Ketika hadir untuk kuliah maghrib selasa lalu di masjid ini, saya sudah nampak gelanggang bola keranjang yang berada di hadapan masjid nampaknya diaspal baru.

Rupanya, ada satu projek kerajaan untuk membina gelanggang futsal betul-betul di hadapan masjid. Minggu lalu itu juga sudah ada jamaah di sana yang menceritakan bantahan jamaah masjid tetapi saya tidak begitu mengambil berat cerita mereka.

Pada mulanya, saya juga beranggapan ia satu kelebihan buat masjid kerana peraturan boleh dikenakan kepada pengguna gelanggang futsal agar menghentikan seketika pada waktu solat dan mereka dikehendaki solat berjamaah.

Namun apabila saya bertemu dengan beberapa orang kuat JK Masjid, rupanya bantahan mereka berasas.

Kini, separuh kawasan parkir kenderaan sudah terhalang dengan pembinaan gelanggang ini. Khususnya untuk solat Jumaat, jamaah yang datang berkenderaan bakal terjejas.

Kata mereka, kalau pun gelanggang futsal hendak dibina, carilah kawasan lain yang lebih sesuai.

Lagipun kata mereka, kalaupun peraturan menghormati waktu solat dibuat, ia mungkin hanya kekal di atas kertas. Budaya main futsal kadang-kadang agak melampau.

Kalau dulu-dulu anak-anak muda main bola sampai waktu maghrib, kini main bola sampai tengah malam. Percampuran lelaki perempuan main bola sama-sama sudah dianggap biasa. Saya tidak terbayang kalau ia berlaku di hadapan masjid.

Keadaan yang aman sebelum ini untuk beribadah, sudah sedikit terganggu dengan umpat mengumpat. Sensitiviti beribadah dan beragama sedikit terusik dengan perbuatan mereka yang pentingkan diri.

Surat bantahan kepada pengarah Jabatan Belia dan Sukan khabarnya sudah dibuat dan bakal dihantar dalam masa terdekat. Dalam perbincangan yang panas minggu lalu dengan kontraktor yang juga ahli JKKK bersama jamaah masjid, mereka berharap ada penyelesaian yang tuntas dapat diputuskan untuk kebaikan semua.

Saya ada cadangkan agar solat hajat dibuat, memohon kepada Allah SWT memberi ketenangan dalam beribadah, ketenteraman dalam bermasyarakat.