Tag Archive: Gelandangan di Kota Kinabalu


GELANDANGAN 6

Apakah ini?

Projek ziarah dan sebungkus makanan untuk gelandangan berterusan walaupun kehadiran turun naik. Sekurang-kurang kehadiran, adalah berdua. Kadang-kadang Cikgu Nik berhalangan kerana kurang sihat atau ada program lain. Alhamdulillah, mujur Bostaman pekerja Farmasi Aslam sudi bersama. Kalau saya jadi pemandu, dia yang akan turun menyampaikan sebungkus makanan itu.

Ada masa juga kami lebih ramai, kadang-kadang sampai 2-3 kereta penuh. Saya jadi bimbang pula kalau terlalu ramai, kerana mungkin puak gelandangan kurang selesa dengan kehadiran yang terlalu ramai itu. Tapi, jika begitu keadaannya, saya cadangkan tidak semua merapati gelandangan sama ada mereka berkumpulan apatah lagi gelandangan yang sendirian. Mungkin ada situasi hanya beberapa orang saja yang turun dan melayan sebentar.

Bukan semua gelandangan ini dapat kami rapati atau ketahui cerita mereka. Pakcik yang ‘tinggal’ di hentian teksi Kampung Air misalnya sentiasa terbaring dan tidur apabila kami sampai. Paling awal kami tiba sekitar jam 10.30 malam, paling lewat sekitar jam 12.30 malam. Belum pernah kami bertemu beliau dalam keadaan duduk atau berdiri. Jadi kami tidak tahu siapa namanya, dari mana asalnya, sudah berapa lama bermastautin di situ, dan soalan-soalan lain.

Seorang gelandangan lagi di sebuah bangunan yang berdekatan dengan mahkamah juga tidak pernah kami berbual dengannya. Tidur memanjang. Bersama-samanya ialah seorang sekuriti yang menjaga bangunan tersebut. Tapi asal saja kami jumpa mereka berdua, sekuriti itu juga tidur sama. Padahal kerjanya jaga bangunan. Kebanyakan keadaan dia tidak sedar sebungkus makanan yang diletakkan oleh Bostaman di sisinya.

Hari ini saya ingin kongsikan foto sebahagian tempat penginapan mereka. Saya katakan mereka tinggal di hotel seribu bintang. Kerana tempat tinggal mereka beratapkan langit yang dihiasi oleh ribuan atau jutaan bintang yang menghiasi pemandangan mereka pada waktu malam.

GELANDANGAN 5

Selain menziarahi gelandangan lama dan baru, kami turut masih mencari Buchui dan Bibi, adik beradik yang bergelandangan berdekatan KFC Bandaran Berjaya tempohari. Adakalanya kami bertemu dengan mereka, dan adakalanya langsung tidak. Beberapa malam lepas kami nampak Buchui dan Bibi, bersama mereka seorang lagi kanak-kanak, saya difahamkan abang mereka. (Saya lupa namanya).

Barangkali terkejut dengan kedatangan kami yang lebih ramai kali ini, pada mulanya mereka melarikan diri. Apabila saya memanggil Buchui dan Bibi dan mereka nampak saya, mereka berhenti. Dia melihat saya : “Oh, ini pakcik hari tu!” Kata Buchui. Nampaknya malam itu mereka belum makan lagi. Kebetulan kami ada 3 bungkus makanan lagi. Cukuplah untuk mereka 3 beradik.

Baru saya mereka menerima 3 bungkus makanan itu, tiba-tiba saja muncul seorang wanita cantik dan seksi menghulur sekotak KFC berisi enam ketul ayam yang besar-besar. Wah, rezeki mereka. Saya kira mungkin wanita itu dahulu yang nampak 3 beradik ini dan kemudian masuk untuk membeli KFC di dalam. Kami sampai kemudian tapi sebelum wanita berkenaan keluar, kami terlebih dahulu memberikan makanan kepada 3 beradik ini. Seronok melihat anak-anak ini makan dengan berselera sekali.

Jelas sekali, soal berkebajikan melampaui batas agama dan perkauman. Zahir kami melihat perempuan seksi tadinya bukan beragama Islam, tetapi begitulah keadaannya manusia yang mempunyai perasaan biasanya cenderung untuk melakukan kebaikan kepada orang lain. Ketika itu saya teringat kisah-kisah yang Nabi SAW ceritakan tentang seorang perempuan pelacur yang diampunkan oleh Allah kerana memberi minuman kepada seekor anjing yang kehausan. Begitu juga kisah seorang yang dimasukkan ke dalam neraka kerana menyiksa kucing. Sungguh Allah Maha Adil.

Walaupun dalam Islam kebaikan seseorang yang bukan Islam tidak dinilai pada hari kiamat, kerana kebaikan mesti atas nilai iman dan taqwa kepada Allah, tetapi atas kita menghormati dan meraikan kebaikannya di dunia. Lebih utama, doakan mereka mendapat hidayah iman dan islam, agar kebaikan mereka bernilai di sisi Allah SWT.

Yang ingin menyumbang, sila maklumkan kepada saya melalui facebook.

GELANDANGAN 4

Khamis malam jumaat, sekitar jam 1 pagi. Rombongan kami kali ini lebih ramai. Ada beberapa anak muda umur awal dan sekitar 20-an yang berminat melihat lebih dekat aktiviti kami sekaligus turut menyantuni para gelandangan. Mereka menyatakan hasrat itu kepada saya satu malam sebelumnya.

Sebahagian gelandangan yang kami temui adalah mereka yang biasa kami temui manakala sebahagian lagi adalah orang baru yang silih berganti. Kami bertemu dengan seorang lagi gadis, hanya memperkenalkan namanya sebagai Cha. Kelihatannya agak liar, kata-katanya kasar dan tidak banyak menjawab soalan kami. Barangkali juga dia takut pengenalan dirinya terdedah. Satu ketika ada seorang lelaki gagah datang mengugut Cha kerana datang ke kawasan berkenaan. Saya tidak berhajat campur tangan kerana niat kami hanya bagi sebungkus makanan.

Berdekatan dengan KFC, kami terserempak dengan dua kanak-kanak yang sedang nyenyak tidur berlapikkan kotak. Ketika itu sudah jam 1.30 pagi, memang nyenyak sangat dua anak ini yang kami difahamkan adik beradik oleh seorang pekeja restoran berdekatan. Saya fikir mereka berdua pintar juga pandai mencari kawasan strategik kerana berdekatan mereka ada 3 restoran yang boleh sponsor mereka khususnya pada waktu malam. Pada malam lain, kami baru tahu nama mereka Buchui dan Bibi berumur antara 10 dan 8 tahun. Ada sebab lain kenapa mereka tidur di sini walaupun ada ibu bapa mereka tidak jauh dari situ.

GELANDANGAN 3

Di sekitar Kampung Air Kota Kinabalu kami menemui dua gelandangan. Kampung Air, bukanlah sebuah kampung tetapi satu kawasan penuh dengan bangunan dan blok-blok kedai yang meriah di Bandaraya Kota Kinabalu. Kawasan ini selalu dimeriahkan dengan gerai-gerai pasar malam, peniaga-peniaga jalanan dan tukang-tukang urut jalanan. Bukan satu rahsia, di kawasan ini terletak lorong-lorong pelacuran dan kegiatan pondan khususnya selepas tengah malam.

Kampung Air khabarnya memang berasal daripada sebuah kampung atas air. Ia sedikit demi sedikit ditumbuhi bangunan-bangunan perniagaan dan memusnahkan kawasan perkampungan walaupun namanya masih kekal dengan nama Kampung Air.

Tidak banyak maklumat yang kami perolehi daripada dua pakcik hidup bergelandangan ini. Salah seorangnya kelihatan tidur di kawasan hentian teksi. Saat kami tiba, beliau bangun dan kencing merata di hadapan laluan orang ramai. Beliau tidur semula dan tidak peduli dengan orang lain. Waktu sudah tengah malam, suasana masih meriah di sini. Kami tidak berhajat membangunkannya, hanya sekadar meletakkan sebungkus makanan dan sebotol air mineral.

Seorang pakcik lagi terbaring di tepi kaki lima. Kami datang dan Wan menghulur sebungkus makanan itu. Beliau tidak mahu bercakap, tapi jelas sangat kelaparan. Kasihannya sebelah tangannya sakit, jadi dia sukar untuk membuka bungkusan makanan dan kuahnya yang dibungkus asing. Wan membantu membuka bungkusan dan penutup botol air mineral. Dari jauh kami perhatikan, sehingga habis dia menyuap makanan, akhirnya dia membersihkan sendiri cebisan dan sisa baki yang ada. Jelas, beliau itu pembersih orangnya.

Ada beberapa orang ‘menginap’ di Walai Koubasanan. Bilangan mereka tidak menentu. Kadang-kadang sekadar seorang dan boleh meningkat sehingga 3-4 orang. Salah seorangnya bekas tentera yang berhenti sejak tahun 2000 setelah hampir 10 tahun berkhidmat di Lok Kawi. Sejak itu bergelandangan di kawasan Padang Merdeka dan apabila dihalau, dia mencari tempat lain. Dia bekerja sebagai tukang promosi bas ke pedalaman dan diberikan sedikit komisyen. Katanya dia tidak mampu untuk membayar sewa bilik dan kos-kos lain, jadi bergelandangan adalah lebih mudah kerana tiada komitmen sebarang bil. Cuma saya lihat mereka pandai menjaga kebersihan.

Kami pernah meninjau-ninjau di sebuah taman berhadapan Mahkamah Tinggi. Terserempak dengan dua orang lagi yang sedang nyenyak tidur. Seorang tidur di atas rumput seperti  gaya orang mabuk kerana bau arak yang jelas terhidu dari mulut dan tubuhnya. Makanan kami saat itu sudah habis, hanya kami meletakkan di sisinya air mineral. Seorang lagi tidur di bangku simen, lagaknya seperti musafir yang mungkin menunggu bas keesokan pagi. Kami letakkan juga di sisinya sebotol air.

GELANDANGAN 2

“Kami pernah juga ada orang ambil gambar, masuk tv pun pernah, kononnya mau tolong kami, tapi tiada apa-apa pun”.

Itu antara kenyataan salah seorang gelandangan yang kami temui, apabila saya meminta izin mereka untuk bergambar bersama-sama. Mohon dijauhkan Allah SWT daripada kami hanya bersikap mempopularkan sedikit kebaikan yang dibuat dengan niat yang tidak baik dan kemudian bersikap tidak istiqamah pula dalam membantu mereka. Saya tidak mahu ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Ini catatan kedua tentang mereka, walaupun sudah tiga kali kami berziarah. Alhamdulillah, selain mendukung misi kami bertiga – Wan, PakNik dan saya – kami juga sebenarnya sedang memikul amanah ramai penyumbang. Suatu ‘kuasa’ facebook, dalam tempoh belum seminggu apabila saya bercerita tentang gelandangan di bandaraya Kota Kinabalu ini, kami menerima lebih sedikit RM1000 untuk sebagai bajet menampung pembahagian makan minum mereka.

Ya, seminggu dua kali. Khamis malam jumaat dan ahad  malam isnin. Kami bergerak sekitar jam 10 malam ke atas. Ada kalanya awal, ada kalanya lewat sedikit. Walaupun ada bajet yang dikirimkan orang ramai khususnya teman-teman fb saya, kami bertiga berbincang untuk masa ini mendahulukan duit kami selagi termampu dan akan memanfaatkan duit berkenaan terutama musim-musim sesak nanti.

Kali kedua dan ketiga berziarah, masih bertemu sebahagian gelandangan lama dan ada juga yang baru. Kami teringat ada yang pernah mengelak kami dan kemudian menghilangkan diri. Sesudah kali kedua dan ketiga, lelaki berkenaan tidak lagi bersembunyi. Wajah-wajah kami juga sudah mula mereka ingati. Asasnya saya memperkenalkan diri kami bertiga untuk mereka ingat nama kami (walaupun sesekali disertai oleh teman-teman baru). Cikgu Nik, Wan dan saya memperkenalkan diri sebagai ustaz.

Juga ada orang baru yang kami baru kenal pasti lokasi mereka. Percayakah saudara, ada dua lelaki yang tidur di celah-celah pokok bunga? Itu yang kami temui di Bandaran Berjaya. Mereka berdua bukan menganggur, mereka mencari tin-tin dan botol mineral kosong untuk dijual. Kami bertemu Wandis berumur 50 tahun, muslim bangsa dusun berasal dari Kuala Penyu. Dia masih bujang dan katanya pendapatan yang terlalu kecil tidak mampu untuk menampung kos sewa bilik dan kos berkaitan seperti air dan api.

MAKRUH

Kami menyantuni pakcik Din berasal dari Kota Marudu yang sedang mabuk setelah minum montoku. Asalnya saya sendiri bimbang kalau beliau melawan kerana ada cerita yang macam-macam tentang dia. Maklumlah mabuk. Tidak banyak saya tanya pada awalnya. Tapi akhirnya saya tanya nama dan asalnya juga. Dia kata dia muslim.

“Muslim MUIS”, katanya. Saya melihat botol montoku di sisinya. Barangkali dia perasan.

“Tapi saya minum ini. Makruh saja”. Hampir saja saya ketawa.

Kami juga bertemu Mawi dari Kundasang yang baru dua bulan bergelandangan. Kerjanya sehingga beroleh duit ialah menjaga dan mengira markah meja billiard. Itulah yang membolehkan dia makan minum setiap hari. Kadang kala ada juga koceknya kontang kerana kerja yang tidak tetap. Insya Allah catatan lain akan menyusul sedikit demi sedikit untuk perkongsian bersama.

Siapa sudi, bantulah kami. Tenaga dan kewangan.

Wan (kanan) dan Raynold.

Cikgu Nik dan saya bersama gelandangan di satu lokasi.

GELANDANGAN DI KOTA KINABALU

Jujurnya saya mendapat inspirasi daripada dua orang.

Pertamanya apabila saya membaca aktiviti dan projek bantal yang dianjurkan oleh selebriti dan blogger Mazidul Akmal Sidik melalui blog beliau. Saya mendapat maklum tidak kurang 100 orang gelandangan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Mazidul dan kawan-kawannya melancarkan projek bantal dan ramai pelayar blog beliau yang memberikan sumbangan.

Keduanya, saya pernah menonton seimbas lalu di tv satu program memberi makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur oleh sekumpulan anak muda. Tidak pula saya ingat kumpulan berkenaan. Apabila al-Mursyid Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri ke Kota Kinabalu beberapa minggu lepas, beliau ada menceritakan aktiviti kumpulan ini. Mereka menyediakan makanan (kalau tidak salah sekali atau dua kali seminggu) di Masjid Jamek Kuala Lumpur, dengan syarat mereka menyertai solat berjamaah dan tazkirah yang diadakan.

Tengah malam tadi, saya lepak-lepak dengan dua sahabat, Cikgu Nik Suhaimi dan Wan Azhaniz di gerai-gerai Asia City. Sebenarnya saya sudah bercerita tentang hal itu beberapa hari sebelumnya. Selesai minum-minum sekitar jam 1, saya mencadangkan agar kami membuat tinjauan awal suasana bandaraya Kota Kinabalu selepas tengah malam. Sebenarnya kami tidak tahu di mana gelandangan selalu bermalam, jadi malam tadi hanya untuk kami mengambil mood sebelum tindakan lain menyusul nanti.

Kami bergerak perlahan sekereta saja bermula di kawasan Sinsuran. Seorang lelaki tua tidur di kaki lima tepi sebuah kedai. Dapat satu. Kami jalan lagi dan tidak bertemu sesiapa di kawasan Sinsuran ini. Berpusing di sekitar Hotel Hyatt dan Wisma Merdeka, kami menemui seorang ibu dan anak lingkungan umur 5-6 tahun tidur di atas bangku panjang belakang Wisma Merdeka. Dapat lagi.

Bergerak ke kawasan Dewan Masyarakat dan terus lalu ke Balai Polis KK, Padang Merdeka. Kami menemui beberapa orang tidur depan dewan, ketika itu kami tidak dapat menghitung tepat kerana hanya melintas lalu. Permulaan kami agak-agak di sini mungkin 3-4 orang. Kami memutuskan untuk singgah kembali ke Asia City dan saya membeli 5 bungkus nasi ayam dan air mineral buat program pelancaran malam tadi.

Pusingan kedua ini barulah kami berhenti singgah.

Wardah berumur 30an katanya berasal dari Kinabatangan, baru beberapa malam tidur di belakang Wisma Merdeka ini. Dia mempunyai 3 anak, dua daripadanya dijaga oleh keluarganya dan dia hanya membawa seorang yang berumur 5-6 tahun. Katanya menanti suaminya yang bekerja di Kota Belud. Mukanya sesekali tertawa kecil dan sesekali kami lihat ketakutan, barangkali menyangka kami polis. Kasihan melihat anaknya yang tidur kesejukan dan Cikgu Nik memberinya bantal kecil yang kebetulan ada di keretanya.

Kami menyinggah di kaki lima Sinsuran. Pakcik itu bernama Joseph, bangsa  india penganut Kristian Katholik. Katanya berasal dari Hulu Kelang Selangor. Belum lama di sini, katanya baru 10 tahun! Entah betul atau tidak maklumat yang mereka berikan, tidak mengapalah kerana niat kami sekadar menyampaikan sumbangan makanan.

Kami ke dewan pula. Ada 3 bungkus berbaki. Rupanya bukan sekadar 3-4 orang tapi lebih sebenarnya. Mereka yang menginap di sini agak mesra dengan kami. Pakcik Mohd Din, 58 tahun dari Papar seorang muallaf, masih ada lagi tatto di tubuhnya. Rosli 30an, berasal dari Tamparuli, pernah bekerja di sebuah kedai nasi ayam. Di sisinya teman perempuannya bernama Linda dari Tuaran. Kami nasihatinya agar pulang nanti ke rumah.

Di sana juga ada Raynold berumur 33 tahun. Mengejutkan Raynold adalah penghidap HIV sejak 8 tahun lalu. Berasal dari Kota Belud dan tidur di sini sejak 6 tahun lalu. Ada kisah lama sehingga dia tidak diterima oleh keluarganya. Saya kira di sini tidak berhajat untuk menceritakan secara terperinci kisah lama dan kampung asal mereka – cukup sekadar daerah sahaja.

Sebenarnya ada lagi beberapa orang di situ tetapi sedang nyenyak tidur, sementara bekalan nasi yang kami bawa pula sudah kehabisan. Sekitar jam 2 kami selesai untuk kali ini, dengan hajat untuk datang membantu mereka lagi pada masa akan datang. Kami berharap dapat bantuan dan sumbangan para pembaca blog ini dan boleh hantar mesej peribadi melalui facebook saya. Klik facebook di ruang sisi kanan blog ini jika berminat untuk membantu daripada segi kewangan atau ingin menyertai ziarah kami.

Kami bertiga berhajat untuk meneruskan misi ini secara tetap, seminggu sekali atau dua kali menurut kemampuan kami, mungkin antara 10-15 bungkus makanan untuk sekali ziarah. Kami jangka masih ada gelandangan lain yang tidur di kawasan-kawasan lain. Mohon bantuan juga sekiranya ada yang mengetahui lokasi mereka untuk kami ziarahi dan kenal pasti. Kami tidak berhajat untuk mempersoal dan mempertikaikan agama, bangsa, umur, tenaga, kerjaya para gelandangan ini. Niat kami sekadar membantu.

Maklumat lain akan kami kongsikan daripada masa ke masa.

%d bloggers like this: