Tag Archive: Dewan Saadah Wisma MUIS


Berbeza sedikit daripada tahun-tahun sebelumnya, Majlis Saringan Akhir Qari-Qariah kali ini diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS dua hari berturut-turut  pada semalam dan hari ini dan berhampiran masa dengan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah yang akan diadakan pada 17 dan 18 Mei 2012 (khamis dan jumaat). Majlis kali ini menghimpunkan 36 qari qariah dari seluruh Sabah dan 3 daripada mereka menarik diri kerana uzur syarie.

Tahun lalu dan beberapa kali sebelumnya tilawah saringan akhir diadakan di Masjid Negeri Sabah sebulan sebelum tilawah negeri. Selain itu kali ini, tilawah saringan akhir memilih 10 qari dan qariah terbaik berbanding hanya 8 orang pada tahun-tahun lalu. Sementara di bilik penghakiman tingkat 5 Wisma MUIS, Ustaz Ibrahim Kisab Imam Besar Masjid Negeri Sabah mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi yang kembali kerahmatullah awal tahun ini.

Selesai penghakiman, kami tidak lupa menghadiahkan al-fatihah kepada deretan para alim ulama yang pernah terlibat dalam penghakiman di majlis tilawah pelbagai peringkat di Sabah. Semoga Allah merahmati para tuan guru yang kami kasihi atas curahan ilmu yang mereka sampaikan antaranya Tuan Guru Datuk Haji Ahmad Othman, Datuk Haji Asmali Bachi, Ustaz Umar Sidik, Tuan Guru Ustaz Haji Muhammad Nawawi Muhammad, Ustaz Haji Nahar Mantamin, Ustaz Abdin Umar, Ustaz Zawawi Muhammad dan lain-lain yang telah mendahului kita.

Saringan Akhir – Komen Saya

Sesetengah qari dan qariah masih melakukan kesilapan mudah sehingga menyebabkan markah mereka dipotong. Antara perkara asas dalam bidang tajwid yang wajar diambil berat ialah  hukum-hukum mad (kerana ada lagi yang membaca mad asli lebih daripada 2 harakat), hukum ghunnah, sifat dan makhraj huruf seperti qalqalah, tafasyyi, hams dan lain-lain.

Dari segi peraturan penghakiman tilawah, markah penuh tajwid ialah sebanyak 40 markah, iaitu tertinggi berbanding tarannum (25 markah), fasohah (20 markah) dan suara (15 markah). Seorang qari dan qariah yang bijak patut mengambil kira perkara-perkara ini. Tarannum hendaklah menuruti tajwid, bukan tajwid yang menuruti tarannum. Jika tidak, akan berlakulah kadar ghunnah yang berlebihan atau kadar mad yang berlebihadan daripada yang sepatutnya.  Jika qari dan qariah boleh menjaga perkara seumpama ini, banyak markah mereka dapat diselamatkan.

Kami melihat persaingan yang sengit di kalangan qari kerana 10 peserta mendapat markah melebihi 70%, berbanding qariah, hanya seorang (johan yang memperolehi markah melebih 70%. Satu sisi yang lain, lebih separuh peserta adalah golongan muda, dengan harapan masa depan yang cerah untuk dunia majlis tilawah al-Quran khususnya di negeri Sabah.

10 peserta berikut akan bersaing pula dalam MTQ Peringkat Negeri Sabah :

QARI :

1. Mohd Raffe Ghalil Abbas  : 80.6%

2. Haji Abdullah Abdul Wahid : 79.1%

3. Mohd Syahriansyah Apin : 78.5 %

4. Saidin Haji Arpha : 75.8%

5. Abdul Basith Harisah : 75.8%

QARIAH :

1. Nurfatin Izzati Rablin :  79.6%

2. Soufiza Haji Mausin : 68.6%

3. Hajah Jalimah Muammat : 66.5%

4. Sharifah Raini Sh Doki : 65.3%

5. Saadah Johan : 65%


Hari Pertama

Tarikh : 15 Mei 2012 (Selasa)

Masa

Acara

Lokasi

08.00 pagi – 05.00 petang Pameran Ruang legar, Wisma MUIS
08.00 pagi – 12.00 tgh hari Majlis Tapisan Al-Quran I Dewan Saadah

Hari Kedua

Tarikh : 16 Mei 2012 (Rabu)

Masa

Acara

Lokasi

08.00 pagi – 05.00 petang Pameran

Ruang legar, Wisma MUIS

08.00 pagi – 11.00 pagi Pertandingan Khat

Ruang legar, Wisma MUIS

08.00 pagi – 12.00 tgh hari Majlis Tapisan Al-Quran II & Penyampaian Penghargaan Dewan Saadah

Hari Ketiga

Tarikh : 17 Mei 2012 (Khamis)

Masa

Acara

Lokasi

08.00 pagi – 05.00 petang Pameran T. Bawah, Wisma MUIS

07.00 pagi – 12.00 tgh hari

Muzakarah Hakim

Bilik Hikmah, Wisma MUIS

08.00 – 11.30 pagi

Raptai

Dewan Saadah

02.00 petang

Cabutan Undi

Kompleks Haji Sabah

07.00 – 10.30 malam

Majlis Tilawah Akhir Peringkat Negeri Sabah

Dewan Saadah

Hari Keempat

Tarikh : 18 Mei 2012 (Jumaat)

Masa

Acara

Lokasi

08.00 pagi – 05.00 petang Pameran T. Bawah, Wisma MUIS
08.00 pagi – 11.00 pagi Bicara Al-Quran Dewan Saadah

02.00 – 04.00 petang

Raptai Penuh

Dewan Saadah

07.00 – 10.30 malam

Majlis Penyampaian Hadiah

Dewan Saadah

Di Dewan Sa’adah Wisma MUIS Kota Kinabalu siang tadi, seramai 253 murid berumur 6 tahun telah menerima sijil konvokesyen dan tamat belajar dalam satu Majlis Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pantai Barat Sabah bagi sesi 1432H/2011M. Mereka adalah murid-murid daripada 16 buah PASTI yang terdapat di sekitar Kota Kinabalu, Sepanggar dan Putatan.

Sementara itu, dua murid terbaik diisytiharkan sebagai penerima anugerah Tokoh Ibnu Sina. Aisyah Mahfuzah Bt Bachotang (5 tahun) daripada PASTI al-Amal Likas dan Nur Nassahel Hassan (6 tahun) daripada PASTI Nurul Hasanah Bukit Padang. Selain itu, murid-murid cemerlang dan mendapat tempat pertama hingga ketiga yang berumur 5 tahun juga menerima hadiah masing-masing dalam majlis berkenaan.

Majlis juga dimeriahkan dengan beberapa persembahan murid-murid seperti tilawah al-Quran, nasyid, praktikal pembelajaran al-Quran teknik al-Baghdadi, cabutan tiket bertuah dan sebagainya. Ketua Penerangan PAS Sabah, Hishamuddin Sulaiman hadir merasmikan dan seterusnya menyampaikan sijil konvokesyen berkenaan yang turut dihadiri tidak kurang 500 orang tetamu termasuk ibu bapa, keluarga murid dan tetamu undangan yang lain.

Alhamdulillah, kami sekeluarga hadir bagi memberi sokongan kepada dua orang anak yang tampil ke pentas kali ini. Hana Sumayyah, 6 tahun – anak kedua kami menamatkan pengajian di PASTI al-Fathonah Pasir Putih Putatan menerima sijil konvokesyen dan hadiah tempat pertama di PASTInya. Seorang lagi, Abdul Hadi turut menerima hadiah tempat kedua dari PASTI yang sama untuk kelas murid 5 tahun. Sehingga kini, 3 orang anak-anak kami menuntut di PASTI dan insya Allah seorang lagi akan memasuki institusi yang sama tahun hadapan.

Sudah berlalu beberapa hari program ini barulah saya dapat membuat sedikit catatan berkenaannya. Secara sembang-sembang, hasrat mengadakan projek ini sudah lama saya luahkan kepada ketua bahagian saya, Ustaz Musally Moksin. Secara lebih serius, ia diurus kurang daripada tempoh sebulan sebelum tarikh program berlangsung pada 21 Disember lalu di Dewan Saadah Wisma MUIS.

Sebelum kertas konsep dibentang dalam mesyuarat, saya ada berbincang dengan Timbalan Pengarah – Ustaz Sidik Ag Adi tentang tarikh berkenaan. Saya hubungi penceramah yang dicadangkan lebih awal dan jabatan yang berkaitan iaitu JAKIM Putrajaya dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ketetapan melalui kertas konsep yang saya bentangkan mencadangkan tarikh yang sama, hanya sasaran kehadiran dan tempat berubah. Asalnya kehadiran disasarkan kepada 150 sahaja ditujukan kepada pegawai-pegawai agama di JHEAINS, JAKIM, Sektor Pendidikan Islam (SPI), BAKA, KAGAT dan wakil NGO Islam. Namun mesyuarat bersetuju untuk membuka kepada umum yang berminat dengan sasaran baru seramai 500 orang.

Alhamdulillah, sasaran kehadiran tercapai melalui rekod kedatangan bahkan saya meyakini ramai yang hadir tanpa menulis daftar kehadiran mereka berdasarkan juadah makanan untuk 500 orang habis dan ‘licin’. Sebenarnya ada beberapa ujian yang menimpa kami para urusetia penganjur terutama bagi mengatur para penceramah.

Urusan pengesahan nama penceramah selesai pada jumaat, iaitu empat hari sebelum majlis berlangsung. Namun kami tidak menjangkakan bahawa penerbangan ke Sabah dalam tempoh seminggu kebelakangan ini penuh sesak dengan sebab ramai balik bercuti untuk sambutan Krismas. Tiada tiket yang kosong kecuali hanya dua – kelas perniagaan lewat petang sehari sebelum majlis berlangsung.

Dua daripada tiga penceramah dari Semenanjung (dan satu dari Sabah) dapat didatangkan dengan tiket kelas perniagaan yang diluluskan oleh pihak pentadbiran jabatan sementara satu lagi tidak dapat hadir akibat tiada kekosongan. Akhirnya kami terpaksa merombak penceramah dan tajuknya, dan terjadilah sebagaimana yang disaksikan pada pagi berkenaan yang sepanjang majlisnya dipengerusikan oleh Ustaz Haji Sotimin Sarun.

Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar (Pensyarah Kanan di UiTM Kota Kinabalu, yang juga Ahli Majlis Fatwa Sabah dan Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah) dengan moderator Ustaz Jumain Abdul Ghani, mengambil slot yang pertama menceritakan tentang ajaran Qadiani daripada segi sejarah, ciri-ciri dan doktrinnya. Antara doktrin utamanya ialah dakwaan Mirza Ghulam Ahmad Qadiani adalah seorang Nabi, menghapuskan jihad, meyakini Nabi Isa al-Masih wafat di Kashmir India dan sebagainya.

Ustaz Azezul Zul Azmi mewakili JAIS membawa tajuk ‘Menangani Qadiani : Pengalaman Negeri Selangor’ dimoderatorkan oleh Ustaz Abdul Razak Hamdin. Anak muda ini mendedahkan usaha-usaha kerajaan Negeri Selangor sama ada dalam bentuk dakwah, pendidikan, penguatkuasaan dan pendakwaan kepada kumpulan ini yang terdapat di beberapa lokasi di negeri tersebut Perkongsian beliau seterusnya dalam bentuk dialog menyatakan keperluan umat Islam sendiri agar mendalami Islam secara istiqamah daripada segi aqidah, syariah dan akhlak.

Slot sebelah petang dipimpin oleh ulama terkenal Dato’ Ustaz Haji Ismail Kamus dengan tajuk ‘Sihir dan amalan perbomohan dalam masyarakat Islam’. Sebenarnya, oleh kerana program ini adalah inisiatif Unit Penyelidikan, maka ramai menyangka saya yang mencadangkan Dato’ Ismail Kamus sebagai salah satu penceramah. Sedangkan sebenarnya saya mencadangkan penceramah lain yang kemudian ditukar dengan al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus hasil cadangan Ustaz Najion Jamil, seorang pegawai senior di bahagian kami.

Dalam pembentangannya yang dipengerusikan oleh Ustaz Hamdani Omar, antara yang diutarakan oleh beliau ialah kajian berkenaan bagaimana sihir itu boleh diperolehi seperti contohnya mushaf kecil yang diletak di tumit dan dipijak secara sengaja selama tujuh hari; menulis ayat al-Quran dengan menggunakan najis seperti darah haidh untuk dijadikan azimat; memijak mushaf atau membawa mushaf ke tandas untuk dihina; menyembelih haiwan seperti kambing, ayam atau merpati hitam dengan menyebut kalimah tertentu untuk memuja syaitan; membunuh orang Islam untuk diambil darahnya untuk dipuja dan dijamu kepada makhluk halus dan seumpamanya.

Alhamdulillah, huraian beliau dapat menjelaskan amalan-amalan yang berlaku dalam masyarakat khususnya dalam perubatan tradisional yang kadang-kadang tanpa disedari telah menyeleweng daripada ajaran Islam. Kepada beliau, saya menjelaskan ini adalah satu program pembuka jalan untuk program pencerahan aqidah Islam yang sahih pada masa hadapan anjuran JHEAINS. Insya Allah akan ada siri berikutnya dengan tajuk dan isu aqidah yang lain pula.

Kami perhatikan ustaz dikerumumi ramai selepas itu untuk mendapatkan tandatangan di buku-buku tulisan ustaz yang berada di pasaran. Sahabat saya Sdr Azman Talib yang membuka gerai di luar dewan kehabisan buku-buku tulisan Ustaz Dato’ Ismail Kamus yang dibeli oleh audien. Antaranya ialah buku bertajuk ‘Jin Hakikat dan Pengubatan’, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ dan ‘Indahnya Amalan Berdoa’. Terima kasih semua.

BERSAMA SHARIFAH KHASIF

Sepanjang majlis berlangsung, saya hanya duduk sebentar. Asyik merayau ke seluruh dewan mengambil foto kenangan sempena Ma’al Hijrah 1432 ini. Pada saat-saat akhir majlis saya berada di hadapan mengambil foto penerima anugerah.

Saat YB Timbalan Ketua Menteri berangkat keluar dewan saya berada di sudut dewan sebelah hadapan. Tidak pula menyangka rupanya Qariah Antarabangsa Hajah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman berada tidak jauh dari kedudukan saya.

Maka ketika itu ramailah orang berebut-rebut untuk bergambar bersama-sama beliau sebagai kenangan. Saya berada di lokasi yang tepat untuk menggambar mereka bersama Hajah Sharifah Khasif. Tidak lama, kerana kemudian Hajah Sharifah ‘ditarik’ cepat keluar menuju ke bilik jamuan bersama tetamu. Ramai juga yang telah bersusun untuk bergambar terpaksa pulang hampa.

Saya pun bersama keluarga ke luar dewan menuju ke kereta. Tapi khabarnya, selepas jamuan makan, ramai sahabat-sahabat mengambil kesempatan untuk bergambar lagi. Melepaslah Abu Nuha. 🙂

PENERIMA ANUGERAH

Semoga ia menjadi pemangkin semangat dan motivasi untuk terus berkhidmat.

Hajah Faridah Datuk Abu Bakar Titingan (BERNAS Sabah)

Abdul Manap Mahmud (mantan YDP ABIM Sabah)

Tuan Haji Syed Hussin Habib Omar (Pengurus Masjid Bandaraya) mewakili Tuan Haji Jamal Tun Sakaran yang masih berada di luar negara.

Dr Md Yusuf Ibrahim, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mewakili Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) untuk anugerah khas.

Pengerusi JK Masjid ar-Rahim Pekan Keningau

Pengetua SMKA Mohamad Ali Ranau

Wakil JK Taman Perkuburan Kg Benoni Papar.

Kami sekeluarga keluar rumah dengan suasana hujan mula membasahi beberapa kawasan di Putatan. Tidak terlalu awal kerana bunyi lintas langsung (sepatutnya siaran langsung) oleh Sabah fm yang kami dengari di kereta, majlis baru bermula dengan lagu negaraku, negeri sabah dan asmaul husna.

Saya mencuba untuk parkir di perkarangan Wisma MUIS dan nampaknya mudah untuk mendapatkan tempat. Adakah tetamu tidak ramai dan majlis ini tidak mendapat sambutan?

Di ruang legar Wisma MUIS ramai orang ke hulu ke hilir. Ada yang kata, dewan sesak, tambahan tiada pemancar di ruang legar seperti biasa dilakukan menyebabkan ramai bertebaran dan akhirnya pulang. Saya langsung naik ke atas dan di pintu utama susah untuk lepas masuk kerana orang ramai bersesak di laluan.

Saya cari pintu masuk yang lain dari sisi dewan. Sebenarnya tidaklah terlalu sesak, masih ada kerusi yang kosong kalau pandai cari. Ketika sampai, Hajah Sharifah Kasif baru selesai mengumandangkan tilawahnya. Perasmian dilakukan oleh Timbalan Ketua Menteri DSP Haji Yahya Hussin. TYT bercuti  di luar negara dan Ketua Menteri tidak hadir.

Di satu sudut, saya melihat duduk santai dan bersembang seketika dengan Supt Haji Abdul Latif Ibrahim, ADC TYT yang peramah dan baik hati. Cerita dan gosip tapuk pemerintahan di istana menjadi topik kami bersama. Banyak juga cerita menarik.

Ceramah Ustaz Roslan Mohammad yang bersuara garau dan mantap menarik perhatian saya. Beliau bercerita tentang watak-watak penting dalam peristiwa hijrah. Memberi teladan kepada kita bahawa kerja dakwah menuntut kerjasama semua pihak termasuk orang bukan Islam yang turut berperanan dalam peristiwa hijrah.

Penganugerahan tahun ini menyaksikan tiada penerima Anugerah Pendakwah. Mungkin tokoh yang berkelayakan ada, tetapi tiada yang mengutarakan ke pihak urusetia untuk ditapis dan dipilih.

Hajah Faridah Datuk Abu Bakar (BERNAS) menerima Anugerah Sayyidatina Khadijah, Abdul Manap Mahmud (mantan YDP ABIM Sabah) menerima Anugerah Khalid al-Walid, Haji Jamal Tun Sakaran (Pengerusi al-Mubarak Masjid Bandaraya) menerima Anugerah Abdul Rahman Auf, Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) menerima Anugerah Khas.

Masjid ar-Rahim Pekan Keningau menerima Anugerah Masjid Cemerlang, Surau al-Bukhari SMKA Mohammad Ali Ranau menerima Anugerah Surau Cemerlang dan Taman Perkuburan Umat Islam Kg Benoni Papar menerima Anugerah ar-Raudhah.

 


Sebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan.

Semua dijemput hadir.

%d bloggers like this: