Tag Archive: GST


KENAPA PAS TOLAK GST

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/38107-kenapa-pas-tolak-gst

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 27 Oktober 2015.

Antara isu yang paling hangat dibahaskan dalam sesi perbahasan bajet yang bermula semalam di Dewan Rakyat ialah isu GST.

Hal ini kerana Perdana Menteri dalam ucapa pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat lalu menyebut nasib baik ada GST yang boleh menampung kekurangan hasil negara kerana kemerosotan harga minyak!!!

Kenapa PAS menolak GST?

Pertama, kerana system cukai GST itu sendiri. GST adalah cukai berdasarkan perbelanjaan.

Islam menegaskan konsep percukaian sebagaimana difahami menerusi konsep zakat ialah cukai mestilah berdasarkan pendapatan bukannya perbelanjaan.

Di situlah kita boleh membezakan siapakah yang mempunyai lebihan pendapatan yang boleh dicukai dan siapakah yang tidak mempunyai lebihan pendapatan atau langsung tiada pendapatan.

Pendapatan yang dikenakan cukai ialah pendapatan oleh orang-orang kaya yang melebihi daripada keperluan asas kehidupan.

Orang-orang miskin yang mempunyai pendapatan yang tidak cukup untuk menguruskan kos kehidupan seharian tidak dikenakan cukai.

Adapun perbelanjaan tidak patut dikenakan cukai.

Ada yang menyatakan baguslah jika berdasarkan perbelanjaan kerana orang kaya akan berbelanja banyak dan orang miskin berbelanja sedikit!

Isunya ialah Islam menegaskan orang yang miskin tidak patut dikenakan cukai walaupun sedikit!

Cukai GST dikenakan berdasarkan perbelanjaan yang tentunya tidak boleh membezakan antara yang berpendapatan lebih daripada keperluan harian atau tidak. Si miskin akan dizalimi apabila perbelanjaannya juga dikenakan cukai.

Dari Dewan Rakyat
Selasa 27 Oktober 2015 – HARAKAHDAILY 27/10/2015

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/lain-lain/27729-gst-malaysia-negara-jibayah

GST adalah cerminan pertembungan dua dasar bernegara antara Negara Jibayah Cukai & Negara Hidayah Berkebajikan.

1.Sudah terang lagi bersuluh bahawa sememangnya menjadi dasar yang dianuti oleh kerajaan BN iaitu mengenakan cukai semaksima terhadap rakyat. Atau dengan kata lain sememangnya Malaysia di bawah pentadbiran BN mengamalkan konsep yang dalam bahasa ilmu Ketatanegaraan Islam diistilahkan sebagai Negara Jibayah atau Negara Cukai. Inilah yang dapat difahami secara jelas daripada kenyataan Perdana Menteri pada 5hb Mei 2014 sebagaimana dilaporkan oleh Astro Awani.

2. Kesimpulan kenyataan beliau yang menggambarkan dasar percukaian negara adalah:

A.GST tidak membebankan rakyat.

B.GST satu langkah perlu yang akan meluaskan pendapatan negara.

C.GST akan menambah pendapatan negara.

D.GST satu bentuk cukai yang progresif yang hanya dikenakan atas perbelanjaan bagi barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh seseorang.

E.GST akan menjadikan lebih ramai rakyat membayar cukai kerana hari ini tidak ramai membayar cukai.

F.GST memperluaskan cakupan rakyat yang membayar cukai kerana sekarang hanya lebih kurang satu juta sahaja penduduk negara ini yang membayar cukai.

G.GST mempertingkatkan kadar dan nilai cukai kerana sesetengah daripada rakyat membayar kadar yang lebih rendah daripada yang sepatutnya.

H.GST seperti antibiotik yang perlu untuk ‘mengubati’ masalah ekonomi negara.

I.GST diterima pakai dengan mengambil kira pengalaman yang digunapakai oleh hampir 90 peratus negara lain di dunia.

3.Semua dasar yang disebut oleh Perdana Menteri ini menegaskan Malaysia sebagai Negara Jibayah atau Negara Cukai. Keadaan ini sangat berbeza dengan dasar kewangan Negara Islam yang berasaskan konsep Negara Hidayah dan Berkebajikan. Asas-asas kepada dasar percukaian Negara Islam adalah seperti berikut:

A.Cukai daripada rakyat tidak menjadi dasar utama hasilan negara.

B.Cukai daripada rakyat hanya dikenakan sebagai penyelesaian sementara dan bukan dasar yang tetap apabila negara berhadapan krisis kewangan disebabkan faktor kelembapan ekonomi semasa. Setelah kewangan negara stabil percukaian dihapuskan.

C.Apabila cukai dikenakan cakupannya perlu diminimakan merangkumi golongan berkemampuan sahaja berasaskan pendapatan mereka.

D.Cukai Wajib pula dikenakan dengan kadar yang rendah sebaliknya semangat dermawan menyumbang secara sukarela diperluaskan sehingga mereka menyumbang secara sukarela lebih banyak daripada yang wajib. Hal ini kerana manusia bersifat liar terhadap sesuatu yang wajib yang membebankan tetapi lebih redha dan bersemangat jika diberikan galakkan dan motivasi.

E.Cukai terhadap semua golongan rakyat bukannya ubat penyelesaian masalah ekonomi tetapi ia menjadi racun yang membarah dalam masyarakat. Golongan tidak berkemampuan semakin tertekan dengan cukai sehingga mendorong mereka menjadi penjenayah dan pemberontak terhadap ekonomi negara.

F.Negara Islam adalah negara berkebajikan yang meletakkan ihsan pada golongan tidak berkemampuan. Justeru, cukai tidak dikenakan kepada mereka sama sekali walaupun dengan nilai yang minima. Sebaliknya masalah kewangan negara diselesaikan dengan bantuan golongan berpendapatan tinggi. Itupun dengan nilai yang minima bagi mengelakkan perasaan terbeban.

G.Dasar kewangan negara perlu dirujuk kepada al-Quran dan Sunnah di samping sejarah kejayaan negara khalifah Islam bukan kepada negara moden yang tidak bertunjangkan Islam dan juga menyaksikan kebobrokan penguasaan ekonomi oleh kapitalis.

4.Sekarang terpulang kepada rakyat sama ada mengekalkan kerajaan yang mengamalkan dasar Negara Cukai atau mengubahnya kepada kerajaan Islam yang mengamalkan konsep Negara Hidayah dan Berkebajikan dalam PRU ke 14 nanti.

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/27581-sanggahan-terhadap-ucapan-pm-berhubung-gst

Oleh : Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri.

1. Saya tertarik untuk respon terhadap ucapan Perdana Menteri  dalam majlis sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 bertemakan Penjawat Awam Tiang Seri Negara di Dewan Seri Wawasan Jitra pada 1hb Mei 2014 berhubung pelaksanaan GST sebagaimana dilaporkan media semalam.

2. YAB Datuk Seri Najib Razak dilaporkan menegaskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan langkah kerajaan untuk memantapkan hasil demi menjamin masa depan negara dan kebajikan rakyat. Saya ingin menegaskan bahawa memantapkan hasil negara tidak semestinya menerusi GST yang prinsipnya bercanggah dengan prinsip percukaian Islam. GST tidak sepatutnya dilaksanakan di saat kerajaan masih gagal menangani ketirisan dan pembaziran perbelanjaan negara serta tidak berhemah dalam menguruskan perbelanjaan negara. Kebajikan rakyat juga tidak akan terbela apabila cukai diambil atas perbelanjaan golongan yang tidak berkemampuan. Konsep percukaian dalam Islam ialah dikenakan pada lebihan harta golongan berkemampuan untuk dinikmati oleh golongan yang tidak berkemampuan.

3. Perdana Menteri turut menyeru rakyat supaya berfikir secara rasional dan bukan mengikut perasaan berhubung pelaksanaan GST. Saya menegaskan bahawa bantahan rakyat terhadap pelaksanaan GST adalah berdasarkan rasional bahawa GST adalah zalim terhadap rakyat jelata kerana dikenakan terhadap perbelanjaan semua rakyat tanpa mengira berkemampuan atau tidak. Petani dan nelayan yang tidak bergaji tetap antara yang akan menanggung kesengsaraan. Buruh kasar di sektor swasta yang tidak menikmati kenaikan gaji tertindas dan dizalimi. Golongan ini sebelumnya tidak dikenakan cukai tetapi dengan GST akan dibebani cukai. Ini satu penindasan yang ketara. Di samping kajian yang menunjukkan bahawa GST bakal membawa kepada kenaikan harga barang dan inflasi yang berpanjangan.

4. Datuk Seri Najib juga berkata bahawa GST adalah keperluan supaya negara tidak berdepan himpitan ekonomi pada masa depan yang akhirnya mengundang kesusahan dan penderitaan kepada rakyat. Saya menegaskan bahawa bahawa GST adalah sistem yang bakal mengundang kepada kesusahan dan penderitaan rakyat tidak berkemampuan. Malah himpitan ekonomi hari ini telah sedia berlaku disebabkan kegagalan kerajaan pusat menguruskan perbelanjaaan negara secara berhemah sebagaimana dapat dilihat dalam banyak laporan Audit Negara.

5. Datuk Seri Najib juga berkata: “Sebab itu GST akan dapatkan hasil yang mantap untuk kerajaan. Saya minta kepada semua supaya memahami akan ‘nawaitu’ (niat) kerajaan. ‘Nawaitu’ kerajaan adalah untuk melakukan perubahan,” katanya. Saya menegaskan bahawa kerajaan mungkin mendapat hasil yang mantap menerusi GST namun ia adalah hasil yang dikutip daripada keringat rakyat yang susah atau dengan bahasa lainnya menerusi “rompakan yang dihalalkan oleh undang-undang negara”. “Nawaitu” yang baik tidak menghalalkan tindakan melaksanakan GST yang zalim terhadap rakyat. “Nawaitu” yang baik perlu disusuli dengan tindakan yang lebih adil dan tidak membebankan rakyat.

6. Perdana Menteri berkata, langkah memperkenalkan GST juga bertujuan mengupayakan kemampuan kewangan kerajaan agar lebih kukuh, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Saya menegaskan bahawa kemampuan kewangan boleh dicapai jangka masa panjang sekiranya kerajaan mengusahakan bajet berimbang dan mengelakkan pembentangan bajet defisit yang telah berlaku sejak belasan tahun sehingga membawa kepada tunggakan hutang negara yang semakin meningkat.

7. Perlu ditegaskan bahawa krisis kewangan negara adalah kerana perbelanjaan di luar kemampuan kewangan semasa negara serta kegagalan kerajaan mengamalkan perbelanjaan berhemah menerusi pelbagai pembaziran projek mega serta ketirisan projek-projek pembangunan kerajaan yang diuruskan oleh syarikat-syarikat yang kurang berkelayakan. Akhirnya rakyat jelata yang miskin dipaksa menggalas beban kegagalan dan kelemahan kerajaan nenerusi GST yang zalim. Tidakkah wajar GST dibantah oleh rakyat?

8. Kerajaan mesti menarik balik perancangan pelaksanaan GST pada 1 April 2015 dan membentuk satu jawatankuasa menangani krisis kewangan dan ekonomi negara yang diwakili pelbagai pihak bagi memikirkan perancangan peningkatan hasil negara tanpa sebarang penindasan terhadap rakyat tidak berkemampuan.

9. Pengurusan ekonomi dan kewangan negara berlandaskan prinsip Islam pasti mengundang keberkatan dan kemakmuran hidup rakyat jelata namun jika sebaliknya ia pasti mengundang kemurkaan Allah dan keperitan hidup.

“Menuju Baldah Tayyibah Dengan Keampunan Rabb”

Sabtu 3hb Mei 2014

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

MENGAPA PAS BANTAH GST?

GST

Sumber : http://www.pas.org.my/v2/index.php/artikel/ketua-penerangan/2012-mengapa-pas-bantah-gst

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan langkah baru untuk menambahkan pendapatan negara. Ia adalah cara mengambil duit daripada rakyat melalui cukai yang dikatakan saksama sebagai pendapatan kerajaan. Peluasan asas cukai ini mustahak untuk Malaysia, dakwa sesetengah pihak kerana hanya kira-kira 10 peratus daripada penduduk yang bekerja membayar cukai pada masa ini.

PAS tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, kerana rata-rata rakyat sedang membayar cukai tersembunyi tanpa diketahui mereka. Umpamanya pembelian kereta, semua rakyat yang mempunyai kereta sudah dikenakan cukai. Dengan GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas setiap pembelian.

Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila GST diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada 6 peratus. Di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar 3 peratus sebelum beransur menjadi 7 peratus.

Ada yang berkata masyarakat kampung tidak akan merasai beban daripada GST. Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.

Barangan itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi had minimum perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah dikenakan GST oleh pembekal.

Jangan terlalu gembira dengan pengumumkan pelbagai barangan asas seperti tepung, gula, beras dan garam tidak dikenakan GST. Hakikatnya, apa-apa yang dihasilkan daripada tepung, gula, beras dan garam kepada makanan siap yang sampai ke tangan pengguna boleh dikenakan GST.

Perkara terpenting dalam perlaksanaan GST ialah penguatkuasaan, bab yang kerajaan BN terkenal sebagai kelemahannya. Untuk memastikan GST berfungsi dengan baik yakni menjana pendapatan yang seharusnya bagi kerajaan, penguatkuasaan kepada semua yang mengenakan GST perlu dilakukan secara saksama dan adil.

PAS terbayang akan berlaku masalah di mana kedai yang tidak layak mengenakan GST, akan sengaja mengenakan GST kepada pelanggannya untuk pendapatan lebih. Lebihan wang hasil daripada peratusan tambahan GST itu pula tidak dilaporkan kepada kerajaan kerana penguatkuasaan dan pemantauan yang lemah.

Akhirnya, rakyat membayar GST ini bukan untuk pendapatan kerajaan tetapi untuk mengkayakan lagi mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Akibat rasuah yang berleluasa, PAS juga terbayang banyak syarikat yang terlepas daripada hukuman atau denda kerana menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barang yang dikenakan kepada rakyat awam.

Sesungguhnya, dengan masalah penguatkuasaan yang lemah dan juga rasuah yang masih berleluasa, iklim Malaysia masih tidak sesuai untuk pelaksanaan GST, lebih-lebih lagi apabila BN masih berkuasa.

Lihatlah bagaimana kerajaan BN cuba untuk mengurangkan defisit negara. BN tidak mengurangkan perbelanjaan pengurusan, malah perbelanjaan pengurusan meningkat RM15.8 bilion, daripada RM201.9 bilion pada 2013 kepada RM217.7 bilion pada 2014 berbanding peningkatan pendapatan sebanyak RM15.5 bilion daripada RM208.6 bilion pada 2013 kepada RM224.1 bilion pada 2014.

Pengurangan defisit bajet sebenarnya dicapai dengan memotong peruntukan pembangunan sebanyak RM3.2 bilion daripada RM49.7 bilion pada 2013 kepada RM46.5 bilion pada 2014. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga 2015 di mana GST bakal dilaksanakan. Ini bermakna kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan GST untuk meningkatkan pendapatan.

Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST. Pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat. Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja.

%d bloggers like this: