Tag Archive: Che’gu Jamil Dayan


ROMBONGAN ISTIMEWA

Sejak pagi jumaat hingga petang hari ini, kami menerima kunjungan dan ziarah beberapa sahabat baik diketuai oleh Ustaz Haji Abdullah Din, Che’gu Jamil Dayan dan Ustaz Mohd Khaidir Ishak ke Sabah. Turut serta ialah Ustaz Mohd Sofi Ibrahim al-Hafiz dari Perak. Mereka dalam rangka program dakwah di Sabah khususnya di Kota Kinabalu, Ranau dan Kota Marudu, mengisi beberapa program yang telah disusun atur bersama pelbagai pihak.

Ustaz Sofi Ibrahim telah menyampaikan khutbah di Masjid Kg Bangka-Bangka Likas sementara Ustaz Mohd Khaidir di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang. (Ustaz Abdullah Din hanya tiba di LTAKK pada jam 1 tengahari. Sebelah petang rombongan berangkat ke SMKA Mohammad Ali Ranau, mengisi program pemantapan aqidah bersama pelajar-pelajar di sana. Sambil itu, mereka juga mengisi slot kuliah-kuliah subuh dan tazkirah di masjid-masjid Ranau serta menyampaikan sumbangan di kampung-kampung terpilih. Turut serta ke Ranau ialah Ustaz Hamir Hamzah dan Ustaz Yaharuddin Jaafar.

Sementara petang ahad mereka berangkat ke Kota Marudu menyampaikan sumbangan beras ke beberapa buah kampung sebelum berangkat balik ke Kota Kinabalu. Menjelang sahur, mereka menyertai program qiyamullail di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, kuliah subuh oleh Ustaz Abdullah Din di surau yang sama dan mengadakan pertemuan dengan Ustaz Haji Muchlish di Masjid Negeri Sabah selepas kuliah subuh. Program lain ialah majlis ramah mesra di Kg Lobou dan penyampaian sumbangan beras di kelas ar-Raudhah saudara kita di Kepayan, dan yang terakhir tazkirah zuhur Ramadhan oleh Ustaz Sofi di Masjid Negeri Sabah.

Bagi pihak sahabat-sahabat di sini merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga atas kesudian mereka berkunjung dan berprogram dakwah ke Sabah. Kalau boleh pindah balik Sabah lagi bagus!

 

DAYAN BIN JUHA

Saya mengetahui bahawa antara sebab utama Che’gu Jamil Dayan membuat keputusan untuk berpindah ke Perak pada akhir 2009 ialah kerana ingin berbakti dan menumpahkan kasih sayang buat ayahnya yang agak uzur sejak beberapa tahun kebelakangan.

Ketika beliau di Sabah, ada beberapa kali Che’gu Jamil pulang mendadak ke Perak apabila dimaklumkan ayahnya seringkali jatuh sakit. Antara yang saya ingati apabila ketika mengadakan rumah terbuka hari raya di rumahnya di Taman Nelly Kolombong, majlis itu terpaksa dikendalikan oleh isteri dan anak-anaknya apabila Che’gu Jamil bergegas terbang ke Perak sejurus mendengar khabar ayahnya sakit.

Che’gu Jamil pernah bercerita hasratnya untuk pulang walaupun beliau masih berminat untuk menabur bakti di Sabah. Katanya perasaan bersalah tetap wujud kerana hanya adik beradik yang lain bergilir menjaga ayahnya sedangkan beliau berada di Sabah. Justeru keputusan untuk berpindah itu dibuat dengan berat hati meninggalkan Sabah demi berbakti untuk ayahanda beliau.

Genap setahun pulang dan berbakti menjaga ayahnya yang uzur, pada pagi sabtu lalu 15 Januari sekitar jam 9.10 pagi, Dayan bin Juha kembali kerahmatullah di Ipoh. Pada malam sebelum pemergian ayahnya, Che’gu Jamil ada memaklumkan saya situasi ayahnya di ICU.

Katanya isteri beliau adalah orang yang banyak memberi kekuatan dan semangat buat dirinya. Manakan tidak, sejak berumahtangga isterinya bagai kehilangan ‘privasi’ kerana menjaga kakaknya yang cacat dan dalam setahun yang terakhir turut menjaga ayah Che’gu Jamil yang dalam keuzuran.

Che’gu Jamil sendiri bersama ahli keluarga sempat berada di sisi dan mengurus kewajiban keatas janazah Allahyarham. Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepada keluarga Allahyarham serta meletakkan Allahyarham bersama ruh orang yang beriman. Insya Allah doa anak-anak  yang soleh mengiringi pemergian beliau di alam barzakh.

Kita semua milik Allah, dan kepadanya kita kembali. Al-Fatihah.

SMK TAMBUN

Saya dibawa Che’gu Jamil Dayan ke sekolah tempat beliau mengajar sejak awal tahun ini. Sekolah ini baru saja berusia tujuh tahun, dibuka buat sesi pertamanya pada awal tahun 2004 dan dirasmikan oleh Sultan Perak pada 2005. Sekolah ini tidak jauh letaknya dari kawasan Taman Tema Lost World of Tambun. Juga berhampiran dengan rumah baru Che’gu Jamil yang sedang dalam pembinaan.

Khabarnya jumlah guru di sekolah ini seramai 94 orang majoritinya guru perempuan, jadi guru lelaki seramai 18 orang mesti lebih aktif terutamanya memimpin program seperti sukan dan seumpamanya. Saya gembira juga beberapa cadangan Che’gu Jamil di sekolah berkenaan diambil kira oleh pihak pengetua.  Lihat saja foto di bawah. Di persisiran jalan masuk itu ada papan tanda bertulis wirid-wirid utama, sementara satu lagi pemakluman zon menutup aurat.

Masa kami suntuk dan saya tidak dapat meneroka lebih jauh suasana di dalam sekolah ini. Mungkin satu masa nanti saya boleh datang lagi. SMK Tambun, semoga maju jaya.

CHE’GU JAMIL


Perjalanan di bumi semenanjung semakin indah apabila bertemu dengan sahabat seusrah dan seperjuangan dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah, Che’gu Jamil Dayan sekeluarga.

Saya merasakan kemanisan bersahabat dengan beliau, bahkan kedua-dua keluarga kami bersama ketika mereka masih berada di Sabah dahulu.

Maka kerana perpindahan mereka akhir tahun lalu itu begitu menyedihkan saya sendiri, maka saya tidak sanggup menyambut panggilan dan mendengar suaranya. Sehingga sehari dua lalu beliau ada menghantar sms dan kami berjanji bertemu di satu tempat.

Saat sama-sama mencari untuk bertemu dan beliau membuat panggilan, barulah saya menyambut dan mendengar suaranya.

Kami bertemu di gerai makan, bercerita tentang banyak hal. Kisah-kisah PUM Sabah, CONCERN Sabah, aktiviti dakwah di Sabah, tentang dunia barunya di SMK Tambun, aktiviti dakwah di sekitar Ipoh, hal keluarga dan anak masing-masing.

Namun yang jelas, beliau masih mencari rentak dan stand untuk bergerak dalam misi dakwah yang tidak pernah selesai.

Meski tidak lama kami bercerita, pertemuan itu jelas mengubati kerinduan setelah perpisahan. Mudah-mudahan  terubat rindu rakan-rakan aktivis dakwah di Sabah apabila membaca entri ini. Betul kata orang, biar hilang di mata; di hati jangan.


‘Jelous’ pun ada, gembira pun ada, apabila melihat foto-foto pertemuan semula 3 sahabat yang pernah menjadi aktivis Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dan kini sudah berpindah ke Semenanjung Malaysia.

Ust Hj Abdullah Din, Che’gu Jamil Dayan dan Ust Md Khaidir Ishak.

Satu ketika kami pernah rapat, bahkan sehingga kini masih berhubungan sama ada melalui telefon, sms, blog dan facebook. Insya Allah, akan berkekalan.

Awal bulan ini, ketika saya sekeluarga dalam perjalanan untuk percutian di Mimpian Jadi bersama ahli-ahli usrah dengan keluarga masing-masing, Ust Hj Abdullah Din ada menghubungi saya.

Ust Abdullah adalah naqib pertama usrah kami. Beliau berpindah ke Kedah hampir 2 tahun lalu, amanah itu kemudiannya berpindah kepada saya, walaupun rasanya sayalah yang paling junior di dalam usrah ini.

Antara mandat yang diberikan dalam kumpulan usrah kami ialah berkenaan isu-isu aqidah seperti gejala murtad yang melanda umat Islam. Kes-kes seumpama itu datang satu demi satu, sama ada melibatkan guru, pelajar atau siswa/siswi.

Ada kes melibatkan muslimah baka (lahir Islam), walaupun kebanyakan kes adalah saudara kita (muallaf).

Modul kursus dan program pemantapan aqidah disusun khususnya bersama Hj Nicholas Sylvester (JIM) yang pernah berada dalam agama Kristian satu masa dahulu. Modul itu kemudiannya dibukukan dan dijual di pasaran.

Kebanyakan sekolah-sekolah menengah di sekitar Kota Kinabalu merasai nikmat kursus itu. Program ini diletakkan di bawah program utama dan tetap bagi Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah.

Ia melibatkan pelajar menengah atas seramai 100 orang untuk satu-satu kursus. Sesekali keluar juga ke sekitar Pantai Barat Selatan atau ke Pedalaman Atas dan Pantai Barat Utara.

Setelah Ust Abdullah pindah, program berkenaan diteruskan dengan seliaan Ust Mohd Khaidir Ishak dengan masih dibantu oleh Che’gu Jamil dan rakan-rakan yang lain.

Apabila mereka semua berpindah, kini Ust Amir Hamzah mengambil peranan. Memang kini secara jujurnya agak perlahan kerana hambatan tugasan yang lain, tapi insya Allah rakan-rakan lain tetap membantu.

Ketika kami berprogram di Mimpian Jadi, tarikh yang sama sahabat kami yang bertiga itu pula berprogram di SMK Tambun Ipoh, tempat Che’gu Jamil bertugas. Program Memperkasa Aqidah melibatkan 100 pelajar tingkatan 4 dan 5 sekolah berkenaan.

Ust Hj Abdullah Din dan Ust Md Khaidir Ishak menjadi penceramah dalam program ini. Saya tabik Che’gu Jamil, belum setengah tahun di sekolah baru, sudah ada program besar dan bermanfaat untuk anak didik di sana.

Semoga bertemu di lain kesempatan. Terima kasih Ust Khaidir yang meng-emel gambar dan maklumat.

TERKENANG SAHABAT..

Sudah sebulan kita memasuki tahun 2010, dan sebulan juga sudah sesi persekolahan berlangsung.

Saat ini, saya teringat rakan-rakan yang berpindah ke bumi Semenanjung untuk meneruskan perjuangan masing-masing.

Kecuali Ust Hafizullah yang rajin menulis di blognya, saya menanti kisah panjang dan menarik rakan-rakan lain yang sudah berpindah. Tidak puas rasanya sekadar SMS dan telefon lebih kurang. Rakan-rakan lain pun hendak tahu sama.

Apa cerita mereka agaknya.

Dari Sabah ke Negeri Sembilan

Dari Sabah ke Perak

Dari Sabah ke Perak

Dari Sabah Ke Pulau Pinang

Dari Sabah ke Perlis

TERIMA KASIH CHE’GU JAMIL

Satu detik yang sebolehnya tidak ingin saya lalui.

Tetapi Allah SWT telah mentakdirkan demikian berlakunya perpisahan sesudah adanya pertemuan. Saya teringat berkali-kali dengan ungkapan Ust Hj Muchlish : “Kalau tidak mahu berpisah, jangan bertemu”.

Perkenalan kami begitu ringkas dan santai sekali tetapi penuh bermakna. Masjid Nurul Hikmah di Bukit Padang itu menjadi lokasinya.

Saya menanti isteri yang mengajar di sana, sementara beliau pula menanti anak-anaknya yang bersekolah di situ. Begitulah setiap hari sehingga akhirnya menjadi persahabatan begitu erat sekali.

Bersama-sama mengisi program pemantapan aqidah di Sipitang, Tenom, Ranau, Tambunan; misi menyelamatkan aqidah 2 beradik hingga kami belayar menaiki bot laju menyeberang lautan; bersama-sama menziarahi para muallaf di pelbagai kampung dan bandar.

Bersama-sama menziarahi para pendakwah dan alim ulama; menyantuni para pesakit di hospital; bergerak dan menyinggahi masjid dan surau, usrah dan membaca ma’thurat bersama..

Allah! Sungguh indah dan bermakna sekali persahabatan itu.

Saya ingin buat pengakuan. Saya tidak ada sahabat dalam dunia dakwah ini yang hampir setiap hari kami berhubung, sama ada bertemu langsung atau di telefon, emel dan seumpamanya KECUALI dia.

Kerana itu bila mereka sekeluarga kembali ke negeri asal, saya mengalirkan airmata.

Kini saya begitu ‘jeles’ sekali.

Pendukung-pendukung asal dan utama program pemantapan aqidah di bawah PUM Sabah hampir kesemuanya sudah kembali ke sebelah sana. Ust Abdullah Din, Cikgu Nasirin, Cikgu Jamil dan Ust Khaidir.

Allah, bantulah kami. Cikgu Jamil, terima kasih atas ruang persahabatan yang sedikit itu.

NOTIS : LTAKK PETANG SABTU

Rakan-rakan yang berada di sekitar Kota Kinabalu dan Putatan dijemput hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada petang sabtu ini (5 Dis 2009).

Sahabat yang kita kasihi, Che’gu Jamil Dayan bersama keluarga akan meninggalkan bumi Sabah pada jam 5 petang sabtu menerusi penerbangan Malaysia (MAS).

Dijemput sahabat yang berkelapangan untuk hadir dan mengucapkan salam wida’ dan selamat jalan kepada beliau bersama keluarga mulai jam 2.30 petang.

Notis ini ditujukan kepada semua pihak yang mengenali beliau khususnya aktivis NGOs Islam (CONCERN) di Sabah seperti PUM, JIM, ABIM, Yayasan Amal, PSS, SAHABAT, WADAH, KECAPI, Puteri Islam, SALWA, AMAL dan lain-lain.

Juga rakan-rakan di jabatan kerajaan seperti Jabatan Pelajaran Sabah, JAKIM Sabah, JHEAINS; rakan sekerja beliau di SMK Kolombong dan SK Kolombong (isteri) dan SMKA Inanam (AJK PIBG) serta sekolah-sekolah yang lain. 

Tidak ketinggalan ahli jamaah Masjid Bandaraya, Masjid Negeri Sabah, Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang, Surau Firdaus Taman Nelly, Surau SMK Kolombong, Surau Bernas, Surau Taman Austral, Surau Kg Lobou, Surau Kg Keliangau, Surau Kg Kobuni dan lain-lain.

Sila panjangkan notis ini kepada yang berkenaan melalui sms masing-masing.

Selanjutnya saya ke Perpustakaan Awam Penampang. Majlis Ramah Mesra Saudara Kita sempena ‘Idul Adha anjuran CONCERN yang digerakkan oleh PUM Sabah (baca Che’gu Jamil) dan JAKIM Sabah.

Cerita belakang tabir majlis ini panjang sebenarnya. Kalau diringkaskan, ia lebih kepada mengumpul kembali semangat sahabat-sahabat muslim di sana untuk memperjuangkan impian membina sebuah masjid di daerah Penampang.

Sehingga kini, daerah Penampang khususnya di kawasan Donggongon tidak mempunyai  masjidnya sendiri setelah Putatan menjadi daerah penuh. Keperluan masjid itu semakin mendesak kerana semakin ramai umat Islam di sini.

Islamnya masyarakat di sini kerana memeluk Islam, atau yang berpindah atau bertugas di sini. Tambahan pula semakin banyaknya taman-taman perumahan yang dibina di sini turut dihuni oleh masyarakat Islam.

Di pihak rakan-rakan di Penampang, mereka yang bekerja keras antaranya ialah Hj Ahmad Said (Pengerusi JK Bertindak Pembinaan Masjid Penampang) Sdr Gani Kassim, Ustaz Suhaili dan beberapa nama yang lain.

Dalam majlis ini yang bermula 10 pagi dan berakhir 1 tengahari, hampir 300 tetamu hadir bergilir-gilir termasuk yang bukan Islam.

 Hj Ahmad yang berucap menegaskan keperluan masjid di daerah ini untuk urusan ibadah umat Islam khususnya saudara kita yang semakin ramai. Beliau sendiri terpaksa menaiki bas untuk menunaikan solat sama ada di Masjid Negeri atau Masjid Bandar setiap jumaat.

Selain itu, masjid yang diimpikan itu boleh mengumpulkan umat Islam di sini dan seterusnya mengisi dengan program-program kuliah dan pengajian sama ada untuk dewasa, kaum ibu dan kanak-kanak.

Datuk Hj Md Safari yang berucap juga menyeru masyarakat Islam sekitar Penampang membantu dan berganding bahu bagi merealisasikan cita-cita tertegaknya masjid di daerah Penampang.

Semoga cita-cita ini akan tercapai dengan izin Allah SWT dan kerjasama semua pihak. Blog ini akan menulis satu artikel khusus dengan lebih terperinci nanti.  

Mohon maaf tidak banyak gambar diselitkan kerana terlambat sampai. Jika ada yang hadir dan mempunyai gambar, boleh kirimkan. Terima kasih Che’gu Jamil yang menyediakan bahan.

TAHNIAH 5A

Pagi tadi Kementerian Pelajaran mengumumkan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2009.

Dalam pengumuman itu,  48, 171 pelajar sekolah rendah berjaya meraih keputusan 5A dalam peperiksaan berkenaan. Tahniah untuk semua pelajar berkenaan, para guru serta ibu bapa.

Bagi yang beragama Islam, sudah tentu puji-pujian dan kesyukuran kita panjatkan kepada Allah SWT. Dialah yang memberikan anugerah kejayaan.

Bahkan sebelum itu, Dia memberikan nikmat akal, kesihatan, kekuatan, serta pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya.

Bagi yang kurang bernasib baik, kajilah punca kelemahan yang berlaku. Sudah tentu semuanya ada hikmah yang berlaku.

Ada yang sudah belajar bersungguh tetapi tidak mendapat keputusan yang diharapkan. Sebaliknya, ada juga yang belajar ala kadar tetapi mendapat keputusan diluar dugaan.

Semuanya kembalikanlah kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Dalam kesempatan ini, sekalung tahniah juga kepada 5 pelajar SK Kolombong yang mendapat keputusan 5A. Mereka ialah Aina Madhihah Jamil, Muhd Izhar Zaini, Mohd Khairul An’am, Derfian dan Amira Sophea.

Kepada semua ibu bapa dan guru, anda semua menanam saham yang baik bagi masa depan anak-anak. Khusus buat Cikgu Jamil dan isteri, ini tentu kenangan terindah sebelum berangkat pulang ke Ipoh.

Cikgu Jamil juga merupakan pengerusi PIBG di sekolah berkenaan.

Tahniah serupa juga diucapkan kepada anak sahabat Mohd Farhan Rafihi yang menuntut di SK Pekan Tuaran memperolehi keputusan yang sama.

%d bloggers like this: