Tag Archive: Cikgu Rizal Hadi


YASINAN

Hari ini saya pulang lewat dari pejabat. Menjelang isyak baru keluar.

Dr Ali ada maklumkan Cikgu Rizal mengadu lagi. Dia pohon bacakan Yasin untuknya. Kebetulan saya baru hendak keluar, saya singgah ke Hospital Queen Elizabeth untuk menziarahinya di wad ICU.

Nampaknya tubuh Cikgu Rizal semakin susut. Mungkin kesan hemodialisis minggu lalu. Dia sedang berdengkur tidur ketika saya datang. Hampir saya menamatkan Yasin, baru dia tersedar. Itupun masih dalam mamai lagi.

Tidak banyak kami sembangkan, kecuali saya memberikan harapan bahawa dengan izin Allah, dia akan sembuh.

***

Meronda sebentar di wad lelaki, menyedarkan diri tentang kelemahan manusia dan kehebatan Allah. Di dalam al-Quran ada diceritakan bahawa orang yang lanjut usia akan berputar keadaan seperti kanak-kanak.

Saya melihat orang tua yang memakai lampin, merengek meminta itu dan ini.

Wad itu nampaknya begitu sesak. Saya kira-kira ada 9 katil tambahan yang diletak di tengah-tengah laluan dan ruang kosong diisi penuh oleh pesakit.

Saya kurang maklum keputusan konkrit kerajaan tentang hospital baru. Dalam bajet lalu, tiada hospital baru di Kota Kinabalu diumumkan.

ZIARAH CIKGU RIZAL HADI

IMG_9955

Selesai solat asar qasar di Masjid ar-Rahman Pekan Tenom, kami menuju ke Hospital Daerah beberapa minit dari situ. Che’gu Jamil memandu, Ust Amir di sebelah sementara saya di belakang.

Perjalanan lebih 2 jam KK-Tenom sebelum itu agak meletihkan khususnya pada permulaan mendaki jalan Kimanis kerana kabus terlalu tebal. Kadar jarak penglihatan hanya dapat dilihat beberapa meter sahaja, tambahan lagi hujan lebat beberapa ketika.

Berhenti solat di masjid dan berehat seketika jelas merenggangkan keletihan kami.

Wad pesakit lelaki di Hospital Tenom yang menempatkan Cikgu Rizal mempunyai 13 katil (kalau tidak salah) dan ada beberapa katil yang kosong tanpa pesakit.

Sehari sebelumnya, Cikgu Rizal dijadualkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Tetapi beliau merasa sesak nafas ketika perjalanan baru melepasi pekan, dan van terpaksa berpatah balik.

Kami dikhabarkan van hospital dalam keadaan sedikit uzur selepas kemalangan. Katanya sudah dibaiki tetapi mereka hanya berani membawa sekitar Tenom sahaja.

Jadi van kedua yang lebih kecil digunakan untuk membawa Cikgu Rizal tetapi kelengkapannya agak terhad. Harapnya pihak berkenaan dapat menyelesaikan segera untuk kemaslahatan pesakit yang memerlukan rawatan di luar Tenom.

Kami hadir dalam keadaan pernafasan Cikgu Rizal sedikit pulih. Semalam dia terpaksa menggunakan alat bantuan kecemasan sepanjang masa.

Kami lega sedikit kerana beliau boleh bercerita walaupun nafas agak tercungap-cungap. Katanya dia masih letih hatta  bergerak ke tandas pun beliau memerlukan bantuan.

Kesempatan sembang itu, kami masih menyarankan beliau agar mengisi masa luangnya dengan membuat blog dan menyumbang idea dan fikrah menurut kemampuannya.

Beliau agak berat bergerak ke sana ke mari, kerana keadaan kaki yang membengkak sehingga ke paha tetapi ideanya tentang program dakwah dan perbandingan agama masih segar dan diperlukan.

Agak teruja sebelum itu kami menyaksikan dalam uzurnya, khidmat beliau masih diperlukan sebagai AJK Masjid Daerah Tenom dan mengetuai Syukbah Ukhuwah dan Pembangunan Ummah sesi 2008-2010 sebagaimana dipaparkan di papan kenyataan masjid.

Sudah 2 minggu beliau ditahan. Bahkan 20 hari terakhir Ramadhan beliau juga menghuni hospital ini. Hanya seminggu ketika raya dibenarkan keluar dan kembali semula pada awal oktober.

Tetapi secara keseluruhan, beliau keluar masuk hospital ini sudah 3 tahun lamanya.

Satu perkara yang jelas saya perhatikan sepanjang keberadaan kami lebih 2 jam di situ sehingga pulang, orang tidak putus-putus menziarahi beliau.

Kami mendoakan keselamatan beliau, juga berdoa agar isterinya Puan Aisyah bersama anak-anak bersabar atas ujian yang menimpa. Sesungguhnya Allah bersama 0rang yang sabar.

Pada 19 Oktober, Cikgu Rizal akan menyambut ulangtahun ke-41. Semoga dipanjangkan umur dan diberi pahala yang besar oleh Allah SWT.

DOAKAN RIZAL

IMG_4276

Dua kali pernah saya bercerita dalam blog ini tentang beliau.

Cikgu Rizal Hadi Hj Ismail, orang Tenom. Penerima Anugerah Khalid al-Walid 2004 daripada Kerajaan Negeri Sabah kepada pendakwah muda yang berpotensi kepada masyarakat.

Ada beberapa SMS yang masuk ke telefon bimbit semalam.

Beliau yang sedang menderita penyakit buah pinggang dan kencing manis, khabarnya keadaan beliau semakin kronik. Kaki sehingga ke paha semakin membengkak.

Semalam, beliau dijadualkan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut. Khabarnya, dalam perjalanan baru beberapa kilometer melepasi Pekan Tenom, Cikgu Rizal sesak nafas.

Mereka berpatah balik ke hospital kerana bimbangkan dengan risiko yang tidak diingini. Kini beliau berada di Hospital Tenom dengan menggunakan bantuan oksigen sepenuh masa. Keadaan agak kritikal ketika ini.

Insya Allah petang ini, saya akan ke Tenom untuk berziarah.

Kepada pembaca blog ini, tolong luangkan masa 10 saat untuk mendoakan kesihatan beliau pulih seperti sediakala.

LAGI CIKGU RIZAL HADI TENOM

IMG_4348Dalam kesihatannya yang kurang mengizinkan itu, kehadiran kami ke rumah Cikgu Rizal Hadi membuatkan kami melihat beliau seolah-olah lupa terhadap sakitnya itu.

Seperti ketika sihatnya, beliau tetap bersemangat bercerita tentang penglibatannya dalam program kemasyarakatan. Ramai mengakui, apabila Cikgu Rizal terlantar sakit, semua terasa kehilangannya.

Beliau sering memimpin program-program yang bersifat merakyat. Ziarah pesakit di hospital Tenom, mengendalikan janazah, bantuan ke pelusuk perkampungan bukan Islam, mengimarah masjid dan sebagainya.

Apabila kami singgah di rumahnya, dia bercerita lagi. Soal perdebatan dan perbincangannya dengan ramai orang tentang Islam dan Kristian yang juga sangat diminatinya. Dia teruja benar dengan Hj Ayub Abd Rahman yang sudi ke rumahnya.

Sekali lagi, seperti yang pernah saya sarankan kepadanya agar beliau memulakan tulisannya melalui tinta blog. Hendak ke sekolah bertugas semula saya memahami keuzurannya bergerak. Rasanya untuk mengisi ruang masanya dengan berdakwah melalui blog, kami sangat menyokong.

IMG_4346

Setelah singgah pada waktu petang, malam itu kami datang lagi.

Cikgu Rizal menghadiahkan Hj Ayub sebuah buku berbahasa Inggeris bertajuk : The X-Rated Bible, tulisan Ben Edward Akerley. Katanya, Hj Ayub mungkin lebih memerlukan buku itu sebagai bahan dakwah.

Cuma ada sedikit kerisauan apabila beliau gemar berprogram secara sendirian, atau one man show. Jika beliau membaca artikel ini, saya mencadangkan agar beliau menyertai mana-mana jamaah yang ada di Tenom untuk menguatkan dirinya sendiri dalam menjalankan aktiviti dakwah.

Apapun kami mendoakan kesihatan beliau dan kembali ke arena dakwah seperti dahulu.

%d bloggers like this: