Al-Fatihah kepada Abdullah Omar

*********************************************************************

BERITA 1 ” SELEPAS 25 TAHUN BUAT DOSA SB MINTA MAAF PADA PAS

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/14628-selepas-25-tahun-buat-dosa-sb-minta-maaf-pada-pas

KOTA BHARU: Seorang bekas polis yang bertugas dengan Cawangan Khas (SB) selama 25 tahun, Abdullah Omar memohon maaf atas segala dosa yang beliau lakukan terhadap PAS sepanjang bertugas sebagai polis.

“Dosa apa yang saya tak buat terhadap PAS sepanjang lima pilihan raya yang lepas…saya tidak mahu sebut di sini, biar saya dan Allah sahaja yang tahu. Tetapi maafkanlah saya, saya sudah bertaubat,” katanya yang tampil sebagai perwakilan Taiping yang menyokong usul Pilihan Raya yang dibawa PAS Pusat. Abdullah juga merupakan bekas OCPD Taiping pernah bertugas sebagai SB selama 25 tahun berterima kasih kepada PAS kerana sanggup menerima beliau yang pernah berdosa dengan PAS dan rakyat.

Saya berbesar hati hari ini diangkat untuk berucap di Muktamar walau pun baru dua tahun bersama PAS, paling terharu PAS boleh terima orang yang berdosa seperti saya,” katanya.

Cabar Majlis Fatwa

Pada masa sama beliau yang juga bekas OCPD itu turut mencabar Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa tentang gaji yang diperoleh oleh mana-mana calon yang menang pilihan raya melalui penipuan pilihan raya.

“Saya nak cabar Majlis Fatwa dan Mufti, kalau menipu dalam pilihan raya kemudian menang. Jadi Perdana Menteri, jadi menteri-menteri, bagaimana dengan gaji mereka.

“Saya tanya tuan-tuan gaji yang mereka dapat halal atau haram?” soal Abdullah terus dijawab para perwakil ‘haram’. “Kalau haram, kenapa Majlis Fatwa tidak keluarkan Fatwa?” “Ya gaji yang mereka dapat tidak halal, jawablah di akhirat esok,” soalnya balik ketika berucap menyokong usul pilihan raya oleh PAS Pusat. Tambahnya, daripada banyak-banyak pilihan raya negara diadakan Malaysialah yang paling teruk.

Ditambah pula katanya, pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing seperti Thailand, Bangladesh, Myanmar dan paling malang mereka ini didaftarkan sebagai pengundi. Beliau juga membayangkan jika pilihan raya negara ini dijalankan dengan bersih sudah lama Umno BN terkubur.

“Kalau bersih! sudah tentu kita sapu bersih Umno BN. Kita sudah lama jadi pemerintah,” tegasnya diringi takbir para perwakilan.

BERITA 2 : BEKAS SB MOHON MAAF KEPADA PAS MENINGGAL DUNIA

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/15119-bekas-sb-mohon-maaf-kepada-pas-meninggal-

TAIPING: PAS dikejutkan dengan kehilangan seorang pejuang, Abdullah Omar iaitu bekas OCPD Slim River di usia 66 tahun, hari ini. Beliau yang menyertai PAS selepas bersara tahun lalu menghembuskan nafas yang terakhir kira-kira jam 6.00 pagi tadi di kediamannya di Kampung Baru, Kamunting, Taiping, Perak. Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Kg Expo selepas Zohor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Silverstoon, Kemunting, Taping.

Yang Dipertua PAS Taiping, Ustaz Fakhruddin Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada PAS. Katanya, beliau sangat aktif dalam PAS di peringkat kawasan dan giat berceramah diseluruh negara selepas pengisytiharannya menyertai PAS tahun lalu. Kata Fakhruddin, Abdullah tidak pernah jemu memohon maaf kepada ahli PAS atas perbuatannya ketika beliau dalam pasukan polis termasuk 35 tahun menjawat jawatan polis cawangan khas (SB).

“Perjuangan beliau sangat besar walaupun baru beberapa tahun menyertai PAS dan kesungguhannya harus menjadi ikutan kepada semua ahli PAS,” katanya yang ternyata sedih dengan kehilangan rakan seperjuangannya itu. Pada Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini, beliau telah membahaskan usul PAS Pusat dalam isu pengkhianatan Umno kepada negara dan di kesempatan itu, beliau memohon maaf kepada semua ahli PAS atas segala perbuatannya ketika berkhidmat.

“Dosa apa yang saya tidak buat kepada PAS sepanjang 5 pilihanraya yang lepas, saya tidak mahu sebut disini, biar Allah dan saya sahaja yang tahu. Tetapi maafkanlah saya, saya sudah bertaubat,” katanya dalam dalam perbahasannya yang menyentuh hati semua para perwakilan ketika itu. Beliau adalah individu yang bertanggunjawab membongkar penipuan Umno menghantar ribuan warga Kemboja dan Myanmar yang berjaya digunakan untuk merampas Terengganu dari PAS pada pilihanraya umum 2004 lalu.