Tag Archive: Gerakan Islam


Sumber :

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 02 Ogos 2016.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah mata rantai Harakah Islah dan Tajdid, kumpulan Islam yang wajib diwujudkan mengikut perintah Al-Quran dan wasiat Rasulullah SAW dengan syarat, rukun dan ciri-ciri yang tetap teguh dan anjal bersama situasi semasa dan setempat.

Keimanannya tetap bersama Islam yang tidak mungkin dipadamkan cahayanya walaupun dihumban sehingga ke dasar bumi. Maka, pendekatan PAS dalam politiknya dari aspek prinsip dan matlamat Islamnya sama dengan semua kumpulan Islam yang ditubuhkan daripada Gerakan Islah dan Tajdid di seluruh dunia Islam, namun terdapat perbezaan masa, tempat, situasi dan realiti, menjadikannya mempunyai perbezaan dengan kumpulan Islam yang ditubuhkan dengan semangat semata-mata, bersama kejahilan tanpa “Tafaqquh Fid Din” sehingga mencalarkan imej Islam yang sangat murni, yang sepatutnya membawa rahmat ke seluruh alam.

Kehebatan Islam, bukan kerana senjata dan peperangan tetapi kerana adil, hikmah dan kematangan yang membawa sejahtera, rahmat, aman dan kematangan.

Berbeza dengan ideologi yang tidak sempurna aspek fitrahnya, tanpa roh dan tidak berwawasan akhirat, tidak seimbang di antara kepentingan individu dan masyarakat.

Tegasnya, parti yang dasarnya, teras dan matlamatnya adalah  Islam, tidak boleh menjadi penumpang dalam perjalanannya tetapi menerima penumpang yang setia dan berakhlak.

Islam mencipta sejarah, ada negeri yang didatangi Islam secara peperangan kerana dipaksa begitu dan rakyatnya juga menjadi mangsa kezaliman kerajaanya sendiri, tetapi  Islam diterima rakyatnya menjadi penyelamat, bukannya musuh atau penjajah, kerana peperangannya mengikut sempadan Fiqh Jihad.

Banyak negeri pula yang menerima Islam kerana pendakwah dan para mujahidin yang mendalami ilmu agama. Hanya dalam tempoh 80 tahun sahaja Islam menguasai sempadan sehingga keperbatasan China meredah Asia Tengah, seterusnya turun Ke Asia Tenggara. Mara ke Utara dan Tengah Afrika dan menyeberang ke Eropah apabila pengaruhnya memerintah Andalusia (Sepanyol dan Portugal).

Adapun kedatangan Islam dirantau ini melalui dakwah para pedagangnya, maka pendekatan dakwah dan politiknya di rantau ini tidak sama dengan kumpulan Islam di negara lain.

Maka, PAS bukan seperti Ikhwan Muslimin di negara Arab, bukan Jamaat Islami di Pakistan, bukan Jemaah Tabligh India, bukan Parti Saadat dan Adalat Turki, jauh sekali seperti Al-Qaeda atau Daish yang berjenamakan jihad tanpa ilmu dan bertafaqquh dalam perkara Islam, sehingga menjadikan semua ajaran Islam itu disalah faham,  tidak dilihat murni dan  mulia, tidak seperti zaman awalnya, sangat dihormati sehingga masuk ke dalam akal manusia dengan cara yang lebih berkesan dan tajam daripada senjata.

Bukannya mengisytiharkan perang dengan fatwa takfirnya tanpa penjelasan dan hujah batas-batas iman dan kufur yang sentiasa wajib berwaspada kerana konsepnya menyelamat manusia seberapa banyaknya, bukannya berperang membunuh sebanyak mungkin, jauh sekali berperang di tengah-tengah umat Islam yang tenggelam dalam kejahilan dalam tanah air dan umatnya sendiri, mengebom tanah air dan umatnya sendiri sehingga ke dalam masjid.

Padahal, Al-Quran dan Sunnah mengharamkan melampau terhadap musuh:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ
(١٩٠ ، البقرة)

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerena sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (Al-Baqarah: ayat 190)

PAS berada di bumi Malaysia di mana umat Islamnya masih terkesan dengan warisan penjajahan, bersama masyarakat majmuk bersama bukan Islam yang semuanya menjadi mangsa penjajahan.

PAS yang ditubuhkan dengan asas akidah Islam dan konsep syariatnya yang sempurna wajib meneruskan pendekatannya mengikut mukjizat ilmu Al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dengan istiqamah bersama akidah dan kaedah yang matang, berdakwah dan berijtihad dalam isu semasa yang berbeza dan berubah dengan mengetahui pendekatan yang boleh diubah, serta ketegasan dalam perkara dasar,  matlamat dunia dan wawasan akhirat yang tetap, haram diubah.

Oleh itu, PAS dengan Islamnya mampu menghadapi adanya perbezaan tempat, keadaan dan masa. Maka, PAS tidak boleh terpengaruh dengan apa-apa sahaja yang tidak selaras dengan situasi dan realiti daripada luarnya dan terus beristiqamah bersama Islamnya. Menjadikan PAS  tidak terpesona dengan Revolusi Mesir 1952 dan terkini ‘Arab Spring’ yang hampir menenggelamkan Ikhwan, PAS juga tidak terpengaruh dengan Revolusi Iran menghadapi kediktatoran Shah Iran yang mengganas  dan Mazhab Syiah Imamiyyah majoriti rakyatnya, PAS tidak terpengaruh dengan keadaan di Turki kerana tenteranya dijadikan pelindung sekularisme yang hanya menentang Islam sahaja supaya memerangi rakyat Turki yang berhasrat menjadikan agama Islam berdaulat di negaranya.

Namun, hubungan perpaduan ummah tetap diteguhkan dengan pangkalan yang berbeza. PAS berada di Malaysia yang masih wujud demokrasinya walaupun menipu dan salah laku yang mewajibkan kebijaksanaan dan kesabaran.

Perlembagaan Malaysia menjadikan Islam agama negara tanpa tafsiran, namun membolehkan perubahan kepada Islam dengan mendapat kuasa politik. Mengamalkan konsep demokrasi yang tetap wujud, bermakna memberi ruang kepada umat Islam menafsirkannya sendiri, bukannya meneruskan tafsiran warisan penjajah, atau mengikut kehendak bukan Islam.

PAS mampu menghadapi semua cabaran, berpengalaman di zaman penjajah, selepas merdeka sanggup menjadi pembangkang, pernah pula di awal 60-an menerima hakikat kemerdekaan serta penubuhan Malaysia dengan berbeza konsep dengan Parti Perikatan yang memerintah dan mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Negara, Sosialis dan lain lagi.

Namun PAS tidak boleh diheret bersama Sukarno bersama Komunis di Indonesia, walaupun pemimpin utamanya Dr Burhanuddin menjadi mangsa tahanan ISA sehingga meninggal dunia.

PAS pernah bersendirian dalam pilihan raya negeri 1959 dan 1960. Bertahaluf bersama Parti Negara di Terengganu 1960 dalam kerajaan negeri dan pilihan raya parlimen dan menyertai Kerajaan Campuran bersama Umno selepas peristiwa 13 Mei 1969, setelah bersendirian dalam PRU, mengadakan kerjasama dengan pihak lain sehingga merungkai gabungan Perikatan kepada bersama menubuhkan Barisan Nasional pada tahun 1974 sehingga 1979.

PAS kemudiannya bersendirian, dan seterusnya bertahaluf bersama Parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1990 dan Barisan Alternatif (1999) dan Pakatan Rakyat (2004).

Dalam semua langkah, PAS tetap beristiqamah di atas Islamnya yang tetap menjadi sempadan yang haram dilangkah tanpa perhitungan akidah, syariat dan akhlaknya.

Risalahnya ialah menyelamatkan manusia bersama Islam yang memimpin dan memerintah negara, sama ada menganut Islam tanpa paksaan atau wajib menerima Islam menjadi pemimpin dan pemandu yang benar-benar menunaikan amanah dan berwawasan yang luas dan jauh, daripada dunia sehingga akhirat, tegas menyampaikan rislahnya, berpandukan arahan Allah:

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ
(٢٩ ، الكهف)

“Dan katakanlah (wahai Muhammad SAW) kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. (Al-Kahfi: ayat 29)

Maka PAS akan boleh bersama dan bekerjasama dengan semua pihak dengan syarat, menerima konsep Islam memimpin dan memerintah, dan PAS juga tetap berpisah dengan semua pihak yang tidak menghormati sempadan ini, walaupun betapa hebat cabarannya dan jauh perjalanannya.

Mereka yang tidak bertahan dalam menghadapi gelombang politik beristiqamah bersama konsep Islamnya, pasti keluar atau dikeluarkan daripada bahtera PAS.

Sebabnya kerana ahli PAS yang setia mehukan dua kemenangan janji Allah:

يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ وَمَسَٰكِنَ طَيِّبَةٗ فِي جَنَّٰتِ عَدۡنٖۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيم *
وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَهَاۖ نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِين
َ (١٢-١٣ ، الصف)

“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “‘Adn”. Itulah kemenangan yang besar(di alam akhirat). Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya di alam dunia ini) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (As-Saff: ayat 12-13)

Kedua-dua kemenangan yang dijanjikan ini hanya kepada sesiapa yang beristiqamah memuliakan  Islam mengatasi segala yang lain. Dinyatakan dalam bai’ah dan perjuangan secara amali oleh ahli jemaah Islam.

Adapun bertahaluf dengan pihak lain dengan berjanji seperti kenyataan seorang bukan Islam kepada Rasulullah SAW:

وَلَكنِّي أُعَاهِدُكَ أنْ لا أُقَاتِلَكَ ، وَلاَ أَكُونَ مَعَ قَومٍ يُقَاتِلُونَكَ .
رياض الصالحين للنووي.
(1/ 80)متفق عليه

“Aku tidak mahu menganut Islam), tetapi aku berjanji tidak menentang mu dan tidak bersama dengan kaum yang menentang mu).”

Terus beristiqamah menyampaikan risalah Islam dengan bersama mereka yang menerima Islam atau tidak bermusuh terhadap Islam, menarik manusia secara model yang ditegaskan Allah:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ  وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ  وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ * وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ
(٣٣-٣٦ ، فصلت)

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Fussilat: ayat 33-36)

PAS wajib menjadikan Rasulullah SAW contoh terbaik yang menafsirkan wahyu tersebut, apabila bersikap memaaf dan mengampun musuhnya; khususnya apabila berkuasa mencapai kemenangan. Caranya sangat berbeza dengan pihak lain yang menjadikan kemenangannya untuk melepas geram dan membalas dendam, sehingga diisytiharkan hasratnya yang melampau sebelum mencapai kemenangan.

Ingatkan diri dengan pesanan Allah:

وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ  ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡكَٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ  وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ
(١٣٣-١٣٥، آل عمران)

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Ali-Imran: ayat 133-135)

Inilah objektif politik Islam yang matang dan sejahtera.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
28 Syawal 1437 / 2 Ogos 2016 – HARAKAHDAILY 2/8/2016

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39261-mendepani-islam-acuan-barat-cabaran-gerakan-islam-siri-1

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM | 02 Januari 2016.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al Kahfi ayat 103:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا * الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا * أُولَٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا * ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا *

“…Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak..” (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan..”

Idea serangan pemikiran “Ghazwatul Fikri” dilancarkan terhadap umat Islam bermula kurun ke-19M. Pengalaman Eropah sehingga tercetusnya pemikiran sekularisme dijadikan modal untuk memesongkan umat Islam daripada ajaran agama mereka.

Sekularisme adalah pemikiran bukan menolak agama keseluruhannya tetapi pemikiran menerima sebahagian agama dan menolak sebahagian yang lainnya. Idea sekularisme inilah diserapkan ke dalam pemikiran umat Islam yang akhirnya empayar Islam berjaya diruntuhkan dan umat Islam berjaya dijauhkan daripada ajaran Islam yang sebenar.

Kesan daripada dakyah sekularisme ini maka kedengaran kata-kata dan ucapan daripada mulut orang Islam dan juga penulisan mereka sendiri seperti ” tiada kaitan Islam dan urusan duniawi”, “tiada campur urusan Islam dan politik”, “undang-undang tidak bertamadun dan barbarik” , dan pelbagai lagi ungkapan-ungkapan yang mengecilkan fungsi agama Islam. Kejayaan terbesar serangan pemikiran terhadap umat Islam ialah runtuhnya empayar Islam terakhir iaitu Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah pada tahun 1917 dan kejayaan memesongkan aqidah umat Islam dengan penerimaan idea sekular dalam kehidupan mereka.

Kini idea sekularisme tidak dapat lagi menjadi senjata ampuh musuh Islam, umat Islam kembali sedar akan bahaya sekularisme yang merosakan aqidah dan ajaran Islam. Gerakan Islam muncul satu persatu di setiap negara umat Islam bagi menyedarkan dan membangkitkan semula Umat Islam yang berada dalam kebingungan serta kealpaan disebabkan peninggalan mereka daripada ajaran Islam sebenar.

Kemunculan parti-parti dan gerakan Islam di medan siyasah dan dakwah membawa mesej jelas bahawa Islam bukan sekadar ajaran yang terperap dalam masjid dan ibadah semata-mata tetapi merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Umat Islam mula disedarkan bahawa Islam adalah agama yang syumul dan memiliki sistem yang lengkap dalam aspek ekonomi, sosial dan ekonomi. Maka mulai kedengaran suara dan pandangan umat Islam untuk mengembalikan sistem perundangan Islam dan juga aspek lain daripada Islam.

Strategi sekularisme perlu ditukar dengan satu lagi idea yang lebih halus dan licik. Terhasil satu lagi serangan yang baru iaitu Liberalisme atau Islam Liberal. Islam Liberal atau Liberlisme adalah idea bukan penolakan agama tetapi idea pembebasan daripada sumber agama iaitu wahyu dan akal serta lojik menjadi panduan muktamad dalam penentuan sesuatu hukum dan keputusan.

Idea liberalisme atau Islam Liberal adalah lebih beracun daripada sekularisme. Ini adalah kerana Sekularisme adalah prinsip yang jelas difahami bercanggah dengan Islam. Adapun liberal dan Islam Liberal adalah prinsip yang tidak menolak Islam tetapi ia adalah prinsip yang membebaskan Islam daripada hanya terikat kepada al Quran dan As Sunnah dengan menjadikan sumber nas akal dan lojik mengatasi kedua-duanya.

Lantaran daripada idea liberalisme inilah lahirnya pandangan seperti penafsiran semula agama, penafsiran semula kitab-kitab tafsir, penolakan fungsi dan peranan hadis, penolakan pandangan para alim ulamak, pengkajian semula hukum-hukum Islam yang qati’e seperti arak, judi, hukum menutup aurat dan selainnya.

Begitu juga pandangan dibolehkan penangguhan hukum hudud dengan alasan masalah ekonomi, tidak kondusif dan pelbagai hujah lagi yang bersifat lojik semata-mata untuk mengikiskan peranan agama Islam daripada dimartabatkan dalam masyarakat dan negara. Mereka yang berfikiran liberalisme ini menafikan bahawa mereka menolak hukum agama, tetapi mereka mencipta pelbagai hujah dan alasan lojik untuk menolak segala hukum agama sedaya mereka mampu. Pandangan mereka seperti menolak perlaksanaan hukum hudud sebagai contoh dikemukan hujah oleh mereka dengan mengambil kisah penangguhan hukum hudud pada zaman Saidina Umar r.a. dijadikan sandaran mereka. Ini adalah sikap ketidaktanggungjawaban mereka dalam ilmu Islam sehingga sanggup menyelewengkan fakta sebenar.

Liberalisme menjadikan asas kepada prinsip Islam yang mereka gunakannya bagi menggantikan Sekularisme yang sudah tidak lagi relevan bagi menghadapi kebangkitan Islam dan umatnya. Liberalisme yang berpaksikan hujah lojik akal semata-mata tetapi berlapikkan agama adalah senjata terkini musuh Islam yang disuntik dalam pemikiran umat Islam melalui penulisan orientalis, syarahan atas nama intelektual mencari kelemahan Islam, pengkaderan tokoh Islam Liberal dan lain-lain lagi. Hasilnya umat Islam semakin berpecah dan tidak sehaluan fikrah sekaligus mewujudkan lagi musuh penghalang kepada kebangkitan Islam.

Mutakhirnya seperti isu undang-undang khalwat yang dipertikaikan oleh sebahagian pihak atas kepentingan hak peribadi adalah rentetan kesan pemikiran liberalisme Islam. Sebahagian daripada orang Islam sendiri termakan dengan hujah liberalisasi agama barat dan mengambil prinsip barat dalam beragama. Apabila menganggap bahawa agama hanyalah urusan peribadi yang tiada kena mengena dengan maslahah masyarakat dan negara.

Prinsip perjuangan hak asasi barat diambil mentah-mentah tanpa tapisan dan nilaian mengikut acuan Islam. Sejarah mencatatkan bahawa perjuangan hak asasi barat sebenarnya adalah ditimbulkan oleh golongan orang kaya yang hidup bermewah-mewahan tanpa batasan undang-undang dan agama. Cetusan idea ini ialah semata-mata untuk mempertahankan cara hidup mereka daripada dirampas dek kerana kerisauan perubahan sistem kerajaan dan dasar negara yang boleh bertukar-tukar.

Liberalisme Islam turut meresapi parti politik di Malaysia apatahlagi parti berkenaan mendakwa bahawa dia juga parti Islam. Mereka turut menyokong idea-idea liberalisasi agama ini dan yang terbarunya menyokong usaha melucutkan undang-undang khalwat dalam sistem perundangan Mahkamah Syariah. Bahkan sebahagian gerakan Islam di dunia tidak terkecuali daripada diresapi dengan pemikiran liberalisme Islam atas hambatan untuk mendapatkan kemenangan dengan segera dan memperolehi sokongan politik serta demi menjaga kepentingan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika dan sekutunya.

Berhati-hatilah kita dengan kepandaian dan kepintaran musuh-musuh Islam. Mereka mengkaji dan meneliti ilmu-ilmu dan sejarah Islam lalu diekploitasikan dengan tujuan menyesatkan dan merosakan pegangan Umat Islam daripada ajaran Islam.

Catatan
Alfaqir Ila Robbihi
Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak Pas Selangor
Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Selangor

HARAKAHDAILY 2/1/2016

Sumber : http://www.tarbawi.my/2014/01/media-baru-peranan-dan-cabarannya.html

Pengenalan 1 : Media baru adalah istilah yang dimaksudkan untuk mencakup kemunculan digital, komputer, atau jaringan teknologi informasi dan komunikasi di akhir abad ke-20. Sebahagian besar teknologi yang digambarkan sebagai ‘media baru’ adalah digital, seringkali memiliki karakteristik dapat dimanipulasi, bersifat jaringan, padat, mampat, interaktif dan tidak memihak. Beberapa contoh adalah seperti internet, website, blog, facebook, computer, multimedia, permainan komputer, CD-ROMS, dan DVD. Media baru bukanlah television, filem, majalah, buku atau publikasi berasaskan kertas. (sumber: Wikipedia)

Pengenalan 2 : Gerakan Islam adalah istilah yang dimaksudkan bagi satu amal Islami berterusan yang bersifat massa, berkumpulan dan tersusun demi mengembalikan hak agama Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh kehidupan. (Dr. Yusuf al Qaradhawi)

Pengenalan 3 : Pernah satu ketika dahulu, khalayak pengguna facebook agak tergamam, kecewa dan keliru apabila dikhabarkan bahawa pengasas facebook, Mark Zuckerberg akan menutup media jaringan sosial paling popular itu pada pertengahan Mac 2011 nanti. Khabar angin yang sentiasa mewarnai alam media baru itu mungkin sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk melihat sejauh manakah kebergantungan masyarakat dunia terhadap peranan media baru di dalam kehidupan mereka.

Ini adalah satu contoh keadaan kalut yang menggambarkan betapa besarnya peranan media baru dalam mencorak pemikiran dan pergerakan manusia moden hari ini. Hakikatnya, seluruh dunia begitu terkesan dengan peranan media baru terutama di dalam menggerakkan golongan‘middle class’ untuk merobohkan tembok penguasaan kelas atasan/ pemerintah di dalam menentukan politik dan hala tuju sesebuah negara.

Sebagaimana media baru telah menjadi senjata ampuh yang mencabar dan mengancam kerajaan dan anti-establishment, ia juga turut mengundang isu yang sama terhadap gerakan Islam yang berada di tengah-tengah medan pertarungan merebut teraju kepimpinan manusia.

Kertas ini ditulis secara sepintas untuk melihat bagaimanakah peranan dan cabaran media baru terhadap oleh gerakan Islam dan langkah-langkah yang perlu diambil demi memastikan media baru bertindak sebagai senjata yang menghunus untuk mereka, bukan ke atas mereka.

Cabaran Media Baru Terhadap Gerakan Islam

Berikut adalah beberapa cabaran yang bersifat ancaman yang akan memberikan kesan buruk dan negatif terhadap misi dan momentum gerakan Islam di persada masyarakat. Ia juga turut memalit pandangan negatif terhadap para pekerja gerakan Islam;

Lahirnya kelompok muslim yang merajakan kefahaman liberal dan kebebasan hidup mengikut perspektif barat. Ia adalah kesan daripada sekurang-kurangnya dua faktor :

  1. Rasa bosan dan ingin bebas daripada budaya politik mengongkong pemerintah.
  2. Rasa kagum dan terima kasih terhadap dunia barat yang mempromosikan hak dan kebebasan hidup melalui media baru.

Lahirnya kelompok Muslim yang secara bebas, terbuka dan tidak terkawal di dalam mengkritik, bahkan mempersendakan perkara-perkara pokok dan suci di dalam agama. Fenomena kotor ini begitu mempengaruhi tahap sensitiviti umat Islam yang semakin rendah, terutama di kalangan golongan muda dan pertengahan yang begitu terpengaruh dengan budaya baru canangan media baru tersebut.

Menambahkan kekeliruan masyarakat non-Muslim terhadap agama Islam dan para pejuangnya, terutama pengenalan mereka terhadap agama Islam yang disalah ertikan. Ini juga disebabkan oleh dua faktor utama;

  1. Mereka lebih rapat kepada rakan-rakan Muslim berfahaman liberal yang salah.
  2. Mereka lebih terdedah kepada maklumat-maklumat mengenai Islam daripada sumber-sumber yang salah.

Hilangnya populariti terhadap media baru dan alternatif Islam disebabkan paparan dan hasilan‘kurang menyengat’ oleh pengamal media baru muslim. Fenomena ini begitu dilihat apabila portal-portal berita faham liberal jauh mendahului saingannya dari portal-portal berita bersifat Islamik.

Pattern ‘sentiasa terkebelakang’ atau ‘memegang ekor kerbau’ yang sinonim dengan umat Islam pastinya menambah burukkan lagi persepsi massa terhadap keupayaan Islam untuk memimpin.

Hilangnya minat, pengaruh dan sokongan golongan muda terhadap gerakan Islam dan programnya disebabkan minat mendalam mereka terhadap media baru yang begitu dikuasai kumpulan bukan Islamik. Ini dapat dikesan melalui kurangnya populariti ikon dan qudwah islami di mata golongan muda hari ini.

Budaya akhlak yang agak liar dan buruk yang mewarnai amalan interaksi di dalam media baru akibat pengaruh budaya kebebasan bersuara acuan barat melaluinya. Budaya tidak berakhlak mulia ini akhirnya telah menimbulkan polemik, caci maki dan fitnah yang boleh memporak perandakan institusi kehidupan masyarakat Islam.

Kebocoran maklumat dan kerahsiaan dalaman gerakan Islam yang begitu mudah, cepat dan meluas. Walaupun fenomena ini melampaui tidak hanya ke atas gerakan Islam sahaja, bahkan kepada seluruh pertubuhan dan kerajaan (contohnya fenomena Wikileaks), tetapi ia telah memberi kesan yang besar kepada keutuhan gerakan Islam yang mementingkan etika dan adab kerahsiaan dalam jamaah.

Kegagalan kumpulan Islam untuk mengelak diri atau mengawal diri daripada mendedahkan perselisihan di antara mereka melalui media baru, samada ianya bersifat perselisihan individu di dalam jamaah ataupun di antara kumpulan yang berlainan. Jika sebelum ini perselisihan dalaman hanya pecah di dalam dan mudah diuruskan, tetapi kini ia dilihat agak sukar akibat ‘kegatalan’ pengamal media baru untuk sentiasa mendahului di dalam penyampaian berita dan maklumat sensasi.

Goncangnya ‘keperibadian Muslim’ gerakan Islam dengan lahirnya ahli-ahli yang agak longgar ikatannya dengan adab dan akhlak pekerja gerakan Islam. Lahirnya, melalui media baru, budaya mengkritik kepimpinan yang agak melampau, hilangnya budaya thiqah di antara pemimpin dan anak buah, tersisihnya keluhuran budaya wala’ dan taat dan melebarnya jurang perselisihan di antara individu jamaah pasti akan mengakibatkan binaan Islami yang semakin merapuh di dalam gerakan Islam.

Cabaran-cabaran yang bersifat ancaman dari media baru ke atas gerakan Islam sebagaimana di atas menunjukkan betapa besarnya peranan media baru dan hubungannya di dalam memastikan momentum gerakan Islam di dalam menguasai massa dan seterusnya mencapai misi menerajui kepimpinan negara.

Justeru, adalah menjadi tuntutan yang begitu mendesak ke atas gerakan Islam dan pekerjanya untuk menutupi segala kekurangan dan kelemahan yang dikesan akibat kelahiran media baru, seterusnya menjadikannya pula sebagai senjata ampuh bagi gerakan Islam di dalam meraih pengaruh dan sokongan masyarakat terhadap mereka.

Gerakan Islam Dan Peranan Media Baru

Berikut adalah beberapa cadangan yang menjadi cabaran positif untuk gerakan Islam yang perlu dinilai, seterusnya dilaksanakan demi memanfaatkan kemudahan teknologi media baru demi kebaikan dan kekuatan Gerakan Islam.

Melahirkan atau memanfaatkan tenaga mahir daripada kalangan aktivis gerakan Islam yang berupaya mengurus dan mencipta sesuatu melalui media baru yang mampu menarik masyarakat untuk mendekati dan memahami Islam, seterusnya mendapat sokongan mereka.

Mewujudkan beberapa tapak di laman sesawang yang sempurna dan menarik untuk kunjungan ramai para pengguna media baru, terutama generasi muda di dalam mendapatkan maklumat tepat, terkini, alternatif, interaktif dan menarik. Ini pastinya menuntut komitmen dan sumber kewangan yang besar, tetapi itu sepatutnya tidak boleh menjadi halangan yang besar kepada sebuah gerakan yang masih ketinggalan di dalam bidang penting ini.

Mengendalikan Facebook atau twitter bersifat portal berita yang sentiasa dikemaskini dengan maklumat-maklumat menarik dalam genre dipelbagaikan. Juga, kempen-kempen yang berterusan untuk menarik jumlah ‘fans’ yang mencecah ratusan ribu.

Malaysia hendaklah diperkasakan dengan pemberitaan yang segera dan pelbagai. Ini memandangkan minat dan ‘kegilaan’ yang begitu ketara di kalangan anak muda terhadap penggunaan kedua-dua tapak tersebut.

Sentiasa mampu menyediakan jawaban yang segera daripada sudut pandang Islam terhadap segala isu msyarakat dan negara yang sentiasa dinantikan. Maka media baru akan menjadi instrument dakwah yang cukup berkesan.

Tenaga amilin (sepenuh masa) yang khusus untuk menumpukan sepenuh masanya untuk mengendalikan projek media baru.

Menyebarkan maklumat dan aktiviti lapangan gerakan Islam secara berterusan dan menarik. Di antara aktiviti yang perlu ditonjolkan adalah yang bersifat kebajikan dan hiburan Islam, selain aktiviti dan pendirian politik Islam.

  • Sentiasa menonjolkan akhlak Islam yang konsisten di dalam penyebaran maklumat dengan menjauhi penyebaran fitnah, penghinaan terhadap individu, humor melampau dan sebagainya.
  • Sentiasa menyebarkan akhlak Islam dan berpesan agar pengguna media baru terdidik dengan budaya Islam yang mementingkan akhlak yang cemerlang.

Dengan melaksanakan tuntutan di atas ke arah penggunaan media baru secara berkesan oleh gerakan Islam, segala ancaman dan serangan ke atas Islam akan dapat diatasi dengan lebih baik dan terkawal. Ia menjadi cabaran besar ke atas aktivis gerakan Islam untuk menyempurnakan kewajiban tersebut yang menuntut pengorbanan harta, tenaga dan pemikiran.

Penutup

Peranan besar media baru di dalam mencorak pemikiran masyarakat haruslah dilihat secara positif oleh gerakan Islam. Kita terpaksa mendepani kemajuan sains dan teknologi maklumat secara lebih berani dan bersedia. Di hujungnya, kita berharap untuk melihat media baru akan menjadi senjata utama memartabatkan perjuangan gerakan Islam untuk mengembalikan hak Islam sebagai ugama rasmi dari langit untuk menyusun kehidupan manusia, khalifah Allah di bumi ini.

Media baru mestilah dianggap senjata Allah untuk khalifah-Nya di medan juang.

PENULIS : Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz dilahirkan pada 22 Mac 1970. Pernah menerima pendidikan di Madrasah Darul Anuar, Maahad Muhammadi lil Banin, Jami’ah Nadwatul Ulama (Luknow, India), Darul Uloom (Deoband) dan Universiti Al Azhar (Kaherah, Mesir). Di dalam PAS menyandang jawatan tertinggi di dalam pemuda sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat.

%d bloggers like this: