Tag Archive: DBKK


Ada sedikit masa yang terluang pada akhir petang selasa saya berziarah sendirian ke bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk melihat-lihat ‘Penyertaan Awam’ terhadap pameran Deraf Pelan Tempatan Kota Kinabalu 2020 (KKLP 2020)  di tingkat 1 bangunan DBKK. Rupanya pameran Deraf KKLP 2020 ini telah berlangsung sejak  September lalu dan berakhir pada akhir bulan ini.

Deraf ini dimaklumkan terbuka kepada pemeriksaan awam dalam tempoh penyediaan dan pindaan berikutnya nanti. Pelan ini disediakan oleh perunding bagi pihak Jabatan Perancangan Bandaraya, DBKK. Menurut maklumat yang saya baca, sekiranya pengunjung mempunyai sebab untuk tidak bersetuju dengan pelan berkenaan dengan sebarang alasan, pengunjung perlu mendapatkan penjelasan bertulis daripada DBKK.

Jika tidak bersetuju juga, pengunjung perlu menyerahkan bantahan bertulis kepada Mayor DBKK dengan menyatakan alasan bantahan, dan perubahan yang dicadangkan. Sebenarnya DBKK ada menyediakan borang bantahan atau boleh muatturun borang ‘online’ untuk tujuan komen atau bantahan. Bantahan juga diterima melalui emel, faks, atau surat serta membuat pengesahan terhadap setiap bantahan yang diterima.

SIAPA YANG HARUS MELAWAT?

Setiap penduduk bandaraya Kota Kinabalu terutama pemilik tanah, arkitek, jurutera, juruukur, perancang bandar, ejen hartanah, pemaju, pengurus bank, pelajar dan sebagainya.

Soal pameran ini, hanya satu saja yang saya kurang setuju dan sudah saya tegur, iaitu penggunaan bahasa inggeris secara 100 peratus dalam pamerannya. Adakah ia menunjukkan mereka memang benar terlepas pandang, atau tidak mahu memartabatkan bahasa melayu, atau tidak mahu orang kampung yang tidak pandai atau kurang mahir berbahasa inggeris untuk membaca, memahami dan seterusnya memberi respon terhadap pelan deraf berkenaan?

Bukankah mereka semua berhak untuk memberikan pendapat?

Selain Deraf KKLP 2020, turut diadakan ialah pameran Pelan Struktur Kota Kinabalu 2030.

TONG SAMPAH BAWAH MEJA

Saya menyanjung apa jua kebaikan yang dibuat walaupun ia nampaknya seperti remeh saja. Kerana Islam mengajar tidak memandang remeh satu kebaikan walaupun kecil. Boleh jadi kebaikan yang kecil itu lebih dipandang Allah SWT dan melembutkan hati orang yang memandangnya.

Selepas meronda di Tamu Gaya, kami minum di sebuah restoran berhampiran. Nampaknya restoran kecil ini boleh buat duit banyak khususnya pada hari ahad. Meja dan kerusi penuh dengan pelanggan yang barangkali kehausan setelah menyelesaikan urusan masing-masing di Tamu Gaya. Bahkan ada yang berdiri menunggu giliran untuk masuk makan minum di restoran ini.

Menarik saya melihat papan tanda di atas. Ia satu usaha baik walaupun kecil, melatih pelanggan dan pengguna menjaga kebersihan. Setiap bawah meja menurut papan tanda berkenaan disediakan tong sampah bagi kemudahan semua pihak. Tapi saya ‘subuk’ juga bawah meja, kebanyakannya tiada tong sampah yang dimaksudkan. Yang saya nampak tepi meja tempat kami minum-minum itu.

Ia satu usaha yang baik tapi patut-patut juga dipantau sekali sekala. Pelanggan juga boleh menegur.

MTQ DBKK

Alhamdulillah, Majlis Tilawah al-Quran peringkat warga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berlangsung lancar pada pagi khamis dengan penyertaan 10 orang peserta qari dan qariah. Saya bersama rakan-rakan – Ustaz Haji Ibrahim Kisab, Ustaz Mohd Hailmi Misbah dan Ustaz Romzi Abdul Rahman diamanahkan sebagai hakim MTQ berkenaan.

Saya positif dalam hal penganjuran MTQ di peringkat jabatan-jabatan dan kementerian kerana memandang daripada segi dakwahnya masih ramai umat Islam yang gagal membaca al-Quran dengan baik dan tidak tahu asas-asas ibadah dalam Islam. Penganjuran program seumpama ini walaupun kecil-kecilan dan sederhana memberi ruang mereka mengendalikan majlis yang baik dan sebahagian kecil mereka memperdengarkan tilawah kepada yang hadir.

Dalam ulasan saya di hadapan audien tempohari, saya ada mencadangkan kelas-kelas al-Quran diadakan dan digiatkan untuk warga DBKK mendalami asas-asas pembacaan al-Quran yang betul menurut peraturannya. Semoga MTQ DBKK ini ada manfaatnya untuk semua.

 

 

Bah. Kalau ada bayaran tertunggak tu, bayarlah. Samalah kita. Aku pun lama sudah tunggu bulan pengampunan ni. Macam lama sudah tidak bayar tu parking kereta.

‘RIBUT TAUFAN’ DI KG BAKAU

 

Beritanya hangat. Sehangat hati mereka yang menjadi mangsa. Perobohan rumah manusia seagama  begitu menyayat hati. Mangsanya orang Islam. Yang tukang roboh juga orang Islam.

Saya kurang maklum, di mana mereka meletakkan hadith Nabi bahawa umat Islam itu bersaudara. Seperti satu badan yang turut merasa sakit anggota yang lain, seperti sebuah bangunan yang saling melengkapi.

Khabarnya, ada manusia-manusia rakus dibalik tragedi menyedihkan ini. Pekerja DBKK dan RELA hanya sebagai alat sahaja. Ada pembesar yang berhati kecil menempah kawasan tanah untuk kepentingan sendiri. Mengaut keuntungan di atas penderitaan orang lain.

Perobohan rumah mereka bermula sejak 12 April lalu dan ia terhenti pagi jumaat setelah mahkamah menerima injuksi sementara terhadap DBKK. Hujung minggu lalu kebetulan ada urusan di kawasan berdekatan, saya singgah dan mendengar cerita-cerita duka mereka.

Saya cadang, yang simpati berkunjunglah ke sana walau seketika. Berikan mereka khabar gembira bahawa Allah SWT bersama orang yang sabar.

Akhbar Daily Ekspress hari ini, selasa 27 April 2010 :

49 penduduk dapat injuksi sementara terhadap DBKK

Jo Ann Mool

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan injuksi sementara untuk 49 penduduk kampung Bakau di Likas untuk menghalang Dewan Bandaraya Kota Kinabalu daripada memasuki, mengusir dan merobohkan rumah mereka serta struktur bangunan di kampung tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Dato’ Abdul Rahman Sebli mengeluarkan perintah itu di kamarnya selepas mendengar saman ex-parte oleh plaintif, diketuai Dimulu @ Nasir Ahid dan 48 penduduk lain.

Penduduk kampung itu melalui peguan Erveana Ansari memfailkan permohonan mereka dan menamakan Datuk Bandar Kota Kinabalu sebagai defendan tunggal mengikut Perintah 29, Peraturan 1 (2) dan Perintah 92 Peraturan 4, Peraturan Mahkamah Tinggi 1980.

Para penduduk kampung itu, dalam afidavit sokongan mereka, mendakwa mereka terdiri daripada pelbagai suku kaum asal dan memiliki sebidang tanah di bawah Geran Tanah Natif No 011243330 dikenali sebagai Kampung Bakau, Likas.

Mereka mendakwa telah tinggal secara kekal atas tanah tersebut sebelum ia dipindahmilik kepada defendan oleh pihak berkuasa Negeri.

Plaintif itu juga mendakwa, Kerajaan dan DBKK telah mengiktiraf dan meluluskan hak adat penduduk apabila mereka meluluskan antara lain bangunan sekolah, lot parkir, rumah ibadat, pengubahsuaian serta menyediakan kemudahan telefon dan elektrik.

Mereka mendakwa, rumah-rumah mereka sedang dirobohkan tanpa perintah mahkamah sewajarnya dan tanpa defendan memastikan sempadan tanahnya dengan tanah Negeri, merobihkan struktur dan kemudahan tanpa garis panduan sempadan yang sempurna.

Plaintif mendakwa mereka telah dimaklumkan Jabatan Tanah dan Ukur pada 2008, bahawa jabatan itu tidak ada diberitahu oleh defendan yang defendan akan merobihkan rumah atas tanah Kerajaan sekitar tanah tersebut.

Mereka mendakwa, defendan telah memusnahkan 70 peratus daripada rumah di situ tanpa mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu dan akan merobohkan rumah-rumah selebihnya.

Plantif berkata, perlakuan berterusan defendan dan atau ejennya merobohkan struktur dan rumah atas tanah itu adalah menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan peraturan ‘keadilan asasi’ dan menggesa mahkamah memberikan injuksi kepada plaintif terhadap defendan.

Mengangkut barangan yang berbaki..

img_1009Khamis 16 April, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Sabah telah melakukan kunjungan ke pejabat Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Hj Ilyas Ibrahim di bangunan Centre Point.

Sementara pihak P.U.M. disertai oleh 9 AJKnya diketuai oleh pengerusi, Ust Muchlish Ali Kasim dan timbalannya Ust Bungsu Aziz Jaafar; pihak DBKK pula diketuai oleh Datuk Mayor sendiri bersama pegawai kanan beliau, En Ajilus.

img_0981Tujuan utama kunjungan PUM adalah untuk mengucapkan tahniah atas anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri pada 9 April lalu, disamping membina hubungan dua hala.

Dalam pertemuan sejam itu, banyak pertukaran maklumat diperolehi oleh kedua-dua pihak.

Datuk Ilyas sendiri mengharapkan para ulama’ membantu menerangkan kepada awam usaha-usaha DBKK untuk menjaga kebersihan bandaraya. Sambil mengatakan bahawa kebersihan sebahagian daripada ajaran Islam, harapan beliau agar mimbar masjid dapat menegaskan soal berkenaan.

Antara program berkenaan ialah kempen anti kutu sampah yang kelihatan berjaya memperlihatkan kebersihan Bandaraya Kota Kinabalu jauh lebih baik berbanding 5 tahun lalu.

img_0990Pihak PUM mengakui, usaha yang dijalankan oleh DBKK itu sebenarnya memerlukan kekuatan dan kesungguhan untuk melihat DBKK bersih dan indah.

Datuk Mayor juga memberitahu, DBKK ada merancang untuk membina sebuah masjid baru bernilai RM20 juta berdekatan hotel Hyatt dan Wisma Merdeka.

Pihak DBKK katanya sudah menyediakan tapak, serta berharap kerajaan negeri dapat menyediakan kos pembinaan.

Di pihak PUM pula mengambil kesempatan untuk mengajukan beberapa respon seperti keperluan surau-surau yang selesa di kompleks-kompleks membeli belah sekitar bandaraya.

Ada pusat membeli belah yang langsung tiada surau, sementara yang punya surau menghadapi pelbagai masalah seperti lokasi yang tidak sesuai, bau yang kurang menyenangkan, serta pengurusan yang tidak sempurna.

img_0987Pihak PUM mengucapkan terima kasih atas kesudian Datuk Mayor menerima kunjungan kami.

Lebih daripada itu, harapnya segala pandangan yang tidak dapat dinyatakan kesemuanya di sini dapat diberi perhatian untuk kebaikan bersama.

Insya Allah, hubungan itu akan berterusan selepas ini. PUM akan bersedia memberikan khidmatnya untuk manfaat agama Islam dan ummatnya.

img_1004

img_1022

%d bloggers like this: