Tag Archive: Dr Haron Din


 

 

Sumber : http://jomfaham.blogspot.com/

Dalam Rawatan Islam, pengunaan doa daripada ayat-ayat al-Quran, doa-doa dari Hadith Nabi SAW atau doa-doa yang tidak mengandungi kata-kata pemujaan kepada makhluk atau mensyirikkan Allah SWT adalah diharuskan. Salah satu doa atau selawat yang sering digunakan sebagai bacaan dalam rawatan penyakit adalah Selawat Syifa’.

Bagaimana timbul sedikit kekeliruan terhadap Selawat Syifa’ ini sehingga ada yang mengatakan selawat itu boleh membawa kepada kesyirikkan kepada Allah. Kerana itu perlulah diberi penjelasan berikut.

1. Selawat ini namanya Selawat Syifa’ dan bukan Muhammad Syifa’ bermaksud yang menjadi ikhtiar atau alat untuk mendapat kesembuhan adalah selawat dan bukan batang tubuh Nabi Muhammad SAW.

2. Selawat ini terkenal keseluruh dunia Islam dan diamalkan dunia di Nusantara dengan tidak menimbulkan pemahaman apa-apa kerana tidak pernah terlintas dalam hati pengenal selawat ini untuk menyandarkan pengubatan penyakit dan menyandarkan kesembuhan kepada zat Nabi Muhammad SAW.

3. Selawat ini bukan baru tercipta iaitu telah lama berlegar. Ia terdapat dalam kitab al-Tibb al-Nabawi. Dalam Mukaddimah pertamanya ditulis oleh Dr. Mahmud Muhammad al-Tanahi Profesor Madya di Kuliah Syariah Universiti al-Malik ‘Abd al-‘Aziz Makkah al-Mukarramah ditulis dibaris pertama mukaddimahnya dengan Selawat Syifa’.

4. Jika diandaikan Selawat Syifa’ itu mengundang kesyirikkan kepada Allah seperti yang didakwa, apakah wajar selawat itu boleh berada dalam kitab terkenal al-Tibb al-Nabawi yang diterbitkan di Makkah al-Mukarramah dan ia tidak ada sebarang masalah yang diragukan. Oleh itu yang mengusahakan penerbitannya seperti yang disebutkan tadi tidak pula mempertikaikan tentang Selawat Syifa’ tersebut lalu penerbitan itu diedarkan kepada bacaan awam. Jadi, dapat difahami bahawa jika selawat itu mengundang kesyirikan kepada Allah sudah pasti ia telah dipadamkan atau tidak diterbitkan untuk edaran orang ramai.

5. Yang mengatakan Selawaat Syifa’ itu bermasalah kerana perkataan Tibb dalam selawat itu dii’rabkan sebagai Badal. Apa pun yang boleh dii’rabkan oleh pengkritik sepatutnya mengambil kira tajuknya iaitu Selawat Syifa’. Adapun yang mengamalkan selawat ini berhujah “tibbi” (طبّ ) dalam kedudukan i’rab ialah mudhof ilaih ( مضاف إليه ) , bagi yang mudhof ( مضاف) yang dihazafkan atau dibuang. Pengkritik mengakui boleh ditakdirkan dengan takdir lughawi dengan mengandaikan ada perkataan yang sengaja dihazaf iaitu “shalaata” (صلاة) , berkedudukkan maf’ul mutlak pada waktu yang sama dia mudhof ( مضاف) . Maka selepas itu terdapat lafaz “tibb” menjadi mudhof ilaih majrur, akan tetapi mereka mempersoalkan pula kewajarannya.

Jika diakui bahawa boleh diterima maka itulah yang sebenarnya Selawat Syifa’ iaitu selawat rawatan bukan zat Muhammad SAW sebagai penyembuh. Namun dikatakan pula bahawa takdir yang demikian itu tidak ada hujah dalam bahasa Arab untuk diterima pakai. Seolah-olah mereka mengatakan bahawa tidak ada dalam bahasa Arab kaedah nahunya yang boleh berbuat demikian. Dakwaan tersebut amatlah meleset dan dakwaan kosong yang sengaja atau terlupa rujuk.

Sebenarnya dalam nahu ‘Arab khasnya dalam kitab terkenal Syarah Ibn ‘Aqil juzuk yang kedua bab al-Idafat ditulis dalam kitab itu sedemikian:

قد يحذف المضاف ويبقى المضاف إليه مجرورا، كما كان عند ذكر المضاف، لكن بشرط أن يكون المحذوف مماثلا لما عليه قد عطف، كقول الشاعر : أكل امرئ تحسبين امرأ ** ونار توقد بالليل نار

و) التقدير “وكل نار” فحذف “كل” وبقى المضاف إليه مجرورا

Terjemahannya : Terkadang dihazafkan (dibuang) Mudhof (sandaran) dan ditinggalkan Mudhof ‘ilah (yang disandarkan kepadanya) berbaris dibawah sama seperti disebut atau ditulis al-Mudhof. Akan tetapi dengan syarat yang dibuang itu ada contohnya atau imbasannya di’atofkan seperti syair Arab yang tersebut.

Dalam syair itu jelas perkataan “nar” ( نار ) dibaca kasrah (majrur bi al-kasrah) kerana ia berkedudukan Mudhof ilaih yang dibuang. Takdirnya “kullu”( كل) . Kalau dalam syair boleh dibuang sedemikian tentulah dalam penulisan dibolehkan juga. Bukan sahaja dalam syair ‘Arab yang sememangnya menjadi hujah dalam nahu ‘Arab yang malah dalam al-Quran al-Karim ada ayat Allah SWT yang juga dibuang mudhof.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 67 :

Terjemahannya : “Kamu mengkehendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedangkan Allah mengkehendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Dalam satu qiraat ada yang membacanya (الأخرةِ ) dengan kasrah Ta takdirnya (يُرِيدُ) bagi (الأَخِرَةِ) dengan mentakdirkan(عَرَضَ الأَخِرَةِ) .

Jelaslah bahawa ada kaedah bahasa Arab yang diambil daripada ayat al-Quran dan di dalam Syarah Ibn ‘Aqil bahawa diterima pakai hujah yang kuat bahawa mudhof (مضاف) boleh dibuang (dihazafkan) dan yang tinggal mudhof ilaih ( مضاف إليه ) majrur bi al-kasrah.

Oleh itu Selawat Syifa’ ada kalimat yang sengaja dibuang iaitu (صلاة), bacaan asalnya;

I’rabnya maf’ul mutlak mudhof (مضاف) dan Tib (طبّ ) mudhof ‘ilaih ( مضاف إليه ) (majrur bi al-kasrah). Qarinahnya adalah dengan perkataan salli (صَلِّ) , iaitu ada perkataan salli (صَلِّ) sebelumnya. Salli (صَلِّ) , adalah dalil yang menunjukkan ada perkataan sebanding dengannya yang dibuang iaitu sholatan (صلاة). Dengan itu hilanglah kekeliruan dan keraguan bahawa yang menyembuhkan sebenarnya bukan Muhammad, atau zat Muhammad atau batang tubuh Muhamamd yanag menjadi bahan ikhtiar yang menyembuhkan ialah keberkatan selawat. Selawat adalah termasuk dalam amal soleh dan ianya tidak menyalahi syariat dan boleh diamalkan tanpa sebarang keraguan.

Sabda Rasulullah SAW yang di riwayatkan dari Abi Hurairah RA:

Terjemahannya : “Sesiapa yang berselawat keatasku sebanyak satu kali, Allah SWT akan berselawat keatasnya sepuluh kali ganda.”

Sumber maklumat diambil dari : Rawatan Penyakit-penyakit Jasmani (1), Tuan Guru Dato Dr. Haron Din : pengasas & Penasihat DarulSyfia. mukasuarat 30-35.

Sumber : http://www.darussyifa.org/

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rajab 1359 (tarikh Hijrah ini mengikut kiraan komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Beliau dibesarkan dikalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat.

Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik. Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan. Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din, yang juga seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan Islam.

Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani, bagaimanapun ilmu silat ini tidak langsung diturunkan kepada anak-anaknya. Berkenaan ilmu pengubatan Islam, Lebai Din hanya menurunkan ilmunya kepada seorang anaknya sahaja iaitu kepada Ustaz Haron Din. Lebai Din hanya mengijazahkan ilmunya dan memberi buku catatan pengubatan kepada Ustaz Haron Din sahaja.

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cemerlang kemudian telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree” di Universiti Al-Azhar, Cairo (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperolehi dua degree serentak iaitu M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams, Universiti Cairo.

Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Qahirah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Akademik adalah bidang kerjayanya. Kekeluargaan Islam adalah jurusannya. Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.

LATAR BELAKANG TUAN GURU DATO’ DR. HARON DIN DALAM BIDANG PENGUBATAN ISLAM

Ayahanda Ustaz Haron Din berasal dari Patani dan menetap di Kampung Bohor Mali Perlis. Dia merupakan seorang perawat yang melibatkan diri dalam dunia perubatan dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Qur’an, hadith dan doa-doa. Daripada 10 orang adik beradik, hanya Ustaz Haron Din yang menunjukkan minat dalam bidang rawatan Islam ini, menyebabkan ayahandanya sering membawanya ketika merawat.

Pengalaman yang dilalui oleh orang tuanya ketika merawat sama ada di rumah atau dijemput merawat pesakit secara tidak langsung melibatkan diri Ustaz Haron Din dalam dunia perubatan walaupun umumya ketika itu masih terlalu muda lagi. Ayahanda beliau merupakan perawat yang disegani di kampung juga di kawasan sekitarnya. Sebagai tanda hormat, orang kampung mengelarnya Lebai Din.

Ustaz Haron Din amat mengkagumi kejayaan ayahnya merawat orang gila, dirasuk dan juga penyakit kronik yang lain. Kekaguman melihat kejayaan ayahnya telah melahirkan keinginan beliau untuk mengikuti jejak langkahnya. Setelah meningkat dewasa beliau memujuk ayahnya supaya menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ketika itu umur beliau baru dalam lingkungan belasan tahun dan masih menuntut di Sekolah Arab Alawiyah.

Walaupun beliau sering mengikut bapanya merawat pesakit tetapi ayahnya tidak begitu mudah menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ayahnya berpesan agar beliau mendalami ilmu agama terlebih dahulu. Belaiu hanya diajar ilmu perubatan ketika berada pada akhir pengajlan sekolah menengah. Ilmu yang diajar hanyalah asas pengubatan sahaja.

Sebagai seorang murid, Ustaz Haron Din yakin tentang dirinya walaupun menyedari bahawa untuk mempelajari ilmu seumpama itu bukanlah mudah. Beliau juga berkeyakinan bahawa beliau dapat memberi khidmat pertolongan dengan baik kepada mereka yang memerlukan. Oleh sebab itu, di samping belajar daripada ayahnya, beliau berazam untuk terus mempelajari ilmu yang berkaitan dengannya. Selain bapanya, ahli keluarga beliau yang lain juga mahir dalam bidang perubatan Islam. Antaranya ialah bapa saudara beliau sendiri iaitu Ustaz Said bin Ali.

Keluarga Ustaz Haron Din memiliki banyak khazanah ilmu perubatan. Kunjung mengunjung antara keluarga di Perlis dan Patani terus berlaku dan mereka sering berbincang tentang kaedah dan petua perubatan. Beliau selalu mendampingi ayahnya dan secara tidak langsung ia memberi pendedahan kepada beliau tentang ilmu perubatan.

Ketika belajar di Mesir, Ustaz Haron Din tertarik dengan kaedah rawatan yang diguna oleh Dr. Kamal yang dikenali sebagai hypnotism. Setelah kembali ke tanah air beliau berpeluang belajar dengan seorang perawat dari Sarawak iaitu Tuan Haji Mursidi. Kaedah Haji Mursidi hampir sama dengan kaedah yang dimiliki oleh Dr. Kamal.

Selain belajar melalui kitab dan pengalaman, Ustaz Haron Din juga mendalami ilmunya daripada ‘alim ulama yang menggunakan kaedah rawatan Islam. Di antaranya ialah al-marhum Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi seorang ulama’ dari Malaysia yang menetap di Mesir. Pemergian Ustaz Haron Din kali kedua ke Mesir untuk mendapat ljazah Doktor Falsafah (1971-74) telah memberi peluang kepadanya untuk berdampingan dengan Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi. Antara doa yang dipelajari ialah doa penerang hati. Latar belakang doa ini ada kaitan dengan sunnah Rasulullah s.a.w.. Selain itu beliau juga berguru dengan al-Syeikh Muhammad Bayumi, seorang yang ‘alim dan sering berada dan mengajar di Masjid al-Azhar.

Ketika di Mesir pada awal 70-an, Ustaz Haron Din sempat berkenalan dengan Bapak Mokhtar Lintang. Pak Mokhtar adalah perawat yang menggunakan kaedah Islam. Kesempatan tersebut telah diguna oleh beliau untuk menimba ilmu perubatan seberapa banyak yang boleh.

Sekembalinya ke Malaysia, ketika tinggal di Taman Bangi Kajang, Ustaz Haron Din dikunjungi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Leh. Beliau mengaku sebagal seorang perawat yang terkenal di Langkawi. Beliau telah mengajar beberapa kaedah rawatan kepada Ustaz Haron Din. Antaranya ilmu berkaitan dengan penyakit barah, ketumbuhan, kayap, demam panas, penyakit kulit dan sebagainya. Beliau telah tinggal bersama dengan Ustaz Haron Din beberapa ketika.

Perlis tempat kelahiran Ustaz Haron Din sememangnya mempunyai ramai orang yang arif tentang ilmu perubatan. Terdapat seorang perawat bernama Tok Omar yang banyak menggunakan bahan-bahan dari tumbuh-tumbuhan di samping ayat-ayat al-Qur’an. Ustaz Haron Din telah berkesempatan mempelajari ilmu yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan daripada beliau. Selain itu Ustaz Haron Din juga berpeluang belajar dengan Tahir Abdullah. Beliau yang digelar dengan nama Tok Lang Kiang dintaranya telah mengajar Ustaz Haron Din cara mengeluarkan sampah dari mata.

Perawat-perawat lain yang pernah mengajar Ustaz Haron Din alah Pak Andak Noh dan Haji Husin atau dikenali sebagai Tuk Chin. Pak Andak Noh telah menurunkan ilmu mengeluarkan benda tajam dari badan manusia seperti besi, serpihan kaca, terkena racun dan sebagainya. Ilmu yang diamalkan oleh Tuk Chin pula adalah ilmu yang dinamakan Laduni iaitu ilmu yang dianugerahkan oleh Allah SWT khusus kepada orang yang tertentu.

Perubatan Islam adalah berdasarkan syariat. Ilmu ini mempunyai dua cabang iaitu fizikal dan spritual. Penekanan yang menjadi keutamaan Ustaz Haron Din ialah rawatan dengan menggunakan doa-doa yang berdasarkan al-Qur’an, hadith Rasulullah s.a.w. dan doa-doa’ lain yang jelas maknanya yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Sungguhpun telah lama berkecimpung dalam bidang perubatan Islam, namun Ustaz Haron Din masih lagi mencari ilmu baru dalam merawat pesakit. Beliau sentiasa bertanya mereka yang arif dalam bidang ini di samping membaca pelbagai buku untuk menambahkan pengetahuan. Tidak semua kaedah yang dipelajari itu dipratikkan, hanya yang bertepatan dengan syariat sahaja akan diamalkan.

RINGKASAN BIODATA TUAN GURU DATO’ DR. HARON DIN

Pendidikan

• Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali

• Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor

• Sijil Tertinggi Kolej – Kolej Islam Malaya (1962-1965)

• Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah – University Al-Azhar (1966-1968)

• Diploma Pendidikan – ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968)

• Ph.D Syariah – Universiti Darul – Ulum Qahirah (1972-1974)

Kerjaya

• Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976)

• Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)

• Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara

• Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB

• Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia

• Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti

• Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor

• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan

• Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank

• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd

• Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis

• Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Politik

• Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)

• Ketua Penerangan PAS Pusat

• Ahli Majlis Syura Ulamak PAS

• Timbalan Mursyidul Am PAS

Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, pengasas dan penasihat Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa’)

Menubuhkan cawangan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa’) Sabah barangkali menjadi hasrat ramai pihak khususnya para guru agama yang terlibat secara langsung dalam dunia dakwah khususnya dalam hal pengubatan berteraskan Islam. Ketika zaman belajar dahulu, saya mendengar kes-kes berkenaan sihir di beberapa daerah, antaranya kononnya boleh menghilangkan kemaluan orang, menjadikan manusia sasaran kepanasan atau merasa gatal dan pelbagai insiden lagi.

Tidak kurang kes-kes penganiayaan dan pemisahan antara suami-isteri melalui sihir, mendendami para ustaz dan pendakwah yang menegur ahli masyarakat yang melakukan maksiat. Para bomoh dan pawang didatangi kerana mangsa kehilangan barang berharga. Oleh kerana kepakaran berkenaan ilmu pengubatan Islam sangat terbatas, maka ilmu ini menjadi eksklusif kepada individu tertentu sahaja. Maka masyarakat pula dengan pengetahuan agama yang cetek, mendatangi para bomoh dan pawang yang mengambil kesempatan atas situasi yang berlaku.

Beberapa tahun lalu ketika almarhum Ustaz Haji Nahar memimpin Masjid Negeri Sabah, diadakan beberapa siri kursus pengubatan Islam. Sebelum itu pun pada zaman Datuk Mokhtar Rapok, tidak salah saya juga diadakan kursus yang sama bagi mendedahkan kepada masyarakat tentang asas pengubatan Islam dan perbezaannya dengan pengubatan yang bertentangan dengannya. Ustaz Ku Othman khabarnya pernah mengisi slot berkenaan dan ada pihak-pihak berkepentingan tidak senang program itu diadakan.

Setahun dua kebelakangan, seminar perubatan Islam diadakan di Masjid Negeri Sabah atas anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah. Ia mendapat sambutan hebat dari masyarakat dengan ratusan peserta hadir sehingga sesi rawatan pada lewat petang yang dibimbing oleh Ustaz Nik Anwar bersama rakan-rakan beliau. Beberapa siri kuliah juga diadakan untuk menyebarluaskan lagi pengubatan Islam. Malahan Bahagian Penyelidikan & Informasi JHEAINS juga pernah mengadakan Seminar Aqidah antaranya menyentuh tajuk ‘Amalan Sihir Dalam Masyarakat’ yang disampaikan oleh Dato’ Haji Ismail Kamus pada akhir tahun lalu.

Hasil seminar perubatan Islam di Masjid Negeri Sabah, melorongkan satu cadangan agar kuliah perubatan diadakan setiap minggu. Setelah dipersetujui, kuliah berkenaan bermula pada pertengahan februari lalu di bilik kuliah Masjid Negeri dengan kehadiran mencapai 100 peserta berdaftar. Untuk kumpulan ini, ia dijangka berakhir sebelum Ramadhan dengan ujian-ujian tertentu akan diduduki oleh para pelajar sebelum sijil diserahkan kepada mereka. Dalam masa yang sama, satu lagi kuliah yang sama juga diadakan di Bandar Sierra.

Dalam tempoh kuliah perubatan Islam (KPI) MNS diadakan, timbul idea agar penganjur bekerjasama dengan Darussyifa’ di Bangi khususnya dalam membimbing kuliah-kuliah pengubatan Islam, sehinggalah tamat pengajian dengan ujian / peperiksaan, acara  konvokesyen, dan kemudian pengambilan kumpulan berikutnya. Beberapa siri mesyuarat diadakan bermula dengan penubuhan JK Darussyifa’ Sabah diketuai oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, kunjungan ke Darussyifa Pusat di Bangi, sehinggalah pelancarannya selamat diadakan ahad lepas.

Bagi kumpulan pertama, pihak Darussyifa’ berpendapat agar peserta-peserta kuliah di Masjid Negeri Sabah dan Bandar Sierra diutamakan terlebih dahulu. Oleh yang demikian, masih ramai mereka yang tidak mengetahui kewujudan kuliah ini sehinggalah majlis perasmiannya berlangsung. Namun dengan izin Allah SWT, apabila kuliah ini berakhir dalam tempoh 90 jam kredit kelak, pihak pengurusan Darussyifa’ Sabah akan meneruskan pengambilan bagi kumpulan yang kedua pula.


Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din diiringi masuk ke dewan oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim (Pengerusi Darussyifa’ Sabah) dan Ustaz Nik Anwar Zakaria untuk majlis perasmian dan pelancaran Darussyifa’ Sabah pada 22 Mei 2011.

***

Pelancaran Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa’) Cawangan Sabah oleh pengasas dan penasihatnya, Dato’ Dr Haron Din di Dewan Kinabalu Kompleks Tabung Haji, Jalan Sembulan semalam telah melengkapkan cawangannya di seluruh negara dengan cawangan Labuan dilancarkan pada sabtu sementara Sabah keesokan harinya. Darussyifa’ dalam sejarahnya secara rasmi telah ditubuhkan pada 17 April 1988 berpusat di Bangi, namun hakikatnya pengajian berkenaan pengubatan Islam yang dikendalikan sendiri oleh Dr Haron Din telah bermula sejak 1977 lagi.

Tahun demi tahun, masyarakat sekitar khususnya penduduk Bangi mulai mendekati dan mendalami ilmu berkaitan pengubatan Islam. Ia semakin berkembang dan mendapat tempat dari seluruh masyarakat, sehingga akhirnya setiap negeri mempunyai pengajian dan klinik rawatannya sendiri yang berteraskan kepada ayat-ayat al-Quran dan Hadith Nabi SAW.

Di Sabah, kehadiran Darussyifa’ disambut dengan penuh kesyukuran bahkan dengan linangan air mata kegembiraan. Bumi Sabah yang luas, dihuni oleh lebih 3 juta penduduk pelbagai agama,  etnik dan puluhan bahasa sukuan pernah mencatatkan sejarah dakwah Islam berkembang dengan kaedah pengubatan seperti yang dirakamkan melalui dakwah Mandur Syarif dan pendakwah-pendakwah yang lain.

Masyarakat umumnya secara disedari atau tidak, berhadapan dengan cabaran serta gangguan sihir, jin, amalan-amalan khurafat yang berlaku dalam pengubatan seperti penggunaan tangkal dan azimat, amalan menurun, jampi serapah yang bertentangan dengan Islam, serta tidak kurang dengan tipu daya bomoh dan pawang yang kononnya mengaku beramal dengan pengubatan secara Islam tanpa sesiapa pun dapat mengiya atau menafikannya kerana keterbatasan ilmu berkenaan dengannya.

Sebelum 22 Mei 2011 sekalipun, sudah ramai para ustaz dan individu yang menyampaikan risalah dakwah Islam melalui pengubatan Islam, baik atas nama lepasan Darussyifa’ atau atas individu itu sendiri. Mereka membantu menyedarkan pesakit, baik yang beragama Islam atau tidak tentang kehebatan Allah SWT yang berkuasa mendatangkan penyakit dan penawarnya. Tidak sedikit yang kembali kepada fitrah Islam setelah dirawat oleh ustaz-ustaz berkenaan, sama ada mereka memeluk Islam selepasnya atau di kalangan masyarakat Islam sendiri yang akhirnya kembali ke pangkal jalan.

Mudah-mudahan, seperti yang dicita-citakan oleh Dr Haron Din, seluruh AJK Darussyifa’ Sabah dan semua peserta, bahawa kumpulan pertama seramai 130 peserta yang mendaftarkan diri ini akan bersama-sama sehingga ke akhirnya, sejak daripada mula sehingga diijazahkan sendiri oleh Dr Haron Din kelak. Mudah-mudahan tiada yang gugur di tengah jalan. Insya Allah, kita sama-sama mendoakan.

Ustaz Ahmad Nasir selaku pengarah program dan Tuan Haji Makhtar selaku pengacara majlis berbincang sebelum sesi taklimat bermula.

Pasukan urus setia pendaftaran (muslimat)

Antara teraju utama di sebalik majlis pelancaran ini. Ustaz Baharuddin, Ustaz Ahmad Nasir, Ustaz Nazri, Ustaz Amir Hussin dan Tuan Haji Mohd Pozi.

AJK menyambut ketibaan Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din masuk ke dewan.

Dari kiri, Tuan Haji Khairan Untoh (Timbalan Pengerusi 1 Darussyifa’ Sabah), Ustaz Haji Zulkiply Dahlan (Ketua JK Pengambilan, Latihan & Konvokesyen), Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad (Pengerusi Darussyifa’ Pusat) dan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim (Pengerusi Darussyifa’ Sabah).

Ustaz Nazri Yakob memimpin bacaan doa.

Bercerita soal undang-undang, memang UMNO-BN jenis spesis yang takkan patuh undang-undang.

Padahal undang-undang yang dibuat berkenaan hal ehwal Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah sama saja dan lebih kurang saja di seluruh negara bahkan mungkin mana-mana dewan undangan atau parlimen di seluruh dunia.

Contohnya persoalan kuasa speaker, pembahagian kuasa peranan legislatif dan eksekutif dan sebagainya.

Sudah YB Speaker menolak usul BN, sudahlah. Itulah kuasa speaker. Tetapi bukan UMNO-BN namanya kalau patuh undang-undang. Mereka lantik pula Speaker sendiri. Speaker Sivakumar diheret keluar bagai penjenayah, sedangkan dia masih speaker yang sah.

Speaker Sivakumar pada awal sidang tadinya mengarahkan 10 orang untuk keluar dewan. Tapi kesemua mereka degil.

Tapi bermula dengan kenyataan MB BN Dr Zambry selepas bersidang petang tadi, dia pula menuduh ADUN PR yang membuat hal dan buat kecoh, sedangkan ADUN BN yang degil dan mengingkari perintah speaker terlebih dahulu. Jadi rakyat mesti berhati-hati mendengar maklumat.

Saya teringat sejenis binatang mughallazah yang hangat diperkatakan sekarang ini. Beritanya menjadi tajuk utama, mengalahkan binatang lain, bahkan berita orang sekalipun. Petang tadi, dalam titah Raja Muda Perak, juga menyebut sedikit tentang penyakit yang dibawa binatang itu.

Bukan sekali binatang ini menjadi berita utama, tetapi sudah beberapa kali. Dahulu, kisahnya menggemparkan negara dengan penyakit JE di Negeri Sembilan. Kemudian menjadi isu pula pemeliharaannya di Selangor pertengahan tahun lalu.

Dahulu, saya pernah mendengar ceramah Ybhg Ust Dato’ Hj Ismail Kamus, berkenaan perangai-perangai haiwan.

Binatang mughallazah itu – yang biasa digelar sebagai ‘kambing hongkong’ oleh Dr Haron Din, – diceritakan sebagai binatang yang sangat degil.

Apabila kambing hongkong itu hendak masuk kembali ke kandang oleh tuannya, ia tidak akan masuk dengan mudah, kerana ia adalah jenis makhluk yang degil. Ia tidak boleh ditolak masuk.

Jadi untuk menyuruh masuk, ia tidak boleh ditolak masuk melainkan ditarik keluar. Oleh kerana ia degil keluar, maka ia akan masuk. Demikian saya qoute lebih kurang ceramah Ust Ismail Kamus. Wallahu a’lam.

%d bloggers like this: