Tag Archive: Dakwah


SEMANGAT

Kehadiran program mendidik jiwa ini lebih daripada 150 orang, majoritinya orang muda 40 tahun kebawah. Hanya sikit-sikit orang lama. Saya tabik dengan pakcik ini yang bertahan dalam dewan program berjam-jam lamanya. Orang muda patut ambil teladan daripadanya. Kata orang, gabung jalin dengan pengalaman orang lama dan semangatnya orang muda.

Saya dapat tahu juga kesungguhan mereka yang turun dari Kudat, Kota Marudu, Pitas, Keningau dan lain-lain lokasi untuk mengisi dada masing-masing demi dakwah Islam di bumi Sabah. Saya hanya teringat satu perkara : Islam akan sampai di mana saja cahaya matahari akan sampai. Sama ada kita mahu tercatat sebagai pembantu agama Allah SWT atau tidak, terpulanglah. Islam tetap menjadi pemenangnya.

AMBIL PERANAN

 

Seminggu kebelakangan termasuk hari ini saya bertemu dengan beberapa kumpulan anak muda sama ada pertemuan itu dirancang atau tidak, kami bercerita soal peranan dakwah yang mesti dimainkan oleh setiap orang. Dalam konteks zaman ini dan belia, kami bercerita panjang soal media maya.

Saya berbicara tentang keperluan membina blog-blog dakwah, menyertai medan facebook untuk mendekatkan manusia dengan Tuhannya. Berdasarkan pengalaman yang sedikit dalam soal blog ini, penggemar dan pelayar utama dunia internet adalah golongan muda. Kami berbincang serba sedikit tentang strategi agar anak-anak muda melayari web dan blog dakwah, bukan sekadar dunia hiburan, sukan dan seumpamanya.

Ustaz-ustaz muda seperti Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, Ustaz Hasrizal sudah memberikan contoh dalam bidang ini, dan  pendakwah-pendakwah muda mesti mengambil peranan seperti mereka terutama ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang ada di Sabah. Saya merasakan seperti ada kecenderungan di kalangan pelayar-pelayar ini untuk lebih menerima pandangan yang disampaikan oleh pendakwah yang mereka kenali apatah lagi yang hampir dengan mereka.

Saya berkeyakinan, ramai di kalangan pendakwah tempatan di Sabah tidak kurang ilmu dan kemahiran mereka dalam soal dakwah, syariat, usuluddin, tasauf dan sebagainya. Soal strategi, pendekatan dan sebagainya boleh dibincang dan dipelbagaikan menurut kemampuan dan suasana mad’u. Mungkin artikel yang santai, tidak terlalu sarat ilmiahnya dan seumpamanya.

Dunia ini semakin tidak bersempadan, bak kata orang maklumat di hujung jari boleh diketahui walau kita di bilik tidur sekalipun. Mudah-mudahan peranan kecil ini diberkati Allah SWT.

IMG_7063

Selepas ceramah di Surau Kg Rukum Laut, saya meluangkan masa duduk santai sekitar dua jam sambil menjamu selera di Dataran Seafood Bengkoka bersama beberapa guru di sini.

Ust Wan Muhammad Amran, Ust Mahisan Aswadi, Ust Md Muslim dan Ust Ahmad Abrian. Mereka semua bertugas sebagai guru agama di sekolah-sekolah di daerah ini. Pertemuan santai itu turut disertai oleh PPTA JHEAINS Pitas, Ust Kamal Sindong.

Setelah mengisi program dan melihat sendiri di beberapa lokasi, saya membuat beberapa kesimpulan awal.

Pertama, masyarakat Islam sama ada muallaf atau bukan hakikatnya dahagakan ilmu pengetahuan khususnya yang berkait dengan perkara fardhu ain. Perkara itu terbukti dalam dua ceramah di Masjid Kg Kalumpang dan Surau Kg Rukum Laut.

Kedua, sokongan padu daripada para guru sangat diperlukan untuk memperkasa dakwah. Guru yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran, JHEAINS, JAKIM, YADIM, USIA dan seumpamanya hendaknya berganding bahu.

Sambil tidak menafikan kegigihan para guru agama yang sudah bekerja keras menyampaikan risalah Islam ini, masih ramai yang merasa selesa dengan kerja-kerja rasmi sahaja.

Ke sekolah pada waktu pagi sehingga pulang pada sebelah tengahari, dan berada di rumah sepanjang petang dan malam. Tidak ke surau dan masjid, apatah lagi untuk menyampaikan kuliah dan ceramah.

Jauh sekali pada hujung-hujung minggu untuk mengisi program dakwah ke kampung-kampung.

Dalam pertemuan itu juga, saya mengharapkan sahabat-sahabat baru saya ini terus menggerakkan program-program dakwah walaupun di luar bidang tugas rasmi kerajaan. Guru agama di sekolah hendaklah bekerjasama erat dengan JHEAINS di daerah.

Buat permulaan, mana-mana masjid dan surau yang belum pernah mengadakan apa-apa program, mulakan dengan program ceramah sempena hari-hari kebesaran Islam digandingkan dengan acara kebajikan.

Pemeriksaan kesihatan percuma, penyampaian bantuan, dan seumpamanya. Buatkan sesuatu yang menarik perhatian mereka, sama ada lelaki perempuan, muda dan tua.

Peringkat kedua, mengadakan ceramah bulanan. Jika berkemampuan, bawa penceramah dari luar daerah.

Peringkat ketiga, mengadakan kuliah maghrib mingguan. Adakan subjek yang penting seperti aqidah, fikah atau akhlak. Pada peringkat ini, ia memerlukan istiqamah dan kesungguhan yang kuat daripada semua pihak.

Peringkat keempat, kuliah-kuliah maghrib ditambah kepada 2 atau 3 kali seminggu. Juga memulakan kuliah subuh mingguan. Selain itu, program khusus untuk remaja dan kaum ibu juga perlu difikirkan.

Sebenarnya, mengadakan program ini memerlukan usaha yang panjang dan tersusun. Ia tidak bermula jika para guru sendiri tidak mengimarahkan masjid dan surau yang berhampiran dengan tempat mereka tinggal.

Jika diperlukan, saya akan hadir lagi untuk berjumpa masyarakat dan para guru. Perbincangan lanjut boleh diusahakan.

Atas kapasiti setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah, saya bersama rakan-rakan sedia menghulur bantuan idea dan tenaga.

%d bloggers like this: