Tag Archive: DAP


harondin

Oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

SAYA lihat PAS makin bermasalah. Dahulu banyak polisi atau dasar PAS, bagi saya mudah saya terima dan mudah dipertahankan. Tetapi sekarang dalam hal berkawan dengan DAP, yang dikatakan tahaluf, saya kurang mengerti dan saya rasa sukar untuk dipertahankan. Apakah Dato’ boleh beri nasihat kepada orang seperti saya, dalam hal sebegini bagi mempertahankan PAS. Terima kasih.

SAID ADAM, Kamunting, Perak

JAWAPAN: 

APABILA PAS hendak membuat sesuatu polisi, ia bukan dibuat sesuka hati atau menurut sahaja kehendak seorang dua pemimpin. Akan tetapi ia dibuat dalam bentuk kertas cadangan yang dibawa ke beberapa tahap perbincangan daripada pandangan pemimpin peringkat negeri hingga ke PAS Pusat.

Kita mempunyai Lajnah Politik, Dewan-Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat dan dibawa ke AJK PAS Pusat. Akhirnya selepas diperhalusi dan dibincangkan, ia dibawa ke Majlis Syura Ulamak. Seandainya semua yang dilalui itu lulus syariah, maka dibawa pula ke Muktamar Tahunan PAS Pusat. Jika semuanya berjalan lancar dan diluluskan, maka baharulah ia menjadi polisi untuk dilaksanakan.

Ertinya, persoalan tahaluf yang anda sebut sebagai berkawan dengan DAP, memang berlaku dan pada istilah politiknya ‘Tahaluf Siyasi Islami'(Pakatan politik Islam). Ia dibuat dengan mengambil kira segala hukum, segala aspek kepentingan parti serta kesesuaian atau tidak dengan masa yang dibuat tahaluf tersebut.

‘Tahaluf Siyasi Islami’ adalah suatu polisi yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w., dirangka suatu pelaksanaan dasar Islam dalam masyarakat majmuk di zaman baginda. Oleh kerana Islam lahir dan berkembang dalam sebuah negara yang masyarakatnya berbilang bangsa dan agama, maka keperluan untuk mewujudkan kerjasama di antara kaum dan agama, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Ia pasti berlaku, jika tidak Islam akan tersisih dari arus penghidupan dan tertinggal di belakang, tanpa dipedulikan. Masyarakat Madinah sebagai contoh, adalah masyarakat yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang agama, iaitu Islam, Yahudi, Nasrani, Majusi, Dahri, Wathani dan sebagainya. Ia juga mempunyai pelbagai bangsa Arab, Balbar, kaum Yahudi, kaum Nasrani dan sebagainya.

Jika itulah realitinya, maka bagaimana Islam boleh hidup bersefahaman, dan mereka yang tidak Islam boleh menerima Islam. Jika tidak ada tonggak yang menyatupadukan masyarakat, dalam sebuah negara, maka di atas itu mestilah ada kerjasama yang disebutkan sebagai tahaluf siyasi. Rasulullah s.a.w. bertahaluf siyasi dengan Yahudi Bani Auf, tercatat dalam perjanjian tahaluf, iaitu pada perkara pertama disebut:

“Kaum Yahudi Bani Auf adalah satu umat bersama dengan orang Mukmin. Mereka bebas mengamalkan agama mereka sendiri dan orang Islam dengan agama mereka. Begitu juga dengan orang-orang yang bersekutu dengan mereka, termasuk juga diri mereka sendiri. Perkara ini juga untuk Yahudi-Yahudi lain dan bukan untuk Bani Auf sahaja.”

Cuba renungkan perjanjian atau persefahaman yang Rasulullah s.a.w. buat, bukan di antara orang Islam dengan Bani Auf sahaja, tetapi dengan kesemua kaum Yahudi. Ertinya jika dengan Yahudi pun Nabi s.a.w bertahaluf, maka anda harus faham mengapa PAS bertahaluf dengan DAP. Apa yang PAS lakukan adalah benar dan harus dari segi syarak, iaitu bertahaluf dengan DAP.

Di dalam al-Quranul Karim, Allah berfirman (mafhumnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik (bekerjasama) dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orangorang yang zalim.” (Surah alMumtahanah, ayat 8 dan 9)

Jika jelas sebegitu, apakah anda masih tidak boleh terima? Yang penting tindakan PAS tersebut adalah syarie dan boleh disokong orang-orang Islam. Namun demikian, tahaluf siyasi dalam Islam bukannya qat’ie atau yang mesti diikut selama-lamanya. Ianya suatu keperluan di suatu masa, selagi kepentingan Islam tidak benar-benar tergugat dan tidak mendapat keuntungan daripada bertahaluf. Ertinya ia tidak selama-lamanya.

Jika keberuntungan kepada Islam terjejas, kedaulatan Islam tidak terbela, maka tahaluf ini, dari segi hukumnya boleh disemak semula. Wallahua’lam.

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/14283-yang-membela-islam-tiga-orang-cina

HAMPIR menitis air mata menahan sebak melihat yang membela Islam dicerca Dr. Chua Soi Lek dan pemimin MCA ialah orang Cina dipercayai ketiga-tiganya bukan Islam. Jika yang sensitif apabila Islam dicerca ialah orang Islam, orang PAS dan orang yang beriman, tiada suatu yang luar biasa kerana orang Islam tidak  wajar membisu apabila agamanya dicerca.

Tetapi amat menakjubkan apabila rakan-rakan Cina yang tampil menyifatkan Soi Lek dan  MCA menghina Islam seperti yang disuarakan oleh Anthony Loke, MP DAP Rasah, kolumnis SIANG MALAM di Harakah, Lim Hong Siang dan seorang penulis lagi Sarena Tay. Pada mereka apa yang cakap oleh Soi Lek dan semua pemimpin MCA dalam perhimpunannya dua hari pada 20 Oktober lalu adalah menghina Islam, hudud dan PAS.

Mereka bukan orang Isalam, bukan beriman dengan hudud dan bukan pejuang PAS. Mereka adalah pembawa berita sebenar dan pembuka mata, sesuai dengan ajaran ilmu kewartawanan iaitu berita adalah maklumat berunsur kejutan seperti anjing digigit orang. Bukanlah berita lagi kalau orang digigit anjing. Hujah biasa jika yang membela Islam itu orang, kerana adalah tanggungjawab orang beriman membela dan menegakkan  Islam dan hukum-hukumnya. Tetapi ia adalah pembuka mata ada wibawa apabila orang yang tiada kepentingan dengan Islam  dan hudud mengira Islam dan hudud telah dicemuh.

Mereka tidak bercadang untuk mendaulatkan Islam seperti yang PAS perjuangkan dan jaga mahu hudud menjadi perundangan seperti yang dituntut oleh Islam, tetapi mereka tidak melihat bijak dan rasional apabila Islam dan hudud dihina begitu rupa. Kewajaran mereka berbuat demikian bukan untuk melihat Islam itu daulatkan tetapi tindakan  MCA itu menggamit keserahan di kalangan rakyat dan negara. DAP belajar dari keterlanjuran pemimpinnya Karpal Singh pernah berkata langah mayatnya jika Islam diperundangkan. Ia pernah menimbulkan ketegangan di kalangan orang Islam dan ia menyukarkan DAP untuk menembusi pasaran pengaruh politik.

Kesilapan itu telah dibaiki, Karpal dan DAP tidak lagi dilihat oleh umat Islam di luar UMNO sebagai pencetus ketegangan. Ketiga Cina itu termasuk ketua pemuda DAP, Anthony Loke mahu mewujudkan suasana negara yang aman, adil dan harmoni, menolak provokasi dan penghinaan terhadap Islam yang lakukan oleh MCA itu.

Lebih menjolok mata Perdana Menteri Najib telah diperalatkan oleh  MCA dalam politiknya untuk menyerang Islam dan hudud itu. Soi Lek menjemput Najib merasmikan perhimpunannya dan lepas itu menggunakan perhimpunan itu untuk menyerang hudud dan PAS. Dengan sendirinya ia menyerang dan menghina Islam.

Syukur orang Islam dapat mengawal sabar dan pendirian tidak bangun menyeru pejabat  MCA dan premis kepunyaan Cina. Tetapi ia telah mengguris perasaan orang Islam. Siapa yang dapat menghalang kalau ada orang Islam yang bangkit bertindak kasar kepada masyarakat Cina. Walaupun ketiga anak Cina memunyai rasa setiakawan yang tinggi terhadap PAS yang ada pakatan dengan DAP, tetapi tindakan spontan mereka atas kecetekan Soi Lek  dan MCAnya adalah untuk mengelakkan ketegangan berlanjutan antara kaum di negara ini.

Bagi membendung api perkauman yang belum benar-benar padam, Sarena Tay menyeru orang Melayu beramai-ramai menyokong PAS. Jika orang  Melayu tidak lagi dalam UMNO, maka perkauman boleh diredakan. Tidak lagi orang yang hendak menyokong MCA. Jika MCA dapat dilumpuhkan, kuranglah puak yang berani mencerca  Islam. Malaysia beruntung ada tiga Cina seperti itu dan orang seperti mereka dipercayai ramai.

Sumber : http://roketkini.com/2012/10/25/nik-aziz-puji-dap-bidas-mca/

SEREMBAN, 25 OKTOBER:Keberanian Ahli Parlimen DAP Rasah, Anthony Loke Siew Fook mempertahankan Islam di parlimen daripada penghinaan dan tohmahan bertubi-tubi oleh Presiden MCA, Chua Soi Lek telah menerbitkan rasa terharu di hati Mursyidul-am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat.

Anthony Loke yang juga Ketua Pemuda DAP, menerima sepucuk surat daripada Pejabat Menteri Besar Kelantan hari ini yang merakamkan ucapan tahniah serta terima kasih Tuan Guru Nik Aziz kepada Anthony atas keberanian beliau berhujah di Parlimen.

Anthony dilaporkan begitu bersemangat mempertahankan Tuan Guru Nik Aziz daripada penghinaan berterusan MCA sehingga menepuk meja Parlimen, menyebabkan Speaker Dewan mematikan mikrofon beliau dan menghalang beliau dari terus berhujah.

Harakahdaily memetik Anthony sebagai berkata bahawa, “Dalam politik kita berbeza pendapat, itu perkara biasa. Umpamanya, kita dalam DAP juga punyai pendapat berbeza dengan PAS dalam soal hukum Hudud. Tetapi kita tidak pergi sampai ke tahap memburuk-burukkan dan menghina Islam.”

Surat penghargaan juga tersebut memetik Tuan Guru Nik Aziz sebagai berkata dengan tegas bahawa, ”DAP berani bidas MCA, tetapi UMNO takut. Tak boleh harap kepada UMNO untuk jaga Islam, jaga Melayu pun tak ke mana.”

Menurut laporan Malaysiakini, dalam sidang Parlimen pada 22 Oktober lalu Anthony telah bangkit mempertahankan Mursyidul-am PAS itu yang dirujuknya sebagai “Tok Guru”, sambil menyifatkan kenyataan Naib Pengerusi Wanita MCA Heng Seah Kie yang disokong Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek itu sebagai “paling biadap”.

“Chua Soi Lek ialah presiden MCA yang paling biadap,” katanya sambil menepuk meja.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada sikap pimpinan MCA yang terus menghina dan memfitnah Islam dan PAS, terutamanya peribadi Tuan Guru Nik Aziz melalui kenyataan Naib Pengerusi Wanitanya yang dilaporkan berkata, “Daripada ucapan Nik Aziz, kami simpulkan bahawa Nik Aziz secara terbuka meminta orang Islam merogol bukan Islam, adakah saya benar?” dalam Persidangan Agung Wanita MCA baru-baru ini.

Di laman sosial Facebooknya Anthony berkata, “Saya amat terharu dan dengan perasaan penuh rendah diri menerima surat penghargaan dari Pejabat YAB Menteri Besar Kelantan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkenaan kenyataan saya di Parlimen beberapa hari lepas.

“Surat dari Tok Guru ini sekali lagi membuktikan kemurahan hati dan kesederhanaan beliau walaupun sudah bergelar YAB MB selama 22 tahun!

“Saya berasa amat kerdil di depan seorang tokoh agama dan politik yang mempunyai jiwa dan hati yang begitu besar seperti Tok Guru Niz Aziz! Semoga Tok Guru sentiasa dalam keadaan yang sihat dan dipanjangkan umur untuk terus memimpin PAS dan PR!” – Roketkini.com

PERBEZAAN DAP DAN MCA

Sumber : http://ustazsham.com/

Soalan yang ditanyakan kepada saya:

“Kalau pembangkang menang, agak-agaknya DAP mahu bagi ke PAS memerintah?”

Jawapan:

Kalau `pembangkang’ menang, maka yang akan memerintah Negara Malaysia nanti adalah Pakatan Rakyat; di mana PAS dan yang lain-lain bersama-sama memerintah Malaysia. Kerajaan PR, bersih rasuah serta penyelewengan wang dan kekayaan Negara; yang banyaknya adalah dakwaan kosong. Satu dakwaan pun, tiada yang sangkut di mahkamah. Terbukti di empat buah negeri.

Kesempatan memerintah bersama, PAS akan ambil peluang menerangkan Islam yang sebenar kepada masyarakat Malaysia. Terbukti di Kelantan. Kaum Cina di Kelantan memahami dan menyokong Hudud kerana mendapat penerangan yang jelas dari kepimpinan Tok Guru.

Kenapa tidak pertikai MCA? Kenapa tidak melihat MCA sebagai ancaman? Parti MCA total berbangsa Cina? Sebaliknya, ada orang Melayu dalam DAP. Malah mereka (MCA) tidak bersopan di dalam menolak Hudud. Mereka berani menggertak UMNO dan ternyata parti pahlawan Melayu itu akur kepada gertakan mereka.

Chua Soi Lek (MCA) mengatakan bahawa mereka berani menentang UMNO dalam hal Hudud ini, mengugut untuk keluar BN dan menuduh ADUN UMNO yang mencadangkan Hudud di Johor sebagai hilang akal. Sedangkan Lim Guan Eng (DAP) menegaskan bahawa DAP tak boleh menghalang kepercayaan orang Islam dalam hal agama mereka dan menghargai sikap PAS yang tidak pernah menghalang dalam bab agama kaum lain.

Dalam hal Negara Islam; CSL (MCA) mengatakan, Negara Islam tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang, manakala LGE (DAP) menyebut: “Kita (DAP, khususnya di Pulau Pinang) ikuti jejak atau model Umar Abdul Aziz”.

Dalam hal Islam melarang berjabat tangan antara lelaki dan wanita pula; CSL (MCA) menyifatkan sebagai `suatu nilai yang hina’, tetapi LGE (DAP) menyifatkan bahawa calon PAS (Cikgu Normala yang memakai sarung tangan untuk bersalam dengan lelaki yang bukan muhrim) adalah seorang yang bertaqwa kerana patuh ajaran Islam, iaitu tidak bersalam (bersentuhan kulit) dengan lelaki.

Kerajaan BN Pulau Pinang (Gerakan) hanya memperuntukan RM25.7 juta untuk hal yang berkaitan Islam di Pulau Pinang (2008); sedangkan Kerajaan PR di Pulau Pinang (DAP) sehingga 2012 telah memperuntukan sebanyak RM181.83 juta (2009 RM33.2 juta; 2010 RM38.9 juta; 2011 RM45.7 & 2012 RM64.03 juta). Malah dari segi dasar, MCA mengamalkan dasar asobiyah (kebangsaan) yang secara terang ditolak oleh Islam. Islam di Pulau Pinang jauh lebih baik terbela di bawah DAP dari GERAKAN (BN).

Usaha menakutkan orang Melayu terhadap DAP adalah kerja UMNO/BN. Tengok sahaja empat buah negeri PR; PAS, Keadilan dan DAP terbukti dapat mentadbir negeri dengan jujur dan amanah.

Lebih 1500 perwakilan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat – Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkumpul di Star City, Kota Kinabalu petang jumaat dalam satu Konvensyen Pakatan Rakyat Sabah yang julung kali diadakan. Tarikh 16 September yang merupakan hari cuti am sempena Hari Malaysia dipilih untuk mengumpulkan pemimpin dan ahli ketiga-tiga parti dengan membawa tema ‘UBAH DEMI RAKYAT’.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan ‘Sabah Tanahairku’ sebelum ucapan pengarah program Datuk James Ghani. Ketiga-tiga wakil parti di peringkat negeri telah membahaskan beberapa perkara berkaitan kepentingan rakyat negeri Sabah seperti agama Islam, isu-isu pembangunan, pendidikan, perumahan, tanah, ekonomi, kebajikan, kesihatan dan sebagainya.

Wakil kepimpinan Pakatan Rakyat di peringkat pusat telah memberikan ucapan pada sesi terakhir iaitu Tuan Haji Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS), YB Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR). Ketiga-tiga mereka bersama kepimpinan negeri bersama-sama melancarkan 20 reformasi pentadbiran Pakatan Rakyat Sabah dan kemudiannya menandatangani  plak sebagai menandakan pelancaran 20 tawaran berkenaan.

Isnin lepas, ketika berkuliah maghrib di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil, Tn Hj Johari Janan yang merupakan jamaah regular di masjid berkenaan ada bertanya tentang isu YB Nga Kor Ming membaca ayat al-Quran dalam kempen PRK Bukit Gantang yang baru berlalu.

Punca persoalan itu dilontarkan apabila kuliah hadith malam itu mengungkap sebuah hadith nabi SAW tentang kelebihan membaca al-Quran sama ada yang membaca itu mahir atau tidak. Orang yang mahir tempatnya bersama para malaikat, sedang yang membaca dengan susah, ‘merangkak’ dan berat, mendapat dua pahala.

Tuan Hj Juhari merupakan bekas ketua pemuda UMNO Sabah satu masa dulu. Saya menyanjung komitmen beliau yang sering hadir berjamaah di masjid berkenaan hampir setiap malam sekiranya beliau tidak keluar kawasan.

Menerusi soalannya, nampak sangat beliau tidak berpuas hati dengan jawapan SS DS Harussani Zakaria Mufti Perak yang melarang orang bukan Islam membaca al-Quran. Mungkin beliau beranggapan saya akan turut menyebelahi SS.

Sebenarnya, tiada dalil yang khusus melarang orang bukan Islam membaca teks al-Quran berbahasa arab. Kalaulah  dihukumkan orang bukan Islam di Malaysia hanya boleh membaca terjemahan melayu atau inggeris, bagaimana pula orang kristian arab hendak membaca al-Quran? Takkan hendak guna terjemahan melayu atau inggeris sedang arab itu bahasa harian mereka?

Kalaulah Sayyidina Umar boleh memeluk Islam dengan mu’jizat mendengar al-Quran, apakah mustahil YB Nga satu masa mendapat hidayah dengan membaca sendiri? Bagaimana kita hendak mendekatkan mereka kepada Islam sedang tatkala mereka hendak membaca hujjah kita (al-Quran), kita asyik melarang mereka?

Berkenaan tuduhan beliau menghina al-Quran dengan membaca ayat al-Quran, saya kira YB Nga sebagai ahli politik yang tengah berkempen ketika itu tidak akan membiarkan dirinya terperangkap dengan saja-saja menghina al-Quran kononnya.

Lagipun, suasana berkempen itu bukan hendak menjatuhkan PR tetapi hendak mengangkat hujjah Islam itu sendiri untuk orang Islam yang enggan mematuhi perintah al-Quran.

Sebenarnya, sejak DAP berkawan dengan PAS, PAS telah mengajar DAP tentang Islam yang menyeluruh dan lebih jelas. Ini tidak kita dengar dan dapati dengan membandingkan antara UMNO dan MCA-MIC.

Bagi saya YB Nga bukan menghina al-Quran tetapi menghina orang Islam yang enggan berpegang dengan al-Quran. Bukankah orang sebegitu juga telah diberi kehinaan oleh Allah SWT lebih awal dalam surah Toha :

“Sesiapa yang berpaling daripada peringatanKu, maka orang itu akan mengalami kehidupan yang sempit. Kami akan mengumpulnya pada hari kiamat nanti dalam keadaan buta.

Si buta itu akan berkata : Wahai Tuhan, kenapa Engkau bangkitkan kami dalam keadaan buta, sedangkan kami dahulu di dunia dapat melihat?

Allah menjawab : Demikianlah, dahulu Kami bawakan kepada kamu ayat-ayat Kami tetapi kamu melupakannya, jadi hari ini, kamu pun dilupakan”.

Saya cadangkan orang yang sibuk membantah ayat itu dibaca, cubalah mereka pula membacanya. Kalau YB Nga mungkin dengan pelatnya melakukan kesilapan bacaan, kita mahu juga mendengar mereka yang membuat laporan polis  itu supaya membaca ayat itu dengan tajwid yang lengkap.

Memandangkan mereka yang marah-marah itu orang Islam, bolehlah kita meminta mereka menghuraikan ayat itu dengan jujur. Kepada siapa yang terkena ayat itu, PAS-PR atau UMNO-BN.

(Teringat dengan kata-kata brother Aris di Lawas tempohari. Ada orang bukan Islam mengamalkan Islam, tetapi ada orang Islam, tidak pula mengamalkan Islam. Soal kebersihan, kejujuran, tidak rasuah, menepati masa dan sebagainya adalah ajaran Islam yang diamalkan oleh orang bukan Islam).

%d bloggers like this: