Tag Archive: Grand Blue Wave Hotel


BBQ KDN

Makan malam pada malam minggu diadakan bagi meraikan dua warga Unit Kawalan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri yang berpindah ke tempat lain. Ustaz Haji Abdul Rani Osman yang sebelum ini Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) unit ini berpindah ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Imam Besar menggantikan Ustaz Hj Mohd Ali Sarbini.

Ustaz Haji Abdul Rani kalau tidak salah saya sempat bersama kami sekitar dua tahun. Dalam mesyuarat penyemakan teks al-Quran, beliau sentiasa hadirĀ  bersama-sama kami. Selain itu, turut berpindah ialah saudara Mohd Zahid Mahpol, warga unit ini yang banyak bekerja keras dalam membantu mengedarkan bahan-bahan semakan bagi membolehkan mesyuarat berjalan lancar. Zahid berpindah ke bahagian lain juga dalam KDN setelah 6 tahun di unit ini.

Bersama Pak Yunus Hashim, Zahid sentiasa sibuk memastikan urusan-urusan teknikal seperti memaklumkan perjalanan mesyuarat, mengatur tiket kapal terbang, kenderaan pengangkutan dan sebagainya. Seperti kata Dato’ Sheikh Mohamad Nor Mansur malam itu, kedua-dua mereka telah melakukan sumbangan yang besar dalam unit ini serta banyak membantu ahli lajnah.

Selain semua ahli Lajnah Tashih al-Quran, turut hadir ialah warga Unit Kawalan Teks al-Quran bersama keluarga masing-masing. Terima kasih atas sumbangan Ustaz Rani dan Zahid, serta selamat bertugas di tempat baru masing-masing.


Sepanjang saya menyertai lajnah penyemakan dan pengesahan teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak tahun 2007, rasanya pertemuan kali ini mengumpulkan genap 35 ahli lajnah sekaligus. Sebelum ini kebiasaannya ada sahaja ahli yang berhalangan seperti bertembung dengan program jabatan masing-masing atau menunaikan umrah, haji dan sebagainya.

Terdapat 25 bahan semakan semuanya membabitkan lebih seribu juzu’, kebanyakannya teks mashaf dan bakinya adalah bahan digital. Slot pertama pada malam sabtu di Hotel Grand Blue Wave Shah Alam dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Dato’ Sallehuddin Omar sebelum disambung oleh Ustaz Haji Azhari Othman. Slot-slot berikutnya dipengerusikan oleh Dato’ Sheikh Haji Mohammad Nor Mansur.

Sepanjang pertemuan kali ini juga kami dapat mengemaskini maklumat kerjaya kawan-kawan yang lain. Antaranya kami dimaklumkan pengerusi kami iaitu Dato’ Sheikh Haji Mohammad Nor Mansur sudah pun bersara daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) sejak awal januari lalu. Ustaz Haji Moghni Asrari juga tidak lagi bertugas di Masjid Wilayah Persekutuan dan telah berpindah sebagai Pegawai Tadbir Agama (PTA) di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam slot akhir, mesyuarat bersetuju dan mengamanahkan saya untuk mengendalikan emelgroup untuk ahli-ahli lajnah tashih al-Quran dan juga individu yang berkelayakan bagi membincangkan sebarang perkara berkaitan penjagaan al-Quran dan perkembangan ilmu-ilmu yang berkaitan langsung dengannya, khususnya di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Mesyuarat berakhir tengahari isnin.


%d bloggers like this: