Ziarah hari raya memberi peluang kepada kita untuk merapatkan ukhuwwah islamiyyah, kekeluargaan dan persahabatan. Ada sahabat atau kenalan sekadar di pejabat, masjid, surau atau di padang permainan. Justeru hari raya adalah waktu kondusif untuk berziarah sambil menikmati juadah yang disediakan tuan rumah.

Kami menyambut hari raya dengan pertambahan ahli keluarga yang baru. Anakanda kami, Muhammad Ubayy Ka’ab baru berumur 2 minggu pada 1 Syawal. Saya dan isteri merancang dengan mengambil kesempatan berziarah ke rumah para alim ulama’ dan memohon tahnik kepada mereka untuk anak baru kami.

Hari raya pertama, kami berziarah ke rumah Sahibus Samahah Datuk Haji Ismail Abbas, mantan mufti kerajaan negeri Sabah. Rumah beliau di Likas dan agak meriah dengan keluarga besar mereka. Kebetulan salah seorang ipar saya adalah menantu kepada beliau juga. Meskipun  ada hubungan kekeluargaan, sudah tentu saya tetap merasa segan dan hormat bertemu dengan beliau. Hanya sebelum pulang, saya berani memohon izin beliau untuk mentahnikkan Ubayy.

Ubayy dipangkunya, ditahnik dan didoakan perlahan. Saya terdengar beliau mengungkapkan beberapa ayat al-Quran yang mengandungi doa, yang antara lain mendoakan rahmat dan kasih sayang Allah kepadanya. Alhamdulillah, Ubayy walaupun anak keenam, adalah anak pertama yang ditahnik oleh Datuk Haji Ismail Abbas.

Jumaat (malam tadi), kami berziarah ke rumah Tuan Guru Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim di Kg Linsuk Putatan pula. Sambil berhari raya, ada majlis aqiqah untuk cucu beliau juga, anakanda kepada anak beliau yang bungsu, Syakirah. Cucu perempuan beliau ini lahir di Bangi beberapa hari sebelum Ramadhan tempoh hari. Selain itu Ubayy dapat juga ditemukan dengan seorang bayi perempuan lain yang lahir pada pertengahan Julai, anak kedua kepada Ustazah Faezah Karim.

Saya turut pohon izin Ustaz Muchlish mentahnikkan Ubayy dan beliau dengan senang hatinya menerima permintaan kami. Beliau mendoakan Ubayy dengan doa yang Nabi SAW bacakan kepada Abdullah bin Abbas RA, bermaksud : Ya Allah, fahamkan anak ini dalam perkara agama Islam, dan ajarkannya ilmu ta’wil (tafsir). Semoga doa-doa untuk Ubayy dimaqbulkan oleh Allah SWT.

Saya akan terus menziarahi para Ustaz selepas ini dan memohon tahnik kepada mereka untuk Ubayy. Memang menjadi amalan saya sejak anak pertama, Nuha Wafiyyah sehingga Ubayy ditahnikkan oleh saya sendiri untuk kali pertama dan kemudian saya serahkan kepada para alim ulama’. Di kalangan anak-anak, ada yang pernah ditahnik oleh Shaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari, Dato’ Ustaz Haji Ismail Kamus dan lain-lain.

Seperti yang pernah saya catatkan, amalan ini jarang dipraktikkan oleh para ibu bapa di dalam masyarakat kita walaupun ia adalah sunnah Rasulullah SAW, dan saya mahu mempromosinya melalui blog Abu Nuha Corner ini kepada para pelayarnya.