Tag Archive: Cotabato


AWANG AIRPORT

Lucu juga pertama kali mendengar namanya. Tapi itu yang saya dengar Puan Siti menulis dalam facebooknya. Awang Airport atau juga Cotabato Airport ini kelihatannya kecil sahaja kecuali tempat menunggu bolehlah diisi dengan sekitar 200 orang. Ketika kami tiba tempohari, penumpang yang mengambil bagasi masing-masing terpaksa bersesak-sesak.

Jika ada teman atau keluarga yang menjemput atau menghantar, cukup di luar bangunan. Saya terbayang semasa kecil, kedudukan terminal Lapangan Terbang WP Labuan yang lama walaupun di Labuan, penghantar masih boleh masuk ke dalam bangunan terminal. Bagaimanapun, dalam keadaan kecil begitupun di Awang Airport ini, masih ada ruang solat disediakan dan kemudahan kawasan kanak-kanak bermain. Satu lagi yang saya nampak ialah bilik untuk menyusukan anak juga ada disediakan.

 

Dari kejauhan sudah kelihatan menara dan kubah kuning masjid yang tersergam indah ini. Ia terletak di hujung jalan Kalanganan II, di tepi laut yang indah pemandangannya. Ia sebuah masjid besar di Cotabato ini dan telah siap pembinaannya sejak 4-5 tahun sudah.

Masjid ini bernama ‘Masjid Sultan Hassanal Bolkiah’ atau mereka panggil masjid bolkiah kerana sumbangan RM30 juta daripada Sultan Brunei yang kaya itu. Di tepi pagar masuk, memang ada satu papan tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu ke masjid ini dengan foto Sultan Brunei dan Presiden Arroyo digandingkan bersama.

Sesuatu yang agak janggal pada pemandangan saya dan kawan-kawan ialah di sepanjang jalan itu kami melalui berbelas-belas atau mungkin sekitar 20 buah masjid dan di hujung jalan ini ada lagi sebuah masjid besar. Satu persoalan yang berlegar ialah adakah masjid ini dimanfaatkan untuk solat, kerana kelihatan bahagian dewan utama masjid ini tertutup dan berkunci. Saya sendiri berhajat untuk merasai solat di dalamnya sekurang-kurang tahiyyatul masjid tetapi tidak kesampaian.

Kami melihat juga pada yang sama ada pelancong lain datang berziarah ke sini seperti kami merakam kenangan. Tiada penjaga di bahagian dalam kecuali ada pondok keselamatan dan seperti seorang askar di bahagian luar pagar masjid. Harapnya masjid ini bukan sekadar masjid pelancongan bahkan digunakan juga untuk solat berjamaah. Sekumpulan anak-anak kecil tempatan sekitar umur 4-10 tahun juga berjalan-jalan di dalam masjid dan meminta sumbangan orang yang datang.

Kepada para hartawan dan dermawan umat Islam yang berminat menyumbang ke luar negara seperti di sini, saya merasakan berdasarkan perjalanan kami dan maklumat yang kami perolehi, bahawa keutamaan sumbangan yang mereka perlukan ialah untuk mendirikan pusat-pusat pendidikan untuk umat Islam, sama ada sekolah rendah agama (bawah 12 tahun), sekolah menengah atau institusi pengajian tinggi.

Tempoh keberadaan kami di Cotabato hanya sekitar 24 jam sahaja. Dalam tempoh itu waktu berjalan-jalan yang mesti dimanfaatkan hanyalah pada sebelah siang sahaja, kerana waktu malam agak berbahaya. Makan malam kami hanya di sebelah hotel penginapan dan menjelang jam 8 malam kami sudah berada di bilik masing-masing.

Kenderaan yang kami naiki semaksimanya membawa ke mana yang sempat dan wajar kami ziarahi. Kami sudah berziarah ke madrasah, melintasi masjid-masjid dan surau surau, menyinggah ke masjid besar, ke sekitar bandaraya dan sebagainya. Kawasan bandarayanya setakat yang kami lalui dan berpusing-pusing di situ, langsung tidak kelihatan bangunan tinggi melebihi belasan tingkat seperti yang banyak di negeri dan negara kita.

Semasa melalui kawasan-kawasan perkampungan, kami melihat pemandangan sungai yang indah seperti di Sungai Simuai Sultan Kudarat, melihat pemandangan sawah padi yang menghijau yang penduduknya masih memanfaatkan kerbau sebagai pembajak. Wilayah ini subur dengan pertanian pisang, jagung, padi, kelapa dan sebagainya. Sebab itu kebanyakan masakan mereka berasaskan santan.

Tidak lupa saya muatkan dalam entri kali ini menu-menu dan makanan yang dihidangkan kepada kami. Sungguh dalam kesusahan mereka, kami dihidang dengan makanan yang menyelerakan dan mereka sangat berbesar hati serta memuliakan tetamu mereka yang datang dari Malaysia ini. Kami tidak merasa lapar berada bersama mereka kerana sikap penyantun mereka melayan tetamu apatah lagi saudara seaqidah.

AN-NOR COMPLEX, COTABATO

Lokasi pertama setiba kami di Cotabato ini ialah al-Nor Complex untuk menjamah makan tengahari. Saya dimaklumkan akan kehidupan sebahagian besar penduduk di Cotabato ini yang agak daif, tetapi kompleks ini zahirnya pula agak moden. Kata mereka inilah antara tempat atau lokasi yang baru dibangunkan beberapa tahun kebelakangan.

Kompleks ini mengumpulkan para peniaga umat Islam, menjadi pusat perkembangan ekonomi dengan pelbagai bentuk perniagaan, kebanyakannya restoran dan lain-lain. Kami memilih restoran Riquisimo yang menghidangkan makanan tempatan. Makanan yang dihidangkan serupa saja dengan apa yang biasa kita makan, cuma sedikit berbeza dengan cara hidangannya. Pinggan untuk nasi agak kecil sedikit dan nasi pula sudah dikempal siap sedia sebelum dikaut ke pinggan masing-masing.

Puan Siti Juwairiah dan keluarganya banyak membantu kami memperkenalkan dan memilih menu yang menyelerakan pada tengahari berkenaan.

%d bloggers like this: