Beberapa hari sebelum majlis ceramah berlangsung pada pagi jumaat, saya dihubungi oleh  sahabat saya Ustaz Zaki yang bertugas di SM Teknik Keningau membawa berita baik. Saya hampir terlupa bahawa seorang pendakwah yang saya hormati Tuan Haji Ayub Abdul Rahman Abdullah mempunyai jadual yang padat di Kota Kinabalu dan Keningau. Ada satu kekosongan masa yang perlu diisi untuk beliau berceramah pada sebelah pagi jumaat.

Alhamdulillah, rezeki Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah untuk mendengar dan melihat lebih dekat lagi dengan Tuan Haji Ayub, bekas paderi Kristian Roman Katholik dan pengampun dosa antarabangsa ketika beliau berada di Jerman Barat pada tahun 70an. Beliau yang berasal dari Pulau Pinang  kemudiannya memeluk Islam di Sarawak, di tangan Tun Abdul Rahman Yakub.

Kini dunia dakwah menjadi keutamaan hidupnya dengan memberikan ceramah ke seluruh pelusuk negara dan sesekali ke luar negara. Beliau menetap di Kuching Sarawak dan dengan hidayah Allah SWT jua beliau berhasil mengislamkan lebih 30 buah kampung di Sarawak. Beliau juga kerap dan hampir setiap tahun ke Sabah untuk mengisi program-program dakwah sama ada di jabatan-jabatan, masjid surau dan sekolah-sekolah, kebanyakannya atas tajuk dakwah, perbandingan agama islam-kristian dan seumpamanya.

Saya menemani beliau dan di sini beliau banyak bercerita tentang pengalaman hidup serta menggesa audien menyayangi agama Islam, mengambil berat tentang kehidupan beragama terutama dalam keluarga masing-masing serta masyarakat yang ada di sekeliling. Musuh memang bekerja untuk memurtadkan penganut Islam, tetapi umat Islam tidak boleh membiarkan saudaranya terpesong dan terpengaruh dengan perkara yang berlawanan dengan Islam.