Kira-kira 500 peserta kalangan saudara kita menghadiri Konvensyen Pembangunan Saudara Kita Peringkat Negeri Sabah 1432/2011 yang diadakan di Wisma MUIS Kota Kinabalu selama dua hari iaitu 3 dan 4 Oktober lalu. Pada hari pertama, beberapa acara diadakan secara serentak di Bilik Hikmah dan Bilik Madani seperti tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, pidato, kuiz dan nasyid.

Ia merangkumi para peserta yang mewakili daerah dan kelas pengajian saudara kita seperti Sipitang, Beaufort, Membakut, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Keningau, Tuaran selain kelas di Teratak Fitrah dan Raudhah – kedua-duanya Kota Kinabalu. Sebelum ini, konvensyen seumpama ini pernah diadakan di luar Kota Kinabalu seperti di Kudat, Kota Marudu dan lain-lain.

Pada hari kedua, dua ceramah dan satu forum diadakan sebelum majlis penangguhan dilakukan oleh YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran Menteri Di Jabatan Ketua Menteri mewakili YAB Ketua Menteri. Terdahulu, dua ceramah disampaikan oleh penceramah terkena Ibu Irene dari Indonesia yang merupakan mantan sister ketika menganut agama Kristian dan ceramah kedua oleh SS Ustaz Kifli Yasin, Mufti Negeri Sarawak sebelum forum diadakan melibatkan panel yang sama dan dipengerusikan oleh Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar.

Dalam majlis berkenaan, selain menyampaikan hadiah kepada para pemenang, turut disampaikan ialah bantuan oleh Pusat Zakat Sabah melibatkan empat buah kelas pengajian saudara kita dengan jumlah bantuan sebanyak RM80 ribu. Beberapa kelas pengajian saudara kita juga mengadakan pameran masing-masing di ruang legar yang menarik perhatian pengunjung yang datang melihat, antaranya Teratak Fitrah Kota Kinabalu, Raudhah Kepayan, Badan Pendidikan Saudara Kita Keningau dan Titian Hijrah Kota Belud.

Tahniah kepada JHEAINS (khususnya Bahagian Dakwah), Pusat Zakat Sabah, semua persatuan-persatuan saudara kita dan peserta yang terlibat. Semoga majlis ini memberi manfaat dan kenangan buat semua yang terlibat seterusnya mengukuhkan ukhuwah Islam.