Tag Archive: Ceramah Isra’ Mi’raj


Poster CeramahSemoga diberikan kekuatan dan kesihatan untuk melaksanakan amanah yang diberikan. Rabbuna yusahhil..

Saya mendapat satu lagi pengalaman berharga apabila dapat berkunjung ke Surau al-Ikhwan Kg Gimba Mansud, dalam daerah Kuala Penyu bagi mengisi program sambutan dan ceramah Isra’ wal Mi’raj pada malam isnin lepas atas ajakan Tuan Haji Samin Ongki yang lebih mesra kami panggil cikgu Samin, kerana beliau pernah menjadi guru sekolah dan pengawas asrama SMU Islam Toh Puan Hajjah Rahmah pada tahun 90-92.

Kami bertolak dari rumahnya sekitar jam 4.30 petang dengan sepanjang perjalanan yang penuh dengan maklumat. Apatah lagi cerita-cerita isu semasa, sehingga kami masuk ke daerah Kuala Penyu beliau menceritakan sejarah, perkembangan dakwah dan situasi politik semasa daerah berkenaan pula. Maklumlah beliau berasal dari Kg Kerukan, kampung yang bersebelahan dengan lokasi tujuan kami petang itu.

Sebelum tiba ke surau, kami singgah sebentar ke Pantai Mansud yang indah pemandangannya, putih bersih pasirnya serta damai suasananya. Namun sayang sekali saya lihat pantai ini tidak diusahakan dan dimajukan sebagai lokasi tumpuan masyarakat. Barangkali baik juga kalau dimajukan, dipromosi  dan diadakan beberapa gerai-gerai untuk memajukan ekonomi masyarakat kampung.

Surau yang dimaksudkan tidak jauh dari situ, kami tiba sekitar jam 6 petang. Seronok melihat orang kampung bergotong royong masak memasak dan menyediakan juadah petang dan untuk malam selepas ceramah nanti. Surau yang kecil molek, barangkali hanya muat sekitar 80-100 orang, tetapi majlis ceramah yang saya sampaikan sehingga ke akhir dihadiri lebih 150 orang termasuk anak-anak muda yang naik bermotorsikal. Saya asalnya tidak perasan kerana di dalam surau hanya nampak orang-orang dewasa dan veteran sahaja.

Rupanya di luar surau lagi berpuluh-puluh anak muda menanti dan kemudiannya makan bersama-sama. Alhamdulillah. Semoga ada kebaikan untuk semua.

Pertama kali berkunjung ke Surau al-Mu’minin Kg Andus Papar yang terletak cuma di tepi jalanraya utama Papar-Beaufort. Selama ini hanya menjeling surau kecil ini apabila lalu ketika permusafiran baik ketika balik kampung atau ke destinasi tertentu. Bahkan beberapa minggu sebelum ini ada seorang pengomentar dalam blog ini mencadangkan saya berziarah ke surau mereka. Maka apabila pengerusi surau, Tuan Haji Ismail Ag Damit mengundang hadir, saya tidak keberatan untuk bersama-sama mereka pada selasa malam rabu lalu.

Saya tiba sedang mereka berdoa selepas solat maghrib, memandangkan saya tidak mengambil cuti hanya bekerja seperti biasa dan keluar dari rumah pada jam 6 petang. Lucu juga sejak awal pagi tuan pengerusi menelefon beberapa kali walaupun saya sudah menyatakan persetujuan. Katanya mereka sekampung sibuk memasak menyediakan makan malam selepas ceramah nanti. Memang di kampung-kampung saya mengakui kemeriahan mereka menyambut peringatan isra’ mikraj dengan acara gotong royong dan sebagainya.

Banyak saya luahkan malam itu, sehingga ceramah saya memakan masa hampir dua jam lamanya. Saya bermula dengan latar belakang sirah nabawi – dakwah secara sembunyi sehinggalah kemasukan sayyidina Umar ke dalam Islam, pemboikotan keatas umat Islam, tahun kesedihan sehingga membawa kepada berlakunya isra wal mi’raj. Ulasan saya berkenaan ayat 1 surah al-Isra juga panjang lebar, dan masih berkait dalam perkara asas. Di hujungnya saya tekankan kefardhuan solat yang baginda terima menunjukkan solat dan perhambaan kepada Allah adalah jawapan kepada permasalahan yang berlaku dalam masyarakat sepanjang zaman.

%d bloggers like this: