Tag Archive: Facebook


REVOLUSI FACEBOOK

Sumber : http://www.eperjuangan.com/

Semarak Kebangkitan Anak Muda.

1. Karamah [ kemuliaan ] sebuah  perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan yang menepati manhaj perjuangan Islam ialah pertolongan Allah swt yang tidak pernah putus. Biarpun ia cuba disekat oleh musuhnya dari segenap arah, namun senantiasa ada lorong yang membawa perjuangan ini ke mercu jaya melepasi segala halangan yang dirintang.

2. Malaysia antara sebuah negara pengamal “demokrasi songsang” apabila kerajaan yang memerintah mengongkong dan menguasai media tanpa memberi laluan seimbang kepada parti bukan kerajaan untuk menyampaikan maklumat atau risalah perjuangan menerusi media arus perdana, samaada cetak atau elektronik.

3. Dunia maklumat menjadi sempit dan terhad. Masih segar dalam ingatan saya bagaimana seketika dulu, rutin ceramah PAS akan di adakan padang awam atau kawasan penempatan. Sementara tidak banyak cawangan PAS yang mempunyai markaz atau Pusat Tarbiyah sendiri. Seringkali PAS menganjurkan ceramah atau rapat umumnya di kawasan awam dan terbuka.

4. Malangnya selepas itu, pemerintah mengeluarkan pekeliling bahawa PAS tidak boleh mengadakan ceramah dikawasan awam tanpa permit kecuali di markaz atau kawasan persendirian. Akhirnya  kita boleh lihat sendiri  hari ini, bahawa hampir tiada cawangan dan kawasan PAS yang tiada markaz atau pusat tarbiyahnya sendiri dalam keadaan PAS bukan parti pemerintah kecuali hanya di Kelantan sebelum daripada ini. Fenomena ini adalah salah satu daripada karamah perjuangan.

5. PAS terus bergerak aktif melalui penganjuran pelbagai aktiviti luaran dan dalaman di markaz atau pusat tarbiyahnya, biarpun tidak lagi dibenarkan penganjuran di kawasan terbuka. Lebih menarik apabila perkembangan ini secara tidak langsung mendekatkan PAS dan aktiviti markaznya kepada masyarakat awam. Orang ramai yang ingin tahu mengenai PAS terpaksa datang sendiri ke markaz dan pusat tarbiyahnya setelah PAS dikekang dan ditohmah dari segenap arah. Ini satu lagi karamah perjuangan.

6. PAS juga disekat suaranya melalui media sebagaimana parti bukan kerajaan yang lain. Hanya berpada dengan Harakah yang terbitannya terhad kepada ahli sahaja  untuk hanya 2 kali seminggu berbanding parti pemerintah yang boleh menguasai segala jenis chanel di televisyen dan radio. Pula menguasai pelbagai jenis akhbar cetak. Siang malam, pimpinan dan aktivis parti terpaksa bersengkang serta mengurangkan waktu rehat dan tidur bagi memikirkan jalan keluar agar maklumat semasa dan risalah perjuangan ini dapat menembusi setiap pintu rumah dan hati rakyat.

7.  Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi bahawa perjuangan suci ini, selama ia berlandaskan syariat Allah swt. nescaya senantiasa ada pertolongan Allah swt lalu membuka jalan keluar dari segala bentuk kekangan. Era ini Allah swt menghantar teknologi kepada kita. Antaranya ialah jaringan sosial yang terkenal iaitu facebook. Ia juga sebahagian dari karamah perjuangan.

8. Pengguna Facebook di Malaysia kini mencecah hampir 12 juta orang, dengan kadar penembusan 69.91 peratus pengguna internet. Laman socialbakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia. 53 peratus adalah pengguna lelaki dan 47 peratus pula wanita. Rata – rata dari kalangan mereka ialah anak muda.

9. Terdapat penambahan 200 ribu account baru setiap hari. Lebih dari 25 juta pengguna dari seluruh dunia yang aktif menggunakan Facebook setiap hari. Rata-rata pengguna menghabiskan waktu sekitar 19 minit setiap hari untuk melakukan pelbagai aktiviti di Facebook. Realiti ini meluaskan lagi potensi ziarah dan dakwah di talian cyber.

10. Memanafaat kekuatan medium facebook yang mempunyai jumlah pengguna berdaftar lebih 200 juta di seluruh dunia ini lah, gerakan perubahan dan pengislahan meletus sebagai satu gelombang besar yang melanda negara Arab dan akhirnya menjatuhkan regim Ali Zainal Abidin di Tunisia, Husni Mubarak di Mesir, Muammar Ghadaffi di Libya. Kini facebook mencetus fenomena serupa di Syria yang menyemarakkan kebangkitan rakyat tertindas sejak puluhan tahun yang lalu.

11. Rangkaian sosial yang popular seperti facebook ini telah mengatasi populariti rangkaian My Space. Saya melihatnya dari aspek positif tanpa menafikan sebahagian manusia gagal manafaatkan facebook untuk kebaikan. Samaada mereka buta teknologi atau kerana mereka mengurus teknologi dengan nafsu dan syahwat bukan wahyu dan aqal.

12. Facebook boleh menjadi medium perjuangan yang baru selepas medium ceramah sekian lama menjadi aktiviti tradisi kita menyampaikan maklumat. Justeru itu, saya menegaskan bahawa menjadi satu ke”wajib”an bagi setiap anggota parti samaada pimpinan atau ahli biasa untuk memiliki sekurang – kurangnya satu akaun facebook yang aktif.

13. Setiap anggota parti mesti celik facebook atau twitter dan sebagainya, justeru kita hidup di zaman teknologi maklumat. Bukan sahaja kita tidak boleh memusuhinya malah kita mesti menangani dan menguasainya. Langkah bijak ialah seorang ahli satu facebook yang aktif.

14. Buka dan miliki akaun facebook, kemudian aktifkannya dengan ilmu yang benar dan  maklumat yang tepat. Jauhkan fitnah dan maki hamun, sebaliknya tampilkan fakta dan figur serta perbahasan yang mudah dan jelas. Kuasai bahasa anak muda kemudian bimbing mereka dengan ilmu dan maklumat yang betul berpandukan petunjuk Rabbul Izzati.

15. Saya jangkakan revolusi facebook bakal tercetus mendepani pilihanraya umum akan datang dan anak muda adalah penggerak serta pemangkin kepada revolusi tersebut. Menyedari perkembangan penting ini, saya meletakkan para alim ulama’ , cendikiawan dan intelektual di senarai paling atas yang “wajib” menjadi aktivis facebook sebagai facebookers yang istiqamah dan berhikmah. Pimpin dan bimbing anak muda menuju cita – cita perubahan agar gelombang perubahan ini terarah dan tidak melewati batas akhlak pula gelincir dari sempadan moral.

16. Sebagaimana cabaran dan rintangan  [ tribulasi ] yang kita hadapi sewaktu mengurus perjuangan di dunia ini , maka begitulah mehnah  [ ragam ] dan ibtila’ [ ujian ] serupa yang terpaksa kita depani di arena facebook. Jika dipentas perjuangan ini kita berdepan dengan pemuda tahan lasak, samseng politik, FRU, SB dan lainnya, maka tidak kurangnya di arena facebook kita berdepan cybertrooper, penyamar 1001 wajah, pengganas moral, pengacau, hackers dan lainnya.

17. Mulakan dengan bismillah, sertai medium baru ini dan sabar depani segala karenah serta tabah menyerap segala cabarannya.

Nasrudin bun Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

FACEBOOK ALIM ULAMA’

Dalam mendengar pelbagai kisah penyalahgunaan facebook, pengaruh facebook sehingga meruntuhkan banyak institusi rumahtangga, penipuan oleh golongan berkepentingan dan sebagainya, saya masih meyakini bahawa ada ruang dakwah di dalamnya sekiranya facebook diamalkan secara tepat, benar, jujur dan berstrategi.

Yang punya facebook, mari kita memberi sokongan kepada facebook para alim ulama’  yang ada dan kita sebarkan maklumat yang bermanfaat dan bersesuaian ke facebook masing-masing. Jika kita biarkan dunia facebook hanya diisi dengan maklumat dan status yang merapu serta tidak berfaedah, hanya sekadar ‘like’ selebriti yang tidak mendekatkan kepada Islam, maka pemain facebook daripada kalangan anak-anak, keluarga dan kawan-kawan kita akan hidup sia-sia dan membuang masa.

1)  Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

2)  Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

3) Ustaz Dr Haji Zahazan Mohamed

4) Ustaz Dr Haji Zaharuddin Abdul Rahman

5) Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood

6) Ustaz Azhar Idrus

7) Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

8 ) Ustaz Zamri Zainul Abidin

9) Ustaz Mohd Kazim Elias

10) Imam Muda Asyraf

11) Hajah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuszzaman

sila tambah… terlalu ramai.

Sejujurnya saya agak tertekan dengan undangan Bahagian Dakwah JAKIM Putrajaya khususnya daripada sahabat saya Ustaz Hamdi Yahya yang sebelum ini pernah bertugas di Sabah. Saat saya menyatakan persetujuan hadir dan mengisi satu slot dalam ijtimak yang diadakan di Pusat Latihan Islam Kundasang, saya kurang cermat dan tidak menyangka bahawa pesertanya yang hampir 100 orang itu datangnya dari seluruh negara.

Para penceramah lain pula bukannya calang-calang orang. Saya dimaklumkan hanya seorang penceramah dari Semenanjung manakala tiga lagi dari Sabah – Ustaz Haji Bungsu Aziz, Ustaz Haji Abu Hurairah Abd Rahman dan saya sendiri. Tambahlah saya gemuruh dan gementar kerana tidak tahu hendak berceramah atas tajuk apa.

Penceramah-penceramah lain menyentuh pelbagai tajuk yang berlegar sekitar dakwah. Ada tentang dakwah di Malaysia, peranan dan tanggungjawab dakwah, metod dakwah dan seumpamanya. Lama juga saya berfikir untuk mencari tajuk agar apa yang saya sampaikan tidak bertembung dengan isi ceramah penceramah lain. Akhirnya saya memutuskan tajuk ‘Dakwah Media Baru’ agar tidak banyak pertembungan dengan isi ceramah tokoh lain.

Kebetulan pula beberapa hari sebelum itu saya beruntung mendapat maklumat berharga berkenaan media baru (fokus blog, facebook dan twitter) yang hendak dikongsi dengan semua peserta. Dalam hal facebook, saya memberi contoh kajian bahawa 10 juta rakyat Malaysia mempunyai facebook dan pengguna facebook dari Malaysia didapati mempunyai rakan yang tertinggi iaitu purata 233 orang berbanding Brazil (231 orang), Norway (217), Korea Selatan (50), Tanzania (38) dan Jepun (29). Saya melihat keadaan itu sebagai satu peluang dakwah yang baik.

Dalam isu blog, saya melihat apatah lagi para peserta terdiri daripada Penggerak Masyarakat di kawasan orang asli, itu sudah menjadi satu kelebihan mereka untuk bercerita pengalaman dakwah kepada para pembaca. Saya membaca satu artikel saifulislam.com, bahawa antara ciri blog yang berjaya ialah ia mempunyai cerita sendiri yang berlainan daripada orang lain. Ini kerana tidak ramai orang berpeluang bercerita tentang pengalaman dakwah kepada masyarakat berkenaan.

Kesimpulannya, tujuan saya membentang tajuk itu ialah agar para pendakwah memanfaatkan IT seperti blog, facebook dan twitter untuk dunia dakwah mengikut kemampuan masing-masing. Saya suka memetik maksud ungkapan Abul A’la al-Maududi : “Setiap orang yang berusaha meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan) dan lidah (untuk berdakwah)”

Alhamdulillah, musafir solo saya ke Kundasang bermula jam 5 pagi dan berhenti beberapa kali, mengisi ceramah hampir 2 jam di dewan PLI, kemudian bergerak pulang mulai jam 10.30 pagi, singgah di gerai Pekan Kundasang untuk membeli sayur dan tidur keletihan seketika di Tuaran dan tiba di rumah jam 1.30 petang sebelum bergerak ke destinasi berikutnya.

OBSES FACEBOOK

Sumber : Berita Harian

Undang malapetaka atau kebaikan kepada pengguna wanita?

AWAS kasanova Facebook!

Tajuk akhbar mengenai lagak seorang lelaki dari London digelar ‘The Sperminator’ yang menggunakan laman Facebook bagi memperdaya wanita sehingga hamil menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan wanita di alam siber.

Menggunakan rayuan ‘Seratus juta sperma masuk ke dalam rahim dan hanya satu yang menjadikan kamu. Maknanya, kamu adalah yang terbaik’ menjadi senjata bagi Dominic Baronet untuk terus menjerat mangsa.

Namun begitu, selepas satu demi satu rekod buruk Facebook tersebar, laman jaringan sosial itu kekal fenomena pilihan ramai orang ketika ini untuk bersosial selepas Friendster, MySpace dan blogging.

Malah, ketika artikel ini ditulis, statistik diperoleh daripada CheckFacebook.com mencatatkan laman itu mempunyai seramai 316.4 juta ahli di seluruh dunia, dengan 1.08 peratus iaitu kira-kira 3,425,300 pengguna adalah dari Malaysia.

Statistik sama juga menunjukkan peratusan pengguna wanita dari negara ini melebihi jumlah pengguna lelaki iaitu sebanyak 1,723,360 berbanding 1,678,140 pendaftar lelaki.

Kelompok pengguna berusia 18 hingga 24 tahun paling kerap melayari laman ini diikuti 33.9 peratus atau 1,148,660 pelayar berumur 24 hingga 34 tahun.

Bagi Natalie Hang ,24, gadis manis kacukan Cina Inggeris, pengalaman berkawan dengan seorang jejaka di Facebook amat menakutkan untuk diingati semula. Perkenalan berlaku secara tidak sengaja ketika menemani rakan yang menerima rawatan akibat kemalangan ketika menunggang basikal mempertemukan beliau dengan seorang jejaka Irish di sebuah hospital di London.

“Kami hanya berborak santai sambil dia sendiri menunggu untuk mendapatkan rawatan kerana berdepan masalah alkohol, tapi ketika itu, memang tiada apa yang meragukan mengenai lagaknya.

“Malah, saya akui begitu senang berbual dengannya. Ketika pertemuan singkat itu, dia sempat mengenalkan diri dan meminta mencarinya di Facebook,” kata Natalie sambil mengakui jejaka dikenalinya itu mempunyai perawakan menarik.

Tidak terlalu rapat mengenali, tetapi Natalie mengakui sering berhubung dengan lelaki itu menerusi Facebook. Bagaimanapun, suatu hari, Natalie tergerak hati untuk membuat carian nama lelaki itu di Internet dan mengejutkan apabila carian menunjukkan lelaki itu sebenarnya mempunyai rekod jenayah melampau.

“Namanya agak jarang digunakan ramai orang dan saya percaya dia adalah penjenayah itu dan berdasarkan cerita dia dengan laporan keratan akhbar berkenaan, membuat saya terus mengesyaki rakan Facebook saya itu seorang yang ‘bermasalah’,” katanya.

Keratan akhbar itu memberitahu, rakan dikenalinya itu yang tinggal merempat mempunyai rekod jenayah, menyerang dan merompak seorang pelancong gay dari Kanada serta dikatakan mempunyai sejarah penyakit mental.

Daripada artikel sama yang masih boleh dibaca di Internet, mangsanya itu diserang dengan batu dan tong pemadam api, diikat separuh bogel menggunakan pakaian dan bidai di sebuah bilik hotel yang menjadi persinggahan mereka selepas bertemu di bar gay.

“Kemudian, mangsa diikat pula dengan wayar telefon sebelum diugut supaya mendedahkan nombor pin kad bank sebelum mencederakan diri sendiri menggunakan kaca,” katanya yang terus menyekat akses akaun Facebook daripada terus dikunjungi lelaki itu kerana bimbang maklumat mengenainya ada tertera di laman berkenaan.

Bagaimanapun, di sebalik pengalaman menakutkan itu, Natalie berkata, beliau mengakui Facebook adalah medium komunikasi paling mudah untuk meluaskan pergaulan, malah turut menggunakan kaedah sama berhubung bersama rakan lama yang tinggal berjauhan.

“Peluang ditipu dan berdepan bahaya tidak hanya di Facebook kerana di luar juga penuh dengan pancaroba, namun sebagai seorang wanita, kita tidak harus lalai dalam aspek keselamatan diri.

“Di Facebook ada pengaturcara yang boleh dikawal pemilik akaun dan jika kita mengenali seseorang yang mempunyai niat tidak baik atau boleh mengundang bahaya kepada diri, semuanya boleh diatasi atas kesedaran sendiri,” katanya.

Peluang berhubung dengan rakan sekolah lama

LAIN ceritanya bagi tenaga pengajar Institut Kemahiran Mara Jasin, Zalila Atan, 35, yang mula berjinak-jinak dengan dunia Facebook kira-kira sebulan lalu kerana katanya laman jaringan sosial terbaru didaftarkan selepas MySpace menemukannya dengan ramai kawan yang sudah lama terputus hubungan.

“Saya mendaftar pun selepas tidak tahan diejek rakan yang mengatakan laman MySpace hanya untuk golongan tua, tapi selepas membuka akuan Facebook, saya benar-benar tidak sangka dapat bertemu semula kawan lama ketika sekolah.

“Tidak setakat itu, kami juga telah sepakat menganjurkan majlis perjumpaan semula rakan-rakan dari Sekolah Menengah Ayer Tawar selepas Aidiladha nanti,” kata ibu muda kepada tiga anak itu gembira.

Sehingga kini, Zalila mempunyai seramai 83 orang kawan siber terdiri daripada rakan yang dikenali di Yahoo Messenger (YM), kawan sepejabat dan kenalan lama dari zaman persekolahan.

“Seronok betul dapat jumpa kawan-kawan lama ketika sama-sama bersekolah dulu. Ada yang sudah lebih 15 tahun tidak bertemu muka dan itu yang paling ditunggu kerana tidak sabar hendak melihat perubahan diri mereka,” katanya sambil tertawa.

Bagaimanapun, tidak pernah membiarkan diri terleka dengan kecanggihan teknologi sementelah beliau sendiri mempunyai suami dan anak-anak, malah Zalila pastikan tidak sewenang-wenang mengesahkan permintaan ‘friend request’ daripada individu yang tidak dikenali.

“Saya juga tidak berani menerima pelawaan rakan yang dikenali di YM untuk bertemu, bukan kerana sombong, tapi sekadar beringat, bimbang juga terjadi apa-apa yang tidak diingini.

“Tetapi kalau berjumpa beramai-ramai diiringi keluarga masing-masing mungkin boleh dipertimbangkan, itupun mungkin selepas lama mengenali antara satu sama lain,” jelasnya.

Tidak sekadar seronok bertemu rakan lama menerusi Facebook, Zalila berkata, di situ juga beliau dapat mengimbau kembali kenangan sewaktu muda melalui foto lama yang dimuat turun oleh kawan-kawan lama.

“Ada juga yang memasukkan gambar kahwin selain gambar lama ketika tengah comot dulu. Itu yang paling kelakar, boleh dijadikan bahan cerita saat bertemu mereka nanti,” katanya sambil tertawa.

FAKTA

Pengguna Facebook seluruh dunia : 316,402,840

Top 10

1. Amerika Syarikat 94,748,820

2. United Kingdom 22,261,080

3. Turki 14,215,880

4. Perancis 13,396,760

5. Kanada 13,228,380

6. Itali 12,581,060

7. Indonesia 11,759,980

8. Sepanyol 7,313,160

9. Australia 7,176,640

10. Filipina 6,991,040

Malaysia menduduki tangga ke 8 kategori pengguna aktif (11 November 2009) mendahului Indonesia yang berada di tangga ke 9.

INFO

*Facebook diluncurkan pertama kali pada 4 Februari 2004 oleh Mark Zuckerberg sebagai media komunikasi antara mahasiswa Harvard.

*Pada September 2006, Facebook membuka pendaftaran untuk orang ramai yang memiliki akaun e-mel.

*Selain pernah menolak tawaran Friendster untuk membeli Facebook pada harga AS$10 juta, Zuckerberg juga menolak tawaran dari Viacom yang ingin membeli Facebook dengan nilai AS$750 juta dan tawaran dari Yahoo yang ingin membeli Facebook dengan harga AS$1 billion.

*Secara purata, pengguna Facebook menghabiskan masa sekitar 19 minit sehari untuk melakukan aktiviti di laman jaringan sosial itu.

ANGKARA INTERNET

Remaja murtad lari dari rumah selepas akrab dengan mubaligh di Facebook

Sumber : http://www.bharian.com.my/

IA sepatutnya cuma satu kes perselisihan biasa keluarga yang boleh berlaku di mana-mana pun, antara anak remaja yang memberontak dengan ibu bapa yang sekadar menjalankan tanggungjawab mereka.

Malangnya, gara-gara campur tangan pihak ketiga yang bermula menerusi internet, pertikaian itu berlanjutan dari rumah ke mahkamah, daripada seorang Islam menjadi murtad.

Inilah nasib pasangan suami isteri Sri Lanka yang menetap di Amerika Syarikat, Mohamed Bary dan Aysha Risana, selepas anak kesayangan, Fathima atau turut dikenali Rifqa, 17, memeluk Kristian dan lari dari rumah.

Dalam insiden Julai lalu, Rifqa Mohamed Bary, meninggalkan keluarganya di Ohio dan ke Orlando selepas perkenalan singkat dengan sekumpulan mubaligh Kristian, Global Rovolution Church di Orlando pimpinan paderi, Blake Lorenz dan isterinya, Beverly, di laman sembang popular, Facebook.

Rifqa kini tinggal di rumah keluarga angkat beragama Kristian itu sementara menunggu kes mahkamah berhubung nasib dirinya, selesai.

Belum pun air mata Mohamed Bary dan Aysha Risana kering selain cercaan sebagai ibu bapa zalim, kini mereka berdepan perebutan hak penjagaan Rifqa selaku waris yang sah, dengan kumpulan mubaligh berkenaan.

Dalam sekelip mata, kontroversi yang menjadi tumpuan media antarabangsa, bualan di alam siber selain mencetuskan perbalahan agama antara kumpulan Islam yang menyifatkan insiden itu masalah keluarga yang dimanipulasi pihak tertentu, manakala pertubuhan Kristian menganggapnya isu kebebasan beragama dan bukti betapa ‘perang suci’ Kristian-Islam semakin ketara.

Tidak ramai menyedari, di sebalik tuduhan dilemparkan, hakikatnya keadaan masih terkawal kerana toleransi masyarakat Islam Amerika yang tidak mudah melatah dengan kejadian itu.

Bayangkan keadaan yang pasti lebih buruk jika Rifqa adalah remaja Kristian yang melarikan diri ke rumah pendakwah Islam yang mungkin disusuli tunjuk perasaan serta tuduhan jenayah culik.

Apa dikesali, kejadian itu bukan lagi bertumpu kepada keluarga yang kehilangan anak serta kesalahan jenayah pasangan mubaligh menyembunyikan gadis bawah umur selama tiga minggu, tetapi cubaan jahat pihak tertentu menonjolkan Mohamed Bary dan Aysha sebagai ibu bapa kejam yang mahu membunuh Rifqa atas alasan ‘pembunuhan bermaruah,’ biarpun seperti kenyataan polis Columbus, Ohio, menyatakan tiada bukti bagi menyokong dakwaan itu.

Malah jika dilihat, ada dua versi berbeza mengenai kemelut diri Rifqa ini iaitu beliau murtad selepas berkawan baik dengan pasangan mubaligh Global Revolution Church yang ditemui di Facebook, manakala versi lain pula mendakwa Rifqa murtad lebih setahun lalu selepas berkawan rapat dengan anggota kumpulan gereja itu di sekolahnya.

Namun dalam kebanyakan laporan, termasuk kecaman media tempatan yang mempertikaikan peranan mubaligh itu yang menyebabkan Rifqa murtad dan lari dari rumahnya.

Jika tidak, mana mungkin remaja yang biarpun berusia 17 tahun tetapi bentuk tubuhnya yang kecil menyamai gadis 13 tahun memperoleh tiket bas yang membawanya ke rumah Blake.

Hanya selepas tiga minggu, barulah Blake memaklumkan keluarga Rifqa mengenai kehadiran remaja itu di rumah mereka.

Belum pun reda kejutan itu, ibu bapa Rifqa hanya mampu beristighfar melihat kemunculan anak gadis mereka di internet yang dalam dakapan Blake, menangis dan mendakwa diugut bunuh oleh ibu bapanya yang marah dengan tindakannya mendekati Kristian.

“Ayah mahu membunuh saya atau mungkin menghantar saya pulang ke Sri Lanka, ke rumah khas untuk orang murtad seperti saya,” katanya berulang kali, seolah-olah melontarkan skrip atau dialog disediakan pihak ketiga.

Rifqa mendakwa dirinya bakal menjadi mangsa ‘pembunuhan bermaruah’ yang dilakukan segelintir masyarakat Muslim di pedalaman Pakistan dan beberapa negara Arab yang lebih mengutamakan adat daripada mematuhi peraturan sebenar Islam.

“Saya sedih melihatnya. Dia bukan seperti Rifqa yang saya kenali. Fikirannya sudah diracuni pihak lain,” kata Mohamed Bary yang menyangkal tuduhan anaknya.

Peguam Mohamed Bary, Craig McCarthy berkata, keluarga Rifqa amat terkejut dengan dakwaan gadis itu kerana hakikatnya baik ibu mahu pun bapanya bukanlah jenis zalim.

Buktinya, Rifqa selama ini bebas melakukan apa saja, termasuk memakai skirt dan menyertai pasukan sorak yang tidak mungkin dilakukan gadis Muslim yang berasal dari keluarga alim.

Timbul persoalan, mungkinkah beliau diajar Global Revolution Church supaya menggambarkan kezaliman Islam dan ibu bapanya?

Tanpa rasa takut Blake secara terang-terang membuat pengakuan kepada wartawan beliau yakin tindakannya itu sebahagian ‘perang suci’ memerangi Islam.

“Ini adalah saat-saat akhir, detik di hujung zaman. Konflik Kristian dan Islam ini akan terus berleluasa. Konflik antara yang baik dan syaitan ini akan semakin ketara,” kata Blake, seperti dilaporkan media.

%d bloggers like this: