Dato' Solah @MTQQNS (1)

Dalam dunia tahfiz al-Quran di Malaysia, Ybhg Dato’ Haji Salehuddin Omar bukanlah asing. Beliau adalah otai dalam dunia tahfiz, ilmu tajwid dan qiraat. Beliau kumpulan penghafaz al-Quran pertama di Malaysia selepas merdeka bersama-sama dengan Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad, Dato’ Abu Hassan Din dan lain-lain di Masjid Negara. Beliau pengetua maahad tahfiz Malaysia yang pertama yang memulakan pengajian berstatus diploma pada awal tahun 1980an.

Mengasaskan institusi tahfiz al-Quran di Brunei atas titah Sultan Brunei bersama Tan Sri Syeikh Ismail serta menjadi hakim tilawah al-Quran kebangsaan sejak 1979 sehingga kini dan juga hakim tahfiz kebangsaan dalam tempoh yang lama. Juga tenaga penting dalam Lajnah Tashih al-Quran di bawah Kementerian Dalam Negeri. Dalam usia pertengahan 60an kini, beliau masih giat mengajar al-Quran dan al-Qiraat baik di Malaysia bahkan sampai ke Singapura.

Apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mengundang beliau bersama dua tokoh lain ke Kota Kinabalu untuk Bengkel Penghakiman Tilawah Negeri Sabah (28-30 Januari 2013), saya mencari ruang kosong untuk beliau berziarah dan memberi kalam nasihat kepada kami warga Maahad Tahfiz Sabah. Kesudian beliau datang dan bercerita sekitar sejam pagi tadi sangat bermanfaat untuk kami semua.

Beliau bijak menceritakan pengalaman dirinya menghafaz al-Quran serta mendorong pelajar agar tidak jemu untuk menghafaz al-Quran. Meletakkan dirinya ketika itu sebagai seorang pelajar yang lemah dalam mengingat al-Quran berbanding orang lain, beliau memberikan ransangan dengan menyebut beberapa kalam Allah bahawa Allah SWT akan bersama orang-orang yang berjuang dan melakukan kebaikan.

Beliau juga menceritakan sedikit sebanyak sejarah pengiktirafan diploma tahfiz al-Quran yang berlaku pada zaman beliau menjadi pengetua tahfiz ketika itu. Beliau bertemu dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan pengiktirafan. Beliau menyebut antara tokoh yang banyak memudahkan urusan dan meluluskan pengiktirafan peperiksaan tahfiz bertaraf diploma ialah Tan Sri Elyas Omar yang ketika itu berkhidmat sebagai Ketua Pengarah JPA antara 1978-1981. Beliau dikhabarkan terkejut dengan usaha-usaha menghafaz al-Quran oleh umat Islam di Malaysia yang bukan berbangsa arab.

Terima kasih atas kesudian Dato’ Solah berkunjung ke maahad kami dan berkisah tentang dirinya, insya Allah ada manfaatnya untuk warga Maahad Tahfiz Sabah.

Dato' Solah @MTQQNS (2) Dato' Solah @MTQQNS (3) Dato' Solah @MTQQNS (4) Dato' Solah @MTQQNS (5) Dato' Solah @MTQQNS (6) Dato' Solah @MTQQNS (7) Dato' Solah @MTQQNS (8) Dato' Solah @MTQQNS (9) Dato' Solah @MTQQNS (10) Dato' Solah @MTQQNS (11)