Masa diperuntukkan sekadar 45 minit kerana 15 minit pertama sudah terbuang begitu saja gara-gara parkir yang susah diperolehi di kawasan Rumah Persekutuan, Sembulan. Mujur akhirnya saya dibenarkan meletak kereta di perkarangan bangunan yang biasanya hanya kepada mereka yang punya pelekat khas kereta.

Terdahulu, saya menghilangkan rasa malu apabila menawarkan diri untuk mengisi program ceramah bulanan di Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, tingkat 7 Rumah Persekutuan. Hasrat itu saya luahkan kepada orang kuat kelab kebajikan mereka, Encik Ribbang Haji Ampong yang juga sahabat lama dalam Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah. Saya sebenarnya pengkagum beliau, aktif dalam kegiatan keagamaan walau beliau tiada kenderaan sendiri. Sanggup balik hingga lewat malam, dari pejabat terus ke Masjid Negeri Sabah menyertai mesyuarat dan aktiviti masjid.

Saya selalu mendengar kisah menarik beliau, dengan slang Sempornanya beliau bercerita tentang aktiviti biro agama di Jabatan Pelajaran di Rumah Persekutuan, mereka memanggil beberapa ustaz ternama di sekitar ibu negeri mengisi slot ceramah bulanan, lalu kadang-kadang diserikan dengan acara kuiz bagi menarik minat kawan-kawan sepejabatnya agar mendengar tazkirah dan ceramah dengan tajuk yang bermacam-macam.

Ini pengalaman pertama berceramah di sini. Saya bahagikan pengisian ceramah kepada 3 perkara. Pertama, muhasabah Ramadhan; kedua, huraian kepada sepotong doa yang selalu dibaca dalam bulan Ramadhan (Rabbana taqabbal minna solatana, wa siyamana..); dan ketiga huraian kepada kemungkaran hari raya. Alhamdulillah, saya sempat menyediakan sedikit tayangan powerpoint untuk perkongsian bersama khususnya bagi memperbaiki pergerakan solat yang kita lakukan.

Ceramah berjalan lancar, tanpa ‘gangguan’ pengacara. Akhirnya, ceramah berlangsung sejam setengah dan selesaiĀ  pada jam 10.15 pagi. Terima kasih undangan dan kebersamaan sekitar 40-50 pegawai dan staf yang hadir. Alhamdulillah.