Tag Archive: Datuk Haji Mokhtar Rapok


IMAM-IMAM BESAR MNS

Saya mengambil sedikit masa bercerita sebentar dengan Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok selepas habis kenduri tahlil arwah di perkarangan rumah Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi petang ahad 15 Januari. Cerita kami antara lain berlegar tentang Allahyarham Datuk Haji Asmali, dirinya dan Masjid Negeri Sabah. Fokusnya berkenaan imam-imam Masjid Negeri Sabah.

Menurut Datuk Haji Mokhtar, Imam Besar Masjid Negeri Sabah yang pertama ialah (Allahyarham) Datuk Imam Pandin sejak tahun 60an sehingga tahun 1983. Masjid Negeri Sabah pada peringkat awal ialah Masjid Kg Sembulan sebelum berpindah ke Masjid Negeri Sabah yang ada sekarang sejak tahun 1976. Menarik juga, Datuk Haji Mokhtar sendiri pernah terlibat sebagai tenaga buruh yang membina Masjid Negeri Sabah.

Beliau masuk bertugas sebagai Penolong Imam Besar pada 1979 dan tidak ramai yang tahu bahawa sebelum itu beliau adalah guru al-Quran di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah selama dua tahun. Apabila Datuk Imam Pandin mengundur diri kerana masalah kesihatan, beliau dilantik sebagai pemangku Imam Besar sekitar tahun 1983 tidak kurang 4-5 tahun juga, katanya. Banyak cerita menarik sebelum beliau naik sebagai imam besar kerana baginya ada tokoh yang lebih senioriti patut diketengahkan.

Beliau ada bercerita tentang Tuan Imam Haji Maarif Ansat dari Beaufort yang ketika itu sebagai penolong imam besar. Beliau seorang qari yang hebat pada zamannya dan saya pernah mendengar alunan tilawah beliau beberapa tahun lepas. Bakat beliau diturunkan kepada anaknya Ali Khairuddin yang kini bergelar Imam Muda Ali selepas menyertai Program Imam Muda ASTRO Oasis tahun 2011. Khabarnya ada satu komplot oleh orang-orang politik ketika itu (pertengahan 80an) agar Tuan Imam Haji Maarif disingkirkan dari Masjid Negeri Sabah. Pendek cerita, beliau akhirnya bertugas sebagai imam di Masjid Daerah Beaufort.

Dalam tempoh berkenaan, Haji Asmali Bachi (Allahyarham) dibawa ke Masjid Negeri Sabah sebagai Penolong Imam Besar. Selepas pengajian beliau di Maahad Tahfiz Kuala Lumpur berakhir, beliau dilantik sebagai guru besar di sebuah sekolah agama di Papar. Haji Asmali kemudian dipujuk ke Masjid Negeri Sabah dengan Datuk Haji Mokhtar Rapok bertugas sebagai Imam Besar pada tahun 1986 hingga 2002 dan Haji Asmali Bachi sebagai orang nombor dua.

Selepas itu, Datuk Haji Asmali mengambil alih sehingga 2004 sebagai Imam Besar dan Datuk Haji Mokhtar Rapok pula dalam tempoh itu ke Bahagian Pentadbiran Masjid dan Wilayah. Selepas itu Datuk Haji Asmali ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Likas dan Datuk Haji Mokhtar Rapok kembali ke Masjid Negeri Sabah sebagai Imam Besar buat kali kedua sehingga pertengahan tahun 2005.

Ustaz Haji Nahar Mantamin (Allahyarham) dari Bahagian Dakwah JHEAINS kemudiannya dibawa ke Masjid Negeri Sabah sebagai Imam Besar sehingga September 2008. Selepas itu, Ustaz Haji Ibrahim Kisab mengambil alih sehingga sekarang.

Ini adalah jadual terkini kuliah tafaqquh di Masjid Negeri Sabah setelah berlaku sedikit perubahan hari pada subjek Tafsir yang sebelum ini diadakan pada setiap sabtu malam ahad, dibawa ke hari ahad malam isnin. Begitu juga salah seorang pembimbing kuliah tafsir iaitu Ustaz Haji Ahmad Nasir yang menarik diri dan digantikan dengan Ustaz Nazri Yakob. Masanya juga ditambah 15 minit – diawalkan bermula 8.15 malam dan berakhir 9.30 malam.

Kami berharap gelombang untuk menghadiri kuliah selepas isyak ini kembali meriah memandangkan ia agak suram sedikit selepas bercuti sepanjang Ramadhan tempohari. Jika kuliah sebelum ini dihadiri lebih 50 orang ke atas bahkan pernah kehadiran sehingga 70-80 orang, bersambung selepas hari raya ia merundum di bawah 30 orang sahaja. Bahkan ada kuliah yang hanya dihadiri sekitar 10 orang. Kami mengakui hakikat bahawa antara perkara yang paling sukar dalam menunaikan ibadah ini ialah istiqamah dan konsisten. Inilah yang berlaku terhadap kuliah ini.

Sokongan umat Islam untuk bersama-sama mengimarahkan masjid melalui pengajian berkitab ini. Ia bukan untuk kepentingan mana-mana peribadi, tetapi untuk kebaikan semua pihak. Ilmu dapat, pahala pun dapat. Harap dapat disebarkan.

Kira-kira 300 peserta lelaki dan perempuan terutama penjawat awam, wakil pelbagai persatuan, wakil-wakil masjid dan orang perseorangan hadir menyertai Majlis Tadarrus dan Khatam al-Quran menjelang tahun baru hijrah di Masjid Negeri Sabah pada petang isnin lalu.

Majlis berkenaan diurusetiakan oleh JHEAINS dan dipimpin oleh sepuluh orang pembimbing. Para peserta dibahagi-bahagikan kepada 10 kumpulan utama yang bertadarrus 3 juzu setiap kumpulan bermula jam 2.30 petang. Sementara itu majlis khatam al-Quran bermula pada jam 4.30 petang diketuai oleh Ustaz Datuk Haji Mokhtar Rapok dan Imam Saidin Haji Arpha.

Majlis ini pertama kali dianjurkan oleh kerajaan negeri tahun ini dan sebagai urusetia kami mendengar dan menerima pelbagai komentar dan cadangan untuk memperbaiki lagi majlis ini pada masa akan datang. Antara cadangan yang menarik ialah agar melibatkan lebih ramai peserta khususnya para pemimpin termasuk menteri dan wakil rakyat. Walaupun sasaran sebenar tidak tercapai (1000 orang), bagi saya ini adalah permulaan yang baik.

Misalnya kumpulan yang saya pimpin sebenarnya mengumpulkan beberapa jabatan, parti politik dan persatuan – yang saya agak-agak sekurang-kurangnya mengumpul tidak kurang 30-50 peserta. Namun yang hadir hanya seramai 3 orang saja dari Hospital Queen Elizabeth untuk menghabiskan 3 juzu’. Mujurlah ada anak-anak tahfiz yang datang belakangan dan ‘menjamin’ sejuzu daripadanya.

Tahniah kepada semua yang menyertai dan terima kasih kepada ahli kumpulan saya – Tahir Abdullah, Adzlan Idris dan Abd Rahman (foto atas) yang berkongsi masa bertadarrus al-Quran. Semoga semua amal itu diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baiknya.

Majlis Khatam al-Quran

%d bloggers like this: