“Lebih 30 gerai semuanya di sini”. Kata seorang makcik, salah seorang penjual di gerai yang saya tanya beberapa hari lalu. “Kami berjualan di sini lebih sepuluh tahun, ada yang lain barangkali lebih 15 atau 20 tahun”, katanya. Ada yang mendakwa berjualan lebih dari 20 tahun.

Gerai-gerai tepi jalan di Jalan JKR Putatan, berdekatan sederet kedai ‘Putatan Lama’ (menurut sebutan orang awam)  sudah dirobohkan beberapa hari lalu bagi memberi laluan kepada pelebaran jalan. Saya sudah mendengar ura-ura perobohan ini sebulan dua lalu dan mereka khabarnya hendak dipindahkan ke kawasan lain. Sejauh mana cerita lanjutnya, saya kurang maklum.

Putatan mengalami perkembangan pesat yang memberansangkan beberapa tahun kebelakangan sehingga menyebabkan kesesakan teruk khususnya pada waktu puncak pagi dan petang. Terdapat beberapa hypermarket seperti Giant dan Servay selain beberapa premis utama di Putatan seperti Supermarket Standard, Kamdar dan lain-lain. Beberapa buah bank juga menempatkan cawangan atau sekurang-kurangnya mesin ATM mereka. Antaranya Bank Islam, CIMB, Maybank dan BSN. Projek yang sedang membangun sekarang ialah projek perumahan di belakang hypermarket Giant yang menempatkan lebih seribu unit.

Sementara itu difahamkan, gerai-gerai berkenaan yang menjual makanan, minuman, buah-buahan dan sayuran itu didirikan di atas kawasan JKR. Buat sementara mereka masih diberikan kebenaran sementara berjualan di tapak berhampiran sehingga satu masa yang akan dimaklumkan kelak.