Tag Archive: Gelandangan


GELANDANGAN 10

Foto terakhir Raynold sebelum dibawa ke hospital

Kali terakhir kami bertemu dengan Raynold ialah pada 11 Februari 2012, ketika kami berziarah ke lokasi tempat tidur mereka dekat Dewan Masyarakat Kota Kinabalu. Linda memaklumkan kami situasi Raynold yang agak teruk. Punggungnya berdarah, matanya mulai kuning, dia tidak boleh bangun berjalan, hanya sekadar duduk di himpunan batu bata yang menjadi tempat pembaringannya.

Untuk rekod, Raynold seorang muslim berumur 34 tahun berasal dari Kota Belud adalah penghidap HIV sejak 8 tahun lalu dan sudah menginap di sini 6 tahun lalu. Raynold pernah mengaku kepada kami dia satu ketika dahulu adalah penagih dadah dan berkongsi jarum suntikan dengan kawan-kawannya. Awal perkenalan kami, dia masih berjalan untuk jarak yang sederhana, tetapi akhir-akhir ini dia semakin tidak larat berjalan. Perjalanan sejauh 100 meter beliau kena berhenti 3 kali kerana keletihan.

Pada malam itu – 11 Februari – kami mengambil keputusan memanggil van ambulan untuk menahan Raynold kerana melihat keadaannya yang agak menyedihkan. Jam 1.30 pagi 12 Februari  van ambulan dengan skuadnya mengambil Raynold di lokasi yang dimaksudkan dan membawanya ke Hospital Lingzi seperti yang kami dimaklumkan. Itulah pertemuan kami yang terakhir kerana kami tidak dapat menziarahi beliau di wad hospital. Kami tidak tahu langsung perkembangannya sehinggalah 2 malam lepas.

Linda, salah seorang penghuni memaklumkan bahawa Raynold sudah kembali kerahmatullah pada 15 Februari lalu, iaitu kira-kira 4 hari selepas pertemuan kami yang terakhir. Itu pun hampir sebulan, janazahnya tidak dituntut kerana sebab yang kami tidak ketahui. Baru beberapa hari lepas janazahnya dibawa balik ke Kota Belud dan diuruskan secara Islam.

Sesuatu yang saya akan ingati ialah pada akhir hayatnya Raynold pernah meminta kain bersih untuk beliau cuba sembahyang. Pernah juga kami melihat beliau membaca sebuah buku berkaitan sembahyang. Semoga keluarganya memaafkannya dan Allah mengampunkan dosa-dosanya.

Foto bawah ialah antara tempat Raynold melelapkan mata selama 6 tahun.

GELANDANGAN 9

Sayu hati melihat seorang gelandangan yang pada mulanya tidur, apabila kami datang mengunjukkan sebungkus makanan, dengan segeranya dia makan dengan lahapnya. Allahu rabbi, laparnya dia. Tidak banyak cakap, tidak lagi menoleh kiri-kanan. Pada hari lain, seorang gelandangan ditanya sama ada sudah makan atau belum, dia mengangguk sudah. Kami tinggalkan juga di sisinya sebungkus makanan dan sebotol air. Baru beberapa saat kami pergi dan berpusing, dengan pantasnya dia membuka bungkusan berkenaan dan makan bersama seorang kawannya.

Setiap malam jumaat dan sabtu ziarah, kami menyediakan 15 bungkus makanan dan minuman. Sebenarnya gelandangan regular hanya sekitar 11-12 orang, sementara bakinya adalah gelandangan yang sering bertukar-tukar. Daripada jumlah itu, kebanyakannya adalah beragama Islam kecuali 2-3 orang yang turut kami santuni. Yang beragama Islam, sebahagiannya pula adalah muallaf berdasarkan sembang-sembang kami dengan mereka.

Justeru, dalam foto-foto kali ini saya merakamkan tatto-tatto mereka pula dan foto-foto lain sebagai perkongsian.

GELANDANGAN 8

Baru saja saya menulis dalam status facebook memohon simpati rakan-rakan agar menghulurkan sumbangan untuk kami meneruskan kerja-kerja memberi sumbangan kepada gelandangan, dalam tempoh sekitar 48 jam saya dan kawan-kawan menerima sumbangan sekitar hampir RM2000. Kami membuat sedikit kira-kira, belanja itu mencukupi sehingga akhir bulan mei. Insya Allah.

Bukan sekali saya mendengar ucapan syukur dan terima kasih daripada pihak gelandangan ini. Bagi kami hanyalah sekadar menyampaikan sumbangan umat Islam yang bermurah hati. Ia kerja tali menali – ada orang yang menzahirkan idea, ada penyumbang, ada yang memasak (sama ada beli atau masak sendiri) dan ada yang menghantar. Semoga semuanya diganjari sesuatu daripada Allah SWT.

Saya sebutkan kepada mereka, bahawa inilah sekadar yang kami mampu membantu.  Pihak yang lebih berkemampuan sewajarnya juga tampil contohnya memberikan pekerjaan sehingga mereka boleh menampung kehidupan dengan lebih baik. Rata-rata gelandangan kami temui adalah orang baik daripada segi kemanusiaannya. Mereka tidak mencuri, tidak merogol, bahkan ada yang bekerja mengumpul tin dan botol kosong untuk dijual semula.

Seorang pakcik muallaf yang sering mabuk dahulunya – barangkali dengan sebab kejahilannya sehingga mengatakan hukum minum montoku itu hanya makruh saja, selalu saja saya nasihatkan dua perkara – berhenti minum arak dan pergi sembahyang jumaat. Apabila bertemu kebelakangan ini, saya tanya lagi : “Ada minum montoku lagi?” “Tidak sudah”, katanya. Saya tidak tahu hari-hari lain, tapi jika bertemu pada jumaat malam sabtu dan sabtu malam ahad, sudah tiada lagi bau-bau arak dekat dengannya.

Saya pohon kepada semua agar mendoakan mereka berubah kepada lebih baik. Kawan-kawan yang turut berziarah pada peringkat awal, saya cadangkan hanya sekadar menyantuni mereka, tidak dahulu menegur kesalahan dalam amalan beragama mereka. Yang penting mereka disantuni dan ditawan hati-hati mereka. Selepas beberapa minggu, baru sedikit demi sedikit nasihat-nasihat diberikan dan nampaknya mereka boleh menerima.

Saya mendengar permintaan salah seorang gelandangan yang kami agak biasa dengannya, katanya : “Ustaz, bolehkah kami berjumpa dengan orang yang selalu bersedekah dengan kami?” Saya sekadar tersenyum saja, dan akan mengikhtiarkan sesuatu acara istimewa untuk mereka satu hari nanti, seperti cadangan Poknik untuk mengadakan hari keluarga bersama-sama mereka dan para penyumbang. Insya Allah.

Tuan Haji Ambo pula mencadangkan skuad kami mengenakan satu pakaian atau uniform seragam tertentu agar nampak syiarnya dan lebih kemas.

GELANDANGAN 7

Mulanya malam itu saya tidak berhajat untuk turun, kerana baru saja habis kelas sekitar 11 malam. Sepanjang program ziarah gelandangan berlangsung, baru 2 kali saya ponteng. Sekali kerana saya terlalu letih dan kali kedua kerana saya ke Sipitang untuk program ceramah malam maulid tempohari.

Malam sabtu lepas seakan saya hendak ponteng lagi. Saya bersama teman-teman kuliah sedang minum-minum seusai kelas di restoran Lengkuas, Grace Square. Poknik mencadangkan saya berehat saja sementara dia dan sahabat-sahabat lain meneruskan operasi malam itu. Sebenarnya mereka sudah bergerak pun.

Ketika mereka berada di lokasi terakhir menemui gelandangan, Poknik menghubungi saya, meminta saya segera ke lokasi ketika itu juga. Ada musibah yang menimpa dua orang gelandangan ini. Saya tinggalkan teman-teman lain yang sedang menghabiskan sisa-sisa minuman mereka di restoran dan terus meluncur laju, sedangkan lebuhraya di Kota Kinabalu semakin lengang, masa ketika itu sudah melepasi 12 tengah malam.

Wandis, yang sudah berumur 50an, (foto atas) memberitahu beliau disimbah dengan kuah sup ketika beliau sedang tidur di satu lokasi kira-kira dua malam sebelum kami menemuinya. Kami dimaklumkan yang beliau sedang berselisih faham dengan rakannya sebelum itu. Bahagian dada dan separuh muka – dari bawah mata ke bawah melecur terkena kuah sup yang sedang menggelegak panas. Mujur mata tidak terkena. Saya memujuknya hendak membawa beliau ke hospital khususnya ke wad kecemasan tapi beliau enggan. Akhirnya saya minta sahabat kami, Bostaman yang kebetulan bekerja di farmasi agar mengikhtiarkan ubat tertentu dan diberi kepada Wandis.

Kes kedua, Raynold yang pernah saya ceritakan penghidap HIV nampaknya semakin lemah. Kaki dan tangannya mulai membengkak. Tubuhnya semakin cengkung. Punggungnya berdarah. Kalau bangun berjalan, dia akan tumbang. Tapi kami masih boleh berinteraksi walaupun kalimahnya semakin sukar difahami. Saya minta Raynold dan dibantu oleh Linda agar mengemaskan diri dan pakaian seadanya.

Saya sendiri mahu membawa Raynold ke hospital tapi segera ditegah oleh Poknik. Katanya, punggung Raynold yang sudah mulai luka-luka dan berdarah, sementalahan beliau pula penghidap HIV, justeru amat berbahaya. Kami tinggalkan Raynold dan teman-temannya, untuk kami ke wad kecemasan Hospital Queen Elizabeth. Masa itu sudah melewati jam 1 pagi. Hasil perbincangan kami, pihak hospital segera ke lokasi dengan ambulans.

Kami pulang dan ketika jam 1.30 pagi Poknik memaklumkan, staf hospital menghubunginya, memaklumkan mereka dalam perjalanan membawa Raynold.

%d bloggers like this: