Tag Archive: Hamzah Abdullah


Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/21987-misteri-sabah-yang-belum-terbongkar

Jadual kunjungan saya ke Sandakan selama tiga hari, bermula 6 September lalu, agak padat dan memenatkan. Walaupun tujuan asalnya hanya untuk melihat sendiri kediaman baru keluarga Jamal Azahari — yang masih ditahan di Manila selepas dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting lebih lima tahun lalu — saya turut dibawa Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah, mendekati kehidupan sukar di kawasan terpinggir.

Pengasas PAS Sabah itu, yang banyak membantu saya membeli makanan laut segar, mendedahkan sisi-sisi gelap warga Negeri di Bawah Bayu, khususnya kawasan penempatan di atas air yang sesak dan nasib hampir 100 keluarga setinggan yang ditimpa kebakaran besar pada tengahari 1 Syawal lalu. Ramai penduduk mengesyaki, dengan disertakan bahan-bahan bukti, bencana itu sebenarnya angkara perbuatan khianat terancang bagi menghalau penduduk; khabarnya satu amalan lazim sang penguasa bersekongkol dengan kapitalis berkepentingan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kinabatangan, Ustaz Zaidi awal-awal lagi mempelawa saya turun padang ke daerah pendalaman yang serba kekurangan. Parlimen Kinabatangan diwakili Bung Mokhtar Radin yang menegaskan bahawa kenaikan harga minyak tidak menjejaskan kehidupan orang kampung kerana mereka tidak berkereta.

“Orang kampunglah yang paling terkesan dengan kenaikan itu disebabkan kos pengangkutan, termasuk dengan bot, untuk masuk jauh ke pendalaman segera melambung,” kata Ustaz Zaidi.

“Selalunya saudara melawat lokasi di bandar, seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Kali ini elok juga, sempena 50 tahun Sabah merdeka di bawah Malaysia, saudara turun ke kawasan kampung, yang sebenarnya menyimpan  begitu banyak masalah,” cadang Rahimin Mustafa, Setiausaha Pilihan Raya PAS Sabah sebaik mengetahui saya berhasrat ke Sandakan untuk kali keempat.

Malang sekali, kenderaan rakan Ustaz Zaidi yang sepatutnya mengambil saya dan wartawan kanan, Azamin Amin, jam tujuh pagi Sabtu itu, tiba-tiba rosak. Kami hanya dapat keluar dari bandar Sandakan ketika Zuhur apabila Ustaz Zaidi sendiri turun dari Kinabatangan.

Disebabkan majlis kenduri dan doa selamat, di rumah baru Jamal Azahari, untuk enam keluarga bekas tahanan ISA dijadualkan jam 2 petang, saya hanya dapat bersetuju untuk meninjau kawasan kampung sekitar 50km dari Sandakan. Itupun, kami terlewat hampir tiga jam untuk sampai ke kediaman yang baru siap itu, di Batu 18, selepas solat Asar di masjid berdekatan, Masjid Darul Aman.

“Tak nampak pun suasana meriah  Sabah akan menyambut ulangtahun ke-50 merdeka di bawah Malaysia tidak lama lagi,” kata saya kepada Ustaz Zaidi, semasa melalui jalan utama, merujuk senario hampir tiada bendera Malaysia dikibar menjelang 16 September nanti. “Tengok itu, bendera BN macam menjadi azimat di sini,” sambutnya, menunjukkan rumah dan gerai kecil di tepi jalan. “Tapi, BN itu jugalah yang mengkhianati rakyat di sini, termasuk memungkiri janji mereka semasa kempen PRU13 lalu,” pintas saya, sambil kami ketawa kecil.

Kepenatan mengelilingi kawasan pendalaman sekitar Sandakan segera terubat melihat wajah ceria Norhatta Paraji, isteri Jamal Azahari bersama lapan anak-anaknya, termasuk seorang anak tirinya, gadis kecil yang manis (saya baru pertama kali bersua muka dengannya), sambil mereka menikmati hidangan nasi Arab yang disediakan isteri saya, Siti Hawa Samsam. Rempah khas dibawa dari Ampang!

Menu ayam masala dan beriani kambing agak pedas tetapi saya lihat lebih 20 anak-anak menjamu selera dengan asyik sekali.

Saya lebih teruja melihat rumah baru Norhatta yang dapat disiapkan menjelang Aidilfitri lalu, dengan bantuan sumbangan pembaca Harakah, bernilai lebih RM30,000. Su’aidah, adik kepada Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah menjadi pengantara kami dan begitu ringan tulang memantau proses pembinaan walaupun dalam keadaan sarat mengandung. Bayangkan, hanya selepas lima hari melahirkan anak, Su’aidah memaklumkan kepada saya perkembangan terkini rumah tersebut selepas menziarahi Norhatta.

Berbanding tiga kunjungan sebelum itu — termasuk dua kali bersama Cikgu Norlaila Othman, aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) — suasana nampak lebih meriah dan girang, apatah lagi dapat mengumpulkan hampir semua keluarga bekas tahanan. “Ibu tak pandai nak luahkan kata-kata tapi dia cukup terharu dengan bantuan yang kami terima, termasuk membawa kami sekeluarga berjumpa ayah di penjara Manila,” kata salah seorang anak perempuan Norhatta.

Isteri bekas tahanan, Kontesa Ahadi, ibu Hummayroh Mohidin, pelajar yang dijangka ke Moscow awal Oktober depan, juga dengan sokongan kewangan sepenuhnya daripada pembaca Harakah, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya.

“Maha Suci Allah, kami tidak pernah menduga pertolongan Allah, melalui usaha Harakah, datang secepat ini. Terima kasih banyak, Alhamdulillah,” katanya ramah, dengan wajah berkaca. Kontesa memohon maaf kerana Hummayroh tidak dapat hadir meraikan jamuan kesyukuran. Anaknya berada di Kuala Lumpur ketika itu, mengikuti kursus pendek dan persiapan terakhir sebelum terbang keluar negara dan hanya pulang ke Sandakan pagi Ahad, 8 September.

Petang Ahad itu, Hummayroh dan kedua-dua ibu bapanya terlewat tiba beberapa minit ketika kami sudah pun masuk ke bilik menunggu di lapangan terbang Sandakan untuk berlepas ke KLIA. “Ustaz, minta maaf, kami terlewat, Hummayroh penat dan tertidur tadi. Bila kami sampai airport, nampak Ustaz dan isteri sudah masuk,” kata Kontesa, melalui telefon, ketika saya berbaris panjang menuju pesawat.

Sempat saya membaca SMS Ustaz Zaidi: “Terima kasih dan jemput datang Kinabatangan untuk lain kali. Terima kasih juga dengan hidangan nasi Arab yang sedap kelmarin.”

Ya, saya melihat keunikan Sabah dan Sandakan khususnya, bukan terhad kepada hidupan laut yang segat dan mengasyikkan, begitu juga keistimewaan tawaran alam semulajadinya, tetapi lebih kepada begitu banyak misteri kehidupan yang belum diselongkar, terutama yang menghimpit warganya dan pendatang, selain menyembunyikan kerakusan kuasa elit pemerintah. Majoriti penduduk negeri yang kaya dengan hasil bumi, khazanah hutan, destinasi pelancongan menarik dan sumber petroleum masih diasak kemiskinan dan kedaifan kemudahan awam.

Peluang menghadiri perasmian mesyuarat agung PAS Sandakan, yang disempurnakan Hamzah, pada pagi Ahad, juga menyuntik harapan tinggi bahawa peluang dan masa depan Parti Islam di Sabah begitu “menjanjikan”. Kehadiran perwakilan anak-anak muda, lelaki dan wanita, membayangkan cabaran, tanggungjawab dan potensi besar yang menunggu.

Dan saya cuba, insya-Allah, untuk mengungkapkan isu-isu besar sosio-ekonomi-politik Sabah dalam tulisan akan datang, merujuk pengalaman di Sandakan.

Dalam pada itu, Harakah, dengan kerjasama PAS Batu Sapi bersedia untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Cenderamata, Sandakan. Orang ramai boleh menyumbang terus ke dalam akuan Maybank HARAKAHDAILY DOT COM 5640 7000 0336.

Tarikh : 24 November 2012

Lokasi : Kian Kok Kota Kinabalu

 

%d bloggers like this: