Tag Archive: Fadzil Mohd Noor


ijtimak2-3

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34327-ijtimak-alami-kali-kedua-1993-dalam-kenangan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 13 Mac 2015.

Cuaca terik menyengat lebih seratus ribu khalayak yang hadir ke perkampungan Rusila sempena ijtimak alami yang diadakan selama dua hari, 30 dan 31 Ogos. Himpunan raksasa itu menyaksikan lebih 300 orang tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa daripada pelbagai belahan dunia telah hadir dan memberikan pengisian serta berkongsi pengalaman masing-masing di medan operasi perjuangan.

Antara tokoh besar yang hadir seperti Dr Kamal Helbawy, Dr Azam Tamimi, Sheikh Khalil Ahmad al Hamidi, Sheikh Yusuf Karaca, manakala Sheikh Mustapha Mashyur dan Sheikh Rashid Turabi dihalang oleh pihak keselamatan untuk masuk ke negara ini.

Ijtimak Alami Perpaduan Ummah kali kedua itu merupakan wadah pertemuan tokoh-tokoh gerakan Islam sedunia dan juga medan merapatkan ukhuwwah seluruh ahli-ahli gerakan Islam terutamanya PAS.

PAS baru sahaja memenangi negeri Kelantan pada tahun 1990 dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Nik Aziz dilantik sebagai Menteri Besar. Beliau turut memberikan ucapan di Ijtimak Alami dan menjadi tarikan khalayak yang hadir.

Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS telah merasmikan ijtimak dan melakukan pemeriksaan perbarisan Unit Amal yang segak berpakaian seragam kelabu. Beberapa kumpulan nasyid juga turut memeriahkan sambutan Ijtimak Alami termasuk daripada Madrasah Islahiah Baling Kedah.

Pengerusi Ijtimak, Ustaz Abu Bakar Chik yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat turut memberikan ucapan dengan penuh semangat kepada seluruh tetamu Ijtimak Alami. Ijtimak dengan pengisian yang menarik, berselang seli dengan laungan takbir seperti menyepuh api semangat kepada seluruh para amilin gerakan Islam.

PAS Terengganu yang turut membantu Dewan Pemuda PAS Pusat menggerakkan jentera program sehingga berjalan lancar selama dua hari yang padat. PAS Terengganu dalam Pilihan raya Umum 1990 telah memenangi 10 buah kerusi Dun seperti Jerteh, Jabi, Tepoh, Bukit Tunggal, Manir, Bandar, Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Rhu Rendang dan Bukit Payong.

Di luar negara pula, gerakan Islam sedang menghadapi tekanan yang hebat, FIS di Algeria telah diharamkan setelah memenangi pilihan raya pusingan pertama kebangsaan pada 21 Disember 1991. Seterusnya mengheret negara Afrika Utara itu dengan konflik berdarah yang akhirnya mengorbankan 200.000 jiwa.

Di Indonesia, parti Islam hanya bergerak diatas wadah PPP, manakala gerakan tajnid (kaderisasi dakwah) telah bergerak secara rahsia dan menghadapi tekanan regim ORBA.

Negara Asia Barat pula, secara umumnya gerakan Islam menghadapi penindasan oleh rejim yang pro Amerika seperti yang berlaku di Mesir, Syria, Bahrain, Qatar, Saudi, dan lain-lain. Ikhwan mengambil pendekatan lain dengan berusaha menebarkan pengaruhnya di Eropah yang agak terbuka ruang demokratik.

Di rantau Sub Continent pula, Jamiat Islami di awal dekad 1990an terus memperkuatkan organisasi mereka, di Pakistan telah bersemarak sentimen anti India apabila berlaku perobohan terhadap Masjid Babri oleh puak pelampau Hindu BJP. India dan Pakistan agak tegang dengan isu perebutan wilayah Kashmir, apatah lagi dengan sejarah lama pemisahan wilayah besar itu pada tahun 1947.

Jamiat Islami terus disokong anak muda apatah lagi dalam dekad 80-an, mereka aktif membantu mujahidin Afghanistan untuk membebaskan diri daripada cengkaman Soviet. Program Ijtimak Am di Pakistan sering kali menjemput pimpinan PAS, dengan kehadiran ratusan ribu aktivis Jamiat Islami.

Secara umumnya, euforia kebangkitan Islam telah merencàhi latar belakang Ijtimak Alami kali kedua, maka tidak pelik jika anak-anak muda merupakan peserta paling ramai ijtimak. Berkhemah di sepanjang hamparan pantai Rusila dengan pemandangan Pulau Kapas yang indah. Petugas Ijtimak mengawal lalu lintas dan juga memantau keselamatan pantai, sistem siaraya yang baik telah memberikan impak yang berkesan kepada jumlah tetamu ijtimak yang ramai.

Saya masih dalam tahun ketiga pengajian di kampus Universiti Malaya semasa ijtimak Alami berlangsung di Rusila. Hebahan secara besar-besaran tentang ijtimak sangat menguja akal kami anak-anak muda untuk melihat daripada dekat tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa yang dijadualkan akan hadir. Pelbagai gerai pameran yang disediakan, antaranya gerai tentang Palestin, Pasti dan juga klinik kesihatan percuma untuk peserta menderma darah.

Ijtimak Alami ini sangat membekas dalam ingatan kami anak-anak muda, bahawa PAS bukan sahaja parti siasah yang bergulat di pentas demokrasi berpilihan raya tetapi juga sebuah harakah Islam yang berjuang secara syumul untuk mengembalikan kemuliaan Islam dan umatnya. – HARAKAHDAILY 13/3/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, juga Pengarah Promosi Ijtimak Alami ketiga.

Buku yang baru dibaca : 

Penulis : Wan Senik

Penerbit : PAS Kawasan Pendang, Kedah Darul Aman

Kesederhanaan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor banyak diperkatakan bukan sahaja oleh pendokong jemaah Islam tetapi juga seteru politiknya. Sikap ramah dan kebapaannya membuatkan bukan sahaja pimpinan PAS yang mendapat asuhan terus darinya sebak mengenangnya, tetapi rakyat biasa yang sesekali dapat berjumpanya pun tidak dapat melupakannya.

Seorang pembantu rapatnya memberitahu, dalam keadaan sakit sekalipun sewaktu membuat pemeriksaan di hospital, Almarhum tetap beratur panjang, seperti pesakit lain juga, untuk mendapatkan ubat. Malah seorang kerani telekom di Alor Setar melihatkan Almarhum berdiri dalam deretan untuk membayar bil telefon, langsung mengisi borang keahlian PAS.

Bagi petugas di Pejabat Agung PAS, menyantuni Almarhum adalah pengalaman berharga yang akan menjadi lipatan kenangan sampai bila-bila. Sebelum menyewa rumah rumah khas, Almarhum kerap tidur di ibu pejabat parti atau pun pejabat Harakah. “Selalu sangat Ustaz Fadzil tidur di atas sofa di Pejabat Agung. Dia tak mahu menyusahkan orang lain,” kata seorang aktivis parti.

Bagi sesiapa yang selalu berkunjung ke Jalan Pahang Barat, tidak sukar untuk menyapa Almarhum di Restoran Haslam ataupun gerai Kak Ros di depan Harakah. Dengan nada suaranya yang agak perlahan, namun gurau senda dan cerita lucunya mudah mencetuskan keceriaan berpanjangan. (Ini diakui sendiri oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Dr Ismail Ibrahim).

%d bloggers like this: