[Sesekali membuat ulasan bola sepak].

IMG_4066Zaman sekolah menengah dan di Maahad dahulu, ketika pasukan bola sepak Sabah mencapai kemuncaknya, khususnya ketika zaman angkatan Matlan Marjan, ketika itu memang saya mengikuti perkembangan bola sepak secara hampir.

Malahan, acapkali turun ke Stadium Likas atau Penampang bersama kawan-kawan menyaksikan pasukan Sabah beraksi. Itu dahulu.

Kini saya bukan lagi peminat tegar bola sepak. Hanya sesekali menonton dan membaca khabar berita, sekadar untuk ambil maklum dan meraikan kawan-kawan. Keadaan tidak begitu mengizinkan untuk saya mengambil berat soal bola seperti dahulu.

Setelah majlis perasmian seminar malam ini tamat awal, kami santai-santai menonton bola sepak Konfederasi 2009 antara Brazil dan Mesir. Ketika itu kedudukan baru 2-1, Brazil mendahului.

Tiba-tiba saja saya meminati Mesir, mungkin sentimen pernah berada di sana beberapa tahun. Bukan saya membenci Brazil, kerana pasukan itu sebenarnya saya sukai dek pemain-pemain hebat mereka yang saling bersilih ganti.

Mungkin juga kerana apabila Brazil bertemu pasukan yang dianggap lemah, maka semua menyokong Brazil. Biarlah saya menyokong Mesir seketika.

Di Mesir dahulu, saya juga bukan peminat bola sepak Mesir. Sesekali menonton juga bersama rakan-rakan serumah perlawanan pasukan kebangsaan Mesir beraksi atau kelab-kelab mereka seperti al-Ahli dan lain-lainnya melalui kaca tv.

Bagi mereka yang pernah duduk di Mesir, betapa mereka mengetahui rakyat Mesir yang sememangnya secara umum ‘taik’ bola. Apabila pasukan pujaan menang, penyokong mereka pula beraksi di tengah jalanraya meraikan kemenangan. Suasana jalanraya begitu bising dengan bunyi hon yang sambung menyambung.

Kebetulan Wisma Yayasan Sabah Kaherak (WYSK) yang terletak di Jalan Abbas el-Aqqad itu tidak begitu jauh dari stadium. Agak saya kalau jalan ke sana lengang, tidak sampai 10 minit pun akan tiba.

Jadi suasana hingar bingar setelah perlawanan bola selesai akan sampai juga ke persekitaran Abbas el-Aqqad dan Hatiem at-Taie yang menjadi lorong bangunan rumah Sabah.

Saya sudah membayangkan kalau-kalau Mesir berjaya mengikat Brazil dengan jaringan 3-3.

Kalaupun tidak menang, sekadar seri dan berjaya menjaringkan bola tiga kali ke gawang Brazil sudah membuatkan Mesir seolah-olah memenangi Piala Dunia. Saya sudah membayangkan jalan-jalan di Kota Kaherah khususnya akan dipenuhi kenderaan berjam-jam malam ini.

Saya tambah teruja apabila pada minit 55, Mesir mengikat kedudukan 3-3 melalui  Zidan setelah seminit sebelum itu mereka menjaringkan gol kedua melalui Shawqi. Brazil bermain seperti ada yang tidak kena. Mesir menguasai padang permainan sehingga minit ke-90!

Tetapi akhirnya Brazil mendapat saguhati dengan tendangan penalti dijaringkan oleh Kaka pada minit 90, dan menang dengan jaringan 4-3.

Cis, gol akhir itu betul-betul mengacau mood malam ini!

Penjaring : Brazil – Kaka (minit 5 & 90), Luan Fabiano (m 12) dan Juan (m 37). Mesir – Zidan (m 9 & 55), Shawqi (m 54)