Tag Archive: Dr Muhd Kamil Ibrahim


TIDAK MAMPU

Sumber : http://muhdkamil.org/blog/

Di UiTM kami mengajar siswa-siswi untuk menguruskan event. Misalnya, jika mahu mengadakan ceramah agama, merekalah yang akan menyediakan kertas-kerja memohon bajet, menguruskan tempat, mencari penceramah dan menyediakan makan-minum. Ada juga program agama yang diurus sepenuhnya oleh pihak universiti. Dua hari lepas saya mendapat khabar bagaimana seorang pelajar menghubungi penceramah terkenal untuk dibawa ke UiTM Segamat. Penceramah tersebut bertanya,

“Awak mampu ke tidak untuk panggil saya…..”

Benar, kini ceramah agama merupakan satu industri besar. Saya sendiri pernah berhubung dengan seorang penceramah dalam urusan yang sama. Saya bertanya, “Ustaz, berapakah yang perlu kami bayar…”.

Jawapannya sangat tertib, “saya tidak menjual agama tetapi kebiasaannya saya dibayar RM1000 hingga RM1500″.

Berceramah sebagai satu kerjaya atau punca sumber pendapatan sangat-sangat berbeza dengan berdakwah. Namun kerjaya itu pula adalah satu ibadat jika dilakukan dengan cara yang betul. Isu ini sangat menarik untuk dibahaskan. Misalnya, seorang penceramah yang melihat bayaran sebagai faktor utama pilihannya, sanggup membatalkan ceramahnya di satu tempat yang telah dipersetujuinya akibat menerima tawaran yang lebih lumayan. Ia tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi jika mereka terdiri daripada golongan yang berilmu.

Dalam soal ini, pandangan saya agak mudah. Mereka yang menubuhkan syarikat untuk berdakwah maka layanan yang sama harus diberikan sebagaimana wujudnya syarikat-syarikat perniagaan yang lain. Jika isu utamanya soal bayaran, maka perbincangan dan persetujuan di antara syarikat dengan pengguna atau pembeli produk perlu mencapai kata sepakat. Jika katanya RM3000, jika tidak bersetuju maka pilihan berada di tangan pengguna atau pembeli.

Namun berdakwah dalam Islam mempunyai manualnya yang tersendiri. Perhatikan ayat 20 dan 21 surah Yaa Siin,

“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu. Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayat petunjuk”

Dalam konteks yang berbeza, saya berkali-kali dihubungi oleh pegawai sebuah syarikat untuk menghadiri kursus anjuran mereka dengan percuma. Malah mereka sanggup memberi beberapa keistimewaan tertentu sehingga ke majlis makan malam bersama Perdana Menteri. Soalan saya mudah, “adakah ini usaha dakwah atau apa?”

“Tidak, kami bukan badan dakwah tetap sebagai training provider”

“Lalu apa bezanya dengan sebuah syarikat lain yang memberi percuma sesuatu ketua jabatan dalam usaha mendapatkan kontrak atau supaya menyalurkan bajet latihan kepada syarikat tersebut. Adakah itu bukan sebahagian daripada rasuah?”

Mudah-mudahan Allah menerima segala apa yang kita lakukan sebagai satu amal ibadat. Dan ia berperaturan!

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Raudzah Roslan

Penerbit : PTS Islamika Sdn Bhd

Harga : RM 19.00 / RM21.00

“Esok, saya tidak pasti apa yang bakal saya lalui. Esok terlampau panjang. Sejam daripada saat ini tidak jelas dan nyata, apatah lagi bagi memikirkan hari esok”. Jika sampai masanya dipanggil pulang, entah sempatkah saya berlari pulang ke pangkuan mereka yang tersayang. Mampukah saya memohon keampunan dan mengucapkan selamat tinggal…”

Penulis menyingkap dan mentafsir makna kehidupan yang dilaluinya dari sudut ketuhanan. Bagaimanakah seharusnya kita memaknai dan mengisi kehidupan ini untuk memberi saham besar ketika menuju ke destinasi abadi? Sudahkah kita mengharungi kehidupan ini mengikut landasan yang benar dan betul? Atau kita banyak dikuasai dan dipengaruhi oleh nafsu dan emosi melulu, bukannya akal sihat, sesuai dengan ajaran-Nya?

Info Penulis :

Roza Roslan atau nama sebenarnya Raudzah binti Roslan adalah pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor. Beliau dilahirkan pada 2 Januari 1967 di Jementah, Segamat, Johor. Beliau mendapat Diploma Perbankan UiTM Terengganu, BBA (Hons) Pengurusan Sumber Manusia UiTM Shah Alam dan seterusnya M.A Pentadbiran Bisnes di universiti yang sama.

Beliau juga adalah isteri kepada penulis bestseller Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim yang menulis buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman dan Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok. Kisah beliau banyak termuat di dalam karya suaminya yang banyak menceritakan pengorbanan dan sokongan beliau dalam menjalani hidup beragama.

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Roza Roslan

Penerbit : PTS Islamika Sdn Bhd

Harga : RM19.90 / RM21.90 (Sabah Sarawak)

Saya mula membaca buku ini sekitar sebulan lalu. Jujurnya, saya tidak berminat pada mulanya. Saya simpan kembali dan hanya membacanya dua hari lalu dalam suasana aidil fitri di kampung halaman. Keseronokan membaca kisah-kisah silamnya menarik minat saya. Sehari setengah saya menyelesaikannya. Mungkin suasana kampung banyak mendorong.

Zaman kami berbeza, tetapi kisah-kisahnya sedikit sebanyak ada persamaannya. Mungkin lebih terasa kerana saya membacanya ketika bercuti di kampung halaman. Penulis tidak sekadar bercerita tetapi menerapkan teladan dan sempadan setiap kisah yang berlaku. Cerita kutu antara yang menyentuh emosi saya. Tersenyum sendiri membaca warkah pertama.

Saya menanti sambungan travelog Puan Roza, ketika di ITM sehingga bertemu cinta dengan Dr Muhd Kamil Ibrahim.

%d bloggers like this: