalah untuk menemukan isteri-isteri dan anak-anak dalam program santai tetapi penuh ukhuwwah.
Acara mewarna untuk anak-anak PASTI dan tahap 1, meniup belon hingga pecah untuk sekolah rendah (putera), mengupas dan makan telur untuk puteri, masuk benang dalam jarum untuk para ibu, serta main bola sepak untuk para bapa.
Acara paling wajib bagi anak-anak dan ibu bapanya sekali sudah tentu mandi di kolam yang terbentang di hadapan bilik penginapan. Setiba di kawasan ini pun, anak-anak sudah meronta untuk terjun serta merta apabila melihat kawan-kawan yang tiba lebih awal sedang mandi dan berenang.
Sebelah malam, maghrib dan isyak kami khususnya lelaki didirikan secara berjamaah di luar kawasan resort berdekatan pantai, bertemankan cahaya suram dan para nyamuk yang sedang mencari setitik darah.
Isu kegawatan sosial, pentarbiahan anak-anak mendepani isu ini, serta program kekeluargaan menjadi topik perbincangan kami. Pelbagai idea, komentar dan pandangan dilontarkan untuk dilaksanakan sekurang-kurangnya dalam kelompok ahli usrah kami.
Jamuan makan malam dengan menu utama seekor kambing yang diaqiqahkan untuk anak Ust Baharuddin, selain penyampaian hadiah buat semua anak-anak yang terlibat dalam pertandingan sebelah petang tadinya.
Program berakhir pada tengahari ahad setelah berada di sini semalaman. Ia sudah tentu belum memadai untuk ukhuwwah sesama anak-anak dan para isteri, namun inilah permulaannya.