Tag Archive: Filipina


AN-NOR COMPLEX, COTABATO

Lokasi pertama setiba kami di Cotabato ini ialah al-Nor Complex untuk menjamah makan tengahari. Saya dimaklumkan akan kehidupan sebahagian besar penduduk di Cotabato ini yang agak daif, tetapi kompleks ini zahirnya pula agak moden. Kata mereka inilah antara tempat atau lokasi yang baru dibangunkan beberapa tahun kebelakangan.

Kompleks ini mengumpulkan para peniaga umat Islam, menjadi pusat perkembangan ekonomi dengan pelbagai bentuk perniagaan, kebanyakannya restoran dan lain-lain. Kami memilih restoran Riquisimo yang menghidangkan makanan tempatan. Makanan yang dihidangkan serupa saja dengan apa yang biasa kita makan, cuma sedikit berbeza dengan cara hidangannya. Pinggan untuk nasi agak kecil sedikit dan nasi pula sudah dikempal siap sedia sebelum dikaut ke pinggan masing-masing.

Puan Siti Juwairiah dan keluarganya banyak membantu kami memperkenalkan dan memilih menu yang menyelerakan pada tengahari berkenaan.

MANILA (1)

Perjalanan dari Terminal 2 LTAKK bertolak jam 2 petang menuju ke Clack International Airport, sekitar 2 jam dari Kotaraya Manila. Kami bertiga, dalam misi ke Cotabato di Wilayah Mindanao untuk menyampaikan bantuan. Sebenarnya berempat, seorang lagi dari Kuala Lumpur dengan penerbangan berasingan. Untuk ke Cotabato memerlukan penerbangan lain dan kami kena bermalam di Manila untuk meneruskan musafir keesokannya.

Ini kali kedua berkunjung ke negara Filipina, tanpa langsung saya menduga seorang sahabat mengajak saya ke negara ini. Pengalaman kali pertama pada akhir 2009 dengan perisa yang bermacam-macam, manis dan pahit, suka dan duka tetapi apabila kali ini lokasi sebenarnya ke Cotabato, yang belum pernah saya kunjungi maka saya mengangguk tanda setuju untuk turut serta.

Filipina adalah negara sekutu rapat Amerika bahkan Amerika pernah menakluk Manila daripada tangan Sepanyol semasa berlakunya Revolusi Filipina menentang Sepanyol. Jauh sebelum itu sebenarnya Islam pernah datang ke sini  dengan Manila pada zaman pra-Sepanyol adalah sebuah kesultanan Melayu Islam semasa zaman keagungan dan perkembangan empayar kesultanan Brunei. Nama MANILA sendiri datangnya dari kalimah Arab iaitu Fi amanillah yang bermaksud “Dalam Lindungan Allah”.

Walau bagaimanapun Islam tidak dapat berkembang pesat di Manila kerana ancaman Sepanyol yang ketika itu sedang melakukan usaha penyebaran agama Kristian. Daripada sembang kami dengan beberapa orang Islam yang ditemui di sini menyatakan bahawa umat Islam di Manila sekitar 1 juta berbanding sekitar 12 juta penduduk Manila. Filipina mempunyai sekitar 90 juta penduduk dan hanya 6-10% sahaja yang beragama Islam.

***

Tiba di Clark jam 4 petang dan kami bertolak ke Bandar Makati, Manila dan bermalam di sana. Lokasi penginapannya ialah Hotel Berjaya yang mempunyai pemandangan indah pada waktu malam dan siang. Sekitar 5 minit dari hotel, kami menjamu makan malam di sebuah restoran arab. Ya seperti pengalaman lalu, kota Manila memang banyak restoran seumpama ini dan kelihatannya juga ramai orang arab di sini.

MASJID AT-TAQWA, ANGELES

Di celah-celah bandar Angeles itu, terdapat sebuah bangunan masjid 3 tingkat yang sudah beroperasi selama 5 tahun. Masjid at-Taqwa adalah salah satu daripada tiga buah masjid yang terdapat di Angeles ini.

Bangunan tiga tingkat ini terdiri daripada masjid di tingkat 1 dan 2, sementara di tingkat bawah menempatkan sebuah madrasah tahfiz al-Quran yang baru beroperasi setahun.

Pembinaan masjid ini asasnya adalah hasil sumbangan umat Islam dari merata tempat termasuk dari Arab Saudi.

Sepanjang 3 waktu berada di sini – isyak, subuh dan zuhur, setiap waktu tidak kurang 40-50 orang yang hadir. Untuk makluman, jumlah umat Islam di sini sekitar 3 ribu orang. Demikianlah kami dimaklumkan.

Solat subuh keesokannya, Ust Nahar diberi penghormatan untuk memimpin solat subuh serta kuliah selepasnya. Kuliah subuh sekitar 15 minit itu disampaikan dalam bahasa Melayu dan kemudiannya diterjemahkan oleh Cikgu Zakaria dalam bahasa Irranun.

Kami sempat berkenalan dengan beberapa orang.

Ust Amanuddin Hassan, 34 tahun berasal dari Mindanao dan pernah belajar di Universiti Muslim Mindanao dalam Fakulti Tarbiyyah.

Ust Amanuddin adalah salah seorang guru di madrasah tahfiz ini. Menurutnya kini ada 70 pelajar lelaki dan perempuan di madrasah berkenaan. Buat masa ini kelas dijalankan pada setiap hari kecuali jumaat antara maghrib dan isyak.

Sepanjang hampir 18 jam di sana, kami menjamu selera di hadapan masjid yang mempunyai gerai makannya sendiri. Rasanya itulah langkah paling selamat untuk kami menghilangkan lapar dan dahaga berbanding mendapatkan makanan di restoran luar.

Bersebelahan masjid ini terdapat sebuah kawasan tanah lapang milik seorang yang beragama Kristian. Khabarnya pihak masjid dan umat Islam di sini sedang berjuang untuk membeli tanah tersebut bagi membesarkan masjid. Harganya tanahnya sekitar RM150 ribu.

ANGELES

Tengahari sabtu kami bertolak ke destinasi berikutnya. Sebelum itu pada sebelah pagi kami menghabiskan masa di sekitar kawasan hotel di Quiapo ini.

Seperti perjalanan semalam meronda sekitar Kota Manila, kami dihantar ke hentian bas oleh pemandu tempatan yang cekap. Ashary Alawi boleh berbahasa Arab lantaran pernah bertugas dengan syarikat pelancongan sebelum ini.

Perjalanan dari hentian bas berdekatan menuju ke Angeles memakan masa sekitar dua jam. Saya tidak banyak mengetahui apa berlaku sepanjang jalan kerana terlena.

Sebenarnya kami mempunyai pilihan untuk kekal semalam lagi di Quiapo. Tetapi beginilah hakikat ketika berjaulah, semangat dan perasaan sentiasa ingin tahu keadaan dan suasana setempat sentiasa tersemat.

Kalau kami bermalam di Quiapo, kami tidak akan ke Angeles. Oleh itu kami memutuskan ke Angeles sebelum berangkat balik hari yang berikutnya. Lagipun Angeles dengan Clark sekitar setengah jam saja.

Kami diberitahu di Angeles, jumlah umat Islam hampir 3 ribu orang.

Sementara Cikgu Zakaria dan Abu Aslam ke hulu ke hilir mencari penginapan yang sesuai, kami menanti di hentian bas hampir sejam lamanya.

Setiba mereka, kami pada awalnya memutuskan untuk ke masjid berdekatan sebelum bergerak ke hotel yang dimaksudkan 4 km dari situ.

Di masjid, setelah perbincangan dengan jamaah masjid dilakukan, mereka mencadangkan agar kami bermalam saja di masjid mereka. Mereka begitu menjaga kami sebagai tamu. Kata mereka, hotel-hotel di kawasan ini tidak sesuai untuk kami.

“Itu tempat kotor. Neraka!”

MASJID HIJAU

Berpusing dari Carriedo Street, kami seterusnya menaiki pajag menuju ke Islamic Center, juga dalam bandar Quiapo ini. Tidak sampai 5 minit, kami tiba di kawasan ini yang penduduknya kebanyakannya umat Islam.

Kami bertemu dengan Saudara Muhammad Yasin dari Yayasan Kebudayaan Islam Filipina dan beberapa saudara seagama di sana seketika.

Tercatat di luar masjid ini, bahawa ia telah dibina sejak 1964 lagi.

JEEPNEY DAN PAJAG

 

Antara yang menjadi tarikan dan lambang kepada negara ini ialah kenderaan awamnya. Jeepney dan pajag (beca roda tiga).

Jeepney tanpa cermin tingkap dan tiada hentian tetapnya, hanya berhenti mengikut keperluan penumpang naik dan turun. Asalnya adalah jip yang kemudiannya diubahsuai menurut kehendak mereka sendiri.

Ia boleh memuatkan sehingga 15 penumpang di ruang hadapan dan belakang.

Sementara pajag pula ada dua jenis. Sama ada ia asalnya motorsikal (threesycle) ataupun basikal yang diubaisuai. Ada basikal yang dipasang enjin mesin di bawahnya. Sementara kekuatannya pula boleh membawa sehingga 5-6 orang sekaligus.

Ia juga kadang-kadang kelihatan diguna sebagai kenderaan ‘kargo’ yang membawa bermacam barangan harian masyarakat marhaen di sini. Bahkan ia juga menjadi tempat bermalam dan melelapkan mata mereka.

Warna yang bermacam dan gelagat mereka yang pelbagai menarik pemandangan untuk kita menyaksikannya.

 

Berjalan melihat negara dan tempat orang mendatangkan banyak manfaat dan faedahnya.

Di Carreido Street ini, kami melihat manusia yang sangat ramai dengan telatah dan gelagat masing-masing. Carriedo Street ini adalah satu pasar seperti Tamu Gaya di Kota Kinabalu. Hanya bezanya, jumlah manusia yang sangat ramai sekali.

Kami berjalan mulai dari deretan kedai VCD dan DVD, memasuki terowong bawah tanah, melintasi kawasan sebuah gereja Jaimi L. Cardinal Sin Building  yang sesak dengan penganutnya di luar dan dalam, sehingga ke hujung Jalan Carreido dan berpusing ke laluan lain.

Ramainya manusia terutama apabila melihat marhaen yang hanya terbaring di tepi longkang, kotor dan terbiar, tambah lagi dengan kekufuran mereka, membuatkan saya berfikir panjang.

Hakikatnya, betapa manusia ini tiada nilai di sisi Allah SWT jika tidak beriman kepadaNya. Bahkan jika semuanya menjadi hartawan dan jutawan, tiada nilai barang setitik pun tanpa iman kepadaNya.

Ramainya manusia yang terbentang di hadapan mata mengingatkan diri kepada petikan sebuah hadith qudsi :

“Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu” (HR Imam Muslim)

KOTA DVD

Selepas bersarapan di restoran yang sama pada pagi jumaat, kami terus saja meronda kawasan-kawasan sekitar Bandar Quiapo ini. Oleh kerana kami tiba pada sebelah malam, hari ini barulah dapat meluangkan masa menyaksikan suasana sebenar.

Di sekitar ini, kami menyaksikan deretan kedai menjual VCD dan DVD filem-filem Hollywood, Hong Kong dan lain-lain secara besar-besaran. Kami mendapat maklum bahawa di kawasan ini jugalah kilang-kilang VCD dan DVD diproses.

Saya kurang maklum adakah di sini terdapat istilah VCD atau DVD cetak rompak atau haram, kerana ia dilakukan secara terbuka tanpa gangguan sesiapa. Ataupun ia satu industri yang dibenarkan di negara ini.

Kami juga melihat di kaki-kaki lima deretan kedai itu para pekerja mereka mengemas dan menyarungkan VCD dan DVD berkenaan ke kotak atau sarungnya.

Setiap DVD atau VCD dijual dengan harga semurah RM2.00 hingga RM2.50. Bahkan dalam setiap DVD itu pula boleh memuatkan sehingga puluhan filem pula.

Tajuk-tajuk filem yang dijual pula ada yang baru, ada lama, dan ada juga berbentuk kompilasi. Misalnya filem Harry Porter daripada pertama sehingga terkini. Begitu juga koleksi filem aksi seperti Jackie Chan, Jet Li, dan ramai bintang Hollywood, filem kartun seperti Tom & Jerry, Mr Bean dan lain-lain, dijual secara kompilasi dalam satu DVD.

Jangan terkejut, VCD dan DVD lucah juga boleh didapati secara terbuka. Begitulah musuh merosakkan umat Islam yang menjadi penjual dan pelanggannya.

Tidak banyak gambar yang sempat dirakamkan, bimbang juga.

Jam 7.30 malam kami tiba di Sharief Mansion Hotel, Bandar Quiapo Manila. (Baca Kiapo).

Kami memilih untuk menginap di kawasan ini kerana di masyarakat di sini majoritinya beragama Islam. Oleh itu, masalah makan dan minum lebih mudah dan tidak diragukan lagi.

Sambil duduk menanti rakan-rakan menempah bilik, saya melihat suasana sekeliling. Tiba di kawasan masyarakat Islam di sini membuatkan hati merasa lebih selamat.

Lebih 2 jam sebelum itu diperjalanan, barulah ternampak perempuan yang memakai tudung sementara lelaki berkopiah putih, baru kembali dari masjid.

Tiba di Kota Manila yang begitu besar dan sesak ini mengenangkan saya akan nostalgia di bumi Mesir.

Ada persamaan pada beberapa hal. Kesesakannya, rekaan bangunannya, hon kenderaan yang membingitkan telinga, suasana merempat dan sebagainya.

Sudah lama tidak mengecapi rasa sesak sebegitu. Dalam perjalanan sebelum tiba di Bandar Quiapo ini, di belakang kami ada kenderaan bomba bergerak cemas. Namun tidak banyak kenderaan memberi ruang. Semuanya mengejar hal sendiri.

Hotel Sharief Mansion dikira yang terbaik di kawasan ini. Bilik beraircond dengan tandas dicas sebanyak P700 semalam atau kira-kira RM50++. Bilik berkipas dan tanpa tandas pula dengan kadar P300 semalam.

Kadar murah itu berpadananlah dengan kualiti yang diperolehi pelanggan. Kami menempah 4 buah bilik untuk 8 orang seperjalanan. Bagaimanapun, katil yang disediakan hanya sebuah. Pandai-pandailah berkongsi dan bertolak ansur.

Berehat barang 5-10 minit, kami keluar semula untuk mengisi perut yang kosong sejak 7 jam lalu. Restoran yang menjadi pilihan ialah Restoran Nihayah Halal Fastfood.

Hj Abu Aslam, Cikgu Zakaria dan Ust Ibrahim lebih beruntung kerana mereka boleh berbahasa Irranun (atau di sini dipanggil Maranau), yang menjadi salah satu bahasa perantaraan kebanyakan masyarakat Islam di sini.

Menjamu waktu ini lebih menyelerakan. Lapar dan letih antara faktornya. Menu yang tidak banyak berbeza berbanding di tempat sendiri juga lebih memudahkan. Hanya beras yang dimasak adalah jenis basmati, lebih sedap.

Kami dihidangkan nasi sekali ganda berbanding jumlah kami. Nasi tambah mereka beri lebih awal. Macam tau-tau saja.

 

1. Perjalanan udara bersama syarikat tambang murah AirAsia dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Diosdado Magapagal, Clark mengambil masa hampir 2 jam di udara.

2. Penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu ke Clark terdapat setiap hari, berlepas pada jam 1.40 petang manakala dari Clark ke Kota Kinabalu pada jam 4 petang.

3. Lapangan Terbang Antarabangsa Diosdado Magapagal, Clark ini dahulunya adalah pusat tentera udara Amerika yang telah diserahkan kepada kerajaan Filipina. Kawasan lapangannya sangat luas, kini hanya digunakan untuk penerbangan komersil.

3. Matawang bagi negara ini dipanggil peso, dengan tukaran semasa kini sekitar P100 bersamaan = RM7.50.

4. Filipina adalah negara republik, yang dikenali juga negara kepulauan kerana mempunyai lebih 7000 buah pulau dan pengaruh kebaratan sangat jelas dan menonjol.

5. Bahasa utama negara ini ialah Tagalog dan Inggeris, sementara kira-kira 92% penduduk beragama Kristian (kebanyakannya Katolik), 5% beragama Islam dan bakinya agama-agama lain daripada keseluruhan 86 juta penduduk (2006).

6. Perjalanan Clark ke Kota Manila, khususnya ke Bandar Quiapo yang menjadi destinasi kami keseluruhannya mengambil masa hampir 3 jam, dengan sebahagian masa itu terjadi akibat kesesakan teruk Kota Manila ini.

7. Sistem pandu kiri digunakan di negara ini, sama seperti kebanyakan negara Eropah dan Timur Tengah.

8. Kawasan-kawasan pertanian khususnya sawah padi yang menghiasi pemandangan kiri dan kanan sepanjang perjalanan, masih menggunakan khidmat kerbau sebagai pembajak.

9. Terdapat jambatan sepanjang 3 kilometer merentasi kawasan sawah padi antara Clark dan Manila. Pada pandangan kami, jambatan panjang ini tidak mengganggu kawasan sawah dan lebih memudahkan pengguna dan pesawah.

10. Kelihatan kebanyakan pagar-pagar yang menjadi sempadan antara satu-satu kawasan dibina daripada batu bata, bukan jenis pagar dawai seperti di tempat kita.

%d bloggers like this: