Tag Archive: Harakah


Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32051-intipati-ucapan-tg-presiden-bagi-yang-terlupa

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | 11 November 2014.

SAYA  terkadang rasa terkilan dengan pelbagai ketidakselesaan dilontarkan oleh pimpinan parti di pelbagai peringkat antara satu sama yang lain secara terbuka. Seharusnya setiap kritikan, teguran atau ketidakpuashatian sesama pimpinan disalurkan secara dalaman, tidak secara terbuka umpama membuka pekung di dada.

Lebih mendukacitakan apabila ada yang berpandangan bahawa ucapan penangguhan Tuan Guru Presiden dalam Muktamar ke-60 di Batu Pahat, Johor yang lalu tidak disertai dengan satu arahan yang jelas.

Saya berpandangan sejak beberapa muktamar lalu telah banyak arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pimpinan parti termasuklah daripada Tuan Guru Presiden yang sebenarnya masih tidak dilaksanakan.

Justeru, sesuai dengan suasana semasa, Muktamar ke-60 wajarlah ia dijadikan sebagai penegasan semula terutama melibatkan perkara-perkara prinsip dan pokok.

Sekadar catatan untuk dikongsi, saya perturunkan antara perkara penting yang menjadi intipati ucapan penangguhan Tuan Guru Presiden untuk dihadam bagi dilaksanakan. Catatan daripada ucapan penangguhan Tuan Guru Presiden dalam Muktamar ke-60.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu daripada Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya.” [Ali-Imran: 102-103]

1. Perbahasan dan kocakan dalam muktamar adalah perkara biasa. Kebimbangan TG Presiden kepada setiap sokongan dan kebersamaan, apabila berpaling belakang tiada orang di belakangnya meskipun sokongan diluahkan. Seharusnya sindiran ini diinsafi oleh setiap pendokong dan penyokong PAS.

2. Kerana bertahaluf, Aus-Khazraj hampir berpecah natijah gangguan daripada rakan tahaluf semasa awal Islam di Madinah.

3. Pergolakan semasa adalah berkaitan isu luar. Kelemahan adalah jelas pada kita sendiri (dalaman parti).

4. Setiap umat Islam, terutamanya para pendokong dan penyokong PAS biarlah mati bersama Islam, bukan tokoh, bukan PAS atau lain-lain.

5. Kekuatan di Malaysia, boleh bergerak langsung atas nama Islam. Ia satu kelebihan untuk PAS.

6. PAS bergerak atas dasar mencari redha Allah. Perjuangan yang berasaskan dosa dan pahala.

7. PAS tidak bergerak atas majoriti semata-mata.

8. Menyorot peranan PAS dalam meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

9. Menegaskan rujukan PAS ialah al-Quran dan Sunnah.

10. Majlis Syura Ulamak berperanan memastikan setiap pendokong PAS berpegang pada pendirian ini. Keahlian Majlis Syura Ulamak adalah dari kalangan mereka yang dalam ilmu Islamnya. Mereka dilantik secara majoriti melalui jawatankuasa pusat.

11. Akal tidak boleh mengatasi hukum syaria’h.

12. Masalah semasa, perlu penglibatan profesional. Prinsip asas khilafah iaitu mendaulatkan Islam dan mentadbir dunia.

13. Penegasan orang bukan Islam menjadi anggota bersama dalam perjuangan. Mendokong demokrasi untuk Islam.

14. Majlis Syura Ulamak tiada kuasa mutlak.

15. Kepimpinan PAS wajib bermesyuarat. Kekuatan jawatankuasa pusat adalah pada syuranya.

16. Hudaibiah, majoriti menentang. Adakalanya majoriti bukan suatu ketepatan berbanding apa yang ditentukan Allah.

17. Pendekatan damai, hubungan dengan semua kaum. Hubungan dengan sesiapa sahaja.

18. Muamalah dengan pihak lain untuk undi. Hakikat demokrasi semasa mesti diambilkira. Lapan kaedah muamalah perlu diperhatikan.

19. PAS bukan hotel atau jambatan pendek. PAS perlu disokong, perlu beristiqamah.

20. Tahaluf pada perkara-perkara yang sama. Tak akan berpecah, sebab ada persamaan perjuangan.

21.  Hormat perbezaan, sebagai contoh dalam isu antarabangsa-Palestin dan nama Allah.

22. PAS tidak merebut jawatan MB Selangor.

23. Percanggahan akal dan agama. PAS bersikap tidak diam diri. Tidak boleh lantik sesuka hati. (memetik hadith berkaitan lantikan mengendalikan urusan orang Islam. Perlu ada kelayakan dan bukannya kecenderungan. Allah tidak terima tebusan hingga di heret ke neraka)

24. Tiada etika bertahaluf apabila ada tindakan seolah-olah curi wakil rakyat. Boleh timbul suasana jadi broker dan barua. Di sebalik aku janji, setiap pendokong PAS Ada bai’ah yang wajib diutamakan.

25. Penerangan tahaluf, istia’nah, taa’wun. Perkara-perkara prinsip boleh bertindak atas keupayaan parti.

26. Antara rakan-rakan tahaluf, boleh berbeza dalam hal-hal masing-masing.

27. Tolak pilihan ahli majlis, ketegangan kaum. Tolak perlantikan bukan Islam sebagai ketua menteri Sarawak.

28. Wala’, hanya ada pada parti/jemaah. Tidak pada yang lain.

29. Jati diri kita, Islam.

30. Sikap memaaf lebih baik kepada mereka yang khilaf. Contoh ahli badar yang membocorkan rahsia.

31. Tolak kerjasama bersama BN.

32. PAS wajib bersikap terbuka pada semua pihak. Banyakkan kawan, bukan musuh. Jangan kekal pada ketegangan. Beristiqamah pada prinsip dan perjuangan.

33. Istiqamah dalam tahaluf.

34. Tidak berpecah walau berbeza pendapat. Jangan bersikap keras, walaupun benar.

35. Jangan tubuh jemaah dalam jemaah dan parti dalam parti.

36. Jangan kacau parti rakan. Rakan jangan kacau kita.

37. Batalkan tahaluf apabila rugikan Islam.

38. Perjalanan yang dekat, akan ramai yang ikuti. Tapi kerana jauh perjalanan, ia tidak mudah.

39. Masa depan tetap ada untuk Islam. Bersabarlah hadapi dalam dan luar. Bertugaslah pada tempat masing-masing. Bertakwa untuk kemenangan dunia dan akhirat. Moga himpunan Muktamar ini menjadi amal yang dikira sebagai amal soleh.

HARAKAHDAILY 11/11/2014

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/editor/25245-membongkar-isu-isu-kritikal-tawau

Oleh Ahmad Lutfi Othman / 27 Januari 2014

Pagi Ahad, 19 Januari. Hari kedua saya di Tawau. Dua panggilan Yang Dipertua PAS kawasan, Mohamad Husain, tidak sempat dijawab. Sejak awal pagi, kami agak terkejar-kejar membuat tinjauan ringkas, menyelongkar isu-isu rakyat di lapangan, yang belum didedahkan secara menyeluruh oleh media.

Saya dan wartawan Arif Atan tiba agak lewat di lokasi, Pasti Nurul Hannani, Jalan Kuhara. (Rupanya Pasti di Tawau – antara yang terbaik pengurusannya di Malaysia – mendapat sambutan hebat ibu bapa, termasuk keluarga penyokong dan pemimpin Umno).  Pengarang Berita, Wan Nordin Wan Yaacob sampai lebih awal. Majlis jamuan dan meraikan bekas tahanan ISA, bertempat sudah bermula.

Saya terpaksa berhati-hati menuruni cerun di jalan masuk depan Pasti.  Dua anak muda dengan sopan cuba memapah saya. Terasa macam orang tua kurang upaya!

Bekas tahanan dua kali dikurung di Kamunting, Ustaz Nazri Dollah, baru memulakan ucapan, menekankan teladan unggul Rasulullah s.a.w. Saya perlu meredakan kepenatan di barisan kerusi paling belakang sebelum bersama Nazri dan Mohamad di atas pentas,

Wajah jernih anak-anak kecil yang pernah berkunjung ke Pejabat Harakah menggamit perhatian saya. Begitu juga para isteri yang dulunya berwajah suram. Sekilas, saya dapat mengesan mereka kini dalam mood berbeda. Alhamdulillah.

Memang kunjungan kali ini bukan lagi waktu untuk berduka atau bercerita kisah sedih. Sebaliknya tanda simbolik menguburkan akta rimba penuh kezaliman yang memisahkan keluarga pejuang. Dan turut mahu dibenamkan ialah ketakburan elit penguasa serta kesombongan pencacai, khususnya anggota Cawangan Khas (SB).

“Saya kira selepas ISA dimansuhkan dua tahun lalu dan semua tahanan dibebaskan minggu lepas, maka ini mungkin kunjungan terakhir ke Tawau, ditambah pula keuzuran badan,” ujar saya dalam mukadimah forum  membariskan bekas tahanan berkongsi pengalaman.

“Rupanya, tidak. Dan saya terlewat sampai ini pun kerana terpaksa menyusun jadual melihat sendiri banyak projek sakit dan isu-isu rakyat di Tawau, seperti penyelewengan pembinaan Sekolah Menengah Titingan, dan paling mengejutkan insiden batu besar kuari meranapkan 12 rumah di Kampung Tanjung Batu Kukusan. Dahsyat sungguh!

“Insya-Allah, walaupun ISA sudah berkubur, saya dan rakan-rakan Harakah akan datang lagi ke Tawau,” kata saya, disambut ketawa kecil hadirin.

Seawal pagi hujung minggu itu (walaupun sudah dianggap lewat dalam kiraan jam di Sabah) kami menjejaki projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Titingan, Tawau, yang hampir siap dan sepatutnya sudah mula beroperasi tahun lalu.

Malam sebelumnya, kami dibawa menikmati juadah makanan laut yang segar dan enak, di sebuah restoran berdekatan, Sri Titingan, memaksa saya melanggar diet diabetis, jantung dan kegagalan buah pinggang.

Saya perhatikan kawasan sekolah dipagar sepenuhnya. Kami ditemani Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, juga Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah. Ahmad yang murah dengan senyuman dan kerap berjenaka itu seperti keberatan membenarkan saya menyelit melalui “lorong tikus”. Saya terpaksa mengempiskan perut dan menahan nafas untuk meloloskan diri.

“Dah jauh ke sini, haji, takkan tersekat nak masuk ke dalam, kot,” saya bersuara perlahan, ketawa kecil, sambil bertongkat mengimbangi badan agar tidak tersepit. Saya lebih risaukan benda-benda tajam yang boleh melukakan dan berisiko tinggi kepada pengidap diabetik.

Memang mengejutkan. Bangunan sekolah yang menelan kos RM40 juta itu boleh dikatakan siap sepenuhnya tetapi kini terbiar sepi. Lalang hampir separas pinggang. Banyak peralatan, termasuk pendingin hawa telah dicuri. Hatta pintu dewan besar pun tanggal, lesap. Apatah lagi jeriji besi yang boleh dijual di pasaran gelap dengan mudah.

Pelik bin ajaib juga memikirkan punca masalah bagaimana bangunan sekolah yang siap tidak dapat dimanfaatkan. (Tapi, bukankah tiada yang aneh di negara tercinta ini, segalanya serba mungkin dan tiada yang mustahil, ‘kan?)

Difahamkan tiada jalan masuk ke sekolah baru ini. Soalnya, bagaimana projek boleh diluluskan tanpa dibereskan kemudahan paling asas terlebih dahulu? Mungkinkah – untuk kesekian kali – rasuah atau elemen seumpamanya. Sepertimana pernah menyebabkan banyak lagi projek sebelum ini terbengkalai atau roboh kemudiannya, terutama di bawah Kementerian Pendidikan?

Soalan-soalan itu sebenarnya tidak lagi menimbulkan tanda tanya, malah sudah ada jawapan “sejak azali” lagi! Ya, pemerintahan Umno-BN tidak dapat dicerai-tanggal daripada korupsi, kronisme, salah guna kuasa atau sekurang-kurangnya pembaziran melampau. Lebih aneh lagi apabila khabarnya Putrajaya telah dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar sudah berpindah ke sekolah baru itu.

Belum lega dengan kejutan itu, kami dibawa ke sekolah tumpang, di kawasan setinggan berhampiran, yang terpaksa menampung pelajar sekolah terbengkalai tersebut. Melihat situasi di sekeliling, saya dapat membayangkan risiko tinggi yang menunggu, antaranya banjir dan kebakaran.

Sementara menunggu hidangan juadah nasi Arab di majlis meraikan bekas tahanan ISA, seorang guru membisikkan kepada saya: “Bukan hanya sekolah Titingan yang terbengkalai, banyak lagi projek sakit di Tawau ini.” Dia menyebut nama dua sekolah menengah itu, Kubota dan Kinabutan, yang kemudiannya kami lawati esok hari, bersama Mohamad Husain.

Secara peribadi saya tidak begitu kaget dengan perkampungan setinggan atau penempatan di atas air di Tawau. Semasa di Sandakan beberapa bulan lalu, saya perhatikan situasi di sana lebih sesak dan menyedihkan. Begitu juga dengan keadaan anak-anak kecil yang berkeliaran di pasar.

Saya lebih terdorong dan rasa bertanggungjawab untuk mengangkat isu kuari di Kampung Kukusan. Melihat sendiri bongkah batu sebesar rumah, yang meranapkan 12 kediaman, cukup menggerunkan.

Berdepan “lembaga” batu sebesar itu, yang jatuh bagaikan peluru selepas puncak bukit diletupkan, pada April 2013, saya bukan saja terkejut tetapi sekali gus api kemarahan memuncak.

Bukankah aktiviti pengkuarian terpaksa melalui prosedur yang cukup ketat, khususnya daripada Jabatan Alam Sekitar, yang memerlukan laporan EIA dan persiapan kawalan risiko kecemasan yang diluluskan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak polis?

Bukan saja impak gegaran, bau, bunyi bising dan habuk yang diambil berat, malah prioriti paling atas adalah aspek keselamatan, bukan hanya terhad kepada manusia tetapi juga binatang.

Difahamkan kawasan kuari juga hendaklah dilanskap dengan tumbunhan rendang yang dapat menghalang pandangan visual penduduk terdekat. Selain itu, operasi kuari hendaklah dihentikan serta merta jika terdapat sebarang aduan pencemaran atau gegaran atau batu terbang (flyrock) daripada penduduk sekitar.

Dan sebagai rakyat biasa, saya rasa terhina dengan sikap rakus dan memandang rendah keselamatan orang awam, konspirasi ahli perniagaan tamak bersama elit pemerintah takbur.

Sama sekali anda tidak boleh mempercayainya apabila letupan kuari sedahsyat itu, yang memuntahkan bongkah batu pejal yang masih tersergam, namun ia masih belum berjaya menghentikan operasinya.

“Inilah bukti kerja jahat kapitalis rakus yang mahu mengorek segala khazanah bumi tanpa menghiraukan keselamatan orang awam,” Arif Atan meluahkan rasa hati semasa kami masih berkereta menuju jalan masuk ke Kg Kukusan atau lebih popular dengan sebutan Besi Buruk.

“Rasuah dan korupsi akan menghanguskan segalanya,” pintas saya. “Dan inilah peranan media bebas seperti Harakah. Kita harus turun selalu ke Sabah. Banyak cerita misteri yang belum kita korek tersimpan di sini,” saya seakan berkhutbah. Dari bawah, saya mendengar dengan jelas gegaran di atas bukit, dan melihat kilauan pancaran cahaya daripada mesin pengorek yang terus digerakkan.

Malah, seorang wanita, penduduk kampung, menunjukkan salinan pemberitahuan, bertarikh 20 Januari 2014, daripada pengurusan Kukusan Kuari Tawau bahawa “peletupan bom batu” akan dijalankan pada jam 1.30 petang, 21 Januari.

Petaka apa yang masih ditunggu, bukan saja untuk menghentikan serta merta operasi kuari itu, tetapi juga untuk membentuk satu siasatan terperinci bagi mengenal pasti akar kepada kejadian ngeri yang masih menghantui penduduk itu?

Selama tiga hari di Tawau, saya cukup terkesan dengan personaliti hebat rakan-rakan PAS, tidak terkecuali Muslimat, yang banyak membantu dan ringan tulang, termasuk bersama isteri saya, Siti Hawa Samsam menyediakan juadah nasi Arab untuk jamuan meraikan bekas tahanan ISA.

Dan saya tentu sekali tidak dapat melupakan sosok tubuh “Uncle Jefferey”, 68, atau nama sebenar Kideng ak Benang, seorang lelaki Iban yang tabah dan cekal. Ungkapan kata yang dituturkannya cukup menarik dan membekas. Beliau bijak menyusun madah dan mampu membangkitkan semangat.

Bertemu mata dengannya, mencuri masa kerja beliau sebagai pengawal keselamatan selepas dipaksa meninggalkan kerjaya sebagai petani berjaya, dan berbicara tentang kemusnahan kawasan bercucuk tanam  dan penempatan yang diterokainya sejak 1978, begitu menyentuh hati.

Satu lagi testimoni tentang kerakusan pemerintah merampas tanah yang diusahakan titik peluh rakyat. Saya rasa terkilan kerana tidak sempat mengunjungi kampungnya bagi menyaksikan sendiri proses kezaliman yang tidak pernah terhenti.

“Bukankah pelik apabila kita, manusia, sebagai makhluk Tuhan yang paling indah telah diusir lebih hina berbanding binatang.

“Saya sendiri pernah katakan kepada pihak perhutanan Sabah, gajah, dan binatang liar dalam hutan kamu jaga, pelihara. Sedangkan manusia seperti kami dan sama seperti kamu juga, ciptaan Tuhan yang begitu indah, tapi tidak difikirkan hak sesama manusia, diusir tanpa memberi pilihan,” ujarnya lembut tetapi nampak tegas.

Jefferey seterusnya menceritakan perancangan beliau dan rakan-rakannya untuk kembali ke kawasan penempatan mereka yang telah dimusnah dan dirampas: “”Kami akan kembali ke sana 10 April ini. Setiap tahun sejak empat tahun lalu kami berdoa di sana.

“Saya minta kepada Tuhan supaya Tuhan memberi kebijaksanaan, melembutkan hati mereka agar mengembalikan hak rakyat yang mereka rampas. Langkah saya tidak terhenti begitu saja. Setiap tahun kami berdoa begitu. Perjuangan kami belum selesai,” tambahnya penuh yakin. Benar, saya tidak perlu menunggu lama untuk mengkagumi watak lelaki ini.

Ikuti kisah menarik Jefferey, bekas ketua cawangan Umno dan seorang yang boleh dianggap bertaraf paderi, juga pelanggan tetap Harakah yang tidak pernah absen mengikuti ruangan kuliah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tok Guru Abdul Hadi Awang, dalam Harakah akan datang.

tawau1tawau2

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/21987-misteri-sabah-yang-belum-terbongkar

Jadual kunjungan saya ke Sandakan selama tiga hari, bermula 6 September lalu, agak padat dan memenatkan. Walaupun tujuan asalnya hanya untuk melihat sendiri kediaman baru keluarga Jamal Azahari — yang masih ditahan di Manila selepas dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting lebih lima tahun lalu — saya turut dibawa Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah, mendekati kehidupan sukar di kawasan terpinggir.

Pengasas PAS Sabah itu, yang banyak membantu saya membeli makanan laut segar, mendedahkan sisi-sisi gelap warga Negeri di Bawah Bayu, khususnya kawasan penempatan di atas air yang sesak dan nasib hampir 100 keluarga setinggan yang ditimpa kebakaran besar pada tengahari 1 Syawal lalu. Ramai penduduk mengesyaki, dengan disertakan bahan-bahan bukti, bencana itu sebenarnya angkara perbuatan khianat terancang bagi menghalau penduduk; khabarnya satu amalan lazim sang penguasa bersekongkol dengan kapitalis berkepentingan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kinabatangan, Ustaz Zaidi awal-awal lagi mempelawa saya turun padang ke daerah pendalaman yang serba kekurangan. Parlimen Kinabatangan diwakili Bung Mokhtar Radin yang menegaskan bahawa kenaikan harga minyak tidak menjejaskan kehidupan orang kampung kerana mereka tidak berkereta.

“Orang kampunglah yang paling terkesan dengan kenaikan itu disebabkan kos pengangkutan, termasuk dengan bot, untuk masuk jauh ke pendalaman segera melambung,” kata Ustaz Zaidi.

“Selalunya saudara melawat lokasi di bandar, seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Kali ini elok juga, sempena 50 tahun Sabah merdeka di bawah Malaysia, saudara turun ke kawasan kampung, yang sebenarnya menyimpan  begitu banyak masalah,” cadang Rahimin Mustafa, Setiausaha Pilihan Raya PAS Sabah sebaik mengetahui saya berhasrat ke Sandakan untuk kali keempat.

Malang sekali, kenderaan rakan Ustaz Zaidi yang sepatutnya mengambil saya dan wartawan kanan, Azamin Amin, jam tujuh pagi Sabtu itu, tiba-tiba rosak. Kami hanya dapat keluar dari bandar Sandakan ketika Zuhur apabila Ustaz Zaidi sendiri turun dari Kinabatangan.

Disebabkan majlis kenduri dan doa selamat, di rumah baru Jamal Azahari, untuk enam keluarga bekas tahanan ISA dijadualkan jam 2 petang, saya hanya dapat bersetuju untuk meninjau kawasan kampung sekitar 50km dari Sandakan. Itupun, kami terlewat hampir tiga jam untuk sampai ke kediaman yang baru siap itu, di Batu 18, selepas solat Asar di masjid berdekatan, Masjid Darul Aman.

“Tak nampak pun suasana meriah  Sabah akan menyambut ulangtahun ke-50 merdeka di bawah Malaysia tidak lama lagi,” kata saya kepada Ustaz Zaidi, semasa melalui jalan utama, merujuk senario hampir tiada bendera Malaysia dikibar menjelang 16 September nanti. “Tengok itu, bendera BN macam menjadi azimat di sini,” sambutnya, menunjukkan rumah dan gerai kecil di tepi jalan. “Tapi, BN itu jugalah yang mengkhianati rakyat di sini, termasuk memungkiri janji mereka semasa kempen PRU13 lalu,” pintas saya, sambil kami ketawa kecil.

Kepenatan mengelilingi kawasan pendalaman sekitar Sandakan segera terubat melihat wajah ceria Norhatta Paraji, isteri Jamal Azahari bersama lapan anak-anaknya, termasuk seorang anak tirinya, gadis kecil yang manis (saya baru pertama kali bersua muka dengannya), sambil mereka menikmati hidangan nasi Arab yang disediakan isteri saya, Siti Hawa Samsam. Rempah khas dibawa dari Ampang!

Menu ayam masala dan beriani kambing agak pedas tetapi saya lihat lebih 20 anak-anak menjamu selera dengan asyik sekali.

Saya lebih teruja melihat rumah baru Norhatta yang dapat disiapkan menjelang Aidilfitri lalu, dengan bantuan sumbangan pembaca Harakah, bernilai lebih RM30,000. Su’aidah, adik kepada Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah menjadi pengantara kami dan begitu ringan tulang memantau proses pembinaan walaupun dalam keadaan sarat mengandung. Bayangkan, hanya selepas lima hari melahirkan anak, Su’aidah memaklumkan kepada saya perkembangan terkini rumah tersebut selepas menziarahi Norhatta.

Berbanding tiga kunjungan sebelum itu — termasuk dua kali bersama Cikgu Norlaila Othman, aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) — suasana nampak lebih meriah dan girang, apatah lagi dapat mengumpulkan hampir semua keluarga bekas tahanan. “Ibu tak pandai nak luahkan kata-kata tapi dia cukup terharu dengan bantuan yang kami terima, termasuk membawa kami sekeluarga berjumpa ayah di penjara Manila,” kata salah seorang anak perempuan Norhatta.

Isteri bekas tahanan, Kontesa Ahadi, ibu Hummayroh Mohidin, pelajar yang dijangka ke Moscow awal Oktober depan, juga dengan sokongan kewangan sepenuhnya daripada pembaca Harakah, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya.

“Maha Suci Allah, kami tidak pernah menduga pertolongan Allah, melalui usaha Harakah, datang secepat ini. Terima kasih banyak, Alhamdulillah,” katanya ramah, dengan wajah berkaca. Kontesa memohon maaf kerana Hummayroh tidak dapat hadir meraikan jamuan kesyukuran. Anaknya berada di Kuala Lumpur ketika itu, mengikuti kursus pendek dan persiapan terakhir sebelum terbang keluar negara dan hanya pulang ke Sandakan pagi Ahad, 8 September.

Petang Ahad itu, Hummayroh dan kedua-dua ibu bapanya terlewat tiba beberapa minit ketika kami sudah pun masuk ke bilik menunggu di lapangan terbang Sandakan untuk berlepas ke KLIA. “Ustaz, minta maaf, kami terlewat, Hummayroh penat dan tertidur tadi. Bila kami sampai airport, nampak Ustaz dan isteri sudah masuk,” kata Kontesa, melalui telefon, ketika saya berbaris panjang menuju pesawat.

Sempat saya membaca SMS Ustaz Zaidi: “Terima kasih dan jemput datang Kinabatangan untuk lain kali. Terima kasih juga dengan hidangan nasi Arab yang sedap kelmarin.”

Ya, saya melihat keunikan Sabah dan Sandakan khususnya, bukan terhad kepada hidupan laut yang segat dan mengasyikkan, begitu juga keistimewaan tawaran alam semulajadinya, tetapi lebih kepada begitu banyak misteri kehidupan yang belum diselongkar, terutama yang menghimpit warganya dan pendatang, selain menyembunyikan kerakusan kuasa elit pemerintah. Majoriti penduduk negeri yang kaya dengan hasil bumi, khazanah hutan, destinasi pelancongan menarik dan sumber petroleum masih diasak kemiskinan dan kedaifan kemudahan awam.

Peluang menghadiri perasmian mesyuarat agung PAS Sandakan, yang disempurnakan Hamzah, pada pagi Ahad, juga menyuntik harapan tinggi bahawa peluang dan masa depan Parti Islam di Sabah begitu “menjanjikan”. Kehadiran perwakilan anak-anak muda, lelaki dan wanita, membayangkan cabaran, tanggungjawab dan potensi besar yang menunggu.

Dan saya cuba, insya-Allah, untuk mengungkapkan isu-isu besar sosio-ekonomi-politik Sabah dalam tulisan akan datang, merujuk pengalaman di Sandakan.

Dalam pada itu, Harakah, dengan kerjasama PAS Batu Sapi bersedia untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Cenderamata, Sandakan. Orang ramai boleh menyumbang terus ke dalam akuan Maybank HARAKAHDAILY DOT COM 5640 7000 0336.

hd2

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/17071-tidak-terlintas-berundur-dari-pas-haron-din

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menjadi perhatian apabila Majlis Syura Ulamak menjelaskan pendirian mengenai kalimah Allah. Untuk menunjukkan berlaku pertelingkahan pendapat yang ketara, bukan saja dalam Pakatan Rakyat, khususnya dengan DAP, malah dalam PAS sendiri, media sering mengutip pandangan beliau, ada kalanya di luar konteks.

Melalui internet, Dr Haron Din juga dihebohkan telah keluar PAS. Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, SAIDAH HAIRAN dan jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, pada 18 Februari lalu, bagi mendapatkan penjelasan lanjut. Hampir dua jam beliau berkongsi cerita. Berikut adalah petikan daripada wawancara tersebut.

HARAKAH:  Macam-macam khabar angin disebarkan, antara lain  dalam internet, kononnya, Ustaz berhasrat meninggalkan PAS. Ramai yang bertanya dengan kami, minta dipanjangkan dengan Ustaz sendiri.

DR HARON DIN: Memang banyak khabar angin tersebar. Ketika isu kalimah Allah muncul, dikatakan dua Haron akan tinggalkan PAS. Datuk Haron Taib dan saya  tidak bercakap apa-apa pun. Malah hari ini, adik ipar dari Perlis telefon isteri saya, nak pastikan benarkah Haron Din meninggal dunia?

Orang sengaja buat berita sensasi di waktu kita masih ada. Saya tidak ada niat menjelaskan kepada akhbar kerana saya percaya ia tidak akan menyelesaikan masalah, dan kadang-kadang boleh menjadi lebih buruk lagi. Sebelum ini dua tiga kenyataan saya diterbalikkan dan ini cukup memalukan.

Bagaimana muka depan Utusan Malaysia hari ini, Ustaz lawan Karpal Singh?

Selepas solat Subuh di surau, ada orang tanya, bila ustaz buat kenyataan lawan Karpal Singh. Bila pula … itu diambil ketika saya berceramah di Taiping. Memang saya sebut akan pertahankan kalimah Allah kerana Allah tidak boleh dikufurkan kerana Allah itu Ahad. Itu keluar dalam Youtube.

Tentang keluar PAS, tidak terlintas dalam benak saya, bahawa saya akan keluar PAS dalam menghadapi isu  ini. Melawak tidak pernah, bercakap pun tidak pernah. Selepas bersama dalam perjuangan, tidak terfikir hendak keluar PAS. Selalu disebut beberapa penulis bahawa Haron Din nampak lembut tapi apabila buat keputusan dia amat tegas. Ketegasan saya itu dilihat sebagai permulaan untuk saya akan berkeras dengan pihak pimpinan PAS. Mungkin faktor itu menyebabkan saya ditafsirkan akan keluar meninggalkan perjuangan.

Dalam menghadapi isu kalimah Allah ini atau apa sahaja isu, saya tidak pernah, malah tidak pernah terfikir untuk meninggalkan perjuangan bersama PAS. Kalau ada orang tidak senang dengan sikap dan pendirian saya, itu cerita lain.

Dimainkan media, tentang kalimah Allah, seolah-olah pendirian Tuan Guru Presiden PAS yang dibacakan selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan,  bercanggah dengan  Majlis Syura Ulamak?

Sekarang ada pihak melagakan seolah-olah Presiden PAS mengambil langkah yang silap dalam menyokong dan membuat deklarasi Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada orang yang bukan Islam. Saya hendak betulkan, saya tengok sendiri kenyataan bertulis Tuan Guru Abdul Hadi. Dia sebut pada saya, mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan kalimah Allah dengan syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu.

Pemberita sengaja mengambil ayat pertama dan meninggalkan ayat kedua. Dengan lain perkataan, apabila ambil yang pertama saja, iaitu mana-mana orang termasuk orang kafir boleh menggunakan perkataan Allah, memang itu menjadi masalah. Syarat tidak menyalahgunakan perkataan itu tidak pula disebut. Syarat itu bermakna pendirian Presiden sama dengan pendirian Majlis Syura.

Saya mengolah dan mengatakan bahawa, betul saya juga berpandangan dengan beliau, cuma ayat saya menggunakan ayat negatif dahulu, “tidak boleh dibenarkan ….” Presiden menggunakan ayat positif; “Boleh menggunakannya, tapi dengan syarat tidak menyalahgunakan.” Isu asalnya, pihak Kristian meminta pihak berkuasa agama di Malaysia ini membenarkan mereka menterjemahkan perkataan-perkataan God dalam Bible itu dengan Allah. Itu itu asalnya, kita jangan lari.

Saya sebut banyak kali, Allah menurut kefahaman, amalan dan pegangan kita, bahawa Allah itu selama-lamanya Tunggal, Esa, Ahad. Selain surah al-Ikhlas, menjadi amalan kita dalam wirid selepas memberi salam solat, maksudnya, “Tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Dia, Allah yang Esa … tanpa ada syirik dengan-Nya.” Wirid ini kita ulang selepas solat 10 kali.

Apabila sebut Allah sahaja mestilah Allah itu Esa, tidak boleh di tempat God, ia bukan yang satu, bukan yang Esa. Jadi, Presiden sudah tegaskan dari awal, tidak boleh salahguna.  Sebab itu tidak sepatutnya menjadi pertelingkahan sesama kita kerana ia adalah benda yang senang difahami.

Adakah isu kalimah Allah ini akan menyebabkan terjejasnya sokongan kepada Pakatan apabila rakyat menyaksikan bertelingkah pendapat sesama sendiri?

Saya lebih melihat  isu ini sengaja dibesar-besarkan untuk menunjukkan pimpinan Pakatan tidak bersatu, lebih-lebih lagi PRU13 sudah di ambang pintu. Memang agenda lawan untuk melaga-lagakan kita. Kekuatan Pakatan semakin meningkat dan  boleh menggugat kerajaan BN yang ada.  Jadi bagaimana hendak mengalahkan Pakatan  supaya tidak boleh kuat sampai boleh menumbangkan BN dengan mudah? Satu sahaja caranya, iaitu pecah-belahkan Pakatan. Jika Pakatan bersatu, ia  memang ancaman besar yang boleh menyebabkan Umno-BN  tersungkur.

Mencari jalan supaya Pakatan  berpecah memang agenda utama media. Dari dulu hingga sekarang, jika ada saja peluang untuk dilagakan sesama rakan kongsi dalam pembangkang, Umno-BN akan lakukan. Kebetulan timbul, antaranya isu kalimah Allah sekarang. Memang isu ini menyentuh perasaan dan hati nadi umat Islam. Kita berpegang kepada tahaluf siyasi, iaitu kita berkongsi dan bermuafakat menghadapi musuh politik yang sama. Hendak mengalahkan mereka memang agak sukar tapi dengan bersatu kita boleh. Di sinilah kita berpakat dan tidak berlawan sesama kita dalam pilihan raya.

Yang kedua, ada kena mengena dengan dasar bagi setiap parti komponen Pakatan. Mungkin dalam DAP ada pegangan dia dan ada perkara yang mereka tidak boleh bertolak ansur.  Dalam Pakatan Rakyat pun sama. Sama juga dalam PAS, kita ada al-Quran ada as-Sunnah. Sesuatu yang melanggar al-Quran, kita tidak boleh bertolak ansur. Matlamat terdekat Umno-BN, untuk menghadapi pilihan raya yang sengit ini, maka Pakatan akan digambarkan  tiada persepakatan dan bertelagah sesama sendiri. Macam mana mereka hendak memerintah Malaysia jika bercakaran sesama parti komponen dalam Pakatan?

Itulah  gambaran media. Sedangkan  pertelagahan lebih teruk berlaku sesama Umno. Begitu juga Umno dengan MCA, Umno dengan Gerakan tetapi tidak diuar-uarkankan media, yang dikawal ketat parti pemerintah. Sepatutnya rakyat Malaysia telah lama faham, ini bukan kali pertama kita menghadapi mainan media. Malah dari dulu lagi, setiap kali pilihan raya, maka  akhbar atau media arus perdana, termasuk pilihan raya kecil apatah lagi pilihan raya umum, misalnya akan disiarkan hari ini 50 orang PAS masuk Umno.

Selang sehari 100 orang PAS masuk Umno. Kalau kita kumpulkan berita orang PAS masuk Umno, mungkin dah tak ada orang dalam PAS. Tapi bila pilihan raya kita menang juga, atau kalau kalah, hanya kita kalah sedikit. Maknanya, berita seupama itu tidak ubah sebagai perang psikologi. Nak menggambarkan betapa lemahnya parti pembangkang, tapi sebenarnya tidaklah begitu. Saya mengharapkan rakyat, khususnya ahli dan penyokong PAS boleh faham situasi sebenar dan tidak terpengaruh dengan apa yang digambarkan sebagai pertelagahan dalam PAS, begitu juga khabar angin saya atau orang lain akan tinggalkan PAS.

Bagaimana Ustaz melihat kesediaan pimpinan Pakatan Rakyat menangani perbezaan pandangan yang timbul, dengan kesedaran media sememangnya menunggu masa untuk mengeksploitasinya?

Perbezaan pandangan dan pendapat dalam suatu organisasi besar, terutama apabila tiga parti membentuk satu gabungan, tidak mungkin selama-lamanya mereka bersatu pendapat. Hatta dalam rumahtangga, kita dengan isteri misalnya, sepatutnya tidak berlaku pergeseran kerana kita berkongsi hidup, berkongsi rumah, berkongsi anak, tapi kita berselisih pendapat juga.

Yang penting, jika timbul perselisihan pendapat, kita boleh duduk bincang dan selesaikan. Macam kita selesaikan masalah pembahagian kerusi. Begitu juga dalam isu kalimah Allah. Kita ada landasan agama yang cukup jelas. Alasan yang kita pegang memang tidak boleh diubah. Sebab itu kita kena terima hakikat bahawa  mereka juga yang ada benda, yang akan kita jumpa nanti, yang tidak boleh diubah.

Saya lihat, ada perkara yang sepatutnya kita lebih awal duduk berbincang dan bermuafakat dalam semua masalah.  Katakanlah, kita senaraikan apa yang menjadi halangan untuk kitaterus bersatu, bukan sahaja isu kalimah Allah, malah  isu-isu lain juga. Sebelum  keluar dalam akhbar dan akan menjadi bahan mainan media, ada eloknya kita berjumpa atau ketua-ketua parti berbincang lebih awal dan bawa balik kepada parti masing-masing terlebih dahulu supaya dapat kita buat langkah berjaga-jaga. Elok jangan dihebahkan kepada media sebelum persetujuan dapat dicapai.

Kena kerap ada perjumpaan dan perbincangan dalaman dan jika perlu dirujuk kepada Majlis Syura, rujuk dulu. Dalam politik kadang-kadang hal yang remeh pun sengaja dijadikan isu. Sebenarnya ketetapan Majlis  Syura banyak melegakan pihak dalaman kita. Kita kata perkataan Allah tidak boleh diterjemah. Jika ia diterjemah dengan perkataan apa pun, maka ia akan rosak. Bukan rosak makna sahaja tetapi ia akan merosakkan akidah.

Dalam al-Quran ada lebih 3,000 perkataan Allah. Dalam Bible satu kalimah Allah pun tidak ada. Mereka ada God sahaja. Kenapa pulak hendak dirosakkan hubungan baik antara kedua-duanya sejak sekian lama. Dalam organisasi kita, ada adab-adab berjemaah. Kalau dibuat keputusan oleh Majlis Syura, iaitu badan tertinggi, sepatutnya mengikut adab berjemaah, semua ahli kena sokong.  Jikayang tidak sokong kerana ada pendirian peribadi, maka sepatutnya dia diam sahaja. Kalau timbul perpecahan dan sebagainya, takkan kita hendak ambil tindakan? Adab berjemaah itu mengkehendaki supaya kita akur apabila kita sudah ada keputusan.

Media dan Umno sendiri memang meletakkan PAS sebagai sasaran utama, bagi memalitkan imej buruk terutama pada kaca mata umat Islam. Mereka mahu gambarkan PAS sentiasa berundur ke belakang apabila timbul bantahan berkaitan Islam.

Memang menjadi mainan media hendak menggambarkan PAS dalam Pakatan Rakyat ini sentiasa berada dalam keadaan defensif. Apabila diserang kita digambarkan berundur … sebenarnya tidak begitu. Macam kalimah Allah, kita mara ke hadapan dan tidak ke belakang. Kita pertahankan.

Sewaktu heboh dikatakan Ustaz keluar PAS, difahamkan sebenarnya Ustaz sudahpun diptuskan bertanding dalam PRU13 di Perlis. Ustaz terima tawaran itu?

Saya pernah menawarkan kepada kepimpinan PAS Perlis agar tidak disenaraikan untuk bertanding dalam PRU13 kerana tidak cukup sihat fizikal. Semua orang tahu. Tidak ada orang di Malaysia jantung dibedah lima kali, saya seorang saja (ketawa). Umur sudah lanjut memang saya terasa banyak kekurangan. Lagi pula sibuk dengan kerja dakwah Darussyifa yang mempunyai banyak cawangan di seluruh Malaysia.

Perhubungan PAS Perlis memanggil saya bersemuka. Saya diputuskan kena bertanding Dun dan Parlimen. Malah Ustaz Hashim Jasim dan Rus’sele Eizan menawarkan Dun yang dimenangi mereka. Saya juga ditawarkan Parlimen Arau. Pada 2008 saya kalah 300 undi sahaja.  Saya tolak tawaran itu. Mesyuarat tidak terima pandangan saya, mereka kata akan bantu dan tampung kelemahan saya. Akhirnya saya terima satu sahaja, iaitu Parlimen Arau.

Kalau saya berhasrat menarik diri daripada perjuangan, tentulah saya tidak bersedia bertanding. Lagi pun tiada alasan saya hendak meninggalkan perjuangan. Saya sendiri telah mendukungnya sejak 1975, iaitu apabila dicalonkan bertanding Jawatankuasa Agung PAS. Saya dapat undi terbanyak. Ketika itu umur saya 35 tahun.

Saya pegang jawatan sampailah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dilaksanakan.  Auku mulanya tidak keras, masih boleh pegang jawatan. Sampailah saya  dapat surat, jika hendak bergiat politik, silakan, tapi kena bayar balik biasiswa PhD, nilainya 10 kali ganda. Apabila  cukup umur 55 tahun pencen, saya tidak mohon bekerja  ‘part time’ seperti lazimnya.

Saya aktif semula, dengan jawatan awal Ketua Penerangan PAS Pusat. Kemudiannya dilantik Timbalan Mursyidul Am, sampailah hari ini.  Ia menggambarkan saya tetap bersama dengan kepimpinan dan saya akan bagi sumbang bakti sampai Allah menentukan apa kesudahannya.

Nasihat Ustaz kepada masyarakat Islam yang masih sangsi dengan perjuangan Islam PAS?

Tidak dinafikan PAS sebagai parti Islam tidak mendapat dukungan sepenuhnya umat Islam. Keahlian PAS sendiri walaupun sudah berumur lebih setengah abad sekitar sejuta lebih. Ini kerana masyarakat Islam di Malaysia lebih banyak termakan asakan media dan tawaran penghidupan  berasaskan nilai  kebendaan, yang meremehkan nilai kerohanian dan tidak menggambarkan Islam itu sebagai wadah yang wajib diimani dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Mesej ikrar kita dalam solat, bahawa setiap Muslim tidak boleh terpisah dengan Allah SWT dalam semua gerak kerjanya, tidak dihayati. Isu lama, agama suku politik suku sebenarnya antara yang menjadi punca besar masalah ini. Maka PAS sebagai sebuah parti Islam, wadah perjuangan kebenaran,  tidak sampai kepada orang ramai melainkan yang dirosakkan oleh media tentang PAS memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan sebagainya.

Kemampuan kita untuk menyampaikan mesej parti terhalang. Apapun kita tetap bersyukur, keahlian PAS makin bertambah. Bukan ahli kita sahaja bertambah, sokongan pengundi juga bertambah. Mutakhir ini dengan adanya media baru, seperti laman web, blog, Facebook dan Youtube, ia telah mengubah persepsi masyarakat kepada perjuangan kita. Penggerak parti turut menunjukkan komitmen tinggi melaksanakan dakwah dan kerja-kerja penerangan di seluruh pelosok negara.

Masyarakat juga semakin jelas dengan propaganda murahan  Umno yang mendakwa memperjuangkan nasib dan kepentingan orang Melayu. Selama lebih 55 tahun mereka berkuasa, ternyata agama kita rugi, ekonomi kita rugi, masalah sosial bertambah parah. Kita masih terkebelakang berbanding orang lain. Kesedaran itu kini menghambat Umno. Sekarang mereka berhempas pulas hendak mempertahankan kuasa dengan apa jua cara, tetapi rakyat semakin sedar.  Rakyat tidak mudah ditipu atau diperbodohkan lagi.

Atas asas itulah kita tidak boleh berhenti berjuang, media kita kena terus giat memberi penjelasan. Aktivis kita harus lebih proaktif bergerak. Salah faham selama ini mesti diperbetulkan. Kita akan memimpin umat Islam untuk mereka hidup bahagia dunia sampai akhirat. Jangan lupa kita akan bangun di Padang Mashyar dan akhirnya kita akan masuk syurga. Jadi kalau kita tinggalkan penghayatan hidup beragama dan hanya pentingkan dunia sahaja, macam Umno mengajak orang kepada dunia sahaja, maka masyarakat akan rugi.

Nampaknya seperti ada pendekatan baru Umno menyerang PAS sehingga mereka berani mendakwa bahawa haram menyokong PAS. Juga dikatakan ada barisan ulama muda dalam Umno bagi berdepan dengan PAS dalam isu-isu agama.

Adanya ulama muda dan tua tidak menjadi benda yang ganjil. Sebab manusia selama-lamanya akan terpengaruh dengan kepentingan peribadi. Orang yang mendakwa mengundi PAS itu haram dan mengundi Umno itu wajib, kita nak tengok juga alasan mereka terlebih dahulu. Mereka  menggunakan alasan PAS bersekongkol dengan DAP yang jelas menentang hudud, maka dengan itu dikatakan undi PAS adalah haram.

Jika  PAS dikatakan bersekongkol dengan orang yang menentang hudud, dan dengan itu haram sokong PAS, maka bagaimana pula Umno sendiri yang menentang hudud.  Yang dikatakan wajib menyokong Umno … sedangkan Umno itu sendiri menentang hudud, iaitu lebih teruk daripada DAP menentang hudud. Saya masih ingat surat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 1993, ketika Kanun Jenayah  II Kelantan hendak dilaksanakan.

Surat itu memberi amaran keras jika  kerajaan Kelantan melaksanakan hudud, kerajaan Pusat tidak teragak-agak mengambil tindakan keras. Surat itu tidak ditarik balik sampai ke hari ini. Maknanya, bukan sahaja pemimpin agungUmno yang menentang hudud, malahan orang-orang Umno juga mempermain-mainkan hudud.

Kita juga pernah dengar, misalnya ucapan siapa nak sup tangan, pergilah ke Kelantan. Jelas mereka menentang hudud.  Umno yang memegang kuasa selama 57 tahun ini, pernahkah mereka mengatakan hendak laksanakan hudud. Dengan sendirinya mereka termasuk dalam kelompok orang yang menentang hudud.

Ya, jika PAS yang masih tetap mempertahankan Islam, cuma berkawan dan bertahaluf dengan pihak yang menentang hudud, maka dikatakan haram menyokong PAS, maka  Umno yang menjadi ketua kepada BN,  dia sendiri menentang hudud, bagaimana pula? Sepatutnya kalaulah alasan itu dipakai, maka undi PAS pun haram dan undi Umno pun haram juga. Ini yang kita bincang, dalam istilah politiknya tahaluf siyasi. Bila tahaluf siyasi, maka kita bertahaluf dengan bukan Islam.

Boleh atau tidak kita bertahaluf dengan bukan Islam? Nabi jawab boleh. Sebab Nabi bertahaluf dengan Bani Quraizah. Apabila Bani Quraizah melanggar tahaluf, baru  Nabi berperang dengan mereka. Tahaluf itu kerjasama. Boleh atau tidak orang Islam bekerjasama dengan orang kafir? Orang kafir ini selamanya tidak akan terima Islam. Jawapannya, boleh. Nabi semasa hendak berpindah ke Madinah bekerjasama dengan orang kafir.

Kenapa Nabi bekerjasama dengan orang kafir untuk tunjuk jalan ke Madinah? Apakah Jibril tidak boleh tolong tunjuk jalan kepada Nabi? Apakah Nabi tidak boleh dapat wahyu tunjuk jalan ke Madinah. Mengapa ambil orang kafir untuk tunjuk jalan? Nabi juga bekerjasama dengan orang kafir dalam muamalat. Nabi gadai baju besi kepada Yahudi. Sampai Nabi wafat, baju besi itu ada pada orang Yahudi itu. Adakah tidak ada orang Islam  yang boleh tolong Nabi sehingga  kena gadai baju? Tidakkah menantunya Uthman Affan kaya, bapa mentuanya, Umar Al-Khattab kaya.

Tapi ia bukan soal kaya miskin. Nabi nak beritahu umat Islam boleh bekerjasama dengan orang kafir. Jadi, dari mana datangnya haram bertahaluf dengan bukan Islam itu? Sedangkan haram hukumnya jika kita mengharamkan benda yang tidak haram atau mengharamkan barang yang dihalalkan Allah.

Tahaluf itu tetap halal disebabkan Nabi buat.  Apabila Nabi buat,  maka halallah apa yang kita buat ini kerana ia menurut tindakan Nabi.  Jika kita haramkan barang yang Allah halalkan, itu  dosa yang amat besar. Maka sebab itu undi PAS dibolehkan, diharuskan, malah disyariatkan, dan ada masanya wajib hukumnya.

BILA BUKU BERTEMU RUAS

ahmad-lutfi-othman

Walaupun panjang, tetapi catatan beliau menarik, penuh dengan muhasabah. Elok baca sampai habis.

Sumber :  http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/16450-bila-buku-bertemu-ruas

oleh : Ahmad Lutfi Othman

Berbanding kajian badan-badan penyelidikan universiti yang lain — khususnya Majlis Profesor Negara (MPN) — saya lebih menunggu rumusan yang dihasilkan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL). Pertama, saya tertarik dengan kewibawaan pengarahnya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman. Beberapa kali berpeluang menemubualnya — walaupun beliau lebih selesa dengan tema politik antarabangsa, terutama pergolakan di Timur Tengah, apatah lagi berkaitan gerakan Islam, misalnya Ikhwan Muslimin — saya dapat mengesan pakar sejarah ini cukup mementingkan disiplin ilmu dan  cermat dengan pendekatan penyelidikan. 

Kedua, meneliti carta organisasi UMCEDEL dan barisan felo penyelidiknya, saya kira, ia satu kombinasi yang mantap. Ketiga, beberapa buku yang dihasilkan, seperti “Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-12: Isu dan Pola Pengundian”, serta   empat  judul tentang siri pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Sibu, menambahkan lagi keyakinan kepada UMCEDEL. Tulisan ini bukan sekadar bertujuan untuk respons  dapatan terbaru UMCEDEL, berdasarkan kajiannya pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013, yang dilihat menyenangkan pemimpin Pakatan Rakyat dan para penyokongnya.

Saya cuba meneliti “sisi-sisi gelap” Pakatan yang boleh diambil iktibar pemimpinnya bagi mengkoreksi diri sebelum terlambat. Selagi Parlimen dan Dun belum dibubarkan, dan kempen secara rasmi belum berjalan, saya lebih teruja dengan hasil kajian, tinjauan pendapat atau himpunan persepsi rakyat, yang dikira berjejak dan membumi, biarpun nampak negatif buat Pakatan. Kadang-kadang sebagai “pemain aktif” di lapangan, kita keliru dengan tanggapan “penonton”.

Sekurang-kurangnya ia dapat membantu kita membuat pemerhatian secara lebih menyeluruh, dengan gambaran akar umbi yang menghampiri realiti sebenar. Selama ini agak sukar kita menelah atau meramal kecenderungan pengundi walaupun dibuat bancian atau culaan undi dari rumah ke rumah.Ungkapan “undi itu rahsia” ketika di pusat mengundi rupa-rupanya menjadi pegangan ramai rakyat Malaysia, walaupun sebelum dan selepas hari mengundi. Ia turut difaktorkan  oleh suasana persekitaran yang tertutup dan  tidak demokratik.

Menyokong parti pembangkang waktu itu dianggap satu kesalahan dan boleh menyebabkan kepentingan tergugat.Justeru, saya lebih suka memberi perhatian kepada hasil kajian yang memungkinkan Pakatan dapat meneliti kelemahan dan kealpaan, yang sebahagiannya mungkin tidak disedari.Ia juga seharusnya membantu para strategis mengatur langkah ke depan atau menawarkan formula penyelesaian, tanpa perlu mempertikai atau merendahkan kredibiliti badan penyelidikan walaupun sememangnya terserlah “udang di sebalik batu”.(Di zaman begitu ramai cendekiawan boleh “diupah” bagi menemukan keputusan yang menyenangkan “pengupahnya”, memang agak sukar mencari hasil penyelidikan politik yang  benar-benar bebas).

Misalnya, apabila ada kajian mengunjurkan bahawa di antara empat negeri yang dikuasai Pakatan, kemungkinan Kedah sukar dipertahankan dalam PRU13, maka saya pasti rakan-rakan aktivis PAS di negeri kelahiran saya itu tidak memandang rendah perkara ini. Lagipun bukannya mudah untuk mempertahankan kemenangan untuk pusingan kedua. Masing-masing melihatnya sebagai cabaran untuk merencanakan kembali pendekatan terbaik dan berusaha membetulkan salahfaham atau sistem penyampaian sehingga akhirnya memungkinkan Kedah dapat melonjak keluar daripada “zon kelabu”.

Bagaimanapun, kajian UMCEDEL yang dikeluarkan pada 23 Januari, menghantar beberapa mesej penting. Semasa banyak pihak lebih tertumpu kepada kemerosotan pengaruh BN dan menjunamnya populariti Najib, saya pula mahu menarik perhatian terhadap petunjuk lain. Benar, populariti Najib merosot daripada 61 peratus (di antara 31 Mac – 15 April 2012) kepada 58 peratus (1 – 16 September 2012), seterusnya 54 peratus (26 Disember 2012 – 11 Januari 2013).Bagi kajian persepsi pengundi kali pertama dalam PRU13, Dato’ Seri Anwar Ibrahim jauh mengatasi Najib, iaitu 52 peratus berbanding 30 peratus.

Pastinya soalan yang paling menarik minat penyokong Pakatan ialah: “Dengan andaian anda tidak memihak kepada mana-mana parti politik, parti manakah yang anda jangka akan menang di peringkat nasional dalam PRU13 dan menguasai Putrajaya?” Walaupun keputusannya lebih memihak BN, dan  kemerosotannya tidaklah begitu ketara, iaitu daripada 43 peratus (25 Oktober – 15 Disember 2011) kepada 42 peratus (26 Disember 2012 – 11 Januari 2013), namun peningkatan Pakatan nampak menonjol, iaitu daripada hanya 18 peratus kepada 37 peratus, berdasarkan tempoh yang sama. Ia juga memaparkan keperitan yang terpaksa ditanggung Najib.

Semakin dianjak tarikh PRU13 ke hadapan — mungkin atas nasihat mentornya, Dr Mahathir Mohamad — populariti Najib dan peluang BN kian merosot. Dan kini Najib tidak berpeluang lagi mencipta kejutan tarikh pembubaran Parlimen; dia sudah diasak sehingga ke dinding. Dalam suasana yang nampak seimbang, iaitu kekuatan BN dan Pakatan hampir setara, tumpuan diberikan kepada kelompok 21 peratus yang masih belum membuat keputusan. Hasil kajian UMCEDEL mendapati pengundi muda dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun dan masyarakat Cina masih “tidak pasti”, sama ada untuk mengundi BN ataupun Pakatan.

Dengan itu, persaingan sengit adalah untuk merebut hati dan menawan minda kedua-dua kategori ini: Pengundi muda dan masyarakat Tionghua. Sekali imbas, ia seolah-olah memberi kelebihan awal kepada Pakatan, namun kesungguhan Najib merapati kelompok belia, melalui pelbagai insentif dalam Belanjawan 2013, tidak boleh dipandang ringan. Untuk meraih sokongan pengundi Cina, malah sehingga kepada 80 peratus, ia tidaklah mustahil, tetapi menghadapi karenah dan kompleksiti anak-anak muda, saya rasa peluang Pakatan dan BN hampir sama rata. Generasi muda, terutama yang pertama kali mengundi, masih belum membuat keputusan muktamad.

Saya kira mereka  terus memerhati, menilai dan menghakimi, sehinggalah hari mengundi. Harus diingat, pemberian bermacam-macam bantuan secara berkala oleh kerajaan, seperti BR1M dan baucer buku, turut dapat meningkatkan sokongan kepada BN, iaitu 75% berbanding hanya 61% (September 2012).Begitu juga persepsi terhadap program transformasi kerajaan, seperti Kilnik 1Malaysia dan Kedai 1Malaysia. 73 peratus melihatnya positif buat BN, malah kepada pengundi wanita, ia meningkat sehingga 80%. Tanggapan positif terhadap Bajet 2011,  yang dilihat memanfaatkan rakyat berada pada tahap 55%, namun bagi persepsi pengundi wanita melonjak kepada 63%.

Sekurang-kurangnya ia memberi indikator penting — walaupun telah disedar sejak lama — bahawa kalangan kaum hawa lebih mudah dipengaruhi oleh BN. Dan seharusnya fenomena ini diberi tumpuan khusus, terutama oleh sayap wanita parti-parti dalam Pakatan. “Peratusan pengundi muda adalah yang paling tinggi ‘tidak pasti’,” kata Dr Redzuan. Tambahnya, pengundi Cina pula paling sukar untuk menentukan sama ada mereka menyokong atau tidak dan terlalu berahsia serta sukar didekati.Lebih menarik, majoriti pengundi “tidak pasti” ini terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan pendidikan tinggi iaitu berijazah di universiti sebanyak 49 peratus, berpendidikan SPM (18%) dan STPM (15%).

Meskipun pengundi Melayu mungkin dikira sudah membuat keputusan awal, tetapi pada hemat saya,  wajar diberikan perhatian istimewa kepada petunjuk lain kajian UMCEDEL ini. Dari segi persepsi pengundi Melayu, Najib berada di depan sebagai tokoh paling layak menjadi PM selepas PRU13, memperolehi 46 peratus, berbanding Anwar 34%, manakala Tuan Guru Abdul Hadi Awang  mendapat 36%. “Anwar wajar menilai kembali sokongan pengundi Melayu kepadanya,” kata seorang pensyarah sains politik, “mungkin propaganda media Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3 sedikit sebanyak berkesan juga, terutama yang tidak terdedah dengan media baru.

Anwar memang popular di kalangan masyarakat Cina dan juga pengundi kali pertama, tapi segmen Melayu perlu lebih tumpuan.””Ya, Anwar dan jurukempen serta strategisnya wajar memandang serius tanggapan rendah orang Melayu kepadanya. Media alternatif, terutama akhbar bercetak seperti Harakah dan Suara Keadilan, patut menyemak kembali, bukan saja kandungannya tetapi lebih penting lagi ialah sistem dan rangkaian pengedarannya,” kata seorang veteran politik yang rajin menghubungi saya, meluahkan rasa bimbang Pakatan mungkin kalah disebabkan masalah teknikal dan bukannya kerana ditolak rakyat.

“Saya bimbang dua organ parti itu tidak sampai kepada golongan  akar umbi, yang masih bergantung dengan Utusan Malatysia dan TV3,” tambahnya, sambil mengharapkan PAS dan KeADILan dapat merebut kembali sokongan majoriti masyarakat Melayu. Mengenai isu-isu yang boleh menghalang sokongan pengundi kepada Pakatan Rakyat, soal percanggahan pendapat di kalangan parti-parti  dalam Pakatan dilihat penting, iaitu 59 peratus, kekal seperti kajian pada September 2012. Semasa kredibiliti pemimpin BN berada pada kedudukan paling rendah dan dilihat telah mengkhinati amanah rakyat sejak lebih 55 tahun lalu, Pakatan pula “diancam” oleh sedikit rasa curiga pengundi, ekoran perselisihan pandangan para pemimpinnya.

Dibimbangi terdapat golongan yang sudah muak dan jelik dengan karenah dan keletah pemimpin Umnp-BN, tetapi mereka tidak bersedia untuk berubah hanya kerana ketakutan tidak berasas terhadap “pertelingkahan” Pakatan. Elok benarlah jika pemimpin utama Pakatan bersikap “menutup mulut” bila berdepan media musuh, yang sengaja mencungkil kelemahan dan kesalahan.Dalam pada itu, walaupun hanya 43 peratus bersetuju persoalan “dominasi DAP dan bukan Melayu dalam Pakatan”, serta “kehilangan kuasa politik Melayu”,  boleh menjadi penghalang sokongan, bagi saya isu ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja, apatah lagi di kalangan responden Melayu, 53% bersetuju.

Isu integriti dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pemimpin BN memang dimainkan dengan cukup berkesan. BN terpaksa lebih teliti dengan penampilan calon-calonnya dalam PRU13. Mungkin mereka perlu akur dengan senarai nama tokoh-tokoh yang tidak melepasi “tapisan” Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sebanyak 78 peratus melihatnya sebagai isu yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada BN. Lebih menakjubkan, di kalangan pengundi Cina, isu integriti dan salahguna kuasa ini memperolehi 95%, satu angka yang cukup tinggi. Saya merasakan pengundi Melayu juga boleh mempunyai kecenderungan yang sama jika isu-isu seumpama itu dapat disampaikan dengan lebih berkesan, terutama dengan mengemukakan kes-kes secara terperinci. Mungkin Harakah sendiri dapat membantunya, di samping penekanan oleh pemimpin PAS sendiri.

Hasil kajian UMCEDEL ini wajar ditelaah secara lebih khusus, juga mengambil kira tinjauan pendapat terbaru badan-badan penyelidikan lain, terutama Merdeka Centre. Masyarakat terbukti semakin terbuka dan bijak menilai, serta tidak bergantung dengan saluran maklumat tradisional sahaja. Sementara Pakatan mengutamakan isu-isu yang praktikal dan menyentuh kehidupan seharian denyut nadi rakyat, BN masih dengan tradisi lapuk, iaitu bergantung harap dengan persoalan sensasi membakar sentimen, yang sengaja direka-reka bagi meneruskan “kebergantungan” pengundi Melayu kepadanya.

Subky Latiff

Sumber : di sini

Oleh : Subky Abdul Latif

APA yang dikatakan Amanat Haji Hadi yang terjadi pada 07 April, 1981 dulu sudah jadi satu khazanah politik tanahair dan ada kedudukannya yang tersendiri di sisi tafsir siasah syariyah. Ia ada satu topik yang cantik bagi calon-calon PhD. Jika mahu tesis itu dihargai dan ada nilai akademik yang tinggi, jangan ia dikendali di bawah mana universiti di Malaysia kerana rata-rata profesornya ada stigma apa yang dikatakan profesor kangkung.

Biar ia dibuat di bawah universiti terkemuka  dunia seperti Oxford, Harvard atau mana-mana universiti masyhur di Perancis dan Belanda. Nescaya calon  PhD itu akan muncul sebagai  doktor yang terbilang. Tidak berbangkit amanat itu perlu ditarik balik seperti yang dituntut oleh dua mufti dan ulama remaja yang status masing-masing boleh ditakwil.

Seorang mufti itu tidak diterima oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir permintaannya untuk bertemu bagi membincangkan sesuatu dan yang seorang lagi adalah seorang yang sentiasa ada di rumah Dato Asri semasa menjadi pemimpin PAS dan menyertai UMNO apabila Anwar Ibrahim  dan Dato Asri menyertai UMNO.

Tidak mustahil kedudukan sebagai mufti itu lebih kerana UMNO dari ilmunya. Ulama remaja itu amatlah baru. Ikut peri bahasa orang tua Melayu dulu-dulu orang yang seusia  itu disifatkan budak berhingus. Tetapi tiada dalam Islam peri bahasa ulama berhingus kerana Imam Syafie sudah jadi mufti pada usia 15 tahun.

Kata Tok Guru Nik Aziz, jangan sangka Ustaz Hadi tidak tahu hukum hakam. Ada yang mengibaratkan semasa  beliau pulang dari Mesir dulu kitabnya  saja lima pikul. Tiada  siapa menimbang kitabnya tetapi untuk menggambarkan banyak kitab yang dibacanya.

Seorang pensyarah Islam UKM pernah dilantik oleh Tan Sri Wan Mokhtar duduk dalam Biro Agama UMNO. Mesyuarat pertama yang dihadirinya dikatakan dia membandingkan ulama PAS dengan ulama UMNO. Ulama PAS sepulang dari Mesir hari-hari baca kitab dan tiap-tiap malam mengajar. Ulama UMNO belum tentu buka kitab sekali dalam masa setahun. Lepas itu dia tidak dipanggil mesyuarat lagi.

Sejak pulang dari Mesir hujung tahun 70-an dulu, Ustaz Hadi mengadakan kuliah di Masjid Rusila setiap pagi Jumaat dihadiri antara 7 ribu hingga 10 ribu. Hampir 40 tahun beliau mengajar. Sejak itu beliau saja di  Malalysia ini yang berkhutbah Jumaat tanpa teks yang diedit  oleh Jabatan Agama.

Mana ada mufti dan ulama UMNO ada kuliah sepertinya sejak 40  tahun lalu. Ada pun mufti itu apabila dilihat  ranggi sikit lalu dipecat seperti yang dialami oleh al-Marhum Dato Ishak Baharom, Mufti Selangor dulu. Mana ada mufti yang lebih berani selain dari Dato Ishak Baharom? Isu Amanat Haji Hadi dikira sinonim dengan isu kafir mengkafir. Timbul setiap ada pilihanraya. Lepas pilihanraya ia pun mati. Tunggu PRU lima tahun lagi. Itulah kerja polis cawangan khas yang digerakkan oleh bahagian perang saraf di Jabatan Perdana Menteri  dan di kementerian penerangan.

UMNO pun tidaklah sensitif sangat atas amanat itu. Jika ia peka, ia tidak akan berusaha dari semasa ke  semasa mengajak PAS bersatu dengan UMNO. Sejak zaman Mahathir, zaman Dollah Badawi sampailah  zaman Najib, UMNO buat macam-macam  ajak PAS bersamanya. Ia marah PAS bekerja dengan DAP tetapi tidak mahu bersama UMNO.

Siapa kata orang Islam keliru dan berpecah kerana amanat itu? Orang Melayu sudah tidak bersependapat sejak mereka tahu politik, lama sebelum Ustaz Hadi bercakap  di Banggol Peradong tahun 1981. Kalau amanah itu besar  sangat dan apa yang dikatakan PAS mengkafirkan UMNO itu penting sangat, jadah apa UMNO ajak PAS dari semasa ke semasa untuk bersamanya, sedang mereka tahu al-Marhum Ustaz Fadzil Noor pernah kata, ‘Kami tak bulo’.

Maka mengapa tok-tok mufti dan budak berhingus UMNO masuk perangkap polis cawangan khas menjelang pilihanraya?

Masuk PAS 7

Seorang lagi tokoh terkemuka, kali ini dalam bidang perniagaan, menyertai PAS. Dato’ Seri Abdul Rahman Maidin, 66, adalah seorang pengusaha yang telah terlibat dalam bidang pelaburan, infrastruktur, media dan komunikasi, kewangan dan teknologi selama 32 tahun. Beliau pernah menerajui Dewan Perniagaan Melayu pada peringkat negeri dan nasional dan juga Dewan Perniagaan Kebangsaan, Dewan Perniagaan Asean dan telah melaksanakan banyak program demi kemajuan dan kepentingan peniaga.

Wartawan Harakah Pulau Pinang, MOHD SABRI SAID sempat mendapatkan pandangan tokoh korporat yang kini bergiat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan juga membela golongan tertindas, melalui Institut Peduli Rakyat (IPR).

WARTAWAN :Berapa lama Dato’ Seri memerhatikan PAS sehingga berminat menyertainya secara terbuka?

ABDUL RAHMAN: Bagi saya PAS adalah sebuah parti yang cukup lama perjuangannya meneroka agenda yang pelbagai. Agenda yang dipolopori bukan setakat mendedahkan kepincangan kerajaan BN sebaliknya memfokuskan kepada isu rakyat sejagat yang tertindas. Sejak tiga empat tahun ini PAS dilihat lebih kuat menumpukan kepada isu tanah yang menyebabkan prestasinya semakin memuncak.

Saya, menerusi NGO Institusi Peduli Rakyat (IPR) dapat rasakan perjuangan yang dibawa PAS ada kesamaan atau selari dengan harapan dan prinsip yang menjadi keazaman saya untuk Malaysia. Lagipun PAS telah berjaya muncul dengan urustadbir yang baik di negeri di bawah pemerintahannya. Perjuangan sebeginilah merupakan intipati bukan soal perkauman. Ia mampu memikat semua rakyat Malaysia menerusi Negara Berkebajikan yang menjadi teras perjuangan PAS.

Adakah dasar BN yang menyeleweng membuatkan Dato’ Seri terus pilih PAS?

Tanyalah sesiapa pun yang memerhati tingkah laku kepimpinan BN, jika mereka terdiri daripada individu yang celik, pasti mereka memilih PAS, KeADILan ataupun DAP. Dasar BN amat mengecewakan terutamanya terhadap masyarakat luar atau dalam bandar. Banyak dasar yang diamalkan perlu dihapuskan dan diganti dengan satu reformasi yang lebih memihak kepada kebajikan rakyat.

Apakah pandangan Dato’ Seri terhadap PAS dulu dan sekarang?

Saya nak komen agak sukar kerana dulu saya tidak dekat dengan PAS. Tapi dengan adanya beberapa perubahan seperti PAS lebih ke hadapan dalam isu-isu besar, sikap lebih disenangi seperti mementingkan kebajikan terhadap rakyat dan negara serta “PAS Untuk Semua”. Slogan seumpama itu dengan sendirinya meruntuhkan tembok kebimbangan orang yang dulunya beranggapan serong terhadap PAS, kini boleh duduk semeja atau menjadi ahli.

Ia berbeza dengan sistem yang dibawa Umno-BN yang mengamalkan “dasar perniagaan”. Semua boleh diniagakan, misalnya tanah, malah orang pun boleh diperdagangkan, hak-hak rakyat juga diniagakan, aset negara turun menjadi bahan yang diperniagakan Felda Global Ventures Holding (FGV). Mereka hanya pentingkan keuntungan yang diperolehi tanpa menyedari masalah kejatuhan sehingga boleh tergadai semua sekali.

Serupa juga pembenihan dalam pertanian, semuanya diboloti tanpa memberi ruang kepada mana-mana petani yang mampu laksanakan dengan memperhebatkan teknologi yang ada. Kadang-kadang lebih apabila mengecewakan mereka yang terlibat dengan perniagaan tersebut ada yang tidak pandai berniaga pun. Tahu-tahu rugi memanjang.

Adakah Dato’ Seri rasa penindasan terhadap orang Melayu berlaku di Pulau Pinang sebagaimana didakwa Umno?

Saya dah bercakap terlalu banyak dalam hal ini. Siapa yang mula buat cerita tentang peminggiran orang Melayu? Setahu saya ia berlaku sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri. Dia kata orang Melayu Pulau Pinang terpinggir ketika melakukan lawatan ke Tanjung Tok Kong. Di Pulau Pinang, bila agaknya Ketua Menteri Melayu? Dulu pun Cina, fasal apa timbul cerita Melayu dipinggir sekarang. Sebab Cina dulu bersubahat dengan Umno, dia tidak dipersalahkan?

Sekarang ini Cina tidak sebulu dengan Umno kerana berkawan dengan PAS dan KeADILan, maka terus dicop tidak betul. Boleh bertukar sekelip mata sahaja! Saya sendiri mengaku bukan semua dah lengkap, malahan mesti buat perubahan. Itulah peranan parti-parti yang memperjuangkan masyarakat bawahan, yang mana orang Melayu ramai termasuk dalam golongan itu. Azam kerajaan negeri Pulau Pinang memang baik, contohnya hendak memastikan rakyatnya sifar miskin tegar.

Pencapaian ekonomi Pulau Pinang begitu memberangsangkan di bawah Pakatan Rakyat apabila berjaya membayar balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 95 peratus iaitu RM630 juta kepada RM30 juta serta menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) daripada bankrap apabila RM230 juta hilang tanpa kesan. Apa pandangan Dato’ Seri mengenai situasi ini?

Sikap yang diambil oleh kerajaan Pulau Pinang amat bijak kerana pembayaran balik merupakan satu keperluan berbanding dengan zaman BN yang terus menambah hutang bayarnya tidak langsung dibuat. Apa yang dilaksanakan BN jelas menunjukkan mereka tidak bijak mentadbir. Habis wang rakyat dipergunakan untuk pembinaan projek yang tidak menguntungkan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk mengatakan Malaysia megah tetapi hakikatnya dalam keadaan sakit tenat.

Perumahan mampu milik juga merupakan isu yang kerap diserang. Perwakilan Pulau Pinang, semasa Persidangan Agung Umno (PAU) baru-baru ini lantang bersuara kononnya di era Pakatan Rakyat ramai orang Melayu lari tinggalkan Pulau Mutiara kerana kenaikan harga tanah. Adakah ini benar?

Sepatutnya perwakilan Umno tidak payah cakap perkara itu sebab sejak dulu peristiwa harga tanah melambung tapi waktu itu mana dia Umno yang kata pejuang bangsa? Perumahan mampu milik satu hal, tapi satu lagi perkara yang harus diambil kira ialah soal sosial ekonomi yang membolehkan penduduk mampu bayar atau tidak. Bila sesebuah kampung dimajukan untuk pembangunan dan memberikan penduduk dengan rumah mampu milik, ia tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya apa salahnya perkampungan itu disusun dan dimajukan dengan kegiatan di situ.

Jika kampung diroboh dan membawa penduduk ke penempatan lain di flat mampu milik, penduduk akan bingung dengan persekitaran baru. Dulu sebagai nelayan, berpindah pula ke kawasan lain, pastinya memberi kesan yang mengurangkan pendapatan. Atau memindahkan penduduk yang menoreh getah ke kawasan yang jauh di pekan, pasti menyusahkan hidupnya yang mana akhirnya membuatkan mereka tidak mampu bayar rumah. Dulu ada juga tanah tapi sekarang merempat di tanah air sendiri. Dulu boleh tinggal empat kelamin di sebuah rumah kini ada dua bilik sahaja.

Kerajaan BN tidak peduli penduduk merana. Yang mereka tahu pembangunan berjalan dengan lancar manakala pemaju bagi mereka kaut keuntungan. Sepatutnya kerajaan mudahkan urusan rumah ini kepada mereka yang tak mampu beli, sebagai contoh Parti Sosialis yang pernah menguasai politik di Pulau Pinang membina rumah yang disewa, selagi dia hidup, sebulan hanya RM25.00. Mereka tidak payah nak fikir takutkan bank tarik balik rumah, boleh fikir soal lain seperti pelajaran anak. Rumah tersebut masih ada di Jelutong dan Sungai Pinang.

Apakah nasihat Dato’ Seri kepada orang Melayu khususnya apabila menghadapi situasi sebegitu rupa?

Saya minta orang Melayu sedar dan celik terhadap apa yang berlaku selama 55 tahun. Jangan kita nampak Melayu yang telah berjaya dengan kemewahan kerana itu kelompok kecil. Yang ramai adalah orang Melayu yang menanggung hutang yang tinggi, miskin, mempunyai jurang pendapatan yang jauh dengan bangsa lain. Tanya diri sendiri dan keluarga, apakah 55 tahun ini hidup kita tidak dibelenggu dengan hutang. Mereka yang hidup sama ada pinggir bandar atau kampung, buka tingkap lihat sekeliling, betapa tingginya kos hidup sekarang.

Apakah ini yang kita mahu 55 tahun lagi? Rakyat harus berani menukar kerajaan yang mempunyai agenda terbaik untuk rakyatnya. Fikirkan juga masa depan anak cucu. Perubahan harus bermula sekarang. Ramai orang dulu ada tanah, sekarang dah tergadai; dulu ada rumah dah dirampas bank. Sanggupkah kita jadi pelarian di tanah air sendiri akibat politik pemerintahan yang menyusahkan rakyat dan memikirkan keuntungan diri, kroni dan kelompok mereka sahaja.

BIODATA

DATO SERI RAHMAN MAIDIN, 66, adalah seorang pengusaha yang telah terlibat dalam bidang pelaburan, infrastruktur, media dan komunikasi, kewangan dan teknologi selama 32 tahun. Beliau telah menerajui Dewan Perniagaan Melayu pada peringkat negeri dan nasional dan juga Dewan Perniagaan Kebangsaan, Dewan Perniagaan Asean dan telah melaksanakan banyak program demi kemajuan dan kepentingan peniaga.

Beliau bukan sahaja terlibat dalam dunia niaga tapi sejak bertahun beliau meletakkan dirinya dalam kerja membantu kepada golongan yang memerlukan melalui beberapa organisasi kebajikan. Perjuangan kesihatan rakyat, pembelaan rakyat alam sekitar dan sejak kebelakangan ini beliau banyak terlibat dalam isu ekonomi khususnya dalam isu pengambilan tanah di Penggerang, Johor dan di Kuala Terengganu serta isu pertanian di Perlis dan juga isu alam sekitar di Pulau Pinang dan Kubu Gajah di Perak.

Sumber : di sini

tn_khirulmuntanazar_02Oleh: Ustaz Haji Khirul Muntanazar bin Ismail.

Muktamar kali ke 58 yang diadakan oleh PAS baru-baru ini telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri. Pelbagai isu telah dibangkitkan oleh perwakilan sebagai muhasabah kepada seluruh ahli dan kepimpinan bagi memantapkan parti, apatah lagi dalam persiapan untuk mendepani Pilihanraya Umum yang boleh berlaku bila-bila masa daripada sekarang.

Syabas dan tahniah kepada semua pembahas yang telah berjaya menjadikan muktamar kali ini hidup dan segar. Cadangan, usul dan teguran menjadi rempah ratus yang mengenakkan telinga apabila mendengarnya. Garam dan gula diletakkan secukup rasa bagi memastikan perjalanan PAS pada masa akan datang tidak terhalang dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran.

Pun begitu, masih ada lagi pengkritik seumpama Pak Shukur yang menyatakan bahawa pembahas ucapan dasar Presiden belum sampai ke tahap yang tinggi dan diharapkan. Mungkin beliau hanya ingin memenuhi seleranya dan fikrah yang dibawa tanpa memperdulikan apa kehendak perwakilan. Para perwakilan sangat teruja mendengar ucapan perbahasan yang dibuat. Bahkan apabila mereka diminta bangun memberikan sokongan, mereka bangkit tanpa lengah menunjukkan tanda sokongan terhadap perbahasan yang dibuat.

Read More Nampaknya pengkritik lebih rela menongkah arus berbanding untuk melihat secara positif setiap tutur kata yang dikeluarkan oleh para pembahas. Apa pun, kritikan yang diberi tidaklah ditolak mentah-mentah. Ia akan tetap dinilai oleh khalayak pembaca sama ada untuk menerimanya atau pun tidak.

Antara isu yang dibangkitkan dalam muktamar baru-baru ini ialah isu cadangan perlantikan Perdana Menteri oleh perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang. Presiden PAS dicadangkan untuk memegang jawatan tersebut atas dasar kredibiliti dan karisma yang ditunjukkan untuk memerintah Malaysia. Usaha perlu dibuat untuk meyakinkan masyarakat dan pimpinan Pakatan Rakyat agar cadangan ini diterima. Sebagai seorang yang alim dalam agama dan mempunyai pengalaman yang banyak,  sudah pasti hasrat untuk membawa Malaysia ke arah kegemilangan dan kecemerlangan dapat dicapai.

Apa yang pelik ialah Pak Shukur sendiri yang memandang sinis terhadap cadangan tersebut. Ia dikatakan akan memberikan implikasi negatif kepada Pakatan Rakyat yang sedang giat bersiap untuk berdepan dengan UMNO-BN dalam pilihanraya akan datang. Ia dilihat akan menjejaskan sokongan pelbagai kaum yang akan memberikan undi mereka dalam pilihanraya akan datang.

Atas tujuan apakah kritikan negatif ini diberikan apatah lagi datang daripada seorang ahli PAS sendiri. Kenyataan seperti ini tidak patut keluar daripada mulut seorang ahli PAS. Walaupun dinyatakan bahawa semua ahli PAS menyayangi Presidennya tetapi kenyataan seumpama ini jelas menggambarkan keraguan terhadap kewibawaan Presiden.

Tidak ada asas yang konkrit untuk mengaitkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat akan berkurangan dengan cadangan untuk melantik Presiden PAS sebagai Perdana Menteri. Ini kerana tidak ada kenyataan rasmi daripada Pakatan Rakyat bahawa mereka telah sepakat untuk melantik mana-mana pimpinan sebagai Perdana Menteri. Jika ada pun, ia hanyalah pandangan peribadi, bukannya kenyataan rasmi. Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam reaksinya terhadap cadangan tersebut mengatakan bahawa ia boleh dibincang.

Bagi pihak PAS sendiri pula sama ada Jawatankuasa Kerja mahupun Majlis Syura Ulamak tidak pernah mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini walaupun ada orang yang mendakwa demikian.

Ini membawa maksud bahawa calon Perdana Menteri selepas pilihanraya umum nanti jika dimenangi oleh Pakatan Rakyat masih terbuka kepada semua. Justeru, tidak salah untuk dicadangkan Presiden PAS untuk memegang jawatan tersebut.

Walaubagaimana pun, sama ada cadangan ini diterima atau tidak akan diputuskan selepas pilihan raya nanti. Sekurang-kurangnya cadangan ini akan memberi mesej yang jelas kepada rakyat bahawa PAS menawarkan Presidennya sebagaimana juga parti yang lain. Ada pun jika PAS tidak berjaya memenangi kerusi yang banyak dan majoriti sehingga tidak mampu melantik Presidennya, maka ia perlu diterima kerana kita menerima konsep demokrasi berparlimen di negara ini.

Sebenarnya, cadangan ini tidak ada apa yang merugikan Pakatan Rakyat kerana ia akan menaikkan moral dan semangat petugas PAS untuk bekerja lebih keras bagi memenangkan gabungan tersebut dalam pilihanraya akan datang. Ini kerana para petugas yang sayangkan PAS mengetahui bahawa Presidennya juga adalah antara calon untuk memegang jawatan Perdana Menteri. Ia adalah impian ahli PAS yang sejati. Tetapi jika sebaliknya, ia akan melemahkan motivasi mereka. Kemungkinan ada yang beranggapan bahawa tidak perlu bekerja kuat dalam pilihan raya kerana yang akan akan memegang jawatan itu nanti adalah orang lain, bukannya daripada PAS. Presiden PAS tak termasuk dalam calon untuk memegang jawatan tersebut.

Ada pun media yang dikuasai UMNO-BN mengeksploitasikan isu ini, ia adalah perkara yang tidak pelik. UMNO-BN memang sentiasa daripada dahulu lagi berusaha untuk melagakan antara pimpinan Pakatan Rakyat. Kalu bukan kerana isu ini, isu-isu yang lain akan digunakan untuk tujuan tersebut. Mereka akan sentiasa mencari isu untuk membina persepsi yang buruk walaupun perkara itu adalah baik untuk Pakatan Rakyat.

Apa yang pelik sebenarnya ialah ahli PAS sendiri yang tidak yakin terhadap pimpinannya dan memandang negatif tentang perkara yang baik ini. Ahli yang sangsi terhadap Presidennya seperti Pak Shukur tak layak untuk menulis dan menjadi kolumnis bagi lidah rasmi PAS iaitu Harakah.

Penulis adalah Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/12932-perihal-abby-abadi-dan-ulama-muda

Written by Subky Latif

Rabu, 05 Sep 2012 04:22

Adapun Abby Abadi, seorang pendatang baru dalam PAS dan ketua Ulama Muda di pejabat Umno yang bernama Fathul Bari tidak ada kena mengena dan tidak ada sebarang hubungan. Mungkin keduanya tidak kenal mengenal dan mungkin juga tidak pernah bersua jumpa. Yang menariknya ialah Cik Puan Abby Abadi ini adalah seorang seniwati yang ada kedudukan dan ada pasaran dalam industeri perfileman.

Kita tidak tahu di mana dia mengaji  dan mendapat didikan agama? Tetapi di tengah memanjat puncak kerjayanya di dunia hiburan, dia terjun ke dalam arena perjuangan PAS dan berazam memupuk dan menegakkan akidahnya dan akidah umat. Dia menerima Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Abdul  Hadi Awang sebagai pemimpinnya.

Manakala Syeikh Fathul Bari, seorang yang berstatus ulama muda, sudah tentu berpendidikan agama yang tinggi, jika tidak masakan dia dikenali sebagai ulama, anak bekas Mufti Perlis. Di mana dia mengaji tidak penting lagi tetapi dia adalah seorang ulama dan seorang pendakwah. Tetapi dia terjun dalam perjuangan Umno dan menerima Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin  Yasin sebagai pemimpinnya.

Tentulah pelik.

Seorang penghibur yang statusnya dalam agamanya adalah seorang awam saja memilih parti yang memperjuangkan Islam dan dipimpin oleh para ulama. Dunia yang digelumanginya selama ini adalah amat berbeza dengan cara hidup pemimpin dan penyokong PAS. Mungkin 10 tahun dulu tidak tahu apa-apa tentang luar dan dalaman PAS selain daripada yang didengarnya PAS adalah sebuah parti pembangkang yang memperjuangkan Islam. Yang dikatakan perjuangan Islam itu mungkin dia tidak tahu.  Tetapi sekonyong-konyong dia masuk PAS dan duduk sepentas dengan pemimpin-pmimpin yang antaranya tok-tok guru yang berserban dan berjanggut. Dia berazam untuk menghabiskan dunianya di situ.

Manakala ulama muda Fathul Bari pula sebagai anak mufti tentulah terdidik dari kecil dalam suasana Islami, dan sebagai ulama muda tentulah pergaulan dan hidupnya sentiasa dalam kawalan yang baik. Imej dan gambaran luarannya pun dilihat sebagai orang beragama. Mengikut bahasa orang  dulu gayanya itu adalah lebai. Peliknya dia tidak memilih parti yang memperjuangkan Islam seperti yang disertai Abby tetapi dia menyertai Umno yang perjuangannya sejak mula adalah sekular nasionalis.

Baik di bawah Dato’ Onn Jaafar, di bawah Tunku Abdul Rahman Putra dan lain-lain tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan. Semua tokoh Umno itu tidak menolak Islam sebagai agama mereka tetapi mereka tidak menerima Islam sebagai garis perjuangan politik. Kesemuanya berkata bahawa Islam tidak sesuai bagi dijadikan dasar politik dengan dalih Malaysia tidak didiami oleh orang Islam saja.

Abby Abadi yang terhad pengetahuan dan fahamannya tentang Islam tidak memilih parti seperti Umno itu tetapi ulama muda yang terididik dalam  suasana  Islami memilih Umno dan menolak PAS yang disertai oleh majoriti ulama. Ajaib. Itulah kehendak Allah. Abby tidak memiliki kitab dan tidak pandai baca kitab menyertai perjuangan politik Islam, Fathul  Bari memiliki banyak kitab dan pandai baca kitab tidak menyertai parti Islam tetapi menyertai  parti nasionalis.

Saya tidak hendak menyamakan kejadian Abby dan Fathul ini dengan zaman kelahiran Rasulullah SAW di Mekah dulu. Orang Jahililyah Quraisy tidak pernah baca kitab. Yang baca kitab ialah Yahudi Bani Israil. Orang Quraisy dengar  orang Yahudi menunggu kelahiran Nabi Akhir Zaman. Apabila Nabi lahir, yang menunggunya tidak menyambutnya, tetapi Arab yang tidak tahu tentang isi kitab menerima kenabian itu.

Itulah kebesaran Allah.

Sumber berita : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10616-10-jam-haron-din-bertarung-nyawa-

Sumber foto di bawah : http://www.facebook.com/darussyifa/

BANGI: Hati anak mana yang tidak gembira apabila bapa tercinta kembali sihat dan ceria. Begitulah yang dialami lima pemata hati Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang mula sembuh dari pembedahan jantungnya dan selamat tiba ke tanah air 13 Mei lalu. Dr Haron Din, seorang tokoh agamawan melakukan pembedahan di Stanford Hospital & Clinics, San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) pada 2 April lalu.

Anak keduanya, Hamdi Haron yang juga seorang peguam sempat meluangkan masa menceritakan keadaan bapanya kepada Harakah Khamis lalu. Datuk Haron, mendapat rawatan sejak 18 Mac lalu dirawat oleh Pakar Bedah Jantung, Dr Robert C Robbins. Selama berada di sana katanya, mereka sekeluarga termasuk bondanya Datin Khadijah Mohd Salleh tidak berenggang dengan bapanya.

“Alhamdulillah sejak buat pembedahan dan dimasukkan pula ke ICU dan CCU ada perkembangan dan kesihatan beliau makin sihat,” katanya yang ditemui di kediaman bapanya di Bandar Baru, Bangi, Selangor. Selama sepuluh jam bertarung nyawa di bilik bedah, katanya bapanya tidak patah semangat dan seolah-olah tidak ada rasa sakit. Ini katanya, apabila diminta oleh doktor untuk melakukan pelepasan batuk selepas menjalani pembedahan bapanya berjaya melakukan sekuat hati.

“Sampai doktor dan pesakit sebelah katilnya bertanya, tak sakit ke, dia kata tak, itulah kelebihan yang Allah kurnia kepadanya,” ujarnya. Begitu juga, katanya apabila kakaknya, Dr Huda Haron dan adiknya Dr Azlin Haron setiap pagi mencuci pahanya yang terpaksa dibedah sedalam satu inci dan lebarnya tiga inci, tidak juga dirasai sakit. Dengan selamba dan bersahaja bapanya membiarkan adik dan kakaknya mencuci luka tersebut.

Itulah katanya, tiada memek muka kesakitan dan keluhan langsung darinya. Beliau juga memberitahu, doktor meminta supaya bapanya berehat dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Bagi mempercepatkan proses pemulihan dan penyembuhan, doktor menyarankan supaya beliau memakan sarang burung layang-layang juga, katanya. Sarang burung yang dibuat sup ketika berada AS, terus diamalkannya sehingga sekarang. Bercerita lanjut Hamdi berkata, semasa dalam rawatan bapanya meminati makan ‘taufu fah’ dan makanan Jepun iaitu sushi dan sup jepun.

“Makanan itu ada di sana, jadi tak ada masalah untuk kami carikan untuknya. Tambahan pula ada rakyat kita yang bekerja di AS sudi menolong kami,” katanya. Dalam pada itu, sambungnya semangat bapanya untuk mengikuti perkembangan politik tanah air masih menebal.

“Dalam keadaan masih lemah dia nak tahu juga masa hari Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu. Kebetulan adik saya Salwa dan Hana ada di tanah air dan mereka up-date pula perhimpunan itu, dengan penuh minat beliau ikutinya. Ertinya perjuangan politik dalam parti tidak pernah pudar bahkan terus berkobar dan membara,” ujarnya.

Beliau berkata, penyokong PAS tidak perlu risau dengan kesihatan dan perjuangan bapanya dalam parti. Cuma katanya, untuk sementara waktu ini, bapanya perlu membuat rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN). Kebetulan pula semasa bertandang ke rumahnya, Dato’ Haron pergi ke IJN untuk mendapat pemeriksaan lanjutan.

“Minta maaflah hari ini dia kena pergi jumpa doktor di IJN dan petang ini selesailah tu,” katanya yang tidak jemu-jemu menceritakan keadaan bapanya yang dikenali ramai itu.

%d bloggers like this: