Tag Archive: Hadith


MOHON DIJAUHKAN ALLAH

Daripada Abu Zaid iaitu Usamah bin Zaid bin Haritsah R.’anhuma, katanya : “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

“‏يؤتى بالرجل يوم القيامة فيلقى في النار فتندلق أقتاب بطنه فيدور بها كما يدور الحمار في الرحى فيجتمع إليه أهل النار فيقولون‏:‏ يا فلان ما لك ‏؟‏ ألم تك تأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر‏؟‏ فيقول‏:‏ بلى، كنت آمر بالمعروف ولا آتيه، وأنهى عن المنكر وآتيه‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏

“Akan didatangkan seseorang lelaki pada hari kiamat, kemudian ia dilemparkan ke dalam neraka, lalu keluarlah segala isi perutnya – usus-ususnya, terus berputarlah orang tadi pada isi perutnya sebagaimana seekor keldai mengelilingi gilingan.

Para ahli neraka berkumpul di sekelilingnya lalu bertanya : “Mengapa engkau ini hai Fulan? Bukankah engkau dahulu suka memerintahkan kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran?”

Orang tersebut menjawab : “Benar, saya dahulu memerintahkan kepada kebaikan, tetapi saya sendiri tidak melakukannya, dan saya melarang daripada kemungkaran, tetapi saya sendiri melakukannya.” (Muttafaqun ‘alaih)

MUKHTASAR IBNU ABI JAMRAH

Alhamdulillah, dengan segala kekurangan dan serba kelemahan, kami di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan berjaya menamatkan bacaan hadith-hadith Rasulullah SAW yang dipetik dari Kitab Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah.

Kitab ini mengandungi 294 hadith pilihan dari Kitab Sahih Imam al-Bukhari. Buku terjemahannya ditulis oleh Ustaz Mustafa Abd Rahman terbitan Dewan Pustaka Fajar.

Kitab Hadith al-Jami’ as-Sahih susunan Imam al-Bukhari merupakan kitab hadith yang mendapat perhatian paling besar di kalangan para ulama’, baik yang terdahulu sehingga kini.

Para ulama’ kemudiannya mengarang kitab-kitab syarah, ulasan dan komentar, mengeluarkan istinbath hukum daripadanya. Di kalangan mereka terdapat juga yang mengusahakan ikhtisar atau ringkasan supaya lebih diambil manfaatnya.

Antara kitab yang mensyarahkan kitab al-Jami’ as-Sahih karangan Imam al-Bukhari ialah

1) Kitab al-Kawakib ad-Darari Fi Syarh Sahih al-Bukhari tulisan al-Allamah Syamsuddin Muhammad bin Yusuf bin Ali al-Karmani yang wafat pada 786H. Kitab ini selesai ditulis pada 775H.

2) Kitab Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari karya al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqolani yang wafat pada 825H. Fathul Bari mengandungi sebanyak 13 jilid dan ditulis oleh Ibnu Hajar selama 25 tahun (817H-842H).

3) Kitab Umdatul Qari karya al-Allamah Syaikh Badruddin Mahmud bin Ahmad al-Aini al-Hanafi yang wafat pada 855H. Kitab ini dikarang beliau selama 26 tahun (821H-847H).

4) Kitab Irsyadus Sari ila Sahih al-Bukhari, karya al-Allamah Syaikh Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Khatib yang terkenal dengan sebutan al-Qastalani yang wafat pada 922H.

Selain itu, antara kitab ikhtisar (ringkasan) kepada al-Jami’ as-Sahih al-Bukhari ialah Kitab Jam’un Nihayah Fi Bad’il Khair wal Ghayah karya Abu Muhammad Abdullah Saad bin Abi Jamrah al-Azdi al-Andalusi. Beliau wafat pada 699H di Mesir.

Kitab ini kemudiannya beliau syarahkan dan diberi judul Bahjatun Nufus wa Ghayatuha bi Ma’rifati Ma Laha wa ‘Alaiha. Mukhtasar ini kemudiannya lebih dikenali sebagai Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah memuatkan 294 hadith sahih yang disaring daripada sejumlah 7397 buah hadith dalam al-Jami’ as-Sahih al-Bukhari.

Bermula dengan hadith kisah permulaan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW, kami terus berdikit-dikit membaca dan bergerak sehingga hadith yang terakhir berkenaan firman Allah SWT kepada penduduk syurga.

Mengakui dengan segala kekurangan dan kelemahan itu, bacaan hadith-hadith ini banyak saya rujuk hasil mengaji bersama Shaikh Muhammad Nuruddin al-Banjari satu ketika dahulu.

Di Masjid as-Sobirin ini, kuliah bermula pada 2 April 2007 dan berakhir pada Disember 2009 lalu. Semoga ada sedikit hasilnya untuk saya hadapi di hadapan Allah SWT.

Terima kasih kepada pengerusi JK Masjid Hj Ag Damit Yusuf bersama AJKnya serta jamaah yang setia mendengar celoteh dan teguran saya selama hampir 3 tahun lamanya.

Kontrak sudah habis, saya menanti pelawaan seterusnya, sama ada kekal di sana atau menerima undangan di surau atau masjid lain.

MENGHENTIKAN KESEDIHAN

Daripada Abu Darda RA, daripada Nabi SAW bersabda :

‏مَنْ قالَ فِي كُلّ يَوْمٍ حِينَ يُصْبحُ وَحِينَ يُمْسِي‏:‏ حَسْبِيَ اللَّهُ لا إِلهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ العَرْشِ العَظِيمِ سَبْعَ مَرَّاتٍ كَفَاهُ اللَّهُ تَعالى ما أهمَّهُ مِنْ أمْرِ الدُّنْيا والآخِرَةِ‏”‏‏

“Siapa yang berdoa pada setiap hari, ketika pagi dan petang : [Cukuplah Allah bagiku. Tiada Tuhan kecuali Dia. kepadaNya aku berserah, dan Dia Tuhan Pencipta Arasyh yang agung] .

Sesiapa yang membacanya 7 kali, Allah Taala menghentikan untuknya apa yang menjadi kesedihannya sama ada urusan dunia dan akhirat”. (HR Ibnus Sunni)

Kuliah Maghrib Kitab al-Azkar Imam an-Nawawi

Masjid Nurul Ihsan, Kg Lok Kawi Baru.

 

 

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

قال الرسول صلى الله عليه وسلم

  صنفان من أهل النار لم أرهما ، قوم معهم سياط كأذناب البقر يضربون بها الناس، ونساء كاسيات عاريات ، مائلات مميلات ،رؤوسهن كأسنمة البخت المائلة ، لا يدخلن الجنة و لا يجدن ريحها ، وإن ريحها يوجد في مسيرة كذا وكذا

“Ada dua golongan dari ahli neraka, yang belum aku saksikan. 

Pertama, suatu kaum yang membawa cemeti seperti ekor sapi untuk memukul manusia.

Kedua, wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka bertelanjang, yang menanggalkan tutup kepala, yang menarik kepada maksiat. Kepala (rambut) mereka diikat seperti bonggol unta.

Mereka ini tidak akan memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya, sedangkan bauannya dapat dihidu dari jarak sekian-sekian”. -(Hadis Muslim)

Artikel penuh di sini :

http://tuanibrahim.blogspot.com/2009/08/amaran-rasulullah-kepada-fru.html

PENGHULU ISTIGHFAR

Daripada Syaddad bin Aus RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda :

Penghulu istighfar ialah :

‏”‏ اللَّهُمَّ أنْتَ رَبِّي لا إِلهَ إِلاَّ أنْتَ خَلَقْتَنِي وأنا عَبْدُكَ، وأنا على عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ ما اسْتَطَعْتُ، أبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأبُوءُ بِذَنبي، فاغْفِرْ لي فإنَّه لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، أعُوذُ بِكَ مِنْ شَرّ ما صَنَعْتُ‏.”‏

“Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau, yang menciptakan aku. Akulah hambaMu, aku berpegang dengan janjiMu sekuat tenagaku. Aku mengakui kerana Engkaulah aku beroleh nikmatMu, dan aku juga mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah dosaku. Tiadalah yang mengampunkan dosa kecuali Engkau. Aku berlindung denganMu daripada menghadapi akibat kejahatan yang aku lakukan”.

Apabila istighfar ini dibaca pada waktu petang, lalu ia meninggal dunia, ia masuk syurga. Apabila ia membacanya pada waktu pagi, lalu ia meninggal dunia pada hari itu, begitulah juga keadaannya”. ( HR Bukhari)

Rujukan : Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah & Kitab al-Azkar.

Sedutan kuliah maghrib di Masjid as-Sobirin, Kg Sipanggil Putatan. (Isnin malam selasa).

Alhamdulillah, atas pelawaan Ust Hj Khamis Jamil minggu lepas, malam ini telah bermula satu lagi siri kuliah-kuliah di masjid & surau. Masjid Mahabbah Kg Muhibbah terletak di belakang taman Jumbo Petagas. Di hadapan arah kiblat masjid ini kelihatan hujung landasan LTAKK yang sedang dalam pembinaan.

Saya berbesar hati melihat kehadiran antara 20-30 orang jamaah masjid yang duduk rapat dan hampir diantara satu sama lain. Nampaknya respon hadirin dengan kuliah itu tadi pun nampak positif.

Cuma saya mengharapkan setiap daripada mereka dapat memiliki sebuah buku yang terdapat di pasaran. Kitab Hadith 40 susunan al-Imam an-Nawawi. Sebuah kitab terkenal yang terdapat terjemahannya di dalam bahasa Melayu. Apabila ada buku, boleh buat catatan masing-masing, bukan sekadar mendengar sahaja.

Tadi, saya membuat sedikit pengenalan berkenaan imam an-Nawawi dan hadith pertama berkaitan soal niat dan hijrah. Dengan kuliah terbaru ini, saya kini punya 6 kuliah maghrib. Yang tinggal kosong cuma khamis malam jumaat. Jadual kuliah maghrib boleh dilihat di kanan blog ini.

%d bloggers like this: