Teruja juga melihat pertemuan qari-qariah baru dan lama khususnya johan-johan antarabangsa di rumah tokoh tarannum al-Quran yang terkenal di Malaysia iaitu Ustaz Haji Nik Jaafar di Kg Kangkong Pasir Mas Kelantan pada 13 September 2010. Sungguh mulia hati mereka mengaturkan majlis penuh barakah seumpama ini, menemukan ahli-ahli al-Quran dan mengeratkan ukhuwah sesama mereka dan mendengar alunan wahyu Allah SWT.

Barangkali pihak yang lebih utama sewajarnya mengembangkan idea dan haflah di Pasir Mas ini dengan mengumpulkan kembali qari qariah yang masih hidup, juga pakar-pakar al-Quran bertukar pandangan dan ilmu, melontarkan idea-idea bernas untuk memperbaiki kualiti penguasaan ilmu al-Quran di Malaysia termasuk berkenaan adab dan akhlak terhadap al-Quran, juga ilmu yang berkaitan tentang al-Quran seperti qiraat, tarannum, tajwid, tafsir, asbab an-nuzul dan seumpamanya.