Berjalan melihat negara dan tempat orang mendatangkan banyak manfaat dan faedahnya.

Di Carreido Street ini, kami melihat manusia yang sangat ramai dengan telatah dan gelagat masing-masing. Carriedo Street ini adalah satu pasar seperti Tamu Gaya di Kota Kinabalu. Hanya bezanya, jumlah manusia yang sangat ramai sekali.

Kami berjalan mulai dari deretan kedai VCD dan DVD, memasuki terowong bawah tanah, melintasi kawasan sebuah gereja Jaimi L. Cardinal Sin Building  yang sesak dengan penganutnya di luar dan dalam, sehingga ke hujung Jalan Carreido dan berpusing ke laluan lain.

Ramainya manusia terutama apabila melihat marhaen yang hanya terbaring di tepi longkang, kotor dan terbiar, tambah lagi dengan kekufuran mereka, membuatkan saya berfikir panjang.

Hakikatnya, betapa manusia ini tiada nilai di sisi Allah SWT jika tidak beriman kepadaNya. Bahkan jika semuanya menjadi hartawan dan jutawan, tiada nilai barang setitik pun tanpa iman kepadaNya.

Ramainya manusia yang terbentang di hadapan mata mengingatkan diri kepada petikan sebuah hadith qudsi :

“Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu” (HR Imam Muslim)