Tag Archive: Feri Wawasan Perdana


ADEGAN DALAM FERI

Feri Wawasan (1)

Ini feri wawasan perdana, salah satu feri yang menjadi pengangkutan penting antara dua wilayah – Menumbok di tanah besar Sabah dan WP Labuan. Perjalanan mengambil masa antara sejam setengah sehingga 2 jam untuk perjalanan sehala.

Dalam tempoh itu bermacam gelagat dapat disaksikan. Ada yang selesa berada di dalam kenderaan masing-masing, ada yang berada di beranda kapal melihat pemandangan laut, sungai dan hutan di persisiran, tidak kurang yang berada di dalam dewan penumpang untuk tidur atau menonton tv (semasa feri belum terbakar tempohari).

Ketika kemudahan penghawa dingin dan tv bermasalah akibat kebakaran yang menimpa feri berkenaan, saya lebih selesa berjalan-jalan sekitar beranda kapal melihat pemandangan. Ketika itulah anak lelaki saya yang baru berumur 6 tahun menegur :

“Babah, judi haram kan?! Tengok orang di bawah tu babah”, katanya sambil mengarah ke sekumpulan orang di atas sebuah lori yang asyik main daun dan kelihatan di hadapan bulatan mereka beberapa duit kertas. Ini salah satu adegan yang tidak patut ada dalam mana-mana pelayaran atau penerbangan. Harap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu untuk membanteras perkara ini walaupun melibatkan pertaruhan kecil, ia tetap juga judi. Buat satu papan tanda melarang perkara-perkara mungkar di atas feri dan seumpamanya.

Feri Wawasan (3) Feri Wawasan (2)

BERKELAH DI FERI WAWASAN

Wawasan Perdana (1)

Bagi pengguna tetap perkhidmatan feri antara dua wilayah WP Labuan-Menumbok di tanah besar Sabah, maklum akan musibah yang menimpa feri Wawasan Perdana yang sebahagian kapal tersebut terbakar beberapa bulan lepas. Saya pernah memuatkan berita berkenaan musibah tersebut di blog ini ketika itu. Selepas kejadian tersebut, perkhidmatan feri penumpang Wawasan Perdana dihentikan serta merta.

Sejak awal disember baru ini, feri berkenaan kembali menyambung khidmatnya kepada para pengguna. Walaubagaimanapun, aras tempat duduk penumpang masih kelihatan lapang tanpa kerusi seperti sebelum ini. Tiada tv dan penghawa dingin seperti biasa tetapi cermin kaca yang menutupi dinding dibuka agar angin boleh masuk ke aras berkenaan.

Penumpang duduk santai, bahkan berbaring sesuka hati di dalam dan beranda kapal. Lagaknya seperti perkelahan di atas kapal secara beramai-ramai dengan grup masing-masing. Kami melihat satu rombongan anak-anak muda yang lengkap dengan kamera besar masing-masing, turun naik ke hulu hilir kapal merakam pemandangan indah sepanjang pelayaran.

Alhamdulillah tiba di WP Labuan sekitar 12.30 hari.

Wawasan Perdana (2)Wawasan Perdana (3)Wawasan Perdana (4)Wawasan Perdana (5)Wawasan Perdana (6)Wawasan Perdana (7)

Sumber : harakahdaily

LABUAN: Tragedi kebakaran feri semalam semakin memperkuatkan hujjah penduduk Labuan, mereka memerlukan jambatan yang menghubungkan mereka dengan tanah besar di Sabah. Ketua Penerangan PAS Labuan, Hadnan Hj. Muhamad berkata, kebakaran itu menambahkan tekanan agar cadangan ini diterima dan dilaksanakan Kerajaan Pusat. Warga Labuan dikejutkan dengan insiden Feri Wawasan yang dikendalikan oleh Labuan Ferry Corporation (LFC) terbakar semalam.

Kejadian berkenaan berlaku sekitar pukul 6.10 pagi semalam. Kebakaran ini berlaku ketika Feri Wawasan mula beroperasi untuk membawa penumpang dan kenderaan ke Menumbok. Walau bagaimanapun, mengikut sumber orang ramai dan makluman pihak polis serta bomba ketika insiden berlaku, tiada penumpang dan kenderaan berada dalam feri. Hanya terdapat beberapa orang Krew feri yang sedang bertugas untuk memulakan operasi mereka.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman, satu siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian. Jabatan Bomba dan Penyelamat W.P. Labuan mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk memadamkan kebakaran. Ketua pegawai eksekutif LFC, Samsul Sahari memberitahu bahawa kejadian itu adalah di luar jangkaan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Tiada sesiapa yang cedera ketika insiden berlaku dan berikutan kejadian itu, jadual perjalanan feri ke Menumbok dihentikan buat sementara.

Bagi pihak PAS Labuan, insiden ini merupakan satu lagi kejadian yang memberi impak kepada kehidupan seharian warga penduduk Labuan. Akibat insiden feri terbakar, perjalanan kenderaan ke Menumbok terpaksa ditangguhkan buat sementara. Walaupun terdapat feri lain yang masih boleh membawa kenderaan ke Menumbok, iaitu Feri Kimanis yang dikendalikan oleh Juta Bonus (daripada Sabah), tetapi insiden ini sedikit sebanyak mengganggu kehidupan seharian warga Labuan kerana jumlah kenderaan untuk ke Menumbok akan menjadi terhad kerana kekurangan feri.

Menurut Ketua Penerangan PAS Labuan Hadnan Hj. Muhamad, berkata insiden feri terbakar ini merupakan insiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana feri ini telah beroperasi lebih kurang lapan tahun dan kapasiti penumpang yang boleh diangkut adalah sekitar 600 orang serta 60 buah kenderaan pada satu-satu masa.

(Peta cadangan pembinaan jambatan antara Labuan dengan tanah besar)

Menurutnya lagi, sebelum ini juga rakyat di Labuan pernah menyuarakan  ‘rasa hati’ mereka untuk mendapatkan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan Tanah Besar Sabah melalui Menumbok, tetapi tidak pernah ‘dilayan’ oleh pentadbiran pusat (kerajaan).  Kajian juga pernah dilakukan oleh beberapa buah Universiti termasuklah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.

“Lihat sahaja negeri Pulau Pinang,walaupun jambatan Pulau Pinang ada tetapi feri masih lagi beroperasi seperti biasa,” kata Hadnan. Ini juga akan mengurangkan masalah dari segi sumber bekalan lambat sampai akibat daripada feri mengalami masalah rosak atau insiden seperti ini, tambahnya.

Selain itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Labuan, Hj. Basran berkata masyarakat di Labuan amat memerlukan jambatan untuk memudahkan perhubungan mereka. Jambatan ini juga lebih-lebih lagi perlu untuk merancakkan ekonomi di Labuan berdasarkan kajian yang pernah dibuat oleh beberapa Universiti tempatan. Walaupun semua sedia maklum, Perdana Menteri telah mengumumkan untuk memberikan diskaun untuk tambang feri di Labuan dalam pembentangan bajet 2013 baru-baru ini.

Jika difikirkan secara logik akal, kenapa peruntukkan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan tidak digunakan untuk membina jambatan Labuan-Menumbok, soal beliau. Ini kerana Labuan merupakan salah satu tempat perindustrian Oil and Gas dan Perkapalan yang terpenting di Malaysia. Selain itu, Labuan juga terkenal dengan pusat Pelancongan dan merupakan Pusat Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC).

“Masyarakat Labuan perlu berfikir lebih kehadapan, lebih-lebih lagi untuk generasi akan datang,” katanya. Keperluan jambatan merupakan perintis untuk penambahbaikan kemudahan-kemudahan asas yang lain seperti keperluan doktor pakar di hospital.  Sebagai contoh, negara Turki semakin hari semakin menurun hutang negara kerana pengurusan kewangan yang baik. Mereka juga memberikan kemudahan yang terbaik untuk rakyat negara mereka dan memberikan perlindungan percuma kepada pelarian-pelarian perang seperti rakyat Syria.

Labuan merupakan salah satu ‘Wilayah Persekutuan’ dan bukannya ‘Kampung Labuan’.

Salah satu feri utama yang menghubungkan antara WP Labuan dan Menumbok di tanah besar Sabah terbakar pagi ini. Feri Wawasan Perdana boleh memuatkan sekitar 80 buah kereta dan ratusan penumpang. Maklumat menyatakan kebakaran berlaku seawal jam 6.00 – 6.30 pagi ketika persiapan dilakukan operasi pelayaran yang dijadualkan pada jam 7.30 pagi dari jeti WP Labuan menuju ke Menumbok. Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Saya kongsikan foto-foto yang disedut dari pelbagai sumber facebook. Maklumat lain akan menyusul.

CERITA FERI WAWASAN PERDANA…

Foto kredit kepada Wan Mohamad di Facebook WeLL.

Pertama, saya catatkan dahulu catatan luahan dan pengalaman Wan Mohamad (yang saya perbetulkan ejaan) pada 21 Ogos 2012 jam 8.30 malam, kemudian saya catatkan pula pengalaman peribadi kami sekeluarga menaiki feri ketika pulang dari Labuan ke Menumbok pada selasa 21 Ogos 2012 lepas.

FERRY WAWASAN ROSAK LAGI ?????. Warga WeLL yang dihormati.

Ingin berkongsi pengalaman pagi tadi. Gambar yang tertera ini merupakan kejadian sebenar. Feri Wawasan yang bertolak dari Labuan ke Menumbok jam 8 pagi telah sampai ke Menumbok lebih kurang jam 10:30 am. Masalahnya.. Feri Wawasan tidak boleh mendarat ke Menumbok kerana ENJIN telah rosak. Oleh itu, feri tersebut terpaksa menunggu Feri Ranca-Ranca yang bertolak jam 11:00 am dari Labuan membantu mendaratkan ke Menumbok. Feri Wawasan tersebut berjaya mendarat sekitar jam 1:30 petang dengan bantuan sebuah Feri Ranca Ranca. Cuba bayangkan, penumpang yang di dalam feri tersebut terpaksa menunggu dari jam 10:30 am hingga sekitar jam 1:30 pm di tengah laut.

Cuba bayangkan penumpang yang menunggu dari Labuan yang sepatutnya bertolak menggunakan Feri Wawasan jam 2:00 pm terkandas menunggu feri tersebut? Cuba bayangkan jadual Feri Wwawasan yang bertolak dari Menumbok ke Labuan jam 4:30 pm juga telah terkandas? Cuba bayangkan penumpang bas yang bertolak dari Menumbok ke Kota Kinabalu terkandas? Cuba bayangkan penumpang bas dari Kota Kinabalu ke Menumbok yang sepatutnya bertolak jam 1:30 pm juga tertunggu tunggu?

Cuba bayangkan Feri Kimanis yang baru juga terkandas yang sepatutnya sampai ke Labuan jam 4:30 pm sampai sekarang ini (jam 8:00 malam) belum dapat mendarat lagi di Labuan, DISEBABKAN BERI LALUAN FERI WAWASAN DAN FERI RANCA RANCA MENURUNKAN PENUMPANG DAN MENGAMBIL PENUMPANG DI MENUMBOK DAN LABUAN. Kebetulan, adik saya menaiki Feri Kimanis sampai sekarang masih berlabuh di laut menunggu giliran.

SAMPAI BILA KEADAAN INI AKAN BERTERUSAN? BUKAN PERTAMA KALI IANYA TERJADI, TETAPI BAGAI DIPANDANG SEBELAH MATA SAHAJA PERKARA INI DIBIARKAN BERLARUTAN TERUTAMANYA PADA MUSIM PERAYAAN. DIMANAKAH PEMIMPIN KITA YANG KITA LANTIK? MENGAPA SUARA RAKYAT LABUAN DAN RAKYAT SABAH YANG BEKERJA DI LABUAN YANG INGINKAN JAMBATAN ATAU PERKHIDMATAN FERI YANG CEKAP TIDAK DI ENDAHKAN? SIAPA HARUS DI SALAHKAN DALAM HAL INI?

TERLALU PENAT MEMIKIRKAN HAL FERI INI DARI DULU SAMPAI SEKARANG? KALAULAH, ADA PEMIMPIN YANG BERANI ATAU BERJAYA MEMBUAT JAMBATAN LABUAN KE MENUMBOK, “ATAU MAMPU MENGURUS ATAU MENGENAL PASTI JALAN KELUAR UNTUK PERMASALAHAN INI”, PASTI PEMIMPIN TERSEBUT AKAN DI KENANG SEUMUR HIDUP DAN PASTI AKAN DIPILIH MEWAKILI RAKYAT. SEKIAN TERIMA KASIH.

Cerita saya pula.

Pagi selasa berkenaan, seperti mana kisah di atas dicatatkan, sebenarnya abang saya sekeluarga berada di dalam feri tersebut. Beliau daripada masa ke masa ada menghantar sms tentang kerosakan enjin feri berkenaan dan memaklumkan maklumat yang sama seperti catatan di atas. Masalah berkenaan berlarutan dan ‘berjangkit’ pula kepada penumpang yang terlibat dalam pelayaran-pelayaran seterusnya termasuk kami.

Perjalanan menurut jadual asal ialah pada jam 7 malam. Namun oleh kerana saya sudah mengagak jadual pergerakan feri akan terjejas, sekitar jam 5 petang saya hubungi pejabat feri, dan mereka meminta saya datang sekitar jam 8 malam kerana katanya feri dijangka bertolak sekitar jam 9 malam. Jam 8 malam sebelum bertolak dari rumah, saya hubungi pejabat feri sekali lagi untuk pengesahan, dan kali ini mereka minta kami datang pada jam 11 malam pula.

Saya tidak faham kenapa pihak pengurusan tidak menyediakan plan sekiranya feri ditimpa masalah, apa tindakan mereka terhadap penumpang yang ternanti-nanti berjam-jam lamanya. Bukankah tiap kali mengisi borang untuk menempah tiket, no telefon pemandu akan dihubungi sama? Sepatutnya pihak feri juga proaktif sama, bukan saja penumpang kenderaan yang sibuk menghubungi mereka.

Sambung cerita balik. Kami tiba di terminal feri sekitar jam 11 malam. Belum ada tanda-tanda feri sampai. Bahkan cerita-cerita penumpang yang lain memaklumkan feri hanya bergerak sekitar jam 12 malam dari Menumbok. Ketika itu ada lebih kurang 30 buah kenderaan menunggu giliran untuk meninggalkan pulau Labuan. Saya sekali lagi kesal, ketika dalam tempoh begitu, tiada seorang pun petugas atau wakil pengurusan feri di pejabat tiket, sekurang-kurangnya untuk memaklumkan perkembangan dan pergerakan semasa feri.

Dalam tempoh penantian 7 jam (waktu asal pelayaran jam 7 malam) sepatutnya pihak feri menyediakan sedikit sebanyak makan minum ringan paling tidak air mineral untuk mereka yang menanti di sekitar terminal, sebagai tanda keprihatinan mereka terhadap penumpang. Akhirnya, feri tiba dan mendarat di jeti Labuan pada jam 1.20 pagi rabu dan kami dari Labuan bergerak masuk mengambil giliran dan bertolak jam 2.00 pagi, seterusnya tiba pada jam 3.30 pagi di jeti Menumbok.

Hajat asal kami untuk bermalam di Menumbok terbatal dengan sendirinya dan kami meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu, tiba di rumah ketika azan subuh. Demikian pengalaman ‘manis’ yang kami sekeluarga alami ketika perjalanan pulang Labuan-Menumbok pada malam dan pagi rabu lepas. Kisah lebih kurang sebegini pernah kami alami dan saya catatkan 2 tahun lalu ketika perjalanan Menumbok-Labuan, juga ketika balik bercuti hari raya.

Antara kenderaan yang menanti, ketika ini jam 11.30 malam.

Kenderaan bergerak masuk ke dalam feri. Ketika ini jam 1.39 pagi.

Kenderaan dalam feri. Ketika ini jam 1.51 pagi.

SENJA DI LANGIT LABUAN

Kami berangkat dari jeti terminal Menumbok menaiki Feri Wawasan Perdana sekitar 4.30 petang dan tiba di terminal Labuan selepas maghrib. Ruang sutuh feri menjadi kegemaran kami sekeluarga dan ramai penumpang jika cuaca tidak hujan, kalau pun tidak hanya makan-makan dan tidur di dalam kereta.

Angin yang bertiup, pemandangan yang indah – langit di Menumbok dan Labuan, pulau-pulau di sepanjang perjalanan, suasana matahari terbenam, air laut yang berombak sederhana, ditambah lagi dengan pemandangan kapal-kapal yang berlabuh, bot-bot laju yang berulang alik antara dua wilayah. Anak-anak suka sekali berfoto di sini.

Kali ini lima keping foto di bawah saya rakam dengan kamera telefon bimbit, dan foto di atas dengan kamera canon.

TERSADAI

Perjalanan dari rumah bermula hampir jam 8 pagi menuju ke Terminal Feri Menumbok sebelum menyeberang ke pulau bebas cukai, Wilayah Persekutuan Labuan untuk berhari raya bersama keluarga. Perjalanan santai kerana saya seringkali membawa kereta ke Menumbok dan sudah menjangka tempoh perjalanan ke sana.

Kira-kira 40 minit sebelum tiba di Menumbok, abang di Labuan menghubungi menasihatkan agar memperlahankan perjalanan. Katanya tidak perlu tergesa-gesa kerana feri yang bakal kami naiki belum bertolak pun dari Labuan. Jadual asal Labuan-Menumbok pada jam 7.30 pagi dijangka tiba di Menumbok sejam setengah kemudian sebelum membawa penumpang Menumbok-Labuan pada jam 10.30 pagi.

Hampir jam 10 pagi kami tiba di sana. Seperti kebiasaan musim perayaan, kenderaan bersusun panjang. Kereta kami berada 400 meter dari terminal. Kemudian, terpaksa pula berjalan kaki sejauh itu untuk mendapatkan boarding pass dan cukai kastam, sebelum menanti feri tiba dan bergerak masuk. Sejak awal, saya sudah bersedia bahawa feri lambat tiba, ada masalah kata mereka. Malam tadinya, feri berkenaan terpaksa ditarik kerana rosak di tengah laut. Demikian dimaklumkan oleh salah seorang staf di sana.

Sejam, belum sampai.

Dua jam, tiada berita.

Tiga jam, belum kelihatan.

Empat jam, belum tiba.

Lima jam, baru ada.

Anak-anak keletihan dan bosan. Hendak dibawa keluar dari kereta, cuaca panas. Enjin kereta terpaksa dihidupkan dalam tempoh itu. Mujur ada tv-dvd untuk menenangkan gelisah mereka. Orang di luar marah dan sakit hati. Mujur saja bulan Ramadhan. Sudah ada katanya yang hubungi tv3. Kami sekeluarga datang hampir jam 10 pagi menanti 5 jam. Bayangkan pula mereka yang berada di sana sejak awal pagi, datang dari Kudat, Kota Belud, Keningau bahkan dari Sandakan dan Tawau.

Feri yang tiba bukan feri Wawasan Perdana yang sepatutnya kami sertai, tapi feri Warisan Perdana (dahulunya dipanggil feri Rancha-Rancha) yang lebih kecil. Muatannya hanya separuh berbanding Wawasan Perdana yang boleh menampung sekitar 80 buah kenderaan dalam satu-satu masa.

Feri Rancha-Rancha ini selalu saya ikut zaman kanak-kanak dulu. Selain hanya memuatkan sekitar 40 buah kereta, ruang rehat untuk penumpang juga terbatas. Tiada bilik atau dewan tertutup yang lebih selesa, melainkan kerusi-kerusi plastik yang diletak bagi sebahagian kecil penumpang duduk melihat pemandangan indah sepanjang pelayaran.

Patutlah rakyat Labuan meradang apabila permintaan membina jambatan menghubungkan Labuan-Menumbok ditolak oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin. Rakan-rakan di UMS yang terlibat dalam kajian pembinaan jambatan ini ada memberitahu tentang bolehnya jambatan tersebut dibina dari segi geografi dan alam sekitar. Cerita jambatan ini seingat saya sudah timbul sejak 1997, ketika saya dalam tingkatan lima lagi. Replika jambatan pernah ditayang kepada umum di kompleks Ujana Kewangan Labuan ketika itu.

Saya mendapat maklum, keperluan jambatan bukan sekadar untuk penumpang berkenderaan keluar masuk antara Labuan dan tanah besar Sabah atau sebaliknya. Ia juga laluan untuk lori-lori membawa bekalan makanan, pembinaan dan sebagainya dari Sabah untuk dijual di Labuan. Kadar muatan yang terbatas melalui feri dan berulang kali menyebabkan kos pengangkutan bertambah, dan ini membuatkan harga jualan lebih mahal di Labuan. Sebab itulah pembinaan jambatan mesti diperjuangkan.

Perlunya jambatan menghubungkan dua wilayah ini bagi memudahkan urusan perjalanan kenderaan rakyat dari kedua-dua destinasi pada bila-bila masa, bukan menanti berjam-jam lamanya dengan syarikat kapal yang seperti memonopoli laluan  laut dan hak pendaratan. Lagi pula, dengan adanya jambatan ini membolehkan urusan perniagaan seperti membawa bekalan menggunakan kontena dengan muatan lebih banyak akan tentu memanfaatkan rakyat di Labuan.

Masalah ini sudah berlarutan sekian lama. Kalau kerajaan dacing yang ada tidak sanggup mengadakannya, biarlah pakatan rakyat mengambil alih kerajaan dan membina jambatan yang dimaksudkan demi keselesaan rakyat atau setidak-tidaknya mencari penyelesaian konkrit untuk kebaikan bersama. Pengundi Labuan, sama ada mereka pengguna perkhidmatan feri penumpang atau tidak (kerana semuanya terlibat dengan menikmati harga barang yang mahal) mesti menunjukkan isyarat ini kepada pemerintah sedia ada melalui undi mereka kepada pakatan rakyat.

Separuh pelayaran, kami bertembung di tengah laut feri Wawasan Perdana  menuju ke Menumbok sambil ditunda oleh kapal kecil (lihat foto). Ramai penumpang membanjiri feri berkenaan. Kalau kami tunggu feri ini, entah jam berapa pula sampai ke Labuan.

%d bloggers like this: